Sunday, 27 September 2009

Popular Dan Kontroversi




Memikirkan dua patah perkataan ini sangat berkaitan dan berlaku dihadapan kita, suka bagi penulis mencerna minda pembaca dengan memahami sketsa kehidupan masyarakat dikeliling kita. Bukanlah ia bertujuan untuk mencari kesalahan mana-mana individu atau pihak, tetapi kedua-dua rangkai kata ini mampu melonjakkan ego sesiapa sahaja sekiranya merekalah yang berada didalam keadaan tersebut. Setiap orang mempunyai hak untuk memberikan pendapat. Ini adalah sebahagian pendapat peribadi penulis sendiri.

Popular dan kontroversi ibarat sepasang pakaian yang sukar untuk ditanggalkan dalam hidup masyarakat kita. Baik apa sahaja kerja dan perbuatan, sekiranya niat itu disematkan dengan dua rangkai kata tersebut, maka seseorang itu akan cepat memahat namanya dalam keadaaan seperti itu. Positif atau negatif, pastinya merekalah yang bakal mengendong dan menghadam segala kata bicara dan luahan perasaan orang lain. Jika di teliti dengan baik, tanggapan itu selalunya dibalas dengan negatif.

Sebutkan apa sahaja kerja, penyanyi, pelakon, ahli politik, usahawan, penulis blog dan bermacam-macam lagi, sedikit sekalipun pasti punya kontroversi. Penulis yakin pembaca juga memahami siapa lagi yang mahu jadi popular dan kontroversi. Penerimaan kepada masyarakat selalunya menampakkan negatif lebih dari positif. Walhal tidak semua kontroversi itu hanya berbentuk negatif. Akan tetapi kadang-kadang ia adalah suatu kebenaran yang harus diterima oleh akal.

Menjadi popular bukanlah sesuatu yang sukar. Seorang artis berkahwin dengan hantaran beratus ribu, berduyun-duyun wartawan akhbar mengambil gambar dan kenyataan darinya. Tujuannya untuk dimuatkan didalam dada akhbar seterusnya meningkatkan hasil jualan akhbar itu sendiri. Seorang ahli politik menaburkan pelbagai janji dan projek bahkan limpahan wang supaya dirinya terpilih menjadi wakil rakyat. Seorang penulis blog menulis pelbagai cerita-cerita yang mungkin menyebabkan orang lain suka mengulas setiap patah perkataanya dengan rasa marah dan benci.

Setiap apa yang kita lakukan, semuanya tertanggung diatas bahu kita sendiri. Sekiranya kontroversi itu diterima sebagai suatu kebenaran, pembaca mungkin ternanti-nanti hasil garapan kita seterusnya. Jika kontroversi dan popular itu atas dasar muak dan benci, maka terimalah nama kita dipahat oleh orang lain seperti itu. Lalu seluruh dunia akan mengenali kita dengan seburuk itu. Bagi penulis, nilailah sesuatu popular dan kontroversi itu seiring dengan tujuannya. Mahukah kita diterima dengan baik atau sentiasa dibenci oleh orang lain. Fikirkan bersama.....

No comments: