Saturday 27 February 2010

Hukum Islam Bukan Dengan Logik Akal




Hampir sebulan penulis tidak menulis di blog ni. Kesibukan dalam tugas dan masa yang tidak dapat mengizinkan menyebabkan penulisan terbantut begitu lama. Mungkin sahaja blog ini bakal tidak akan dilawati oleh pembaca lagi. Penulisan yang baik adalah penulisan yang berterusan walaupun sedikit. Mudah-mudahan pembaca dapat mengambil manfaat dari apa yang penulis luahkan di dalam penulisan ini.

Penulis sempat membaca akhbar dalam masa seminggu ini. Heboh diperkatakan orang mengenai hukuman rotan yang dikatakan sebagai 'isu sensitif' kerana melibatkan hak dan maruah individu tersebut. Ketika perlaksanaan hukuman tersebut telah pun dijalankan ke atas 3 individu wanita atas kesalahan seks bebas, sebuah NGO mula memainkan peranannya membela hak asasi tersebut. SIS ( Sister In Islam ) sebagai sebuah badan NGO yang memperjuangkan kesamarataan gender, mula menyuarakan rasa tidak puashati tersebut.

Alasan 'hak asasi' dan 'maruah' selalu dilaung-laungkan demi menutup kesalahan yang dilakukan tersebut. Malangnya apa yang diluahkan itu adalah hasil pemikiran logik kerana mahu merasai nikmat kebebasan didalam hidup. Lebih menakutkan, Islam yang diletakkan sebagai agama persekutuan didalam perlembagaan adalah agama yang dianuti oleh mereka. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak yakin dengan apa yang telah ditentukan oleh undang-undang Islam.

Hukum Islam yang ditetapkan bukanlah berniat menyusahkan umatnya. Akan tetapi sebenarnya umat Islam itu sendiri yang menyusahkan agama. Kita seharusnya tidak membuang masa memikirkan masalah kepincangan gejala sosial yang berlaku dihadapan mata. Ini kerana setiap jenayah syariah yang dilakukan oleh umat Islam sudahpun dijawab dengan jelas oleh Al-quran. Mustahil undang-undang manusia mampu mengatasi ketetapan undang-undang Allah.

Apa yang harus dijelaskan ialah Islam bukan agama yang bercirikan keganasan. Bahkan Islam juga mempunyai sikap toleransi. Akan tetapi berhati-hati, Islam juga tegas apabila penganutnya melakukan kesalahan yang telah dilarang. Ini kerana mereka harus menerima hukuman yang setimpal. Penulis menganggap mungkin masih ada golongan yang tidak faham atau tidak mahu memahami hukum Islam itu sendiri. Justeru sekiranya mereka tidak memahami undang-undang Islam, lebih elok serahkan sahaja kepada orang yang lebih faqih dan benar-benar teliti dalam hal tersebut.

No comments: