Friday, 20 June 2008

Melahirkan Ulama Yang Berwibawa

Arus kemodenan pada hari ini mengajar kita erti kehidupan yang mewah, senang dan terurus. Pembangunan material yang semakin maju dan canggih telah membawa nama negara ke mata dunia. Pengisian jasmani yang di reka oleh pakar-pakar pembangunan telah memberi pelaburan yang besar terhadap ekonomi negara. Kelayakan mereka telah diiktiraf kerana kemahiran didalam pengurusan pembangunan sudah sepatutnya diserahkan kepada mereka yang berpengetahuan didalam bidang tersebut.

Lahirnya pakar pembangunan seperti hijjaz kasturi yang melakar bangunan KLCC untuk dibangunkan adalah contoh terbaik bahawa pentingnya beliau dalam aspek memainkan peranan membantu aktiviti kepesatan pembangunan negara. Ini kerana pembangunan jasmani tidak dapat lari dari kehidupan dunia yang inginkan kemajuan. Ia juga tidak pernah di halang oleh agama kerana didalam Islam juga menuntut manusia melakukan pembangunan jasmani.






uaa

Tidak cukup dengan pembangunan jasmani, pembangunan rohani juga mempunyai nilaian yang harus diikuti sebagai ' makanan tambahan' didalam hati manusia yang sentiasa berubah-ubah. Ini adalah suatu aspek yang jarang diberi perhatian dan seterusnya menyebabkan kehidupan manusia menjadi tempang kerana mementingkan pembangunan jasmani sahaja. Golongan yang memegang tampuk pemerintahan seharusnya memberikan kepercayaan terhadap agamawan yang mahir dalam pembangunan rohani. Mereka ialah ulama- ulama yang mempunyai amanah yang besar dalam mendoktrin rohani manusia ke arah keberkatan hidup.

Peranan ulama merupakan diantara yang terbesar didalam sesebuah negara. Mereka dianggap sebagai golongan yang mampu menyelesaikan masalah agama dan menjadi sandaran masyarakat yang sebahagiannya sangat jahil terhadap pengetahuan agama. Kebanyakan masyarakat menerima kehadiran mereka sebagai penyelamat kehidupan dari terus terjerumus ke arah kejahatan.Kata-kata ulama adalah mutiara jawapan yang seringkali ingin diketahui oleh masyarakat. Ini kerana jika pembangunan jasmani di kuasai oleh mereka yang berkemampuan dalam bidang itu, maka pembangunan rohani juga haruslah diserahkan sepenuhnya kepada ulama.

Kewibawaan ulama terletak kepada keikhlasan dan keberanian dalam menyampaikan sesuatu yang menyentuh kebenaran. Sekalipun dibenci oleh mereka yang tidak mengakui ketokohan ulama tersebut, mereka tetap harus menerima segala nasihat dan pandangan dalam membentuk pembangunan rohani yang praktikal. Sifat membenci ulama adalah sangat dilarang didalam agama. Mereka hanya menjadi penyampai segala kebenaran yang diterjemahkan melalui Al-quran dan Hadis.

Ulama juga adalah pencetus kesedaran dalam pemikiran masyarakat yang dibelenggu perbuatan-perbuatan jahiliyah. Mereka menjadikan ad-din sebagai 'way of life' dan menyeru kepada masyarakat mempraktik segala ajaran Al-Quran dan Hadis demi mencapai keberkatan dalam hidup. Sangkaan buruk bagi sesetengah masyarakat terhadap mereka tidak perlu diambil kira, kerana umum mengetahui ketinggian ilmu ulama mampu mempengaruhi masyarakat untuk menerima segala nasihat dan bimbingan yang wajar.

Kesan yang harus diterima masyarakat ialah sekiranya golongan ulama mempunyai autoriti dan kebebasan dalam memberikan nasihat, sudah tentu ilmu yang dimiliki bukan sekadar untuk dibaca dan disebut, bahkan ia untuk diamalkan. Akan tetapi sekirannya ulama dikekang dan dihalang untuk menyampaikan kebenaran, masyarakat akan terus diikat dengan kejahilan dan kebuntuan dalam memahami agama.

No comments: