Sunday 1 June 2008

Krisis Melayu:: Cukupkah Sekadar Bangsa?.

Kisah sebuah bangsa yang dikatakan maju, membangun, dinamik dan bermacam-macam lagi. Bersifat sopan santun, berhemah dah berbudi bahasa adalah simbolik bangsa yang diajar sejak kecil lagi. Mempunyai pemimpin yang berkaliber, bertanggungjawab dan ikhlas dalam melaksanakan amanah yang diberi. Bangsa yang sentiasa diberikan kelebihan kerana memperjuangkan kemerdekaan. Siapakah yang menjadi pimpinan didalam bangsa ini?. Tentunya pimpinan ini sangat-sangat dihormati kerana kebolehan dan kepimpinannya dalam mengatur gerak geri bangsanya sendiri.

Laungan "Malaysia boleh!" acapkali bergema ketika negara mencipta segala sejarah yang tidak pernah dilakukan oleh negara lain. Lebih- lebih lagi ketika bangsa yang mengharumkan nama negara. Bangsa dominan yang harus menunjukkan bahawa mereka lebih maju dan berjaya daripada bangsa lain. Segalanya ada ganjaran demi mengharumkan nama bangsa. Beruntunglah kerana menjadi bangsa.

Walaupun begitu, bangsa masih lagi dibuai mimpi yang lena. Siapa sangka bangsa juga menjadi pemusnah bangsa. Menjadi perosak, pembenci, penindas dan segala macam perangai yang menghancurkan bangsa. Bukankah bangsa harus bersatu dibawah nama bangsa itu sendiri?. Malangnya bangsa tidak menjadi penyelamat lagi. Malahan terus menjadi lemah kerana sifat pentingkan perkauman bangsa sendiri.





Tarikan ala skinhead:: apakah ianya imej bangsa?



Perpecahan dikalangan sesebuah bangsa bukan sesuatu yang asing. Kehidupan masing-masing hanyalah mahu mengikut selera dan tatacara hidup sendiri. Panduan kehidupan yang diguna oleh bangsa hanyalah ungkapan perkataan seperti " Jangan jaga tepi kain orang!", "Jangan kacau hidup aku!" dan " Sukahati akulah nak buat apa pun!". Inilah bangsa yang angkuh dan sombong.Hasil pertuturan dari lidah yang tidak bertulang.


Bangsa yang tidak peduli dengan apa yang dilakukannya, asal dapat memuaskan hatinya sendiri.Manakan tidak bangsa menjadi rosak. Hasil perkataan " biarkan, tak mengapa, tak kisah" terhadap kelakuan bangsa mengajar kita meremehkan akhlak bangsa sendiri. Inilah padah yang harus diterima oleh bangsa.




Pergaulan bebas :: Inikah identiti bangsa?.


Benarkah bangsa boleh menyelamatkan bangsa?. Atau siapakah yang mampu mengawal bangsa?. Panduan sudah pun berada dihadapan mata. Agama yang diturunkan menerangkan segala bentuk perlakuan manusia yang baik dan yang buruk. Sayangnya panduan seperti ini tidak dipandang oleh bangsa. Sekali lagi ungkapan " dah tua nanti aku bertaubatlah" keluar dari mulut bangsa. Sia-sia sahaja dilahirkan menjadi bangsa.

Agama bukanlah suatu penindasan terhadap bangsa. Bahkan agamalah yang mampu mengawal seluruh tatacara dan kehidupan bangsa. Sesuatu yang tidak munasabah apabila dikatakan agama menjadi penghalang segala kemodenan bangsa. Bangsa tidak mampu mengawal segala kerosakan dan kejahatan yang berlaku didunia ini. Itu realiti yang harus diterima oleh bangsa.

Bangsa tidak harus terus hidup dalam keadaan begini. Kesedihan bangsa yang lemah, longlai dan tidak bermaya menguntungkan bangsa yang lain. Sekiranya keadaan bangsa tidak berubah, hidup bangsa akan terus menderita. Identiti bangsa bakal hilang satu demi satu. Bukalah mata wahai bangsa! Agamalah cara hidup yang mampu mengawal segala-galanya.


No comments: