Thursday 4 February 2010

Pembahagian Harta Pusaka

Hari terakhir peperiksaan begitu melegakan hati. Ditambah cuaca yang begitu sejuk didalam dewan peperiksaan dek kerana muraqib yang membuka tingkap seluas-luasnya. Kertas soalan yang mempunyai banyak soalan-soalan ringkas tetapi mahukan jawapan yang cukup terperinci. Sebahagian rakan-rakan lain ada yang begitu pantas menjawab soalan dan cepat pula keluar meninggalkan dewan peperiksaan. Senyuman melebar kerana mudahnya soalan tersebut. Mungkin itu pandangan mereka. Tetapi sesetengahnya hanya fikir mahu pulang cepat kerumah untuk berehat-rehat.

Huh! Pembahagian harta pusaka memang sukar sekiranya ilmu tersebut tidak didalami dengan betul-betul. Ilmu yang dituntut untuk dipelajari kerana ia antara ilmu yang paling utama akan ditarik dari umat manusia. Kejahilan kerana tidak mendalami ilmu mempusakai harta atau dikenali ilmu faraid sebenarnya akan membawa bencana kepada keluarga kita sendiri. Bahkan dengan mempelajari ilmu tersebut, kita akan faham dan tahu bagaimana untuk menguruskan harta yang bakal diwarisi oleh anak-anak di masa hadapan.

Secara mudahnya, kepentingan yang harus diletakkan bukanlah impian mendapat harta itu sendiri. Bahkan apa yang harus diketahui, keadilan didalam pembahagian harta pusaka adalah hasil susunan dari ilmu faraid yang sudah pun ditetapkan oleh agama Islam untuk umatnya. Tidak mungkin akan timbul pertikaian antara manusia kerana setiap pembahagian harta pusaka itu telah pun disertai petikan hujah serta dalil dari Al-quran dan Hadis. Segala kadar pembahagian dan syaratnya sangat jelas ditentukan sendiri oleh Al-Quran. Jika begitu, seharusnya manfaat dari ilmu ini haruslah diketahui oleh tiap-tiap orang yang yakin dan beriman dengan Al-Quran.

No comments: