Apabila penulis cuba untuk mencari makna sebenar penghibur, kebanyakan masyarakat mudah mendefinasikan perkataan tersebut sebagai seseorang artis yang berusaha untuk menjadi penghibur kepada masyarakat. Dalam keadaan itu masyarakat akan menjadi gembira, kurang tekanan dan lupa kepada masalah. Wabak yang semakin membiak ketika ini ialah pencarian artis-artis baru yang mempunyai bakat seni suara yang mampu menghiburkan orang. Lazimnya penerimaan masyarakat terhadap artis-artis di Malaysia telah pun mencapai satu tahap yang disebut sebagai 'idola'.
Lahirnya puluhan artis di Malaysia adalah hasil penerbitan rancangan berunsur hiburan. Rancangan penerbitan tersebut telah ditetapkan dengan beberapa kaedah tertentu yang mana ia mampu menarik minat masyarakat supaya menjadi artis dan berjaya dalam industri hiburan. Membayangkan bahawa label artis adalah 'public figure' yang akan menjadi sebutan ramai, seharusnya kelakuan bukanlah seperti manusia yang dipandang jelek. Suara-suara yang mempertikaikan kemunculan artis-artis mee segera mengukuhkan lagi bahawa tidak ada untung memasuki industri hiburan.
Jika memandang presepsi masyarakat, sebanyak mana soalan yang ditujukan berkaitan hiburan, pasti jawapannya sangat lancar. Itu menunjukkan pengetahuan masyarakat terhadap hiburan sangat diberi perhatian. Gosip-gosip panas yang berkaitan semuanya habis dihafal dengan baik. Peminat fanatik pula sanggup berhabis duit demi bertemu artis kesayangan mereka. Bila ditanyakan mengapa artis itu yang diminati, jawabnya kerana suaranya sedap didengar. Apa yang yang penting asalkan dapat bergambar, itu sudah mencukupi.
Meneliti presepsi artis itu sendiri, mereka menganggap masyarakat adalah penyokong kepada kerjaya hiburan mereka. Apabila masyarakat mencemuh seseorang artis kerana keburukannya, hampir pasti kerjaya seninya akan terkubur. Bakat seni yang dianugerahkan digunakan untuk mencari rezeki dan memberi hiburan keseronokan kepada masyarakat. Akan tetapi kebanjiran artis itu sendiri menjadikan mereka disalah ertikan. Apatah lagi artis di Malaysia umpama bintang Hollywood yang tidak sudah ditimpa masalah sosial. Ketagihan dadah, salah laku seksual dan penceraian menjadi sebati dalam diri mereka. Inikah yang dikatakan hiburan?.
Kita tanyakan kembali kepada masyarakat terutamanya kepada peminat fanatik. Apakah artis yang selalu menghiburkan mereka juga terhibur dengan masalah yang membelenggu diri mereka?. Kini siapakah pula yang mampu menghiburkan mereka supaya mereka dapat keluar dari perangai buruk yang melekat dalam diri mereka?. Mungkin kita mampu untuk menipu orang, tetapi kita tidak mampu untuk menipu diri sendiri. Bagaimana seseorang artis mampu menghiburkan masyarakat sedangkan diri mereka sendiri tidak terhibur?. Hakikatnya orang yang tidak ada apa-apa, tidak boleh memberi apa-apa. Justeru fahamilah bahawa hati akan sentiasa terhibur apabila kita dekat dengan Tuhan.
No comments:
Post a Comment