Monday 1 March 2010

Jangan Berdukacita Dengan Dunia




Manusia dikurniakan akal yang mampu berfikir tentang kejadian dan keagungan Allah swt. Lantaran fitrah manusia yang berbagai ragam dan keinginan adalah perkara kebiasaan yang selayaknya dengan watak mereka sendiri. Sungguhpun begitu kadang-kadang manusia cukup terpalit dengan seribu satu masalah yang melanda diri masing-masing sehingga merasa dukacita dengan masalah tersebut.

Jiwa manusia semuanya terikat dengan penciptaNya. Sebesar masalah yang menimpa bukanlah menjadi bebanan yang harus ditanggung hingga ke akhir hayat. Bahkan masalah itu biasanya ujian dari Allah swt kepada hambaNya sebagai salah satu cara membuktikan keimanan yang unggul dan kepercayaan terhadap apa yang ditentukan. Jika tidak, sudah tentu manusia akan terus hidup bergelumang dengan nafsu dalam memandu kehidupan didunia.

Apakah masalah yang membelenggu sehingga kita perlu berdukacita dengan dunia?. Setiap orang Islam yang beriman harus percaya bahawa tidak ada kuasa lain menentukan ketetapan didunia kecuali Allah swt. Pernahkah pembaca mendengar perkataan sebegini, "....begini kah nasib ku?. Mengapa tuhan tidak mengambil nyawa ku? ". Perkataan yang cukup penuh dengan nada kesal sehingga tiada pergantungan kepada Allah swt. Bahkan tidak ada orang didunia ini yang mahu hidup ditimpa kesusahan. Akan tetapi siapa pula diri kita bila berhadapan dengan ketentuan Allah swt?. Pasti kita harus berdiri sebagai hamba yang taat dan patuh terhadapNya.

Mana mungkin kita terdaya melawan kuasa dan takdir yang mencipta segala-galanya. Justeru sebagai orang yang beriman, haruslah bermuhasabah terhadap diri sendiri. Siapa tahu dalam masa sehari kita bernafas didunia ini, ada dosa-dosa kecil yang telah kita lakukan tanpa kita sedari. Siapa pula tahu setiap permintaan melalui doa yang dibaca terkadang diterima dan terkadang ditolak kerana hikmah yang belum jelas dihadapan mata. Ilmu manusia sangat-sangat terbatas jika hendak dibandingkan dengan ilmu Allah swt.

Penghujung dunia adalah syurga dan neraka yang pastinya kekal abadi. Tidak ada sesiapa pun yang mampu menafikan bahawa pengakhiran kehidupan dunia adalah balasan dan perhitungan segala amalan yang telah dilakukan. Sekiranya kita benar-benar yakin dengan ketetapan Allah swt, sudah tentu kita akan terus menambah amalan yang bakal menuju kedalam syurga kelak. Setiap apa yang berlaku didunia, sudah tentu ada hikmah yang bakal ditunjukkan dikemudian hari. Oleh demikian, janganlah berdukacita dengan dunia!.













No comments: