Tuesday 27 October 2009

Tindakan Tidak Bertamadun


Jarak masa yang terlalu panjang amat membimbangkan penulis. Blog sudah lama tidak diisi oleh sesuatu yang 'luarbiasa' . Kesibukan sebagai pelajar yang melalui semester baru, biasa dilalui oleh sahabat-sahabat yang lain. Urusan yang tidak tentu aturannya, ditambah lagi kesesakan pelajar arab yang membuat urusan didalam satu pejabat yang sama. Kelakuan kasar dan tidak beradab sedikit sebanyak menaikkan darah. Mungkin pelajar dari Malaysia memang terkenal dengan sikap bertenang dan teratur. Ini kerana semua urusan di Malaysia tidaklah seperti mana yang dilalui disini.

Penulis beberapa hari sebelum ini mengikuti sebuah program yang diberi nama "Majlis Pembacaan Kutub Sittah" anjuran sebuah pertubuhan pelajar di Mesir. Seluruh tenaga kerja bertungkus-lumus ingin memastikan bahawa majlis ini berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang luar biasa. Setelah beberapa tahun dahulu usaha majlis ini terhenti, tahun 2009 melakar sejarah kerana pertubuhan tersebut berjaya menghidupkan semula majlis tersebut. Bagi pelajar-pelajar disini, program sebegitu sememangnya sesuatu yang ditunggu-tunggu kerana ia bukan sahaja melibatkan masyaikh al-azhar, bahkan kerana ia ada majlis pembacaan hadis sohih Imam Bukhari.

Peluang ini telah pun dimanfaatkan dengan begitu baik. Hampir 700 orang peserta telah melalui jerih perit selama 4 hari. Kiranya kerana ilmu tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Akan tetapi, rupa-rupanya ada tangan yang bersembunyi cuba menggagalkan program tersebut. Entah apa lagi yang ingin didendam sehingga program sebegini juga mendapat sekatan. Tidakkah perangai seperti ini semacam kebudak-budakkan. Hanya dengan mengutuskan sepucuk surat, habis program ini hampir menjadi lumpuh.

Rupanya ada juga orang yang mahu mempertahankan tindakan tersebut. Konon terasa tercabar kerana dalam majlis tersebut dibuat konvokesyen. Mungkin ada yang 'allergic' bila dengar perkataan konvokesyen. Ibarat terkena penyakit barah. Sikap terjah tanpa bertanya tentang hal keadaan sebenar amatlah memburukkan nama diri sendiri. Perkataan yang didengar dari mulut-mulut 'tempayan' seharusnya dikaji dengan teliti. Adalah lebih baik kiranya perkataan itu datang dari orang yang tahu tentang program tersebut.

Nah, buka mata dengan seluas-luasnya, siapa sebenarnya yang menyimpan perasaan dengki dan busuk hati?. Tidak boleh melihat kesenangan orang lain. Pantang ada orang yang lebih sedikit daripada dirinya, pasti mahu diganggu. Beruntunglah kerana diri kita diganggu gugat. Ini kerana tidak ada sesiapa yang ingin dengki kepada orang yang susah. Bahkan orang yang senang akan menjadi mangsa. Bukankah sebenarnya kita berada didalam orang-orang yang telah diberi kesenangan?. Fikirkan sebaiknya...

Wednesday 14 October 2009

Tahukah Kamu Adab Di Dalam Islam?








Perjalanan ke kuliah seperti biasa. Rutin keluar rumah semestinya pada jam 6.15 pagi. Ketika sampai dikuliah pada jam 6.45 pagi, kelihatan polis sudah pun mula berkawal dipintu masuk. Penulis menunggu sehingga pintu kuliah dibuka. Pelajaran hari ini ialah Ahwal Sakhsiah berkaitan dengan harta pusaka. Pensyarah yang bertanggungjawab ialah Dr Yusuf. Beliau hadir sebelum jam 8 pagi lagi. Melihatkan koridor yang masih gelap dan pintu bilik kuliah masih berkunci , beliau duduk didalam sebuah pejabat sambil membaca buku.

Padam jam 8.15 pagi pintu bilik dibuka dan beliau memulakan pelajaran. Hari pertama mendengar cara beliau mengajar dan bersyarah, penulis beranggapan beliau benar-benar bertegas didalam menjaga adab-adab ketika belajar. Ketika ingin memulakan pelajaran, beliau meminta pelajar supaya mengosongkan barisan pertama dan bermula duduk dibarisan kedua. Beliau lebih senang pelajar-pelajarnya duduk dalam keadaan selesa dan tidak berhimpit, oleh itu beliau meminta pelajar-pelajar duduk sebaris hanya 5 atau 6 orang sahaja.

Bagi beliau, mereka yang lambat hadir ke kuliah, harus duduk di barisan belakang. Sesekali tidak membenarkan mereka yang lambat, duduk di barisan hadapan atau ditengah. Beliau menggunakan bahasa arab fusahah agar semua pelajarnya mudah faham dengan apa yang beliau sampaikan. Ketika sedang bersyarah, seorang pelajar arab leka mengambil gambar dengan telefon bimbit. Ketika itu juga beliau memanggil pelajar tersebut kehadapan dan bertanyakan tentang adab-adab didalam Islam.

"Adakah kamu tahu tentang adab-adab didalam Islam?. Adakah kamu tidak pernah mendengar bahawa didalam Al-Quran Allah menyebutkan: Wahai orang-orang beriman, janganlah masuk kerumah yang bukan dari rumah kamu sehingga kamu meminta izin dan kamu memberi salam kepada ahlinya....?" kata beliau dengan nada yang tegas. " Ini adalah satu keaiban", sambil pelajar tersebut tunduk malu betul-betul dihadapannya. Suasana kelas menjadi sunyi dengan kata-kata tersebut. Begitulah hebatnya seorang pensyarah yang bertegas didalam hal-hal adab menuntut ilmu.

Bagi pandangan peribadi penulis, inilah yang seharusnya diteliti oleh setiap penuntut ilmu. Jangan sesekali kita memburukkan peribadi dengan perbuatan seperti itu. Ia akan hanya mencemarkan nama baik sebagai warga penuntut Al-Azhar.


Ziarah Marhaban Mahabbah





Kemeriahan menyambut hari raya Idulfitri bukan sahaja bertandang dirumah-rumah terbuka . Bahkan amalan yang begitu sinonim dilakukan di negeri Johor ialah ziarah marhaban. Bagi masyarakat di negeri Johor, kehadiran sanak saudara, sahabat handai dan jiran-jiran adalah kenalan yang paling akrab. Saling mengambil berat diantara satu sama lain. Bahkan dalam banyak program setempat merekalah yang paling banyak membantu. Tidak kisahlah jika ada kata-kata yang menyebut orang Johor berhari raya selama sebulan. Dalam kalender pun bulan syawal memang ada 30 hari. ( hehehe)

Bagi pelajar-pelajar Johor di Mesir, ziarah marhaban ini adalah salah satu program kebiasaan selepas menyambut hari raya idulfitri. Ketika berjauhan dengan keluarga, kita sebenarnya sedang membina sebuah ikatan 'keluarga' bersama dengan sahabat-sahabat lain. Kali ini penuh meriah dengan kehadiran sahabat-sahabat yang baru sampai ke bumi anbiya ini. Kegembiraan ini dapat dikongsikan bersama dengan bertanya khabar dan bersuai kenal dalam memastikan ikatan persaudaraan tidak sama sekali terputus.

Hebatnya kita kerana berjaya membina hubungan dengan kekuatan dan kerjasama diantara satu sama lain. Dalam pada kita bercakap mengenai kepentingan ukhwah Islamiyah, kita sendiri telah pun bergerak kearah seperti itu. Memang benar bahawa dakwah dengan akhlak lebih utama dari menyampaikan kata-kata. Sekira-kira bahawa kita mengetahui hakikat tersebut, kita tidak akan merasa rugi kerana masing-masing punya sifat kebersamaan. Biarpun dalam keadaan susah atau senang, inilah sebenarnya kemanisan sebuah ikatan persaudaraan.

Sunday 11 October 2009

Pelajaran Pertama Di Minggu Kedua

Perjalanan menuju ke kuliah pada hari ini amat mudah. Bas yang selalu penulis sangkakan penuh setiap hari, pada hari ini tidak begitu ramai penumpangnya. Hanya beberapa orang sahaja dan penulis bersama dengan seorang rakan yang juga teman serumah. Keluar dari rumah pada jam 6 pagi dan menaiki bas pada jam 6.20 pagi. Penulis tidak mahu ketinggalan kuliah matapelajaran pertama iaitu usulfekah. Jalan yang lengang diwaktu awal pagi memudahkan pemandu memandu dengan sedikit laju.

Setelah sampai dikuliah azhar pada jam 6.45 pagi, penulis dan rakan cuba meninjau pintu pagar Universiti al-azhar, malangnya ia masih belum dibuka. Beberapa orang anggota polis sudah pun bersiap sedia berkawal di pintu tersebut. Sementara menunggu pintu utama dibuka, penulis sempat berjalan dibelakang masjid Azhar. Terdapat seorang wanita tua yang sedang asyik menyusun berbagai jenis akhbar dan majalah di kaki lima untuk dijual. Penulis tidak ketinggalan untuk membelek akhbar hari ini dan pelbagai majalah yang lain.

Ketika sedang asyik meneliti satu persatu, penulis terpandang sebuah majalah bernama 'Tasauf Islami' . Seakan ingin mengetahui apakah isi kandungan majalah tersebut, penulis terus membeli dengan harga LE2 sahaja. Menarik bagi majalah ini ia diterbitkan sebulan sekali dengan mengikut jadual kalander bulan Islam. Membaca setiap helaian muka surat cukup memberikan banyak isi penting perkara yang berkaitan dengan tasauf. Majalah ini sesuai bagi semua peringkat umur. Adalah diharapkan pelajar azhar juga tidak ketinggalan membaca bahan-bahan ilmiah yang mampu untuk memperkayakan ilmu.




Setelah pintu utama dibuka pada jam 7 pagi, penulis masuk dan menunggu pula dihadapan pintu kuliah. Pintu masih belum dibuka. Tidak nampak pula kelibat polis yang menjaga. Lebih kurang 45 minit selepas itu, baru pintu kuliah dibuka. Hanya beberapa orang sahaja diwaktu pagi-pagi tadi. Penulis tanpa berlengah terus menaiki tingkat dua dimana bilik muhadarah tahun 3 dikunci. Sangkaan penulis sekali lagi tepat. Pintu bilik kuliah tidak dibuka, jam menunjukkan hanya beberapa minit sahaja lagi sepatutnya kelas akan bermula.

Seketika menunggu petugas membuka pintu bilik kuliah, secara tiba-tiba pensyarah matapelajaran usul fekah telah muncul. Dr Muhammad Musoili tiba pada jam 8.20 pagi. Beliau sendiri menunggu pintu bilik untuk dibuka. Hari pertama minggu kedua ini juga tidaklah begitu ramai yang hadir. Seperti minggu lepas, hanya 4 orang sahaja hadir diawal pagi tersebut. Memasuki jam 9 pagi , barulah berpusu-pusu pelajar lain masuk ke kuliah. Dr menerangkan kepada kami tentang makna usulfekah dalam pelajaran tahun 1 dari sudut pendapat mutakalimin dan fuqaha. Beberapa muka surat daripada isi kitab dapat dihabiskan dalam masa 2 jam. Penulis berharap selepas ini tidak akan ketinggalan lagi ketika apa-apa kuliah berlangsung.

Thursday 8 October 2009

Ceramah Penerangan Aliran Wahabbiyah

Malam tadi penulis hadir ke rumah negeri Johor Rabaah untuk mengikuti ceramah penerangan mengenai aliran wahabi yang kian menular di negara Malaysia. Sebelum itu, pada petang hari yang sama penulis mendapat panggilan telefon dari seorang sahabat menjemput penulis menjadi pengerusi bagi ceramah tersebut. Bukan calang-calang orang yang berceramah. Beliau ialah Ust Mahfuz bin Muhammad, pernah menjadi ahli panel di rancangan al-kuliyyah terbitan TV3 dibawah tajuk bidaah. Bagi penulis, ini adalah peluang yang terbaik untuk belajar mempengerusikan majlis secara formal.

Ust Mahfuz merupakan diantara pendakwah yang aktif membanteras fahaman wahabi. Malam tadi beliau menceritakan banyak pengalaman didalam permasalahan akidah wahabiyah yang kian menular di Malaysia. Malahan ada sebuah Universiti yang menjadi sarang golongan tersebut untuk menyebarkan segala isi kefahaman Wahabi. Menarik bagi penulis, beliau melahirkan rasa sedikit kecewa kerana ada lepasan al-azhar yang pulang ke Malaysia seperti lalang. Mereka hanya mendiamkan diri dan langsung tidak berusaha untuk memberi kefahaman kepada masyarakat dalam membanteras aliran wahabi.

Diantara cerita yang menarik yang sempat dicatit oleh penulis ialah pengalaman beliau ketika memberi ceramah dimasjid KLIA. Ketika beliau berceramah ada sebahagian para jemaah yang mendengar itu ialah warga arab. Ketika sesi soal jawab dibuka, ramailah jemaah arab yang bertanya dengan keadaan yang bertubi-tubi kerana tidak berpuashati dengan apa yang dikatakan oleh beliau. Sekiranya kita melayari laman youtube, seorang penceramah aliran wahabi, Ust Rasul Dahri adalah orang yang pernah mengecam beliau.

Penulis menjangkakan ceramah pada malam tadi akan diakhiri dengan lebih awal. Akan tetapi ketika ruang soal jawab dibuka, banyak persoalan yang ditimbulkan dan dijawab dengan panjang lebar oleh Ust Mahfuz. Penulis dapat melihat bahawa sesi ceramah yang berlangsung hampir 3 jam pada malam tadi sarat dengan pelbagai kefahaman yang menarik. Bagi mahasiswa dan mahasiswi baru, mereka boleh belajar dan mengetahui lebih banyak lagi perkara yang berkaitan dengan ancaman wahabi. Bagi mereka yang ingin pulang ke Malaysia, seruan dari Ust Mahfuz sendiri supaya mereka jangan menjadi lalang. Perkataan "takpe, biarlah, biarkan" jangan lagi meniti dibibir sekiranya mahu memerangi golongan wahabi.

Berikut ialah soalan-soalan yang diajukan kepada beliau pada ceramah malam tadi.

1.Apakah pendapat ust mengenai akan berlakunya pengharaman pemakaian niqab kepada mahasiswi azhariah?

2. Apakah pendapat Ust mengenai sebahagian silibus kitab al-azhar antaranya Feqh Qadaya Muasarah yang menaqalkan pendapat-pendapat golongan wahabi?

3. Apakah pendapat Ust mengenai pendekatan yang terlalu keras dalam menentang golongan wahabi?

4. Adakah pemakaian serban dan kopiah berasal dari golongan wahabi?

5.Adakah misi Wahabi menenggelamkan sunnah Rasullulah saw?

6. Adakah persoalan Wahabi hanya berkaitan dengan menta'wil ayat Al-Quran atau tidak?

7. Bolehkah Ust menerangkan ciri-ciri buku atau kitab yang ada mempunyai unsur fahaman wahabi?

8. Apakah yang dikatakan Tariq akidah al-asariyun?

9. Mengapakah sebahagian maktabah tidak mengambil kisah tentang penjualan buku-buku yang berkaitan dengan Wahabi?

Ceramah ini tamat pada jam 11.15 malam.

Naik Tangga Turun Tangga



Minggu pertama menghadiri kuliah di Universiti Al-azhar tidaklah begitu meriah. Kebiasaannya pada waktu inilah pelajar-pelajar sibuk untuk mendaftarkan nama dan membayar yuran. Penulis sengaja memilih untuk lebih awal membuat urusan kerana keadaan yang pastinya sesak bila tiba minggu-minggu akan datang. Masa inilah yang paling sesuai sekali. Tidak dapat digambarkan, ada pula perubahan qarar di Al-azhar pada tahun ini. Bermula dengan penjadualan semula proses pengajian yang melibatkan 2 sesi. Tahun 3 dan tahun 4 akan memulakan pembelajaran pada jam 8 pagi sehingga 10 pagi. Tahun 1 dan 2 pula bermula dari 2 petang sehingga 8 malam. Ini bagi menggelakkan menularnya wabak selsema babi.

Begitu juga dengan urusan pembayaran yuran dan tanda nama di kuliah Syariah Islamiyah, hanya 3 hari sahaja dalam seminggu dibenarkan membuat urusan. Waktu yang amat terhad ini seharusnya digunakan dengan sebaiknya oleh semua pelajar untuk membuat urusan dengan lebih awal. Mungkin sahaja akan timbul masalah sekiranya sengaja dilewat-lewatkan.

Kelmarin penulis masuk ke muhadarah bagi matapelajaran Ahwal Sahsiah. Sesi pembelajaran yang seharusnya bermula jam 8 pagi menjadi lewat kerana pemegang kunci bilik kuliah hanya membuka pintu pada jam 8.45 pagi. Ketika itu Doktor Yusuf, pensyarah yang bertanggungjawab mengajar matapelajaran tersebut telah lama menunggu. Malangnya ketika Doktor masuk ke muka pintu, hanya ada 4 orang sahaja pelajar yang ada termasuk penulis. Seorang dari Bangladesh dan 2 orang dari arab Mesir.

Doktor Yusuf terus menegur dan mengingatkan kami bahawa akan datang pembelajaran harus bermula pada jam 8 pagi. Beliau akhirnya tidak mengajar dan terus keluar. Memikirkan bahawa seorang pensyarah yang cukup begitu semangat untuk mengajar sebaiknya harus dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar lain. Sekiranya setiap hari inilah yang terjadi, kita hanya akan membuang masa naik dan turun tangga , walhal tidak dapat sedikit pun ilmu yang ingin dicurahkan.

Sunday 4 October 2009

Saringan Dalam Menuntut Ilmu

Melewati sudah 7 hari penulis tidak menitipkan sesuatu untuk pembaca. Penulis harap agar kali ini usaha penulis sebagai blogger tidak terhenti dipertengahan jalan. Kesibukan dalam menyiapkan kerja-kerja yang ditelah diamanahkan secara berterusan membuat penulis sedikit keletihan. Tambahan sesi pembelajaran kuliah telah pun bermula. Persiapan untuk mendaftar haruslah dilakukan segera demi mengelakkan kesesakan di kuliah. Sambil menyempurnakan sesi kuliah baru ini, penulis teringat akan pelajar-pelajar baru yang tiba disini. Mereka yang akan memulakan perjuangan menuntut ilmu disini.

Melangkah kaki ke bumi Mesir adalah satu pilihan yang paling tepat. Proses menuntut ilmu memerlukan kita untuk berhijrah ke negara orang. Khazanah ilmu yang cukup luas terhimpun dikalangan para-para ulama disini memberikan jutaan peluang kepada yang kita yang sanggup untuk berjauhan dengan keluarga. Masih ramai yang mengimpikan untuk mencari seluas-luasnya ilmu disini tetapi peluang kadang-kadang untuk orang lain. Hargailah sebaiknya setiap ruang pencarian ilmu yang kita miliki.



Saringan dalam menuntut ilmu agama dan menjadi pendakwah bermula diperingkat sekolah lagi. Berbagai ujian yang Allah swt telah tetapkan kepada mereka. Melalui saringan inilah, setiap mereka yang bertuah akan memiliki kejayaan dalam menuju kepada rasa kecintaan memiliki ilmu agama. Sikap kita terhadap ingin mencari keredhaan Allah adalah langkah paling utama yang harus kita lakukan. Bukanlah ia bertujuan untuk menjadi terkenal dikalangan masyarakat atau inginkan disebut-sebut oleh orang lain.

Saringan dibumi anbiya ini mungkin lebih berat lagi. Niat menentukan segala langkah dan arah tujuan yang ingin kita kecapi. Usaha yang gigih pula menjadi landasan untuk membentuk sebuah kejayaan yang diinginkan. Bukalah mata seluas-luasnya, terkadang-kadang apa yang diharapkan tidak selalu menjadi. Pasti akan ada kenangan duka yang terpalit didalam saat kita berjuang dibumi anbiya ini. Menerima kegagalan menjadi sebahagian makanan yang terkadang harus dihadam.

Capailah sesuatu dengan daya usaha yang kuat dan berterusan. Sekiranya kita menerima kegagalan, ia adalah sebuah pengalaman untuk kita mematangkan segala gerak dan tari kehidupan sebuah perjuangan. Sesiapa sahaja akan melalui kesusahan sebelum mencapai kesenangan. Redhalah segala apa yang menimpa dan berlaku kepada kita. Perjalanan seperti ini adalah sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah swt.