Minggu pertama menghadiri kuliah di Universiti Al-azhar tidaklah begitu meriah. Kebiasaannya pada waktu inilah pelajar-pelajar sibuk untuk mendaftarkan nama dan membayar yuran. Penulis sengaja memilih untuk lebih awal membuat urusan kerana keadaan yang pastinya sesak bila tiba minggu-minggu akan datang. Masa inilah yang paling sesuai sekali. Tidak dapat digambarkan, ada pula perubahan qarar di Al-azhar pada tahun ini. Bermula dengan penjadualan semula proses pengajian yang melibatkan 2 sesi. Tahun 3 dan tahun 4 akan memulakan pembelajaran pada jam 8 pagi sehingga 10 pagi. Tahun 1 dan 2 pula bermula dari 2 petang sehingga 8 malam. Ini bagi menggelakkan menularnya wabak selsema babi.
Begitu juga dengan urusan pembayaran yuran dan tanda nama di kuliah Syariah Islamiyah, hanya 3 hari sahaja dalam seminggu dibenarkan membuat urusan. Waktu yang amat terhad ini seharusnya digunakan dengan sebaiknya oleh semua pelajar untuk membuat urusan dengan lebih awal. Mungkin sahaja akan timbul masalah sekiranya sengaja dilewat-lewatkan.
Kelmarin penulis masuk ke muhadarah bagi matapelajaran Ahwal Sahsiah. Sesi pembelajaran yang seharusnya bermula jam 8 pagi menjadi lewat kerana pemegang kunci bilik kuliah hanya membuka pintu pada jam 8.45 pagi. Ketika itu Doktor Yusuf, pensyarah yang bertanggungjawab mengajar matapelajaran tersebut telah lama menunggu. Malangnya ketika Doktor masuk ke muka pintu, hanya ada 4 orang sahaja pelajar yang ada termasuk penulis. Seorang dari Bangladesh dan 2 orang dari arab Mesir.
Doktor Yusuf terus menegur dan mengingatkan kami bahawa akan datang pembelajaran harus bermula pada jam 8 pagi. Beliau akhirnya tidak mengajar dan terus keluar. Memikirkan bahawa seorang pensyarah yang cukup begitu semangat untuk mengajar sebaiknya harus dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar lain. Sekiranya setiap hari inilah yang terjadi, kita hanya akan membuang masa naik dan turun tangga , walhal tidak dapat sedikit pun ilmu yang ingin dicurahkan.
No comments:
Post a Comment