Friday, 13 June 2008

Akhlak Dan Wibawa Kepimpinan

Kepincangan yang berlaku didalam negara sejak akhir-akhir ini sangat membimbangkan seluruh rakyat jelata. Sumber utama ekonomi negara seperti minyak mula menjadi satu topik yang hangat diperkatakan oleh rakyat pada masa kini. Semuanya gara-gara kenaikan yang melambung tinggi iaitu sebanyak 78 sen menjadikan harga seliter minyak pada ketika ini RM 2.70 . Rakyat pastinya terkejut dan gusar dengan kenaikan yang mendadak ini. Ini kerana saban kali harga minyak naik, sudah pasti harga barang-barang lain turut menerima kenaikan yang sama.

Kecekapan dalam menguruskan hal-hal negara seharusnya diserahkan kepada pakar yang mahir dalam bidang masing-masing. Bagi rakyat yang sudah bosan dengan retorik laungan pimpinan yang ada pada hari ini, mereka mengambil langkah melakukan demonstrasi bagi mendesak pimpinan menurunkan harga minyak. Sudah pasti banyak 'mata' dari luar negara yang akan memerhatikan keadaan politik di Malaysia. Tindakan berdemonstrasi bukan sahaja berlaku dinegara Malaysia , bahkan negara luar juga turut melakukan tindakan yang sama dalam membantah keputusan yang menindas rakyat.



Pelbagai rancangan dan dasar dilakukan untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Malangnya pelaksanaan itu sedikit sebanyak telah dicemari dengan perbuatan yang menjatuhkan maruah pemimpin yang hanya mengalas isi perutnya sahaja. Kesedaran dalam memahami kehendak rakyat yang ingin hidup lebih selesa tidak dipandang dengan serius. Apa yang menarik hanyalah pelaburan yang memberi pulangan lumayan kepada pemimpin tersebut.

Sebenarnya pimpinan pada hari ini harus memperbaiki akhlak dalam mencerminkan keyakinan rakyat kepada pemerintahan negara. Kegagalan dalam setiap pelaksanaan yang dicanang adalah kerana akhlak pimpinan pada hari ini yang kian rosak dengan berbagai-bagai masalah. Suarakan sebanyak mana pun rancangan dan dasar yang hendak dibuat, jika didalam dasar itu terdapat tangan-tangan yang mengambil kesempatan, maka dasar itu harus dibuang kedalam tong sampah.


Sesetengah masyarakat pula adakalanya mengambil sikap berdiam diri dan mengikut sahaja peraturan yang ditetapkan kerajaan. Mereka memahami bahawa dasar parti politik dinegara ini semuanya sama . Bahkan mereka mengganggap semua parti politik mempunyai kepentingan sendiri. Maka pada zahirnya sesiapa sahaja yang memerintah, pasti akan mengambil kesempatan diatas kekuasaan yang ada. Mungkin didalam benak fikiran mereka, tidak ada pemimpin yang benar-benar amanah dalam menjalankan tanggungjawab kepada negara.

Jelasnya krisis kepimpinan pada hari ini bukan kerana kedangkalan ilmu pengetahuan, tetapi kerana masalah akhlak yang teruk. Pemimpin adalah contoh kepada rakyat dalam segala hal dan keadaan. Seharusnya sikap dan tauladan yang baik haruslah ditunjukkan supaya intergriti kepemimpin tidak akan dipertikaikan oleh rakyat.

No comments: