Monday, 6 February 2012

::Tahun 2012 :Antara Ujian Dan Dugaan::



Meredah tahun 2012, setelah beberapa bulan yang lalu pena penulisan terhenti seketika. Rindu semula ingin menyambung menulis didalam lembaran blog ini. Sekejap timbul, sekejap hilang. Masalah ini yang selalu dihadapi jika penulisan tidak diberi komitmen sepenuhnya. Tahun ini, batang tubuh yang tidak sekuat mana, punya tanggungjawab yang bertambah. Amanah yang harus digalas atas kepercayaan dan harapan daripada rakan-rakan seperjuangan. Batang tubuh ini kadang-kadang tidak mampu untuk memenuhi semua keperluan yang diperlukan oleh rakan-rakan. Tetapi ia menjadi tabah apabila rakan-rakan jugalah yang memberi sokongan dan kepercayaan daripada belakang.

Tahun 2012 ini punya jalan cerita dan sejarah yang mungkin akan menjadi ingatan kepada semua rakan-rakan. Apabila suatu masa dahulu kekuatan ukhuwah dianggap sebagai senjata ampuh dalam menjaga hubungan silaturahim, maka kefahaman dan kepercayaan diantara rakan-rakan bertambah kukuh. Tidak kira atas perbezaan apa sekali pun, sama ada pandangan, kaya miskin, pandai bodoh atau kuat lemah, ukhuwah tetap bertambah erat. Jika ada antara rakan-rakan yang punya masalah, pasti akan ada yang mahu membantu. Saat itu semuanya merasakan manisnya persaudaraan sesama Islam.

Bila suatu masa datangnya sikap suka berkelompok dan hanya mementingkan individu-individu tertentu, maka bermulalah hilang rasa hormat diantara orang muda dengan orang yang lebih tua. Manakala orang yang lebih tua tidak pernah merasa kasih dengan orang yang lebih muda. Masing-masing menganggap apa yang dituturkan semuanya betul tanpa sedikitpun mahu menerima pandangan dari orang lain. Sikap memperlekeh nasihat agama bagi orang yang suka membuat maksiat dianggap perkara biasa ketika ini. Malangnya kata-kata kebenaran pada hari ini dipandang sebagai perkataan yang sia-sia bagi ahli maksiat.

Mudahnya memecah belahkan ukhuwah yang sekian lama terbina diatas kefahaman dan kepercayaan bersama. Bahayanya lidah kerana ia lebih tajam dari mata pisau. Maka kerana lidah inilah menyebabkan hati orang lain menjadi lebih kejam dan pendendam. Sungguh busuk dan jijik perkataan yang keluar dari lidah orang seperti ini. Jangan bimbang kerana dia akan menanggung segala dosa yang telah dilakukan olehnya. Jika ukhuwah ini terputus kerananya, maka dialah yang akan bersoal jawab dihadapan Allah swt. Tidak ada manusia yang meredhai apa yang dilakukannya itu. Jika dia yang memulakan cerita fitnah ini, maka dia yang harus menghabiskan jalan cerita ini. Bersyukurlah kerana lidahnya tidak dipotong oleh Allah swt ketika berada didunia, tapi di akhirat.....