Kemunculan berbagai-bagai laman siber yang berbentuk forum dan diskusi mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Laman forum seperti Tranungkite dan Utaraonline menjadi pilihan utama masyarakat di Malaysia sebagai batu loncatan meluahkan segala maklumat dan isi hati yang dapat dikongsi dengan orang lain. Suatu permulaan yang baik apabila ruang forum adalah pentas untuk bertukar pendapat dan idea yang matang.
Walaubagaimanapun, idea dan pendapat yang diutarakan kadang-kadang menjadi bahan provokasi sehingga mencetuskan perasaan marah dan caci maki. Laman forum dipenuhi dengan kata-kata yang tidak masuk akal. Hal-hal agama pula sewenang-wenangnya "dikomen" oleh orang yang jahil dalam beragama. Ini suatu sikap biadap yang harus dibendung supaya orang seperti ini tidak akan lahir untuk menghancurkan agama.
Munculnya golongan perosak agama ini dianggap sebagai racun yang mampu merebak dengan cepat. Tambahan pula disertai dengan pendokong-pendokong yang menolak dan meremehkan sebahagian usaha mempertingkatkan nilai akhlak dalam beragama. Isu pemakaian gincu bibir dan kasut bertumit tinggi adalah contoh "reminder" sebuah kerajaan negeri terhadap rakyatnya. Bagi mereka yang menjaga gaya dan ketrampilan, sudah pasti sebahagiannya akan menolak cadangan saman tersebut.
Lumrah hidup sebahagian masyarakat yang tidak ingin dikongkong oleh sesuatu peraturan khususnya terhadap hak individu adalah suatu kefahaman yang salah. Perkara yang berkaitan pakaian, aksesori peribadi dan tudung adalah dilihat sebagai hak individu. Suatu penjelasan yang harus difahami ialah Islam sangat-sangat menjaga keperibadian penganutnya. Peraturan yang datang bukan ditulis oleh manusia. Akan tetapi ia datang dari Allah melalui mukjizat Al-Quran yang sangat tinggi.
Seharusnya apa yang dilihat ialah hikmah terhadap sesuatu larangan atau perintah yang boleh memberi kesan positif kepada penganutnya. Islam bukanlah menyusahkan, walhal ia menjadi jalan penyelesaian kepada kekacauan pemikiran yang melampau. Bahkan sesuatu perkara yang sudah ada jawapannya tidak perlu lagi untuk diperbalahkan. Semuanya mengandungi nota yang bakal ditunjukkan di akhirat kelak.
Sikap orang yang jahil hanya akan merugikan agama, apatah lagi bangsa dan negara yang bersifat sementara. Tiada lagi nilaian terhadap bangsa dan negara bila agama mula diketepikan didalam cara hidup. Presepsi kejahilan yang menampakkan ketandusan ilmu pengetahuan agama amatlah menyedihkan. Hilangnya ulama dan tokoh ilmuan agama menandakan kejahilan akan tersebar meluas. Justeru itu, apakah nasib agama di masa hadapan?. Ia tidak ubah seperti menggengam bara api, kepayahannya akan dirasa.
No comments:
Post a Comment