Wednesday 23 October 2013

:: KEBERKATAN SEBUAH REZEKI::







Rezeki adalah patah perkataan yang sinonim dengan makna mata pencarian. Bagi orang yang bekerja, kemudian mendapat gaji dan ianya dianggap sebagai sebuah rezeki. Ini fitrah kefahaman manusia biasa apabila mendengar istilah rezeki. Rezeki adalah sebahagian daripada kebahagiaan manusia. Tanpa rezeki manusia akan mengeluh dan resah kerana keperluan mereka tidak sempurna. Inilah diantara kunci utama kebahagiaan didalam sebuah keluarga.

Ramai yang tidak menyangka bahawa rezeki boleh datang dan pergi dengan bila-bila masa. Ini kerana wajib kita fahami dan yakin bahawa rezeki adalah milik mutlak Allah swt. Ada yang dikurniakan dalam keadaan dirinya tidak menyedari rezeki datang secara tiba-tiba. Semuanya adalah dari Allah swt. Tidak perlu merungut dan mengeluh kerana orang yang beriman, InsyaAllah akan tetap ada jaminan rezekinya.

Sebenarnya rezeki manusia telah ditetapkan sama ada sedikit atau banyak. Hanya kita di minta untuk terus berusaha mencari rezeki kerana sesuatu ketetapan dari Allah akan berubah sekiranya usaha dan ikhtiar kita bertambah. Bahkan apabila seseorang berdoa supaya ditambah serta di beri keberkatan rezekinya, nescaya Allah swt akan memberikan bersesuaian dengan permintaan hamba-Nya.

Hakikatnya walau kita tidak mahu meminta kepada orang lain, Allah swt tetap mengasihani hamba-Nya dengan memberi limpahan rezeki melalui sesiapa sahaja yang dikehendaki. Oleh kerana itu kadang-kadang seseorang apabila niat didalam hatinya inginkan sesuatu, secara tiba-tiba keinginan itu di tunaikan oleh orang lain, nescaya fahamilah Allah swt telah mendengar hasrat dan keluhan didalam hati kita.

No comments: