Saturday 23 January 2010

Masa Boleh Membunuh




Kesibukkan menghadapi peperiksaan sedikit sebanyak menghilangkan sedikit tumpuan terhadap penulisan blog. Hampir 2 minggu penulisan ini tergantung dan kosong. Mungkin peperiksaan adalah perkara utama yang paling penting untuk diberikan perhatian yang sewajarnya. Tempoh sebulan menghadapi peperiksaan mungkin sesuatu yang agak panjang. Dalam tempoh itulah seharusnya kita manfaatkan peluang yang ada demi memastikan kejayaan dapat dikecapi.

Masa sering membunuh kita. Sedikit kelalaian akan merugikan banyak masa yang kita ada. Dengan masa jugalah seorang jutawan bernama Bill Gates, pencipta perisian komputer microsoft, mengumpul ribuan dolar dalam masa sehari. Bahkan sebuah artikel menulis sekiranya Bill Gates hanya tidur dirumah sekalipun, setiap minit itu tetap akan menghasilkan wang yang masuk kedalam akaunnya. Tidak hairan sekiranya Bill Gates mengumumkan bahawa beliau menderma 2% dari simpanan duitnya kepada rumah kebajikan. Bahkan nilaian 2% itu dikatakan mencecah bilion dolar.

Pastinya jutawan sehebat Bill Gates mempunyai rahsia perniagaan yang berjaya. Beliau mempunyai otak yang bijak dan berkemahiran tinggi. Pada masa kini diseluruh dunia sedang menggunakan perisian microsoft ciptaan beliau. Apa yang lebih penting , beliau memanfaatkan masa dengan mencipta perisian yang amat canggih ini.

Penulis teringat pada 2 minggu lepas, apabila penulis sedang membuat urusan menyambung tempoh visa pelajar, tempoh berurusan cukup memakan masa yang lama. Hadir pada jam 7 pagi dan hanya mendapat pengesahan pada jam 2.15 petang. Sudah sekelian lama, hanya seorang pegawai sahaja yang bekerja dibahagian kaunter pengesahan visa pelajar. Bayangkan sekiranya setiap hari, beratus pelajar datang ingin membuat pengesahan dan hanya seorang sahaja pegawai bertugas dibahagian tersebut. Keadaan ini kadang-kadang menyebabkan orang lain tidak berasa selesa.

Akan tetapi inilah hakikat dan cabaran yang harus dilalui. Kata seorang sahabat, "kan arab boleh jadi "mu'rab" ( satu istilah yang bermaksud berubah-ubah) , maknanya arab ni boleh berubah-ubah cara dan percakapannya". Justeru menyebabkan amalan pembaziran masa dipandang ringan.


Thursday 7 January 2010

Belajar Menghormati Pandangan Ulama






Setelah berehat sebentar beberapa hari yang lalu, penulis cuba untuk memikirkan cara yang terbaik untuk menyusun perkataan dalam penulisan blog kali ini. Penulis sudah memerhatikan sejak sekian lama bahawa penyelesaian terhadap hal-hal berkaitan dengan pendapat ulama seharusnya diluahkan dengan cara yang amat teliti. Setiap ulama yang memberi pendapat bukanlah didasari dengan emosi dan hawa nafsu. Bahkan mereka mempunyai hujah ilmiah yang dipegang dan diamalkan. Sikap berhati-hati dan wara' dalam memberikan jawapan kepada setiap masalah merupakan perkara yang wajar dicontohi oleh masyarakat hari ini.

Setiap pandangan yang dilontarkan oleh ulama pastinya akan diiringi hujah dari petikan ayat al-quran dan hadis. Kemudian barulah kesimpulan itu dibuat berdasarkan hujah-hujah tersebut. Akan tetapi pandangan itu kadang-kadang tidak dipersetujui oleh sebahagian ulama yang lain. Maka ulama yang tidak bersetuju juga mengeluarkan pandangannya yang bersandarkan dalil al-quran serta hadis. Kemudian mereka memberikan kesimpulan dari hujah tersebut.

Apabila perbezaan pendapat ulama ini ditimbulkan dalam konteks masyarakat yang mana sebahagian besar tidak memahami erti khilaf, maka kekeliruan untuk memilih pandangan akan berlaku. Disebabkan keadaan ini, masing-masing berusaha mempertahankan pandangan yang dirasakan betul. Lalu wujudnya pertikaian dan perbalahan diantara menerima pandangan itu dan ini. Masing-masing akan menyalahi satu sama lain. Walhal ulama yang memberikan pandangan itu tidak pula menyalahkan ulama yang lain. Bahkan perbezaan diantara mereka adalah suatu rahmat yang harus diakui.


Ustaz dan ulama muda.


Golongan agamawan cukup ramai di negara Malaysia. Kemunculan ustaz dan ulama muda memenuhi ruang-ruang masyarakat untuk menyampaikan ilmu sangat dibanggakan. Mereka mampu membimbing dan memandu masyarakat agar meyakini setiap apa yang telah diajarkan oleh Islam kepada mereka. Barangkali sedikit perkara yang harus diteliti oleh setiap ustaz dan ulama muda ini. Mereka seharusnya belajar bagaimana untuk memahamkan masyarakat dan diri mereka sendiri tentang adab-adab ketika berlakunya perbezaan pendapat. Baca artikel dibawah ini..

http://www.tranungkite.net/v10/modules.php?name=News&file=article&sid=1630

Setelah pembaca meneliti sebaik-baiknya, mungkin itu kata-kata 'ikhlas' seorang ustaz muda terhadap Dato Harun Din. Kemudian dibelakangnya ada rakan yang menyokong kata-kata ustaz muda tersebut. Bukankah dengan hal demikian akan menimbulkan fitnah ditengah-tengah masyarakat?. Bersangka buruk dengan ulama sangat merbahaya. Sekiranya kata-kata ustaz muda tersebut di 'copy paste' atau diguna pakai oleh orang lain, lihatlah betapa dosanya akan ditanggung. Sekiranya ustaz tersebut merujuk terus kepada Dato Harun Din, mungkin hal ini dapat diselesaikan secara baik.

Penulis teringat kata-kata Dato Ismail kamus, "Sekiranya ulama membuat kejahatan, tetapi tidak diketahui oleh orang lain maka ia akan merugikan diri sendiri. Akan tetapi sekiranya kejahatan itu diketahui orang, maka ia akan merugikan diri sendiri dan orang lain". Sebaiknya ustaz dan ulama muda harus belajar dari ulama tua yang bersikap tenang ketika mengutarakan sesuatu pendapat. Belajarlah menghormati pandangan ulama!.


Individu dan Profesional

Masalah agama bukan sahaja dikelilingi oleh pendapat ulama, bahkan golongan profesional juga tidak ketinggalan memberi pandangan. Mereka juga mempunyai hujah-hujah kukuh yang boleh dilihat sebagai pandangan intelektual yang hebat. Bahan rujukan seperti buku,jurnal dan maklumat internet digunakan bagi menguatkan alasan dan pandangan. Ada ketika ia diterima dan kadang-kadang ditolak. Apa yang penting bukan masanya untuk memenangkan pendapatnya dan menyalahkan semua pendapat yang lain.

Penulis akui, dalam sesuatu hal pandangan mereka haruslah diambil berat berdasarkan kepakaran dan kebolehan didalam bidang yang mereka ceburi. Akan tetapi dalam hal agama, mungkin terdapat beberapa hal yang tidak harus dilontarkan secara umum demi menjaga kepentingan agama Islam itu sendiri. Biasanya hal tersebut memerlukan hasil perbincangan dikalangan para alim ulama secara mendalam. Walau bagaimanapun, pandangan secara peribadi tetap harus dihormati oleh semua pihak.

Sekiranya kita cermat dan teliti dalam menangani hal perbezaan pendapat, maka tidak perlu kita menimbulkan perasaan sangka buruk terhadap sesiapa pun. Anggaplah setiap pandangan itu sebagai suatu rahmat dan hikmah demi kepentingan bersama.






Saturday 2 January 2010

:: Penghargaan Untuk Seorang Lelaki ::





Seorang lelaki,
Dirimu kami kenali diatas pentas ucapan,
Dirimu kami kagumi diatas kata-kata yang tajam,
Diriku kami hargai diatas sejuta sumbangan,
Dirimu kami kasihi diatas kuntuman senyuman.

Lelaki ini,
Tika dakwat tertumpah diatas pakaian perjuangan,
Cekal dan tabah menghadapi ujian keimanan,
Tetap memegang janji dan amanah yang diperjuangkan,
Menuntut ilmu dan sebuah pengorbanan,
Dipermudah jalan menuju syurga tuhan.

Redhailah dirinya,
Suatu masa pasti kita kan bersama,
Menerima natijah kehidupan,
Kita kan kembali bersua,
Bertemu dipenghujung dunia yang kekal abadi.

Penulis dedikasikan puisi ini khas untuk Allahyarham Hidayatussaufi b. Mohd Khalid. Semoga
rohnya dicucuri rahmat dan keampunan dari Allah swt. Seterusnya tergolong didalam barisan
manusia menuju ke syurga yang kekal abadi.

Kaherah,
3 Januari 2010
1.30 pagi.


:: Dosa 'Pertama' Tahun 2010 ::




Meraikan malam tahun baru bukanlah sesuatu yang luar biasa dikalangan masyarakat khususnya di Malaysia. Meninggalkan tahun 2009 yang sudah terkubur menjadi kenangan dan memasuki tahun 2010 menandakan era kemajuan kemanusiaan semakin canggih dan bertaraf moden. Segala-galanya boleh dilakukan demi tujuan memodenkan pemikiran yang kolot dan mempamerkan akhlak yang lebih 'up to date' dari memiliki peribadi yang kekampungan. Mungkin pada pandangan sebahgian masyarakat, kita harus memiliki sikap terbuka dengan apa jua perkara baru yang menerjah dalam kehidupan mereka. Apatah lagi sekiranya ia berkaitan dengan kebebasan hidup.

Bandar dan kota metropolitan pada waktu malam tahun baru biasanya dipenuhi dengan bermacam-macam spesis manusia yang tidak kenal asal usul, agama dan tatasusila. Dari usia kanak-kanak sehingga orang dewasa turut membuang masa semata-semata menunggu jam berdetik 12 tengah malam. Tidak hanya setakat itu, golongan remaja yang berpuak-puak turut kelihatan menyambut detik jam 12 dengan cara dan gaya mereka tersendiri. Seperti terkena histeria, masing-masing menjerit melolong sambil mengeluarkan perkataan yang begitu biadap! . Suatu hal yang biasa bagi mereka. Tanpa mengambil kira sensitiviti orang lain, mereka kadangkala mencetuskan pergaduhan dengan kumpulan remaja yang lain.

Sesuatu yang harus dibanggakan, apabila beberapa kumpulan dakwah yang turut menyertai malam tahun baru dengan usaha memberikan nasihat dan risalah mengingatkan mereka tentang agama. Bagi mereka mendekatkan diri kepada golongan masyarakat pada waktu ini mampu untuk menyedarkan sikap membuang masa dan melakukan perkara selaras dengan ajaran agama. Usaha kumpulan dakwah ini seharusnya dijadikan contoh demi mengembalikan masyarakat kepada pegangan agama yang kukuh. Mahu terima atau tidak, itu terpulang kepada masyarakat. Kita menilai sesuatu perkara dengan akal dan bukannya dengan hawa nafsu.


Gejala dan suasana menyambut tahun baru seperti ini bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan. Bahkan tahun baru 2010 hadir adalah untuk kita memuhasabah kembali segala kerja dan amalan yang kita lakukan pada tahun 2009. Malang sekali pembukaan tahun baru ini dipalit dengan najis maksiat yang seharusnya ditinggalkan. Ruangan dada akhbar pada hari ini penuh dengan cerita tangkapan khalwat di hotel murah. Mungkin mereka terlalu ingin privasi sehingga mengadakan 'makan malam' dibilik hotel. Disini penulis sertakan url berita tersebut. Baca dan nilailah sendiri, inikah contoh sambutan tahun baru yang sangat dibanggakan?.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20100102083657/Article/index_html

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20100102091022/Article/index_html

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20100102090250/Article/index_html

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20100102090149/Article/index_html

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20100102090220/Article/index_html