Thursday, 10 September 2009

Merencana Budaya Membaca Di Malaysia

bahagian akhir

Setelah 2 artikel penulis sebelum ini membincangkan faktor-faktor pembacaan dari sudut jantina dan umur, bahagian terakhir ini penulis cuba menghuraikan aspek pembacaan dari sudut kecenderungan genre bacaan. Mungkin agak sukar sedikit untuk memahami apa yang penulis maksudkan. Akan tetapi keadaan semasa menunjukkan bahawa kecenderungan itu adalah sesuatu yang boleh berubah-ubah.

Pada pengamatan penulis, kecenderungan terhadap pemilihan genre bacaan ialah bergantung kepada apa yang dilakukan oleh seseorang itu pada masa sekarang. Ini kerana dari sudut kecenderungan, tidak mustahil ia boleh berubah pada bila-bila masa. Secara kebiasaan, seseorang akan membaca apa sahaja yang ada disekitarnya. Mungkin sahaja ia hanyalah untuk mengisi masa lapang daripada terbuang begitu sahaja. Tetapi ia tidak akan terbuang waktu apabila mencapai apa sahaja bahan yang boleh dibaca.




Sekiranya pada hari ini, seseorang itu ialah mahasiswa atau mahasiswi, ia akan memilih bahan bacaan berkaitan dengan apa sahaja kursus yang dipelajarinya sekarang. Kursus pengajian Islam, sains komputer, automotif dan lain-lain,semuanya mempunyai bahan bacaan yang tertentu untuk dikaji. Ini adalah kerana kecenderungan berlaku ketika mereka berada di alam pengajian sebagai warga kampus. Justeru penekanan dalam pembacaan hanya tertumpu didalam bidang yang dipelajari. Mungkin kita boleh katakan, sesekali mereka akan membaca majalah hiburan atau komik untuk menghilangkan tekanan.

Begitu pula sekiranya kita membayangkan seseorang itu ialah ahli perniagaan. Pemikiran seseorang ahli perniagaan biasanya tertumpu kepada bagaimana untuk meningkatkan prestasi syarikat dan memperbaiki hubungan dengan pekerja. Kalau kita melihat kecenderungan seperti ini, sudah tentu ahli perniagaan tersebut akan mengkaji buku-buku berkaitan dengan urusniaga syarikat. Tidak keterlaluan sekiranya penulis menganggap kecenderungan juga kadang-kadang boleh menyempitkan pembacaan.

Sebenarnya kecenderungan bukan sahaja hanya tertumpu kepada keadaan yang berlaku pada waktu sekarang, ianya boleh diperluaskan lagi sekiranya minat membaca itu dapat dipupuk dari kecil. Justeru pembacaan akan menjadi lebih berkembang dan kefahaman ilmu dapat diperkaya. Masyarakat seharusnya memulakan langkah pertama untuk mendidik diri sendiri, keluarga dan anak-anak melalui galakkan dalam membaca. Jangankan kerana kita sudah bernama bangsa, kita tidak perlu untuk membaca.

No comments: