Sunday, 22 November 2009

Siapa Yang Mengelirukan Agama




Kita masih lagi keliru dengan cara penyampaian dakwah yang berbeza. Masyarakat sekarang mula bingung memikirkan mengapa ada sebahagian penceramah yang tersohor dikatakan tidak mempunyai tauliah. Mereka mungkin sahaja tidak memahami apakah sebenarnya peraturan yang perlu diikuti bagi memanggil seseorang penceramah untuk menyampaikan ilmu. Kebimbangan ini membawa maksud masyarakat benar-benar curiga dan keliru dengan hal yang berlaku.

Masyarakat harus memahami bahawa penyampaian ilmu bukan sahaja terletak pada pada kekuatan hujjah dan suara yang lantang, bahkan lebih dari itu ialah menjaga adab-adab ketika menyampaikan ilmu. Andai kita mengukur kelebihan yang ada itu adalah yang terbaik, maka tidak dapat dinafikan ia adalah perkara yang positif. Malahan ia adalah sebahagian ciri-ciri ulama yang berkualiti. Namun menjaga adab-adab dalam penyampaian adalah perkara yang juga harus diambil berat.

Apabila bercerita mengenai penyampaian ilmu, seharusnya penceramah memerhatikan dengan jelas siapakah pendengar yang bakal mengikuti setiap syarahan yang bakal dikupas oleh beliau. Ini kerana kefahaman setiap daripada pendengar adalah berbeza-beza. Jika kita merasakan pendengar adalah dari kalangan masyarakat umum, haruslah kita berhati-hati setiap patah kata yang keluar supaya kefahaman mereka jelas dan terang.

Dari satu sudut yang harus diambil kira, sebahagian masyarakat bukanlah kelompok yang mempelajari ilmu agama secara mendalam. Kefahaman yang sedikit serta pengamalan ibadah yang dilakukan seharian adalah hasil nasihat dan panduan yang juga diberikan oleh ulama-ulama yang lain. Sekiranya kita memfokuskan penceritaan itu kepada sudut yang terlalu dalam, sehingga sukar untuk mereka menilai mana yang betul dan mana yang salah, ia akan menyebabkan gangguan kepada ibadah yang mereka lakukan. Ia berlainan dengan masyarakat yang menuntut ilmu agama secara berperingkat dan mendalam. Mereka sudah memahami apa yang hendak disampaikan.

Perhatikanlah sekiranya itu yang terjadi dalam masyarakat kita, masing-masing akan meragui setiap ibadah yang sudah mereka lakukan dimasa lalu. Tugas yang paling besar dikalangan pendakwah masa kini ialah menjernihkan berbagai kefahaman yang bermain difikiran masyarakat tentang segala hal yang berkaitan dengan amalan ibadah. Siapa sangka hal sebegitu boleh dibincang di mana-mana warung kopi. Seterusnya tanpa sedar, ia akan menjadi racun yang tersebar dengan begitu cepat. Justeru berhati-hatilah dalam menyampaikan ilmu. Kita akan dipertanggungjawabkan atas segala perkara yang dilakukan diatas dunia.

No comments: