Wednesday, 9 September 2009

Artis Dan Hiburan::Siapa Penghibur Mereka?

Apabila penulis cuba untuk mencari makna sebenar penghibur, kebanyakan masyarakat mudah mendefinasikan perkataan tersebut sebagai seseorang artis yang berusaha untuk menjadi penghibur kepada masyarakat. Dalam keadaan itu masyarakat akan menjadi gembira, kurang tekanan dan lupa kepada masalah. Wabak yang semakin membiak ketika ini ialah pencarian artis-artis baru yang mempunyai bakat seni suara yang mampu menghiburkan orang. Lazimnya penerimaan masyarakat terhadap artis-artis di Malaysia telah pun mencapai satu tahap yang disebut sebagai 'idola'.

Lahirnya puluhan artis di Malaysia adalah hasil penerbitan rancangan berunsur hiburan. Rancangan penerbitan tersebut telah ditetapkan dengan beberapa kaedah tertentu yang mana ia mampu menarik minat masyarakat supaya menjadi artis dan berjaya dalam industri hiburan. Membayangkan bahawa label artis adalah 'public figure' yang akan menjadi sebutan ramai, seharusnya kelakuan bukanlah seperti manusia yang dipandang jelek. Suara-suara yang mempertikaikan kemunculan artis-artis mee segera mengukuhkan lagi bahawa tidak ada untung memasuki industri hiburan.

Jika memandang presepsi masyarakat, sebanyak mana soalan yang ditujukan berkaitan hiburan, pasti jawapannya sangat lancar. Itu menunjukkan pengetahuan masyarakat terhadap hiburan sangat diberi perhatian. Gosip-gosip panas yang berkaitan semuanya habis dihafal dengan baik. Peminat fanatik pula sanggup berhabis duit demi bertemu artis kesayangan mereka. Bila ditanyakan mengapa artis itu yang diminati, jawabnya kerana suaranya sedap didengar. Apa yang yang penting asalkan dapat bergambar, itu sudah mencukupi.

Meneliti presepsi artis itu sendiri, mereka menganggap masyarakat adalah penyokong kepada kerjaya hiburan mereka. Apabila masyarakat mencemuh seseorang artis kerana keburukannya, hampir pasti kerjaya seninya akan terkubur. Bakat seni yang dianugerahkan digunakan untuk mencari rezeki dan memberi hiburan keseronokan kepada masyarakat. Akan tetapi kebanjiran artis itu sendiri menjadikan mereka disalah ertikan. Apatah lagi artis di Malaysia umpama bintang Hollywood yang tidak sudah ditimpa masalah sosial. Ketagihan dadah, salah laku seksual dan penceraian menjadi sebati dalam diri mereka. Inikah yang dikatakan hiburan?.


Kita tanyakan kembali kepada masyarakat terutamanya kepada peminat fanatik. Apakah artis yang selalu menghiburkan mereka juga terhibur dengan masalah yang membelenggu diri mereka?. Kini siapakah pula yang mampu menghiburkan mereka supaya mereka dapat keluar dari perangai buruk yang melekat dalam diri mereka?. Mungkin kita mampu untuk menipu orang, tetapi kita tidak mampu untuk menipu diri sendiri. Bagaimana seseorang artis mampu menghiburkan masyarakat sedangkan diri mereka sendiri tidak terhibur?. Hakikatnya orang yang tidak ada apa-apa, tidak boleh memberi apa-apa. Justeru fahamilah bahawa hati akan sentiasa terhibur apabila kita dekat dengan Tuhan.




Tuesday, 8 September 2009

Merencana Budaya Membaca Di Malaysia

bahagian 2

Pada penulisan yang lalu penulis telah membuat kesimpulan bahawa pemilihan bahan bacaan adalah berdasarkan kepada 3 sebab. Samada dari sudut jantina, umur atau pun kecenderungan terhadap genre bahan bacaan. Penulis telah membezakan pemilihan bahan bacaan dari sudut jantina pada artikel yang lepas. Mungkin anggapan penulis tidak semuanya dipersetujui oleh orang lain. Penulis hanya memberi gambaran berdasarkan pemerhatian semasa penulis.

Faktor umur adalah sesuatu yang menyebabkan pemikiran, tindakan dan perasaan boleh berubah-ubah. Dari sudut pembacaan, penulis membuat kesimpulan ada 3 kelompok yang berlainan selera dalam hal-hal pembacaan. 3 kumpulan tersebut ialah, kanak-kanak, remaja dan org dewasa. Penulis yakin bahawa masyarakat sendiri nampak dan melihat akan perbezaan ketiga-tiga kelompok ini dari semua aspek.





Zaman kanak-kanak adalah waktu untuk berseronok dan bermain sepuasnya. Pemikiran yang kecil tidak mampu untuk mentafsir semua keadaan yang berlaku dihadapan mata. Realiti kanak-kanak ialah suka meminta-minta apa sahaja yang dikehendaki daripada kedua ibubapanya. Sekiranya kita melihat kanak-kanak berada di pasaraya besar, selalu sahaja mahu dibelikan bermacam-macam jenis permainan. Dari sudut pembacaan, mereka lebih suka kepada buku-buku penceritaan dongeng, binatang dan buku berwarna. Ini kerana tahap capaian akal kanak-kanak baru hendak mempelajari sesuatu. Justeru jangan pula ada ibubapa membelikan anak-anak kecil mereka buku yang langsung tidak sesuai dengan jiwa kanak-kanak.

Dunia remaja adalah proses menjadi matang. Diwaktu ini sikap remaja lebih kepada ingin mengetahui sesuatu. Oleh itu, bahan bacaan yang menjadi rujukan pengetahuan mereka adalah sesuatu yang sesuai dengan jiwa mereka. Pelbagai majalah hiburan, kartun, novel cinta dan sebagainya menjadi keserasian dalam menempuhi hidup dialam remaja. Lantas tidak mungkin sesekali hati remaja sebegitu mahu membaca buku-buku cerita dongeng yang selayaknya untuk kanak-kanak

Permintaan remaja kadang-kadang melampaui batas. Lebih-lebih lagi dalam menginginkan sesuatu yang mungkin sukar dicapai. Tetapi hati orang muda sememangnya keras dan terus mendesak. Sesuai dengan sikap untuk mengetahui sesuatu, terkadang-kadang pembacaan mereka boleh jadi memberi faedah dan terkadang ia hanya menjadi racun pemikiran yang sangat bahaya.


Alam dewasa adalah ruang kematangan fizikal dan mental yang mana ia boleh berdikari diatas kaki sendiri. Semua tuntutan dunia bila-bila masa sahaja boleh dipenuhi dengan mudah. Tambahan bidang kerjaya sebagai tempat cari makan dan mencari rezeki untuk seisi keluarga adalah perkara yang wajib dipenuhi. Hal-hal yang patut difikirkan pada waktu ini adalah bagaimana untuk membahagiakan keluarga, menguruskan kerjaya dengan baik atau membina hubungan dengan masyarakat setempat.

Mungkin ada sahaja yang beranggapan bahawa orang-orang dewasa mempunyai banyak masa untuk membaca buku. Ini kerana secara zahirnya orang-orang dewasa membaca buku selepas mereka 'pencen' dari kerjaya. Jangan kita lupa bahawa orang-orang dewasa juga membaca buku demi untuk mengekalkan prestasi kerjaya mereka. Apatah lagi mereka yang bekerja sendiri, menguruskan perniagaan perlukan banyak buku-buku rujukan berkaitan penjanaan wang ringgit modal dan belanja. Maka hakikatnya pembacaan orang-orang dewasa lebih tertumpu kepada hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan diri, keluarga dan negara.

( bersambung...)
satu bahagian jek lagi..hehe


Monday, 7 September 2009

Menilai Sebuah Buku



Bukan mudah untuk menilai sebuah penulisan buku. Melihat penulisnya sahaja kita tahu dia adalah seorang pemegang mata pena yang hebat. Kalau salah menilai, alamatnya kita dikatakan tidak amanah dengan penilaian itu. Lebih baik kita minta penulis itu menilai bukunya sendiri. Tetapi kalau penulis itu yang menilai, sudah tentu dia akan mengatakan penulisannya itu adalah yang terbaik. Manakan tidak, sudahlah menulis sepanjang hari, tiba-tiba ada orang mahu mengkritik hasil penulisan tersebut.

Hebat sangatkah mahu mengkritik penulisan kita?. Atau kita harus menerima kritikan itu sebagai suatu pembinaan jati diri?. Mencipta daya penulisan sendiri memakan masa yang agak panjang. Itupun belum tentu ada orang hendak baca atau tidak. Kalau penulisan itu ibarat melepaskan batuk ditangga, memang patutlah kena kritik teruk-teruk. Tapi kalau sudah mengerah tenaga menulis berjam-jam, masukkan semua fakta-fakta yang diperlukan, menulis dengan bahasa yang indah, bagaimana nilaian harus diberi kepada penulisan seperti ini?.

Tidak salah kalau ada yang beranggapan menjadi penulis semestinya punya ego yang tersendiri. Semua karya dibaca, dibeli, disimpan dan menjadi koleksi peribadi yang sangat istimewa. Nama pena kita melonjak naik dan menjadi perbualan rakan-rakan penulisan yang lain. Mana tahu kita diminati kerana kontroversi atau pencetus sesuatu isu?.Meminati penulis kerana kontroversi bukan sesuatu yang janggal pada masa sekarang. Tulis sahaja buku mengenai kehidupan realiti artis. Apabila disebutkan sahaja tentang penceraian mereka , bermacam-macam andaian dan olahan yang kita tulis.

Lalu sebenarnya bagaimana hendak kita nilai hasil penulisan sesebuah buku, kalau sudah cara menulisnya sebegitu. Bukan boleh dipaksa-paksa menulis dengan cara yang kita inginkan. Menjadi seorang penulis bererti dia mencari cara penyampaian yang berkesan. Menjadi penulis haruslah hasil daripada kreativiti dan tradmark sendiri. Justeru siapa yang layak menilai hasil penulisan sesebuah buku?.

Merencana Budaya Membaca Di Malaysia

Bahagian 1

Kedapatan amalan pembacaan bahan-bahan cetak di Malaysia sangat menggalakan. Jika kita memahami bahawa amalan pembacaan masyarakat di Malaysia bukanlah sesuatu ditahap yang membimbangkan. Kita harus akui hakikat bahawa sebenarnya rakyat Malaysia minat membaca, akan tetapi mungkin bahan bacaan itu yang menjadi pemilihan setiap golongan-golongan yang tertentu. Boleh dibuat suatu kesimpulan bahawa pemilihan pembacaan itu hanya disesuaikan mengikut jantina, umur dan kecenderungan minat genre bacaan.

Lambakan bahan bacaan seperti akhbar, majalah, novel dan sebagainya memberi ruang ilmiah cukup besar kepada rakyat Malaysia yang minat membaca. Soalnya sekarang pemilihan bahan bacaan itu sendiri bergantung kepada 3 faktor diatas tadi. Mungkin sasaran yang penulis maksudkan ini tidak semuanya tepat. Akan tetapi kebarangkalian itu mungkin sedikit sebanyak ada seperti yang dianggap oleh penulis sendiri.





Secara jantina, bahan bacaan yang dipilih lelaki tertumpu kepada genre pendidikan,motivasi, lawak jenaka,aksi, fantasi dan agama. Pemilihan majalah terhadap genre-genre ini terlalu banyak dipasaran dan mampu dimiliki dengan harga yang berpatutan. Karya seperti "Pemimpin 360 darjah" adalah contoh karya motivasi pilihan yang wajar dimiliki. Penulis beranggapan karya-karya motivasi adalah hasil pengalaman, pembacaan dan kaji selidik yang dibuat oleh penulis itu sendiri.

Apo? dan ujang adalah contoh majalah lawak jenaka yang menjadi pilihan lelaki sebagai bahan bacaan ringan dan menghiburkan. Kedua-dua majalah gergasi pilihan ini diterbitkan oleh MOY publication sdn.bhd . Lakaran lukisan dan cara penyampaian lawak itu sebenarnya mendorong peminat terus meyimpan koleksi majalah ini dirumah. Hakikatnya untuk mencari idea menghasilkan lawak jenaka yang baik bukan semudah yang disangka. Mungkin dengan keluaran yang ada dipasaran sekarang ini sangat berkualiti, menyebabkan pembaca majalah ini tidak boleh berhenti ketawa. Haha! cam kambing!.

Pedang Setiawan, Juara Wira , Raja Rimba adalah contoh karya
aksi yang memaparkan seni pertahanan diri. Penulis dan Pelukis seperti Ma Wing Shing, Tony Leung adalah orang yang bertanggungjawab terhadap penghasilan majalah ini. Jangan terkejut jika di Malaysia orang lelaki juga sanggup menghabiskan wang dengan menyimpan komik aksi seperti ini. Manakan tidak, majalah ini hanya terbit seminggu sekali dengan harga yang cukup murah iaitu Rm3.50. Walaupun karya ini adalah hasil fantasi penulis dan pelukis, akan tetapi dengan jalan cerita yang menarik dan kuasa-kuasa yang mengarut, ia menjadi kegilaan ramai.

Lord Of The Ring dan Harry Potter adalah bahan bacaan fantasi yang juga menjadi salah satu pilihan pembaca lelaki. Imiginasi dan daya fikir yang tinggi menyebabkan lelaki selalu ingin berjaya kehadapan. Perasan atau tidak karya daripada barat ini sebenarnya banyak mengajak kita berfikir tentang sesuatu yang hendak disampaikan. Akan tetapi, hanya itu perkara positif yang kita boleh ambil dari karya mereka. Perkara yang lain semuanya merosakkan pemikiran dan agama kita sendiri.

Genre agama adalah salah satu pilihan utama lelaki di Malaysia. Karya "Hidup Selepas Mati" dan "La Tahzan" adalah contoh pilihan bahan bacaan yang menarik. Menyedari hakikat lelaki sebagai ketua keluarga dan rumahtangga, buku seperti "Suami Teladan Igauan Seorang Isteri" adalah pencarian buku yang terlaris. Akan tetapi keprihatinan pembaca lelaki terhadap genre ini masih kurang dan perlu digalakkan dari masa ke semasa.


Pembaca Wanita.


Penulis beranggapan bahawa pembaca wanita berani untuk memilih 4 jenis bahan bacaan. Samada ia bergenre masakan, hiburan, cinta dan agama. Begitulah hati wanita yang halus. Bahan bacaan juga bukan dari maklumat yang berat dan menyesakkan pemikiran. Dari segi jantina sahaja apakah kita sedar dan tahu ada perbezaan penerimaan bahan bacaan tersebut?. Kita jawab sendiri.

Majalah Hips,Urtv dan Mangga adalah contoh penulisan hiburan yang menggalakkan peminat wanita membeli. Hampir 100% bahan artikel yang dipaparkan hanyalah berbentuk hiburan. Sesetengah peminat yang membaca, menjadikan majalah tersebut sebagai hujah dan mula bercerita gossip ala ahli mesyuarat tingkap bersama rakan-rakannya. Maka keluarlah dalil-dalil yang dinaqal dari majalah tersebut untuk meniupkan perasaan suka atau benci kepada seseorang artis. Walhal, apa yang ditulis belum tentu semuanya benar kerana ia melibatkan maruah seseorang. Akhirnya pembaca cepat membuat kesimpulan dengan hasil penulisan tersebut.


Novel cinta adalah kisah hati dan perasaan yang harus diselami dan ketahui maksud yang tersirat. Pembaca wanita tertarik dengan genre ini kerana aplikasi cinta didalam novel terkadang berlaku dalam kehidupan realiti mereka. Tidak sempurna sekiranya penghasilan penulisan novel tidak ada watak wanita sebagai orang yang ingin dicintai. Tambahan pula jalan cerita yang sedih menambahkan rasa tersentuh hati wanita yang membacanya. Begitulah lumrah sifat wanita terhadap pautan novel-novel seperti ini.


Koleksi masakan adalah yang terpenting didalam sesebuah rumah. Bagi wanita sudah pasti mereka akan mengumpul seberapa banyak buku masakan yang terbaru demi menjaga hubungan kekeluargaan. Masakan selalunya berkaitan dengan selera yang berubah-ubah. Bagi yang belum berkahwin buku tersebut menjadi panduan dalam mempelajari selok belok masakan yang baik. Lain pula dengan wanita yang sudah bersuami, mereka memiliki buku masakan kerana ingin menjamu suami mereka dengan selera hidangan yang baru. Baru mereka akan dipuji suami. Menyimpan buku masakan umpama menyimpan harta karun. Ia boleh jadi penyelamat kepada hubungan kekeluargaan.

"Menjadi Isteri Solehah" adalah buku bergenre agama pilihan wanita yang mahu belajar melayari rumahtangga dengan bahagia. Kesempatan membaca genre agama adalah pilihan yang terbaik untuk wanita kerana mereka juga tidak mahu ketinggalan dalam memahami segenap hal berkaitan agama. Mereka mengetahui seorang wanita suatu masa akan memerlukan seorang lelaki untuk memandu mereka menjadi wanita yang baik.

Jadi apakah kita merasakan genre yang dipilih wanita begitu ringan berbanding lelaki atau lelaki memang suka kepada kesemua genre dan tidak ada sikap memilih dalam membaca?.

( bersambung.....)
saje bagi pikir dulu..










Sunday, 6 September 2009

Aku ingin kembali

Sudah hampir setahun aku mendiamkan diri. Langsung tidak hirau untuk mengupdate seberapa banyak maklumat yang baru. Tidak seperti rakan-rakan yang lain. Ada sahaja bicara dan isu yang mereka paparkan. Barangkali begini kehidupan penulis. Ketika mula-mula menjadi penulis, ada sahaja perkara dan cerita yang hendak ditulis. Oleh kerana sudah lama menulis, mungkin sifat itu boleh berubah gara-gara malas untuk mencari dan membaca seberapa banyak bacaan untuk ditulis.


Walhal ketika ini, aku sedang sibuk dengan urusan yang berkaitan dengan penulisan. Semua perkara harus ditulis. Mungkin ini menjadikan aku semakin lama semakin bertimbun perkara yang perlu ditulis. Akhirnya blog aku sendiri yang membisu. Sebenarnya aku ingin kembali kepada blog ini. Mungkin selepas aku habis beruzlah dan mencari ketenangan fikiran, aku akan kembali. Sayang kalau ia ditinggalkan begitu kosong. Aku percaya bahawa seorang ulama bukan sahaja harus mahir membaca kitab dan bersyarah, bahkan seorang ulama harus mahir dalam penulisan.

Ketajaman penulisan adalah kualiti yang terbaik yang harus aku miliki. Kuasa penentu idea dan hasil pembacaan adalah input utama yang harusi disediliki. Mungkin ramai yang menyedari dengan penulisanlah agama Islam dihina, dengan penulisanlah umat Islam berpecah belah. Sejarah penulisan itu tidak akan pernah hilang kerana ia sudah ditulis umpama batu bersurat, sekalipun ia telah lama ditulis, tidak ada sesiapa yang boleh menafikan penulisan itu. Begitulah yang ku inginkan penulisan itu sesekali tidak dapat akan dihilangkan dari fakta sejarah!!.

Wednesday, 3 December 2008

Lakaran Kasih Marhaen





Saat dugaan mendatang dengan hukuman dunia, kasih diharap dapat mencuci kesedihan dan kepiluan. Tika ini, air mata bukanlah mampu menagih simpati hati manusia yang sempurna. Mereka punya segala-galanya didunia ini. Senyuman sentiasa terukir dibibir mereka tatkala bermunajat kepada tuhan. Sesuatu yang dipohon telah ditunaikan. Lalu apa yang ada pada seorang marhaen.


Hati sering terguris kerana kata-kata itu datang dari manusia yang dianggap punya segalanya. Malanglah mata sentiasa tertutup dan dihijab kerana semuanya berpunya. Siapa pula yang ingin membela marhaen naif berbau hamis?. Diri kusut masai dan asyik meminta. Apakah orang yang punya segalanya sudi setelah marhaen menjadi seperti mereka?.


Jangan lupa, marhaen sejati juga punya kasih kepada manusia yang sempurna. Tetapi langsung tidak dipandang kerana tidak kenal siapa dan apa mahunya sebagai marhaen. Tempatnya dibumi bukan untuk merangkak dan mengesot dikaki lima. Menyarung pakaian lusuh serta menghulur tangan longlai kosong.


Rupanya ada lagi manusia sempurna memberi kasih kepada marhaen. Entah siapa menyuruh atau diri sendiri mahu dekat padanya. Raut wajah melalui usia emas. Namun, masih kuat untuk melawan arus usia yang harusnya duduk tersenyum menghadap dunia. Lalu tangan-tangan sempurna menghidupkan harapan usia marhaen agar terus dikasihi. Semuanya menjadi lakaran kasih insan yang bernama marhaen.

































































































Sunday, 2 November 2008

: :Bayang Di Sebalik Cermin: :

Seorang insan berdiri di hadapan cermin,
Memerhati wajah kusam,
Rupa paras sakit dimata orang,
Tiada yang menghirau dan tiada yang memandang,
Hanya ada bayang resah sentiasa menghimpit masa.

Selemah pengemis meminta makanan,
Selemah itulah tubuh dihadapan bayang,
Malu pandangan mata berkedip memerhatikan,
Sindiran pengotor sentiasa menjadi bualan,
Cemuhan dan hinaan santapan makanan.

Kasihan bayang,
Baru ku lihat wajah duka didalam bayang,
Lemah longlai langsung dibiarkan sendirian,
Apa penentu nasibku bersama bayang,
Tiada kenal erti kehidupan,
Tiada kenal erti kesenangan.

Sinar matahari yang memancar kepanasan,
Terkadang hujan mengganti taufan,
Petanda rahmat kurniaan mendatang,
Inikah permulaan bagi orang yang bersalah,
Mengadu nasib setelah diri disisih,
Oleh mata yang memandang benci kepada bayang.

Besar nilai menghamba kepada tuhan,
Ukuran bukan dengan kebendaan hartawan,
Bahkan lafaz Syahadah bukti ingin dicintai tuhan,
Pergilah bayang,
Cari kemahuanmu yang ingin mendampingi tuhan,
Taubat sebagai pertahanan yang ampuh,
Pasti rintihanmu akan dipandang tuhan.