Sunday, 20 December 2009

:: Hijrahkan Dakwah , Suburkan Sunnah ::



Kedatangan bulan muharram sebagai pembuka tirai tahun baru seharusnya disambut dengan penuh rasa syukur dan insaf. Intipati sejarah penghijrahan Rasulullah saw dari mekah ke madinah sewajibnya tersimpan kemas didalam dada ilmu setiap manusia yang mengaku mencintai baginda. Personaliti dan perwatakan baginda adalah contoh terbaik yang harus diikuti tanpa rasa syak wasangka. Proses penghijrahan atas jalan berdakwah sentiasa memerlukan pengorbanan yang tidak ternilai harganya. Apatah lagi jika nyawa yang menjadi pertaruhan, maka tidak ada langsung bandingan harga seumpamanya!!.

Setelah 1400 tahun berlalu, umat Islam pada hari ini tidak lagi perlu berhijrah untuk menyampaikan dakwah. Masing-masing mempunyai tokoh ilmuan harapan yang boleh disandarkan sebagai panduan dalam menyelami hal-hal agama. Maka logiknya ialah Islam pasti dinobatkan sebagai pegangan yang utuh tanpa sedikit keraguan. Masyarakat umum menerima apa sahaja yang dinasihati tanpa membantah kerana mereka tahu bahawa tokoh ilmuan adalah orang yang berkelayakan dalam menasihati hal-hal agama.

Setiap individu umat Islam harus bertangungjawab dalam mempelajari ilmu-ilmu agama. Tuntutan tersebut menjadi suatu keperluan penting yang perlu disedari, tatkala ambang jahiliyah abad 21 telah menjalar dalam dunia yang sementara ini. Seorang ketua keluarga haruslah memulakan posisinya sebagai ketua bagi memastikan bahawa seluruh ahli keluarganya mempunyai didikan agama yang cukup sempurna. Seorang pengurus syarikat pula haruslah bertanggungjawab menyediakan prasarana dan kemudahan untuk pekerjanya menjalankan aktiviti yang berbentuk agama.

Malangnya jika kita hanya tahu menuding jari menyalahkan golongan tertentu sebagai orang yang bertanggungjawab dalam berdakwah, tetapi kita sendiri tidak mahu memulakan proses dakwah dalam institusi kekeluargaan yang kita bina. Jalan menuju keakhirat bukannya dengan mengharapkan orang lain untuk mengumpulkan pahala, akan tetapi kita sendiri yang harus beramal dengan ajaran Islam. Tugas berdakwah tidak harus dibiarkan kepada orang-orang yang tertentu, bahkan dakwah secara individu ( fardiyah) adalah jalan yang berkesan dalam membantu kefahaman masyarakat terhadap Islam.

Dakwah bermula dengan ilmu. Setelah kita mentelaah dan mengkaji segala-galanya keperluan dan kepentingan dakwah, secara tidak langsung akan timbul keinginan untuk menyampaikan sesuatu yang bermanfaat demi kepentingan umat Islam. Jika kita malu dengan sikap sesetengah muda-mudi yang tidak menghiraukan batasan pergaulan berlainan jantina, mengapa tidak kita mulakan keterbatasan itu dengan memberi ingatan kepada ahli keluarga dan sahabat handai kita. Itu mungkin menjadi pengajaran yang bermakna dalam senarai sumbangan kita terhadap Islam. Biarlah sekecil manapun dakwah itu, akan tetapi ia tetap istiqamah.

Dakwah dengan mempamerkan akhlak yang terpuji kadang-kadang memberi kesan yang cukup mendalam. Mungkin ada hati-hati manusia yang keras untuk menerima dakwah secara pertuturan kata-kata kerana cara penerimaan terkadang tidak seperti yang diharapkan. Lebih buruk lagi jika ada yang menutup telinga kerana tidak mahu mendengar perkataan dakwah yang disampaikan. Perlu diingat bahawa kita hanya mampu berusaha akan tetapi hidayah adalah milik Allah swt. Sekira-kira kita mengamalkan sunnah dan mengajak masyarakat untuk mengamalkannya, itu juga contoh dakwah yang terbaik. Apa yang harus kita buang ialah sikap putus asa terhadap mengajak dan memandu masyarakat kearah kehidupan yang diredhai Allah swt.





No comments: