Thursday, 30 June 2011

Pengajaran Melalui Isra' Dan Mikraj


Jika Rasulullah saw bersama kita pada hari ini, semoga baginda akan menceritakan segala-galanya apa yang telah berlaku semasa baginda menggembara didalam perjalanan Isra' dan Mikraj. Namun umat yang terakhir ini benar-benar melupakan kisah sejarah yang tidak akan terpadam didalam kalender hijrah ini. Cukuplah dengan mengkhabarkan kisah Isra' dan Mikraj ini mampu menggetarkan hati manusia supaya takut kepada Allah swt.

Sejuta pengharapan kepada umat Islam yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad, jangan dikendong pengakuan itu sekiranya akhlak dan keperibadian bukan seperti yang diajarkan oleh baginda saw. Bimbang hanya diri ini yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad, akan tetapi dinafikan oleh baginda diakhirat kelak. Memperlihatkan syurga dan neraka kepada baginda, menjadi bukti akan kebenaran dan janji dari Allah. Kisah sedih serta tangisan ahli neraka yang cukup menyayat hati harus dijadikan iktibar yang panjang.

Pejuang seperti Masyitah, nama yang selalu diangkat dan dijulang. Keberanian mengaku bahawa Allah sebagai pencipta sekelian alam mengundang kemarahan firaun sehingga beliau dibunuh. Roh dan semangat yang dicipta ketika menghadap wajah bengis firaun harus disemai supaya keimanan dan ketakwaan tidak akan pernah luntur. Biar pengaduan dari si anak menjadi penyebab, orang yang mengadu domba juga bakal menerima azab yang sama.

Tidak ada perkara yang mustahil disisi Allah swt. Semuanya hanya berfirman "kun fayakun" nescaya jadilah ia. Wasiat dan peninggalan dari Nabi saw menjadi benteng yang ampuh sekiranya ia benar-benar diamal dan dihayati. Malangnya kita terus menerus berada diambang 'kesesatan' yang tidak kita sedari.

Tuesday, 28 June 2011

Berfikir Dan Berjiwa Besar





TAJUK BUKU: BERFIKIR DAN BERJIWA
BESAR

PENERBIT : PTS Professional Publishing Sdn
Bhd

HARGA : RM 30.00





Keinginan dan kehendak bermula dari perasaan yang kuat terhadap kejayaan yang dimiliki oleh orang lain. Angan-angan yang serius bukan sahaja perlu dibuktikan, bahkan memiliki sesuatu yang dimiliki oleh orang lain menjadi idaman diri.

Perkara yang paling besar didalam hidup ialah kejayaan dan kesenangan dalam mengharungi setiap detik perjalanan menuju kearah itu. Pemikiran yang tidak stabil hanya menimbulkan sikap ragu-ragu terhadap keinginan tersebut. Usaha yang diiringi dengan sikap ragu-ragu akan menimbulkan persoalan yang melemahkan semangat dan motivasi diri. Sia-sia segala pengorbanan dan penat lelah menghadapi hari-hari mencabar.

Buku ini punya nilai yang harus diambil motivasi bagi meningkatkan kepercayaan kepada diri sendiri. Bertindak sebagai pemikir yang positif serta menerima segala ujian dan cabaran. Bukan semua yang diidamkan akan menjadi milik kita. Tetapi sekurang-kurangnya berusahalah mencari yang terbaik untuk diri.

Setiap usaha yang bersandarkan keyakinan kepada Maha Pemberi Rezeki tidak pernah akan kecewa. Beza orang yang beriman dengan mereka yang tidak beriman ialah keyakinan kepada ketentuan Allah terhadap sesuatu perkara. Sedang orang yang tidak beriman hanya semata-mata percaya dengan apa yang mereka usahakan sahaja.

Monday, 27 June 2011

Fitnah Kepada Hukum Islam

Mujur di akhir zaman ini, keinginan masyarakat membicarakan tentang hukum Islam sangat bebas. Tiba-tiba keprihatinan terhadap isu hukum Islam menjadi bualan segenap kelompok masyarakat walaupun pengetahuan tentang perkara itu 'kosong'. Keluar pula alasan-alasan dan idea yang dangkal lagi cetek kerana ingin menafikan kehendak dan syarat bagi memenuhi hukuman tersebut. Maka bermulalah kisah kejahilan penganut bagi menolak penerimaan hukum tersebut.

Tidak sekadar itu, timbul pula hal manusia yang ingin menggunakan hukum Islam untuk menegakkan kebenaran. Cukup mudah dalam hal tuduh-menuduh, kemudian membersihkan nama melalui jalan 'kebenaran' dengan melaksana sumpah yang mereka sendiri tidak tahu maknanya. Hukum Islam jadi barang permainan. Akhirnya, ia sendiri mewujudkan ketidak selesaan dikalangan masyarakat Islam. Secara zahirnya, inilah penyebab hukum Islam menjadi fitnah dikalangan penganutnya sendiri.

2 penyebab yang harus dikaji bersama:

a. Mengambil kaedah hukum yang salah pada tempatnya.

b. Mengambil hukum Islam dalam keadaan dasar undang-undang sedia ada tidak mengikut Islam.

Pengetahuan masyarakat hanya bergantung kepada suratkhabar dan televisyen. Kuliah dan kelas-kelas bimbingan yang wujud dikebanyakan surau dan masjid tidak pula dipenuhi. Lalu bagaimana kita dengan mudah menafikan hukuman Islam yang sumbernya dari Al-Quran dan Hadith?. Tuntutan menuntut ilmu bukan sahaja untuk mereka yang berumur 7-18 tahun. Bahkan tuntutan ilmu adalah selagimana kita hidup dan bernafas di muka bumi Allah swt. Jangan sesekali mempertikai syarat dan hukuman Islam yang ditetapkan. Kita bukan siapa-siapa di bumi ini. Allah swt mengetahui mengapa syarat dan hukuman perlu seperti itu.

'

Saturday, 25 June 2011

Kembali Menulis !!!

Setelah setahun lebih meninggalkan 'kitab' penulisan blog, terfikir penulis akan kelemahan yang terdapat didalam diri ini. Hakikatnya usaha penulisan adalah sesuatu yang harus berterusan supaya ia tidak jemu-jemu dibaca dan dihayati. Bila terlalu lama terpendam, susah hendak diluahkan semula. Semuanya akibat disiplin penulisan yang tidak dihormati. Bagaimana bermulanya penulisan ini, sewajibnya ia diteruskan supaya dapat memandaikan pembaca yang setia disisi. InsyaAllah sedikit sebanyak penulis akan membawa angin pembaharuan dan hujan keilmuan dari transisi yang berlainan. Doa dari kalian adalah penawar yang paling mujarab ketika ini. Terima Kasih.