Thursday, 8 October 2009

Ceramah Penerangan Aliran Wahabbiyah

Malam tadi penulis hadir ke rumah negeri Johor Rabaah untuk mengikuti ceramah penerangan mengenai aliran wahabi yang kian menular di negara Malaysia. Sebelum itu, pada petang hari yang sama penulis mendapat panggilan telefon dari seorang sahabat menjemput penulis menjadi pengerusi bagi ceramah tersebut. Bukan calang-calang orang yang berceramah. Beliau ialah Ust Mahfuz bin Muhammad, pernah menjadi ahli panel di rancangan al-kuliyyah terbitan TV3 dibawah tajuk bidaah. Bagi penulis, ini adalah peluang yang terbaik untuk belajar mempengerusikan majlis secara formal.

Ust Mahfuz merupakan diantara pendakwah yang aktif membanteras fahaman wahabi. Malam tadi beliau menceritakan banyak pengalaman didalam permasalahan akidah wahabiyah yang kian menular di Malaysia. Malahan ada sebuah Universiti yang menjadi sarang golongan tersebut untuk menyebarkan segala isi kefahaman Wahabi. Menarik bagi penulis, beliau melahirkan rasa sedikit kecewa kerana ada lepasan al-azhar yang pulang ke Malaysia seperti lalang. Mereka hanya mendiamkan diri dan langsung tidak berusaha untuk memberi kefahaman kepada masyarakat dalam membanteras aliran wahabi.

Diantara cerita yang menarik yang sempat dicatit oleh penulis ialah pengalaman beliau ketika memberi ceramah dimasjid KLIA. Ketika beliau berceramah ada sebahagian para jemaah yang mendengar itu ialah warga arab. Ketika sesi soal jawab dibuka, ramailah jemaah arab yang bertanya dengan keadaan yang bertubi-tubi kerana tidak berpuashati dengan apa yang dikatakan oleh beliau. Sekiranya kita melayari laman youtube, seorang penceramah aliran wahabi, Ust Rasul Dahri adalah orang yang pernah mengecam beliau.

Penulis menjangkakan ceramah pada malam tadi akan diakhiri dengan lebih awal. Akan tetapi ketika ruang soal jawab dibuka, banyak persoalan yang ditimbulkan dan dijawab dengan panjang lebar oleh Ust Mahfuz. Penulis dapat melihat bahawa sesi ceramah yang berlangsung hampir 3 jam pada malam tadi sarat dengan pelbagai kefahaman yang menarik. Bagi mahasiswa dan mahasiswi baru, mereka boleh belajar dan mengetahui lebih banyak lagi perkara yang berkaitan dengan ancaman wahabi. Bagi mereka yang ingin pulang ke Malaysia, seruan dari Ust Mahfuz sendiri supaya mereka jangan menjadi lalang. Perkataan "takpe, biarlah, biarkan" jangan lagi meniti dibibir sekiranya mahu memerangi golongan wahabi.

Berikut ialah soalan-soalan yang diajukan kepada beliau pada ceramah malam tadi.

1.Apakah pendapat ust mengenai akan berlakunya pengharaman pemakaian niqab kepada mahasiswi azhariah?

2. Apakah pendapat Ust mengenai sebahagian silibus kitab al-azhar antaranya Feqh Qadaya Muasarah yang menaqalkan pendapat-pendapat golongan wahabi?

3. Apakah pendapat Ust mengenai pendekatan yang terlalu keras dalam menentang golongan wahabi?

4. Adakah pemakaian serban dan kopiah berasal dari golongan wahabi?

5.Adakah misi Wahabi menenggelamkan sunnah Rasullulah saw?

6. Adakah persoalan Wahabi hanya berkaitan dengan menta'wil ayat Al-Quran atau tidak?

7. Bolehkah Ust menerangkan ciri-ciri buku atau kitab yang ada mempunyai unsur fahaman wahabi?

8. Apakah yang dikatakan Tariq akidah al-asariyun?

9. Mengapakah sebahagian maktabah tidak mengambil kisah tentang penjualan buku-buku yang berkaitan dengan Wahabi?

Ceramah ini tamat pada jam 11.15 malam.

No comments: