Sunday 27 October 2013

:: MANUSIA DAN KALIMAH ALLAH::





Penulis memahami bagaimana secara tiba-tiba ada diantara kita begitu peka tentang kalimah Allah yang digunakan sewenang-wenangnya oleh orang bukan Islam. Kita begitu sensitif dan terusik dengan perbuatan melampau orang bukan Islam yang merendah-rendahkan nama Allah yang khusus. Memohon untuk diletakkan nama Allah didalam bible merupakan perubatan yang tidak boleh diterima secara akal kerana perbezaan agama dan cara ibadah itu sendiri.

Mengertikah kita semua disebalik peristiwa ini, seolah-olah kita benar-benar berpe
gang dengan ajaran Islam. Akan tetapi kita yang bangkit membantah ini adakah kita telah menunaikan hak-hak Islam itu sendiri?. Mempertahankan kalimah Allah dari disalah gunakan itu wajib. Tetapi Bagaimana pula orang Islam yang mempersendakan agama Islam sendiri?. Bukankah ini juga fitnah besar yang membuka ruang kepada bukan Islam untuk menghina kita?. Ibarat pepatah, kata dulang paku serpih , mengata orang dia yang lebih. 

Penulis ingin sama-sama mengingatkan kita semua, agar lihat sama kesalahan yang kita lakukan kepada Allah. Di mana kita letak agama kita?. Mengapa rumah ibadat dikuasai oleh agama lain sedang kita yang membinanya?. Mengapa kita gagal mengimarahkannya?. Inilah fitnah akhir zaman. Mereka yang memekik marah, mereka jugalah orang yang meninggalkan sembahyang. Mereka yang terjerit serak, merekalah juga yang bertelanjang aurat. Mengapa melakukan tindakan sedang mereka juga sama seperti orang yang meremeh-remahkan kalimah Allah?.

Lihat bagaimana Allah menyedarkan manusia. Ini baru sedikit, belum lagi diuji dengan hal-hal yang lebih besar. Moga-moga kita mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku kepada masyarakat kita hari ini.

Friday 25 October 2013

::KESEMPATAN MEMBERI NASIHAT::


Sekiranya anda sebagai pembaca blog ini, diberi peluang untuk menyampaikan nasihat kepada orang yang lebih educated dan berpengalaman daripada anda, nasihat apakah yang terbaik mahu anda sampaikan?. Mungkin ada yang keliru dan tidak kurang juga yang tidak berani memberi nasihat bila kita berhadapan dengan orang yang berpelajaran tinggi. Inilah diantara ujian pendakwah. Berhadapan dengan orang yang sama tinggi ilmunya.

Penulis diberikan peluang pada tengahari tadi untuk menyampaikan kuliah Jumaat di salah sebuah masjid di Johor Bahru. Masjid yang dianggap cukup hebat dari pengisian kuliah agamanya. Kapasiti masjid yang sangat besar, apatah lagi pada waktu solat Jumaat benar-benar membuatkan penulis rasa kerdil. Mereka semua jemaah yang hebat. Mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi. Bercakap dengan memberi pandangan yang hebat. 

Penulis memilih tajuk Tanggungjawab Manusia Terhadap Al-Quran yang barangkali biasa didengar oleh semua orang. Hanya mengubah cara perbahasan supaya masyarakat lebih terkesan dengan apa yang disampaikan. Manusia memahami bahawa pegangan Al-Quran sekadar kita membaca atau mendengar orang membaca. Akan tetapi lebih dari itu kita tidak akan dapat mencapai maksud "BERPEGANG DENGAN AL-QURAN" selagi mana kita tidak faham apa yang kita baca.

Ayat pertama IQRA seperti mana penulis bahaskan pada artikel yang lalu sudah cukup membuktikan manusia mesti faham apa yang dibaca. Lihat imam di Masjidilharam yang seringkali membaca ayat Al-Quran lantaran menangis dengan sebab memahami bacaan tersebut. Barangkali jemaah yang solat dibelakangnya hanya suka kepada lagu bacaan tetapi sangat rugi kerana tidak memahami maksud bacaan.

Bayangkan, kita membaca ayat Al-Quran, dalam masa yang sama kita langgar hukum yang telah ditentukan oleh Allah. Kita membaca tentang ayat larangan lalai dalam solat, tetapi kita tetap lalai. Kita membaca ayat larangan mencuri, kita tetap mencuri. Semuanya kerana kita tidak faham apa yang dibaca. Jika begini cara kita, beranikah kita mengakui kita adalah orang yang berpegang kepada ajaran Al-Quran?.

Ingatlah Firman Allah swt yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu bercakap sesuatu yang tidak kamu perbuat?. Besar kemurkaan Allah bagi mereka yang bercakap tetapi tidak melaksanakannya" (Surah As-Soff ayat 2 & 3).

Thursday 24 October 2013

:: JAHILNYA KITA TENTANG AGAMA::








Apabila sebut tentang agama, ramai diantara masyarakat Islam khusus di Malaysia ini faham agama itu ialah ibadat dan tempat agama ini hanya didalam Masjid. Lalu dengan cara faham yang sempit ini menyebabkan ramai menganggap agama itu terasing daripada hal dunia. Dengan kata mudah, bila nak jadi alim duduk masjid, bila tidak, keluar dari masjid. Pemikiran semacam ini benar-benar menyesatkan, Apatah lagi kita sudah masuk tahun 2013 yang dikatakan menuju pembangunan moden.

Apakah untungnya manusia diberikan akal sedang tidak mampu mengecapi hikmah yang Allah berikan kepada mereka?. Bahkan mereka tidak pandai menggunakan akal untuk mendapat keredhaan Allah. Sangkanya bahawa umur itu semakin menurun, sedang umur semakin meningkat, masa untuk hidup juga semakin singkat. 

Sesiapa pun mengakui bahawa solat berjamaah itu perkara yang baik, akan tetapi mengapa kita tidak mampu melaksanakannya?. Kita juga mengakui sedekah itu baik, tetapi mengapa kita berat untuk menghulurkannya. Kita akui belajar agama itu baik, tetapi meninggalkannya.  Semua orang sepakat dalam perkara kebaikan tersebut tetapi mengapa gagal dalam  melakukannya?. Jawapannya kerana melaksanakan perkara-perkara yang melibatkan agama tidak nampak faedahnya di hadapan mata. Lalu dengan itu, kita berani meremehkan amalan tersebut. 

Cuba lihat satu contoh yang suka penulis berikan. Nilai RM 1, dimana tempat paling mudah kita melihat nilai ini? Jawapannya di tabung-tabung masjid. Sekarang Nilai rm50, dimana tempat paling mudah kita lihat nilainya?. Jawapannya di tempat-tempat yang memberi faedah yang nampak didepan mata seperti kedai makan, hotel, pusat membeli belah dan sebagainya. Apa pandangan kita apabila sesebuah masjid menetapkan derma hanya diterima RM50 dan keatas?. Tentu kita rasa pelik dan marah. Mengapa semua keadaan ini biasa berlaku?. 

Jawapannya kerana cara fikir yang penulis sebutkan diatas. Bila faedah nampak didepan mata rasa tidak rugi nak belanja besar. Bila faedah tidak nampak didepan mata, sayang nak belanja lebih. Itulah perangai sebahagian dari kita pada hari ini. Semoga kita faham apa itu agama. 

:: PUSAKA AYAH ::





Anak,
Aku Ayahmu,
Yang engkau minta aku beri  makan dan minum,
Sekolah engkau yang aku tanggung,
Buku engkau yang aku susun,
Mungkin kerna juga aku seorang ibu,
Dengarlah nasihat aku yang bakal berselubung.

Bila engkau ditanya,
Apa cita-cita mu wahai anak?,
Engkau masih lagi mengagak,
Sedang cacing pandai bergerak,
Tak bimbang selagi tanah tidak di jarah,
Bangunlah kau dalam sedar,
Kerana cita-cita ialah harapan,
Jangan dibuang kiranya engkau tersungkur,
Jika ingin sesuap nasi sekali pun,
Bangkit dan kais lah apa yang terhulur.

Aku ayahmu,
Aku tidak akan mampu memberi lebih dari yang ini,
Hanya nasihat lemah dan longlai,
Kerana aku bukan lagi ayah yang mampu memegang tanganmu,
Kita di hisab satu demi satu,
Sebelum aku menjadi asing di padang masyar tanpa mengenalimu,
Kau sambutlah nasihat ini,
Demi hidup mu,
Demi keluarga mu,
Demi aku yang sering engkau lupakan.


Wednesday 23 October 2013

:: KEBERKATAN SEBUAH REZEKI::







Rezeki adalah patah perkataan yang sinonim dengan makna mata pencarian. Bagi orang yang bekerja, kemudian mendapat gaji dan ianya dianggap sebagai sebuah rezeki. Ini fitrah kefahaman manusia biasa apabila mendengar istilah rezeki. Rezeki adalah sebahagian daripada kebahagiaan manusia. Tanpa rezeki manusia akan mengeluh dan resah kerana keperluan mereka tidak sempurna. Inilah diantara kunci utama kebahagiaan didalam sebuah keluarga.

Ramai yang tidak menyangka bahawa rezeki boleh datang dan pergi dengan bila-bila masa. Ini kerana wajib kita fahami dan yakin bahawa rezeki adalah milik mutlak Allah swt. Ada yang dikurniakan dalam keadaan dirinya tidak menyedari rezeki datang secara tiba-tiba. Semuanya adalah dari Allah swt. Tidak perlu merungut dan mengeluh kerana orang yang beriman, InsyaAllah akan tetap ada jaminan rezekinya.

Sebenarnya rezeki manusia telah ditetapkan sama ada sedikit atau banyak. Hanya kita di minta untuk terus berusaha mencari rezeki kerana sesuatu ketetapan dari Allah akan berubah sekiranya usaha dan ikhtiar kita bertambah. Bahkan apabila seseorang berdoa supaya ditambah serta di beri keberkatan rezekinya, nescaya Allah swt akan memberikan bersesuaian dengan permintaan hamba-Nya.

Hakikatnya walau kita tidak mahu meminta kepada orang lain, Allah swt tetap mengasihani hamba-Nya dengan memberi limpahan rezeki melalui sesiapa sahaja yang dikehendaki. Oleh kerana itu kadang-kadang seseorang apabila niat didalam hatinya inginkan sesuatu, secara tiba-tiba keinginan itu di tunaikan oleh orang lain, nescaya fahamilah Allah swt telah mendengar hasrat dan keluhan didalam hati kita.

Monday 21 October 2013

:: MENGHAYATI "IQRA' " DALAM AGAMA::


Ramai yang mengetahui dan memahami bahawa ayat yang pertama diturunkan oleh Allah swt didalam Al-Quran bermula dengan "IQRA' ". Walaupun terdapat pertanyaan yang seolah ajaib dan pelik mengapa ia dipilih sebagai yang pertama diturunkan?. Ini kerana biasanya sesuatu yang menjadi no 1 itu tentunya adalah yang terbaik atau juara atau ada kaitan dengan kemuliaan. Maksud dalam bahasa melayu bagi kalimah ini ialah "BACALAH".

Apa yang nak disampaikan dengan "BACALAH" ?. Bukankah semua orang boleh membaca?. Bukankah hanya dengan menyebut Bacalah semua orang akan faham tentang apa yang perlu di baca?. 

Rupa-rupanya ia tidak seperti yang kita faham. Ini kerana baca disini membawa 2 maksud. Maksud pertama ialah "membaca sesuatu yang bertulis". Sementara baca yang kedua ialah "membaca sesuatu yang tidak bertulis". Kalau begitu apakah beza di antara keduanya?.

Membaca sesuatu yang bertulis ialah membaca sesuatu yang kita nampak. Terutama sekali ialah membaca Al-quran dan faham akan maknanya. Sementara membaca yang tidak bertulis ialah membaca tentang kejadian ciptaan Allah swt dan segala keindahannya.

Orang yang tidak mampu membaca yang bertulis dia tidak akan mampu membaca yang tidak bertulis. Dengan erti kata yang mudah:

1. Orang yang tidak membaca Al-Quran (nampak & bertulis), dia tidak akan mampu memikirkan isi al-quran (tidak nampak & tidak bertulis).

2. Orang yang tidak menunaikan solat (nampak & bertulis), dia tidak akan mampu menghayati kesan daripada menunaikan solat ( tidak nampak &tidak bertulis ).

3. Orang yang tidak sabar dengan musibah (nampak & bertulis), dia tidak akan mampu memikirkan hikmah daripada musibah tersebut (tidak nampak & tidak bertulis).

Selamat Membaca!

Sunday 20 October 2013

::ABADI SYURGA FIRDAUS::



Sebuah pembaringan,
Menunggu Malaikat datang,
Melembut Izrael pencabut nyawa,
Atas insan soleh penghuni dunia,
Bakal menemui Pencipta-Nya.

Di usung papan,
Di selubung bacaan kemuliaan,
Tangis manusia kerana kehilangan,
Gembira manusia kerana kerahmatan,
Insan soleh di adili atas padang seluas hamparan.

Beratnya timbangan kantung kebajikan,
Tanda kemuliaan menzahir kedudukan,
Allah menunaikan janji kepastian,
Syurga Firdaus idaman pilihan,
Secukup harapan insan soleh beriman.

Abadi syurga Firdaus,
Takkan terlihat oleh mata zahir yang menipu,
Kerna isinya hamba yang menunduk teguh,
Atas taatnya ibadah bersungguh,
Nikmat yang kekal tak merapuh.


:: MEMBERI MANFAAT KEPADA MANUSIA ::


Apabila kita diberi percayaan oleh seseorang, maka hargailah kepercayaan itu dan jangan sesekali mengkhianatinya. Kepercayaan adalah nilai yang sangat tinggi di mata manusia. Sifat percaya bukan diletak pada orang yang suka berbohong dan khianat, bahkan kehilangan kepercayaan memungkinkan kehilangan sahabat. Bagaimana harus mempercayai seseorang?.

Nilai percaya ialah apabila seseorang itu pandai menyimpan rahsia dan menutup aib seseorang. Sesorang yang sentiasa menyebarkan rahsia dan membuka aib, mereka bukanlah orang yang boleh di percayai. Manusia hidup sedikit sebanyak akan bertongkat dengan manusia yang lain. Apabila hilang segala kepercayaan, maka hilanglah juga seorang kawan. Lihatlah bagaimana kepercayaan boleh mempengaruhi orang lain.

Pengamalan yang sekadar menjurus hal yang sia-sia patut dijauhi. Bukan sahaja kepercayaan hilang, bahkan tiada satu manfaat pun yang akan dapat. Lihatlah mereka yang selalu mendapat rezeki dari Allah swt. Mereka ialah orang yang sentiasa memberi manfaat kepada orang lain. Akhirnya Allah membalas perbuatan kebaikan kerana KEPERCAYAAN mereka kepada Allah swt. Jika janji manusia kita mampu percaya, mengapa tidak janji Allah kita wajib percaya setinggi- tingginya.  

::SKRIP PERTAMA ::


8 bulan menghilang. Bukan kerana putus asa dalam berkarya. Tetapi komitmen diluar kawalan. Hanya yang namanya manusia tetap ia punya kelemahan. Kali ini mahu bangun dan meneruskan misi penulisan ini walaupun jarak yang terlalu jauh meninggalkan nota yang terakhir pada februari dahulu. Walaupun penat dan hampir terlupa kepada ruang blog ini, akhirnya saya kembali juga buka dan mahu terus menulis di muka blog ini.

Kejayaan pertama menghasilkan karya sebuah skrip perjalanan yang di inspirasi melalui kisah yang berlaku di Syria. Ada juga rakyat kita yang mahu mengambil inisiatif bagi melakonkan watak-watak ini untuk dipersembahkan. Penderitaan rakyat syria sudah berlalu bertahun-tahun. Sehingga hari ini ia terus berlaku. Walau kita ada mata dan telinga, akhirnya kita pura-pura menjadi buta dan pekak kerana senang dengan kehidupan sendiri.

Inspirasi dari kisah ini akan cuba dipersembahkan didalam satu malam kesenian Islam oleh pelakon-pelakon dari Angkatan Tentera Port Dickson. Ia di jangka akan dipentaskan pada 9 Nov hadapan. Rasa tidak percaya kerana hasil pertama karya saya akan dipentaskan. Malu jika apa yang dihasilkan tidak memberi kesan kepada penonton. Peristiwa berdarah Syria bukan bahan gelak ketawa. Tetapi ia gambaran manusia yang harus di renung nasib mereka dengan hati dan perasaan yang menebal.

Harapan saya di dalam skrip yang hanya sekitar 15 muka surat ini dan dianggarkan dipentaskan selama 30 minit, dapat menitiskan air mata yang menonton. Tontonlah dengan mati hati dan fikirlah dengan mendalam. Kita bukan golongan yang hanya pentingkan diri sendiri. Tetapi ia adalah kepentingan saudara se Islam yang lain. Semoga Allah membuka cara fikir kita dengan cara Islam.