Thursday, 5 November 2009

Bila Penyokong Sudah Bersuara



Agak lama tidak bersama dengan blog kesayangan. Minggu ini pula bermacam-macam tugasan yang harus digalas diatas kepercayaan dan amanah yang telah diberi. Sekalipun begitu, penulis tidak mahu lagi untuk ketinggalan terus didalam penulisan ini. Mungkin sedikit sebanyak akan menghilangkan rasa kepercayaan orang terhadap penulisan 'tenggelam timbul' seperti ini. Penulis harus belajar mencari idea bagi meneruskan perjuangan penulisan ini.

Minggu ini penulis berminat berkongsi pandangan bersama pembaca semua mengenai isu tangkapan bekas mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Penulis pada mulanya terkejut dengan penangkapan tersebut. Tetapi penangkapan itu menjadi munasabah kerana ia beralaskan undang-undang dan akta yang telah ditetapkan. Pentauliahan diwujudkan adalah kerana untuk memastikan mana-mana orang tidak mengajar perkara yang bertentangan dengan Islam. Lebih dari itu sudah sepatutnya mereka dikenakan hukuman kerana perbuatan tersebut sangat mengelirukan umat Islam.

Siapa beliau dan apakah lulusannya semua orang sudah mengerti. Kelantangan beliau bukanlah menjadi masalah besar sekiranya kebenaran perkataan itu diletakkan ditempat yang teratas. Malangnya ia bukan seperti yang disangkakan. Mulut yang mempunyai petah bicara yang menakjubkan menyebabkan masyarakat benar-benar mempercayai beliau. Apatah lagi beliau yang dikatakan sangat hebat dalam membaca isi-isi kitab dan menyebut nama-nama ulama yang masyhur. Sekiranya masyarakat mudah tertipu dengan pelaburan yang kononnya memberi keuntungan yang besar, ia sudah pasti bermodalkan kata-kata yang menarik minat.

Apatah lagi orang yang mahir membaca isi kitab, sekira-kira menyebut sesuatu dihadapan khalayak akan tetapi tidak beramanah dengan ilmu, berapa ramai masyarakat yang tertipu?. Ya, mungkin diluar sana ada segelintir yang sanggup untuk menunjukkan segala macam kitab yang dibaca. Walhal kita terlupa, penulisan dari orang yang tidak beramanah akan merosakkan segala ilmu yang dikumpulkan oleh ulama-ulama terdahulu. Jika penulisan yang 'rosak' dibaca oleh generasi pada hari ini, apakah pemikiran juga tidak akan menjadi rosak?.

Penulis masih belum memahami mengapa ada orang yang masih memandang rendah JAIS dalam isu tersebut. Bahkan memperlekehkan jabatan tersebut demi mempertahankan Dr. Asri. Bila penyokong sudah bersuara, tidak perlulah beliau bersusah payah mempertahankan diri. Bahkan beliau boleh sahaja tersenyum kerana nama beliau akan menjadi lebih terkenal selepas ini. Orang awam tentu berasa pelik, bagaimana seorang bekas mufti boleh dikatakan tidak mempunyai tauliah?. Jawapannya tentu ada pada JAIS sendiri. Mungkis selepas ini kita boleh mengenali siapa Dr. Asri yang sebenarnya.

No comments: