Sunday 17 November 2013

:: Karya Novel Di Dalam Pasaran::





Remaja lelaki dan perempuan pada hari ini terdedah dengan bahan bacaan yang cukup banyak. Paling laris dipasaran karya berunsur novel yang memuatkan cerita-cerita cinta yang melantai. Lambakan novel cinta ini bagi sesetengah remaja bahkan golongan dewasa adalah bahan bacaan semasa yang menarik untuk dibaca. Walaupun jalan cerita semata-mata cinta tanpa ada batasan tetapi pengaruh pembacaan sangat besar kepada mereka. 

Kebanyakan daripada hasil pembacaan ini akan terbentuklah sifat yang sama didalam diri pembaca tersebut. Mengunakan kaedah dan cara-cara yang diajar dalam novel cinta bagi memikat pasangan atau sebagainya adalah hal yang biasa bagi pembaca tegar novel cinta ini. Mereka suka hero dengan nama yang ala-ala macho dan heroin dengan nama yang indah. Bagi penulis kebanyakan karya cinta ini sebenarnya banyak menghumban kita kepada jurang kebinasaan nafsu. Mereka akan dikawal oleh emosi yang sedih apabila putus cinta. Bahkan sehingga membunuh diri. Obses dengan pembacaan seperti ini hanya akan memusnahkan diri.

Genre jenayah pula adalah satu genre yang baru meningkat naik yang memuatkan sejumlah cerita-cerita pembunuhan misteri yang perlu dirungkai dan diselesaikan. Bagi penulis genre jenayah seperti ini sedikit baik daripada genre cinta. Jenayah apabila dibaca bukan bertujuan mengajar kita menjadi penjenayah. Tetapi bagaimana kita memahami sesuatu jenayah yang berlaku didalam masyarakat. Walaubagaimana pun penulis berasakan sekiranya genre ini ditandakan dengan 18SG, maka ia adalah lebih baik dan wajar.

Genre cinta hanya semata-mata khayalan yang tidak akan berkesudahan sementara jenayah ialah apa yang berlaku didepan mata. Penulis sekadar menulis tentang dua genre ini kerana dua genre ini lah yang paling banyak dipasaran bahkan menjadi pilihan remaja-remaja hari ini. Hati-hati dengan pembacaan, sedikit sebanyak ia akan mempengaruhi tingkah laku anda!. 

Saturday 16 November 2013

::Imam Yang Di Benci Makmum::




                         Penulis seringkali mendapat respon yang pelbagai dari masyarakat tentang fungsi sesebuah masjid. Ada sebahagian dari kalangan jemaah yang cukup memuji pengurusan yang menguruskan masjid dengan teratur dan sempurna. Tidak kurang juga yang kuat mengadu tentang masalah pengurusan dan ahli jawatankuasa yang tidak menjalankan tugas dengan lebih bertanggungjawab. Hal ini menjadikan pengurusan masjid terabai dan hak-hak bagi masjid juga tidak terjaga.

                    Sebahagian dari jemaah pernah mengadu tentang perihal imam yang bermasalah. Bukan masalah dari segi akhlak atau sosialnya, tetapi masalah dari segi kelayakan menjadi imam. Ini kerana ada jemaah yang dapat menghidu beberapa kesalahan imam didalam bacaan sembahyang. Bagi para jemaah yang bersolat sudah tentu mereka melihat hal ini sangat besar. Bahkan mereka pula ragu-ragu hendak solat di belakang imam. 

Sekiranya imam itu orang yang mempunyai ilmu, nescaya dia akan memahami keadaan itu dan dengan sukarela berundur menjadi imam dan memberi laluan kepada orang lain. Perlu diingat, dosa solat makmum akan ditanggung imam. Justeru wahai para imam! Berlapanglah dada apabila menerima teguran.

             Masalah juga berlaku apabila makmum mengadu imam selalu membaca surah yang sama. Di ulang setiap hari surah yang sama, seperti tidak ada surah yang lain. Lalu ada yang membawa diri pergi ke masjid yang lain untuk solat jemaah di sana. Inilah kesilapan dalam memahami solat.

         Perlu dingat bahawa imam adalah kuasa terbesar didalam solat. Sesiapa pun yang datang hadir solat, sama ada yang berjawatan besar atau berpangkat tinggi tetap wajib mengikuti arahan imam. Didalam bacaan surah pula, tidak terhad para imam untuk membaca surah-surah tertentu. Bahkan di bolehkan setiap rakaat membaca surah Al-Ikhlas. Hal ini kerana kehebatan surah Al-Ikhlas itu sendiri.

          Apatah dengan imam-imam yng lain yang mungkin pembacaan surahnya agak perlahan tetapi bacaanya tepat dengan hukum tajwid. Apabila jemaah hendak mengkritik imam, berhati-hatilah agar kita tidak menghukum secara salah. Jika peristiwa pertama makmum benci dengan imam kerana kebenarannya terletak pada jemaah silakan. Tetapi jika kebenaranya ada pada imam, maka berhati-hatilah dengan fitnah yang disampaikan oleh mulut kita sendiri. Semoga kita dihormati oleh semua orang. Amin..

Friday 15 November 2013

:: Hijrah Daripada Kepalsuan Kepada Kebenaran::




         Tahun 1434 telah meninggalkan kita dengan penuh cabaran dan dugaan. Ujian sebagai hamba yang taat kepada Allah swt tidak terhenti setakat itu. Peningkatan ibadah seharian seharusnya menjadi lebih dari tahun yang terdahulu. Semua daripada kalangan kita benar-benar memahami erti hijrah yang sebenar. Hijrah yang berlaku kepada Rasulullah saw bersama para sahabat adalah simbolik utama kepada penghijrahan sebenar. Simboliknya ialah bagaimana kita sepatutnya taat kepada perintah Allah dalam setiap suruhan dan larangan. Inilah hijrah sebenar.

       Penulis gembira kerana masyarakat kita hadir mendengar majlis ilmu-ilmu di masjid sempena kedatangan maal hijrah. Apatah lagi ianya adalah majlis rasmi sempena kedatangan hari-hari sejarah didalam Islam. Akan tetapi, pertanyaan yang harus kita sama-sama fikirkan jawapannya, adakah cukup hadir pada majlis-majlis tertentu sedangkan galakkkan kita untuk sama-sama solat berjemaah adalah setiap hari. Bahkan majlis ilmu biasa diadakan selepas solat maghrib.

      Bagaimana cara kita faham cara pengamalan didalam ibadat seharian bukan semata-mata kerana sempena itu dan ini. Tetapi lebih utama ialah mengekali setiap ibadah yang dilaksanakan setiap hari. Jangan pula ada yang berhujah, "kurang-kurang saya dah buat sikit dah, orang lain tak buat langsung", kerana ini hanya alasan orang yang melepaskan batuk ditangga. Bahkan dianggap tertipu dengan ibadah yang sedikit.

     Melihatkan apa yang telah berlaku, jika penghijrahan cara berfikir ini tidak berlaku, maka selama-lamanya masyarakat kita tidak akan faham apa-apa tentang agama. Beribadah dalam keadaan jahil amat merbahaya bagi individu muslim yang tidak berilmu. Semoga Allah memberi kefahaman agama yang baik kepada kita semua.

:: Penceramah Pilihan::






               Buat kali pertama penulis bersama-sama bermesyuarat didalam sebuah masjid. Seorang pengerusi dan beberapa orang ahli jawatankuasa masjid termasuk hal ehwal wanita sedang fokus membincangkan hal-hal dan program akan datang. Penulis secara tidak langsung dijemput untuk meramaikan didalam mesyuarat ini. Tumpuan mesyuarat ini antara yang paling besar ialah memilih penceramah jemputan sempena sambutan Maulidurasul pada pertengahan bulan 1 tahun hadapan. Pemilihan harus dibuat lebih awal kerana pada tahun ini dijangkakan pihak masjid akan memanggil penceramah luar khususnya dari Kuala Lumpur.

Apabila cadangan nama penceramah dibuka. Masing- masing mencadangkan nama pilihan penceramah. Setiap cadangan itu biasanya mempunyai alasan yang dilihat dari kaca mata sendiri.

Pencadang Pertama

"Er..Saya cadang kita panggil Ust Bollywood nak?. Dia best sikit buleh menyanyi".

Pencadang Kedua

"Asyik menyanyi jea, kita nak pengisian tentang Nabi. Kita panggil Ust Abu Hassan Din baik juga. Tokoh agama hebat. Masuk televisyen lagi".

Pencadang Ketiga

" Ustaz Abu Hassan Din tak boleh la. Cara dia tue tak sesuai untuk ceramah umum seperti ini. Gaya dia memang sedikit perlahan.Takut orang mengantuk. Kita panggil  ustaz dekat-dekat dah la.Kita bukan nak buat apa pun. Ceramah aja".

        Melihat situasi seperti ini, agaknya siapakah penceramah pilihan yang paling layak berceramah sekiranya kita hanya pandai komen tentang penceramah begitu dan begini sedang kita sendiri tak berani nak berceramah di depan kawan-kawan sendiri. Sepatutnya hargai ilmu yang mereka beri. Bukan cari kelemahan mereka. Inilah dia adab-adab yang mungkin secara tak sengaja kita abaikan. Semoga kita redha dengan ceramah yang disampaikan. 

Thursday 14 November 2013

:: Sindiran Dalam Teguran::





Ada ketika seseorang cukup sensitif dengan teguran secara terus. Tidak kurang pula mereka yang tidak suka ditegur secara sindiran. Bagaimanakah cara teguran yang baik?. Penulis ketika menulis entry ini seringkali melihat penceramah-penceramah di surau, masjid dan ditempat-tempat umum bercakap. Mereka mempunyai kebolehan dalam menyampaikan teguran mengikut cara masing-masing. Jika dilihat dengan lebih tajam, sebenarnya teguran ini harus diterima dalam bentuk yang pelbagai. 

Ini kerana penulis melihat sikap individu muslim pada hari ini cukup berbeza dalam memberi respon dan pandangan pada isu-isu tertentu. Sebagai contoh jika isu itu melibatkan diri individu itu sendiri, apabila ditegur kerana tidak menunaikan solat, maka dia tidak akan ambil kisah. Bahkan lebih buruk jika dibalas dengan perkataan maki hamun. Menafikan hak orang lain menegur. Ini jika terkena batang hidung sendiri.

Akan tetapi apabila masjid umat Islam digunakan untuk agama lain beribadah secara salah, lantas mereka ini lantang bersuara mengatakan masjid hak orang Islam sahaja. Bukanlah penulis katakan bahawa mempertahankan hak umat Islam itu salah,bahkan ianya wajib kerana hak orang Islam. Tetapi bukankah hal itu terjadi (agama lain menggunakan masjid) untuk beribadah adalah disebabkan kecuaian umat Islam sendiri tidak pergi solat berjamaah?. 

Nah! Kita yang membiarkan masjid kosong, mengapa pula dimarahi agama lain jika mereka gunakan. Ini satu contoh yang penulis ingin sampaikan. Beriya-iya menjadi penyelamat masjid, tetapi langsung tidak pernah jejakkan kaki ke masjid. Inilah asas yang patut dikira mengapa teguran itu harus di pelbagaikan. Mereka yang faham akan terima, mereka yang tidak akan terus menolak dengan keras.

Benar kata nabi  saw yang bermaksud : " Sesiapa yang pergi berburu akan jadi lalai, sesiapa yang rajin mengunjungi pemerintah akan terkena fitnah, sesiapa yang tinggal dalam ceruk-ceruk kampung dan tidak pernah keluar, maka otaknya akan menjadi beku". Semoga Allah mengampunkan kita semua.