Showing posts with label Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Kehidupan. Show all posts

Sunday, 20 October 2013

::SKRIP PERTAMA ::


8 bulan menghilang. Bukan kerana putus asa dalam berkarya. Tetapi komitmen diluar kawalan. Hanya yang namanya manusia tetap ia punya kelemahan. Kali ini mahu bangun dan meneruskan misi penulisan ini walaupun jarak yang terlalu jauh meninggalkan nota yang terakhir pada februari dahulu. Walaupun penat dan hampir terlupa kepada ruang blog ini, akhirnya saya kembali juga buka dan mahu terus menulis di muka blog ini.

Kejayaan pertama menghasilkan karya sebuah skrip perjalanan yang di inspirasi melalui kisah yang berlaku di Syria. Ada juga rakyat kita yang mahu mengambil inisiatif bagi melakonkan watak-watak ini untuk dipersembahkan. Penderitaan rakyat syria sudah berlalu bertahun-tahun. Sehingga hari ini ia terus berlaku. Walau kita ada mata dan telinga, akhirnya kita pura-pura menjadi buta dan pekak kerana senang dengan kehidupan sendiri.

Inspirasi dari kisah ini akan cuba dipersembahkan didalam satu malam kesenian Islam oleh pelakon-pelakon dari Angkatan Tentera Port Dickson. Ia di jangka akan dipentaskan pada 9 Nov hadapan. Rasa tidak percaya kerana hasil pertama karya saya akan dipentaskan. Malu jika apa yang dihasilkan tidak memberi kesan kepada penonton. Peristiwa berdarah Syria bukan bahan gelak ketawa. Tetapi ia gambaran manusia yang harus di renung nasib mereka dengan hati dan perasaan yang menebal.

Harapan saya di dalam skrip yang hanya sekitar 15 muka surat ini dan dianggarkan dipentaskan selama 30 minit, dapat menitiskan air mata yang menonton. Tontonlah dengan mati hati dan fikirlah dengan mendalam. Kita bukan golongan yang hanya pentingkan diri sendiri. Tetapi ia adalah kepentingan saudara se Islam yang lain. Semoga Allah membuka cara fikir kita dengan cara Islam.

Friday, 25 January 2013

Tahun 2013: Zahirkan Azam Baru


Beberapa minggu lagi genap setahun blog ini sunyi sepi tanpa apa-apa yang terisi. Semakin sukar dan mencabar dalam bidang penulisan ini. Kadang-kadang ada cerita sempat tulis. Kadang-kadang sepi kerana tiada perkara yang hendak dikisahkan. Kadang-kadang ada , tetapi tidak berkesempatan. Mungkin inilah yang sukar untuk dilalui penulis-penulis diluar sana. 

Tahun 2013 punya kisah dan cerita yang boleh menambah semangat dan azam yang baik. Umpama menghijrahkan diri ke arah yang lebih baik dari sebelum ini. Tetapi ada diantara perkara itu yang belum dapat dipastikan. Minat penulisan ini akan terus menjadi minat utama dalam hidup berdakwah. Biarpun komitmen ini tidak terjangka masa dan ketikanya, InsyaAllah usaha dakwah secara menulis ini tidak akan pernah terhenti. 

Cerita dunia hari ini yang pelbagai, isu kefahaman Islam yang kian bercambah. Muncul pula kebangkitan yang tidak disangka-sangka. Banyak perkara yang menakjubkan berlaku di hadapan mata. Semoga permulaan  tahun 2013 ini mempunyai cerita yang menarik dan hebat untuk dikongsi bersama. 


Sunday, 3 July 2011

Semoga Allah Menyembuhkan Penyakit Tuan Guru



Beberapa minggu sudah, penulis menerima berita tentang 'perginya' seorang tokoh ulama hebat. Tuan Guru Ghazali Hasbullah seorang pendidik serta murabbi yang sangat tajam kata-katanya. Walaupun sudah berusia lebih 70 tahun, beliau masih gagah untuk memberikan kuliah dan tazkirah dimana-mana sahaja.

Nada tegas dan tinggi apabila menegur kemungkaran yang berlaku didalam masyarakat, khasnya kepada pemimpin tidak dapat dilupakan. Biarpun mendapat larangan berceramah disekitar masjid daerah mersing suatu masa dahulu, beliau tidak putus asa untuk menegakkan kebenaran. Untungnya mereka yang menadah ilmu dengan beliau.

Hari ini pula, penulis masih menunggu berita tentang kesihatan seorang lagi tokoh ulama yang disegani, Tuan Guru Dato Ust Ismail Kamus. Sudah beberapa kali beliau dimasukkan ke hospital kerana sakit. Jika tidak silap, sudah 2 bulan penuh beliau tidak memberikan sebarang ceramah dan kuliah dimasjid-masjid. Penulis benar-benar beruntung kerana pada tahun 2006, penulis dapat mengikuti pengajian berkaitan perubatan Islam bersama beliau dihotel Putra, Kuala Lumpur.

Beliau memberikan semua ilmu yang berkaitan dengan masalah merawat sihir,jin dan saka. Penulis teringat kata-kata beliau, "apa yang saya sampaikan ini, semuanya saya berikan kepada tuan-tuan dan puan-puan. Tidak tertinggal walau sedikit pun". Inilah nilai keikhlasan yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Bagi penulis, ulama seperti ini harus menjadi contoh kerana keilmuan beliau tidak mampu diwarisi oleh orang lain. Siapakah yang mampu menggantikan tempat beliau suatu masa nanti?.

Cintailah para ulama. Hormat dan beradablah dengan mereka. Merekalah yang sentiasa menunjukkan jalan kebenaran melalui lidah-lidah mereka. Penulis mendoakan agar Tuan Guru segera disembuhkan daripada penyakit yang dihadapi. Untuk melihat gambar-gambar terkini beliau, boleh mengambil link: www.jeng3x.blogspot.com



Monday, 14 September 2009

Harta Dunia:: Mana Milik Kita Yang Sebenar


Mencari harta dunia adalah tuntutan fitrah manusia untuk menampung kehidupan yang sementara. Ia menjadi sebuah landasan dalam meneruskan hidup daripada dibelenggu kemiskinan. Segala-galanya hanya memerlukan usaha dan ikhtiar untuk mendapatkan apa sahaja yang diperlukan. Soal kekayaan bukanlah menjadi suatu kesalahan untuk dimiliki, akan tetapi hasilnya hendaklah dari yang halal. Usaha yang baik bukan sahaja akan memiliki harta yang halal bahkan akan membawa berkat.

Menjadi tanggungjawab kita untuk menyedari hakikat bahawa setiap harta kemewahan bukanlah semuanya akan kekal abadi milik kita. Bahkan kita tahu harta yang sudah dikumpul bak gunung akan diwarisi oleh anak cucu cicit kita suatu hari nanti. Lantaran terlalu mustahil untuk kita mengakui harta tersebut akan bersama kita selama-lamanya. Betapa naifnya jika ada orang yang berkata begitu. Mungkin sesuatu perlu diingat bersama, berapakah harta yang kekal menjadi milik kita?.

Jika seseorang mempunyai wang bernilai Rm100, berapa banyak yang diperuntukkan untuk keperluan dunia dan berapa pula yang menjadi miliknya sendiri. Mungkin sahaja duit tersebut akan menjadi milik orang lain. Belanja kedai, klinik , membaiki kereta dan sebagainya. Semuanya menjadi hak orang lain. Penulis ingin mengajak kita semua berfikir, manakah sebenarnya hak kekal kita selama-lamanya?.

Merujuk kepada satu hadis, Nabi saw bersabda : " Apabila mati seorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali dalam 3 perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh". Kalau kita menyedari hakikat ini, berapakah harta yang kita pernah sedekahkan untuk melepaskan kesusahan orang lain?. Sekiranya didalam Rm100 tadi ada bahagian Rm5 untuk sedekah, maka itulah sebenarnya milik kekal kita diakhirat. Perhatikan betul-betul bahawa Rm95 tadi adalah milik orang lain. Perbezaan nisbahnya cukup besar dari apa yang kita kumpulkan untuk kesenangan kita di dunia.