Sunday 14 March 2010

Pewaris Ilmu Agama Perlu Ada Wibawa

Kelmarin penulis sempat membaca beberapa keratan akhbar tentang masalah gejala sosial yang melanda di negara Malaysia. Sedang meneliti satu persatu tajuk berita tersebut, penulis tertarik dengan satu tajuk berita, "Ustazah Ditangkap Berkhalwat". Tambah menarik kejadian tersebut berlaku di Johor Bahru dan hampir dengan kawasan perumahan penulis. Suspek yang ditangkap adalah seorang guru sekolah dan pasangannya yang dipercayai bersembunyi diatas siling ketika tangkapan dibuat.

Akhbar melaporkan bahawa suspek adalah seorang "Ustazah". Bila gelaran seperti ini meniti dibibir masyarakat, pastinya gambaran negatif akan muncul dalam pemikiran setiap diri masing-masing. Ada yang cepat mencemuh dan menganggap semua orang sama sahaja. Luar nampak baik tetapi hakikatnya perangai cukup menyerupai syaitan. Gelaran seperti itu hanya mencemarkan nama baik pewaris ilmu agama yang lain. Begitukah tugas seorang pendidik yang seharusnya menjadi contoh kepada anak-anak didiknya sendiri?.

Penulis menganggap bahawa kelemahan benteng iman adalah punca bermulanya keadaan ini. Nafsu bukan mengira jenis manusia. Akan tetapi nafsu yang ditambah dengan bisikan syaitan benar-benar mampu menjerumuskan manusia kedalam lembah dosa yang menjijikkan. Malangnya pewaris ilmu agama seperti ini sudah pun menampakkan kegagalan dalam membentuk peribadi akhlak terhadap diri sendiri. Ini menjadikan beliau sebagai guru dipandang rendah oleh masyarakat kerana kepada diri guru itu sendiri diletakkan harapan untuk mendidik anak-anak orang Islam.

Pewaris ilmu agama adalah orang yang mewarisi segala ilmu-ilmu yang ditanggalkan oleh nabi saw dan para ribuan ulama yang terdahulu. Tujuannya supaya dengan ilmu tersebut dapat mendidik jiwa agar menghargai perjuangan nabi saw dan memelihara khazanah sumber ilmu yang amat tinggi nilainya. Justeru sekiranya ada perbuatan yang boleh mencemarkan nama baik pecinta ilmu agama, hendaklah segera bertaubat kepada Allah swt. Ilmu agama adalah cahaya pancaran hanya untuk manusia yang berhati bersih. Ia sesekali tidak akan bercampur dengan akhlak peribadi yang buruk.

Apa yang harus dipegang dengan kukuh ialah prinsip terhadap mengatakan halal kepada perkara yang halal dan haram kepada perkara yang haram. Perkara yang sudah jelas didalam Al-Quran dan Hadis sesekali tidak boleh diubah sebagaimana prinsip tersebut. Lahirnya generasi ulama yang berwibawa akan menguatkan lagi benteng pertahanan agama Islam yang mampu menjamin kesejahteraan hidup didunia dan diakhirat.

No comments: