Wednesday, 14 October 2009

Tahukah Kamu Adab Di Dalam Islam?








Perjalanan ke kuliah seperti biasa. Rutin keluar rumah semestinya pada jam 6.15 pagi. Ketika sampai dikuliah pada jam 6.45 pagi, kelihatan polis sudah pun mula berkawal dipintu masuk. Penulis menunggu sehingga pintu kuliah dibuka. Pelajaran hari ini ialah Ahwal Sakhsiah berkaitan dengan harta pusaka. Pensyarah yang bertanggungjawab ialah Dr Yusuf. Beliau hadir sebelum jam 8 pagi lagi. Melihatkan koridor yang masih gelap dan pintu bilik kuliah masih berkunci , beliau duduk didalam sebuah pejabat sambil membaca buku.

Padam jam 8.15 pagi pintu bilik dibuka dan beliau memulakan pelajaran. Hari pertama mendengar cara beliau mengajar dan bersyarah, penulis beranggapan beliau benar-benar bertegas didalam menjaga adab-adab ketika belajar. Ketika ingin memulakan pelajaran, beliau meminta pelajar supaya mengosongkan barisan pertama dan bermula duduk dibarisan kedua. Beliau lebih senang pelajar-pelajarnya duduk dalam keadaan selesa dan tidak berhimpit, oleh itu beliau meminta pelajar-pelajar duduk sebaris hanya 5 atau 6 orang sahaja.

Bagi beliau, mereka yang lambat hadir ke kuliah, harus duduk di barisan belakang. Sesekali tidak membenarkan mereka yang lambat, duduk di barisan hadapan atau ditengah. Beliau menggunakan bahasa arab fusahah agar semua pelajarnya mudah faham dengan apa yang beliau sampaikan. Ketika sedang bersyarah, seorang pelajar arab leka mengambil gambar dengan telefon bimbit. Ketika itu juga beliau memanggil pelajar tersebut kehadapan dan bertanyakan tentang adab-adab didalam Islam.

"Adakah kamu tahu tentang adab-adab didalam Islam?. Adakah kamu tidak pernah mendengar bahawa didalam Al-Quran Allah menyebutkan: Wahai orang-orang beriman, janganlah masuk kerumah yang bukan dari rumah kamu sehingga kamu meminta izin dan kamu memberi salam kepada ahlinya....?" kata beliau dengan nada yang tegas. " Ini adalah satu keaiban", sambil pelajar tersebut tunduk malu betul-betul dihadapannya. Suasana kelas menjadi sunyi dengan kata-kata tersebut. Begitulah hebatnya seorang pensyarah yang bertegas didalam hal-hal adab menuntut ilmu.

Bagi pandangan peribadi penulis, inilah yang seharusnya diteliti oleh setiap penuntut ilmu. Jangan sesekali kita memburukkan peribadi dengan perbuatan seperti itu. Ia akan hanya mencemarkan nama baik sebagai warga penuntut Al-Azhar.


No comments: