Sunday 25 May 2008

Muqaddimah Jendela - harapan dan iltizam














Salam ukhwah kepada teman-teman seperjuangan. Apa khabar kepada semua sahabat-sahabat blogger yang dikenali. Kali pertama penulis tampil dengan perkembangan diri penulis sendiri.Selepas 3 entri karya penulis telah dikeluarkan, rasanya penulis perlu menceritakan sedikit sebanyak tentang keterlibatan penulis didalam lapangan blog ini.


Penulis bukanlah orang 'lama' didalam arena blog ini. Bahkan penulis baru sahaja memulakan hasil penulisan blog pada bulan april yang lalu. Walaupun begitu, penulis merasakan peri pentingnya sebagai pendakwah bukan sahaja boleh berdakwah melalui lisan, bahkan melalui hasil karya penulisan yang baik.

Keterbukaan banyak ruang-ruang yang harus diisi oleh pendakwah masa kini, bukan hanya kerana dakwah secara lisan yang sentiasa dituturkan, bahkan hasil penulisan juga mampu mempengaruhi dakwah yang berkesan dan mantap. Penulis merasakan lapangan blog ini bukanlah sesuatu yang merugikan. Bahkan jika ruangan ini di isi dengan karya-karya yang menarik dan bermanfaat, sudah tentu ia akan menjadi rujukan yang bermakna.

Perkembangan di Malaysia khususnya, memerlukan keterlibatan pendakwah dalam arena penulisan. Medium-medium seperti akhbar, majalah dan buku-buku ilmiah adalah contoh hasil penulisan yang harus diberi perhatian. Segala curahan ilmu dan pengalaman yang ada pada diri seorang pendakwah mampu mendapat perhatian khususnya kepada golongan umum yang minat membaca.

Hingga setakat ini, penulis hanya terlibat dalam karya penulisan blog. Karya- karya penulis juga hanyalah berbentuk umum, agama dan pendidikan. Penulis belum terfikir untuk terlibat menulis hal-hal berkaitan dengan politik. Ibarat anak kecil yang baru bertatih, belum mampu berjalan tanpa di pimpin.

Harapan penulis agar kita sama-sama mencuba dalam lapangan blog ini. Gunakan platform ini sebagai tontonan umum kepada masyarakat agar usaha dakwah terus diterima oleh golongan masyarakat umum. Seperti seorang seniman, blog juga mampu menjadi "public figure" kepada mereka. Mudah-mudahan segala usaha kita akan diberkati oleh Allah S.W.T.



No comments: