Wednesday, 16 September 2009

Tuntutan Usaha Dan Tawakal


Kehidupan didunia menuntut agar semua manusia berusaha untuk mencari rezeki yang akan menjamin kesejahteraan hidup. Pelbagai ujian dan cubaan bakal ditempuhi semata-mata untuk mencapai kebahagiaan dunia. Sekiranya kita menginginkan sesuatu perkara yang menjadi keperluan harian , sememangnya bukan hanya sekadar menunggu dan mengharap belas ihsan dari orang lain. Bahkan dengan kurniaan tubuh badan yang sihat, seharusnya lakukanlah sebanyak mana pekerjaan agar kita memperoleh imbuhan daripada tiap-tiap apa yang kita usahakan.

Sekiranya seorang lelaki ingin menyara kehidupan keluarganya yang serba kekurangan, tentu dia akan memikirkan sesuatu keperluan untuk mencapai kesenangan. Bagi tiap orang yang mempunyai akal dan tubuh badan yang sihat, sepatutnya mereka keluar untuk mencari pekerjaan yang dapat melepaskan kesusahan diri dan keluarganya. Bukan hanya mengharapkan orang lain yang menanggung dirinya tanpa langsung ada rasa bersalah. Sekiranya mahu pendapatan, haruslah ia mencari pekerjaan.

Seorang pelajar yang ingin menghadapi peperiksaan, seharusnya pula mengulangkaji pelajaran dengan baik. Bukan setakat bermudah-mudah dan hanya mengutamakan perkara yang lain dari situasi peperiksaan yang dihadapinya. Sekiranya kejayaan yang diharapkan, maka berusahalah untuk mencapai apa yang dihajatinya. Kemampuan itu kadang-kadang terhalang oleh sifat kurangnya usaha dari diri sendiri.

Seorang hamba yang sentiasa berdoa kepada Allah swt, haruslah sentiasa berusaha melakukan sebanyak mungkin amal kebaikan agar doanya diterima dan permintaannya dikabulkan. Lihat sahaja didalam tafsir surah al-Fatihah ayat ke-5 , Allah swt berfirman maksudnya: " Akan dikau kami sembah, dan akan dikau tempat kami memohon pertolongan". Perintah tersebut menunjukkan manusia harus mentaati Allah swt terlebih dahulu kemudian barulah diikuti dengan meminta pertolongan.

Setelah selesai segala tanggungjawab dan keperluan telah dipenuhi, disinilah harus kita letakkan sikap tawakal dalam segala usaha yang kita lakukan. Secara zahirnya tiap-tiap usaha pasti akan membuahkan hasil yang diinginkan. Hakikat yang sebenar, Allah swt lebih berhak menentukan sesuatu dari setiap usaha yang kita lakukan. Mungkin diantara 3 contoh yang disebutkan tadi, berjaya menjadi milik kita. Mungkin juga hanya 2 perkara tadi yang kita miliki. Tidak mustahil ada juga yang langsung tidak berjaya memiliki ketiga-tiga perkara yang disebutkan tadi. Sekarang fikirkanlah sendiri bagaimana untuk kita mencapai sesuatu dengan timbangan usaha yang kita lakukan.

Monday, 14 September 2009

Harta Dunia:: Mana Milik Kita Yang Sebenar


Mencari harta dunia adalah tuntutan fitrah manusia untuk menampung kehidupan yang sementara. Ia menjadi sebuah landasan dalam meneruskan hidup daripada dibelenggu kemiskinan. Segala-galanya hanya memerlukan usaha dan ikhtiar untuk mendapatkan apa sahaja yang diperlukan. Soal kekayaan bukanlah menjadi suatu kesalahan untuk dimiliki, akan tetapi hasilnya hendaklah dari yang halal. Usaha yang baik bukan sahaja akan memiliki harta yang halal bahkan akan membawa berkat.

Menjadi tanggungjawab kita untuk menyedari hakikat bahawa setiap harta kemewahan bukanlah semuanya akan kekal abadi milik kita. Bahkan kita tahu harta yang sudah dikumpul bak gunung akan diwarisi oleh anak cucu cicit kita suatu hari nanti. Lantaran terlalu mustahil untuk kita mengakui harta tersebut akan bersama kita selama-lamanya. Betapa naifnya jika ada orang yang berkata begitu. Mungkin sesuatu perlu diingat bersama, berapakah harta yang kekal menjadi milik kita?.

Jika seseorang mempunyai wang bernilai Rm100, berapa banyak yang diperuntukkan untuk keperluan dunia dan berapa pula yang menjadi miliknya sendiri. Mungkin sahaja duit tersebut akan menjadi milik orang lain. Belanja kedai, klinik , membaiki kereta dan sebagainya. Semuanya menjadi hak orang lain. Penulis ingin mengajak kita semua berfikir, manakah sebenarnya hak kekal kita selama-lamanya?.

Merujuk kepada satu hadis, Nabi saw bersabda : " Apabila mati seorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali dalam 3 perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh". Kalau kita menyedari hakikat ini, berapakah harta yang kita pernah sedekahkan untuk melepaskan kesusahan orang lain?. Sekiranya didalam Rm100 tadi ada bahagian Rm5 untuk sedekah, maka itulah sebenarnya milik kekal kita diakhirat. Perhatikan betul-betul bahawa Rm95 tadi adalah milik orang lain. Perbezaan nisbahnya cukup besar dari apa yang kita kumpulkan untuk kesenangan kita di dunia.


Sunday, 13 September 2009

Ramadhan Berakhir Dengan Sia-Sia

Penulis sedikit terkejut apabila melayari pembacaan sebuah akhbar harian popular di Malaysia. Tajuk frontpage yang terpampang di dada akhbar tersebut ialah "Umpan Goyang Bikini" . Adakah ini sebuah iklan semata-mata?. Sebenarnya ini benar-benar berlaku di kota Kuala Lumpur disaat menyambut 10 akhir Ramadhan. Siapakah pula orang yang bertanggungjawab diatas penyebaran budaya hina bulan Ramadhan ini?. Siapa lagi kalau tidak orang yang menggondol anugerah perosak agama Islam adalah orang melayu sendiri.

Ketika 10 Ramadhan terakhir adalah untuk mencari kemuliaan malam Lailatulqadar, ada pula spesis manusia mencari kemuliaan 'malam berbikini'. Tawaran yang sangat terbuka luas, memberi minuman percuma kepada pengujung wanita yang hadir memakai bikini merupakan suatu penghinaan kepada agama. Sememangnya hati mereka yang sangat keras seperti batu tidak akan dapat merasa nikmat besarnya bulan Ramadhan. Jika perkara sebesar itu pun boleh berlaku di bulan Ramadhan, tidak mustahil ia berlaku di bulan yang lain.

Pemimpin dan masyarakat seharusnya membuka mata seluas-luasnya bahawa negara kita sudah mencapai tahap yang berganda-ganda maksimum dalam menjuarai kemungkaran. Sudah bertahun-tahun kita 'membutakan mata' serta 'memekakkan telinga' dek kerana menganggap ia kebebasan hak asasi manusia. Akan tetapi kerana syaitan bertindak menjadi 'penasihat', maka mereka tidak pernah peduli akan kepentingan orang lain.

Sesungguhnya Islam telah memberi garis panduan hukuman kepada pelaku seperti mereka. Sekiranya kita masih lagi ragu-ragu dan bimbang untuk melaksanakannya, sebenarnya ia tidak lebih dengan menjadikan kita tidak yakin akan ketetapan tuhan. Jika begitu bilakah kita mahu memulakan langkah untuk menutup segala pintu-pintu kejahatan atau kita terus membiarkan mereka ditengah-tengah kesesatan?.


Saturday, 12 September 2009

Antara Permintaan Nafsu Dan Penolakan Hati


Siapa yang tidak mahu mengaku membuat kesalahan sekiranya jelas berpunca daripadanya?. Siapa pula yang sering teragak-agak dalam melakukan sesuatu kerja kerana dalam hati timbul rasa curiga, sangsi, takut dan bimbang?. Kalau inilah sedang bersarang dihati kita, jagalah baik-baik kerana kita sedang cuba melunaskan permintaan nafsu. Melakukan sesuatu dalam keadaan tersebut, menjelaskan kita sebenarnya membuat keputusan yang betul atau tidak.

Kita selalunya yakin dengan sesuatu yang kita akan lakukan. Apa sahaja gangguan yang cuba datang untuk mengoyahkan perasaan kita seharusnya ditepis supaya tidak timbul perasaan syak wasangka. Prinsip yang sukar diubah selalunya dapat menilai sesuatu perbuatan dan keputusan dengan betul. Akan tetapi prinsip itu bukanlah didasari perkara yang bercanggah dengan nilai ajaran agama Islam.

Manusia memerlukan makanan rohani bagi menjernihkan hati dari dicemari perasaan syak wasangka dan lebih buruk daripada itu ialah meletakkan perkara maksiat. Ia menunjukkan bahawa sebenarnya hati mampu dikawal sekiranya makanan rohani benar-benar kita 'hadam'. Sifat hati sebegini mampu menolak ajakan hawa nafsu jahat yang merosakkan segala anggota tubuh kita.

Kejadian nafsu menjadikan seseorang itu mempunyai perasaan dan menginginkan sesuatu. Keinginan itu sendiri sekiranya bukan untuk tujuan kebaikan, nyatalah ia datang dari sifat nafsu jahat yang tidak terkawal. Membayangkan bahawa dengan penciptaan nafsu itu terkadang-kadang membuat manusia menjadi lalai dan alpa, hati dengan segera menolak ajakan yang jahat kerana bercanggah dengan fitrah kehendak hati. Sekiranya hati mempunyai makanan rohani yang cukup, dengan mudah dapat menangkis kehendak nafsu.

Tafsiran akal pula berpunca dari perlawanan antara nafsu dan hati. Akal akan dapat mentafsirkan perkataan hati sekiranya kita berjaya mengekang kehendak nafsu. Begitulah juga sebaliknya, sekiranya nafsu yang berjaya mengawal hati dan perasaan, akal akan bertindak mentafsirkan nafsu menjadi perbuatan dan akhlak kita seharian. Betapa malang sekiranya kita tidak mempunyai makanan rohani, bahkan lebih banyak keinginan hawa nafsu yang akan kita penuhi.





Friday, 11 September 2009

Mengabadi Pembelajaran Dari Medan Tafaqquh

Hari ini ialah hari terakhir kelas pengajian tafaqquh bersama Syeikh Nuruddin. Penulis berpeluang untuk mengikuti kelas dari hari kedua sampai terakhir. Sepanjang pengajian berlangsung banyak manfaat yang dapat disimpan dan dikamuskan dalam hidup penulis. Bagi hati-hati manusia yang sentiasa terikat dengan pengajian tafaqquh sebegini, cukup untuk mereka merasakan bahawa banyak lagi ilmu yang masih belum diteroka untuk simpanan didada. Seolah-olah permulaan pengajian menjadikan manusia yang tidak tahu apa-apa, akhirnya dapat menghabiskan sebuah kitab fekah sebanyak 370 muka surat dalam masa 2 minggu!.


Merasakan peri pentingnya pengajian seperti ini dikekalkan, ia mampu mengukuhkan kefahaman dalam hal-hal kehidupan yang kita sendiri tidak sedari akan sesuatu masalah yang berlaku. Alangkah indahnya pengajian seperti ini dimulakan dengan suara nyanyian nasyid qasidah burdah hasil rakaman terbaru. Jumlah rakan-rakan yang memenuhi segenap ruang surau hingga ke tingkat atas sanggup untuk menunggu sehingga pengajian selesai setiap hari pada jam 12 malam.

Tambahan pula soalan dan pertanyaan dari rakan-rakan yang begitu banyak dapat dikongsikan bersama sementara Tuan Guru Syeikh Nuruddin menjawab semuanya dengan nas dan hujah yang mudah difahami. Penulis tertarik dengan satu soalan yang penulis tidak tahu siapa yang bertanyakan seperti itu. Soalannya dapat difahami penulis secara begini " Adakah sah solat makmum mengikut imam yang tidak membaca Surah al-Fatihah? ".


Penulis termenung sebentar mendengar soalan ini. Bukan kerana tidak tahu untuk menjawabnya. Tetapi penulis memikirkan masih ada soalan seperti ditanyakan dikalangan kita. Mungkin benar masih ada yang tidak faham tentang masalah-masalah yang berlaku didalam solat. Penulis tidak berniat apa-apa tentang soalan ini. Cuma penulis fikir, mudahkah untuk menjawab pertanyaan ini?.

Pertanyaan tersebut dijawab oleh Tuan Guru Syeikh Nuruddin dengan permulaannya bertanya kembali, " Apakah memang ada orang sebegitu?" sambil disambut gelak ketawa oleh rakan-rakan. Lalu disambung dengan jawapan Tuan Guru ," Kalau imam tidak membaca Al-Fatihah, kepada siapa makmum hendak bergantung? ". Akhirnya secara berseloroh Tuan Guru menyebut, "Wahabi Sungguh!" sambil rakan-rakan menyambut dengan gelak ketawa.

Sekiranya kita sebagai warga pewaris ilmu-ilmu ulama zaman silam, adakah kita sudah bersedia dengan pertanyaan tersebut?. Bahkan meneliti masalah di Malaysia sahaja, sudah pasti pertanyaan seperti itu akan timbul lebih banyak lagi. Penulis menganggap pengajian seperti ini adalah medan dan platform terbaik bagi mengetahui dan mendengar sendiri kupasan pembelajaran ilmu-ilmu yang tidak kita pelajari dikuliah. Walhal banyak ilmu yang diajar didalam pengajian ini melibatkan masalah-masalah isu semasa. Sekiranya kita hadir sendiri untuk kali yang pertama, penulis yakin kita tidak sabar-sabar lagi untuk menunggu pengajian yang seterusnya.



Thursday, 10 September 2009

Psikologi Jual Beli Hartanah




Entri pada kali ini bukannya untuk membahaskan secara serius tentang urusan jual beli hartanah yang berlaku diMalaysia. Akan tetapi penulis ingin mengolah perbincangan ini dari suatu sudut yang kita tidak sedari. Walhal mungkin pada pendapat pembaca seperti tidak masuk akal atau menganggap penulis seperti budak-budak. Walau bagaimanapun apa yang penulis lontarkan ini ialah pendapat dari sisi yang berlainan. Setiap perkara yang berlaku didunia pasti akan ada hikmah dan pengajaran yang tidak semuanya kita fahami.

Pernahkah pembaca mendengar tentang Syarikat Permainan Malaysia?. Ia ada adalah sebuah syarikat yang diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records yang mana telah mengeluarkan pelbagai jenis mainan 'indoor game'. Permainan seperti sahibba, catur dan saidina adalah contoh permainan berstrategi yang memerlukan masa dan kemahiran daya fikir yang panjang. Sebahagian daripada kita mungkin tidak mahu membuang masa dengan permainan sebegini susah dan membosankan. Mungkin sahaja kita tidak minat atau ditimpa kekalahan yang berpanjangan.

Penulis tertarik kepada satu permainan jual beli hartanah. Versi bahasa melayu disebut sebagai Saidina atau didalam versi bahasa inggeris disebut sebagai Monopoly. Permainan ini tidak menghadkan seberapa ramai pun pemain untuk menyertainya. Pada mulanya penulis merasakan bahawa permainan ini sangat tidak adil kerana nasib setiap pemain hanya bergantung kepada balingan 2 biji dadu.




Tetapi sekiranya kita meneliti benar-benar dari sudut psikologi, tentunya kita mahu kemenangan dengan mendapatkan wang yang banyak. Bukan hanya setakat itu, kita mampu merampas kekayaan pemain-pemain lain dengan strategi jual beli hartanah. Bayangkan bagaimana caranya untuk menguruskan berpuluh ribu ringgit didalam tangan dengan menjual beli tanah untuk didirikan rumah dan hotel. Perniagaan seperti ini memerlukan keberanian dan sanggup menanggung risiko.

Setiap pemain mempunyai cara dan strategi yang berbeza-beza. Cukup menguasai beberapa bidang tanah dengan membeli geran daripada bank boleh menjadikan pemain lain mula kehilangan wang sedikit demi sedikit. Akibat menceroboh tanah pemain lain, tidak dapat tidak kita harus membayar wang diatas kesalahan itu. Sekiranya pemain berjaya menguasai semua geran daripada bidang tanah tersebut, pasti akan dapat menguasai wang pemain lain. Perancangan kewangan pemain lain akan menjadi terjejas dan terpaksa pula membayar diatas pencerobohan tanah.

Sebenarnya permainan ini tidak akan memakan masa yang lama sekiranya beberapa perkara diatas papan permainan ini dibuang. Ini kerana pemain kadang-kadang harus membayar cukai, membayar jaminan waran tangkap dan membeli insurans diri. Secara realitinya, sekiranya kita mampu untuk membeli banyak geran tanah untuk didirikan rumah, kenapa pula kita tidak mampu untuk membayar semua hutang tersebut?. Mengapa pula kita dikenakan waran tangkap hanya kerana jual beli hartanah?. Di sini kita harus berfikir

Pencipta permainan ini tentu tidak akan membenarkan kita menang dengan begitu mudah. Meletakkan pembayaran cukai dan lain-lain sebenarnya adalah psikologi yang terbaik. Pemain akan sedikit terganggu dengan semua keadaan tersebut. Tidak mustahil sekiranya ada pemain yang menarik diri dan menjualkan kesemua bidang tanah kepada pemain lain. Nah, sekiranya realiti ini berlaku kepada ahli perniagaan di Malaysia, tahukah kita apa yang akan berlaku kepada nasib mereka?.

Merencana Budaya Membaca Di Malaysia

bahagian akhir

Setelah 2 artikel penulis sebelum ini membincangkan faktor-faktor pembacaan dari sudut jantina dan umur, bahagian terakhir ini penulis cuba menghuraikan aspek pembacaan dari sudut kecenderungan genre bacaan. Mungkin agak sukar sedikit untuk memahami apa yang penulis maksudkan. Akan tetapi keadaan semasa menunjukkan bahawa kecenderungan itu adalah sesuatu yang boleh berubah-ubah.

Pada pengamatan penulis, kecenderungan terhadap pemilihan genre bacaan ialah bergantung kepada apa yang dilakukan oleh seseorang itu pada masa sekarang. Ini kerana dari sudut kecenderungan, tidak mustahil ia boleh berubah pada bila-bila masa. Secara kebiasaan, seseorang akan membaca apa sahaja yang ada disekitarnya. Mungkin sahaja ia hanyalah untuk mengisi masa lapang daripada terbuang begitu sahaja. Tetapi ia tidak akan terbuang waktu apabila mencapai apa sahaja bahan yang boleh dibaca.




Sekiranya pada hari ini, seseorang itu ialah mahasiswa atau mahasiswi, ia akan memilih bahan bacaan berkaitan dengan apa sahaja kursus yang dipelajarinya sekarang. Kursus pengajian Islam, sains komputer, automotif dan lain-lain,semuanya mempunyai bahan bacaan yang tertentu untuk dikaji. Ini adalah kerana kecenderungan berlaku ketika mereka berada di alam pengajian sebagai warga kampus. Justeru penekanan dalam pembacaan hanya tertumpu didalam bidang yang dipelajari. Mungkin kita boleh katakan, sesekali mereka akan membaca majalah hiburan atau komik untuk menghilangkan tekanan.

Begitu pula sekiranya kita membayangkan seseorang itu ialah ahli perniagaan. Pemikiran seseorang ahli perniagaan biasanya tertumpu kepada bagaimana untuk meningkatkan prestasi syarikat dan memperbaiki hubungan dengan pekerja. Kalau kita melihat kecenderungan seperti ini, sudah tentu ahli perniagaan tersebut akan mengkaji buku-buku berkaitan dengan urusniaga syarikat. Tidak keterlaluan sekiranya penulis menganggap kecenderungan juga kadang-kadang boleh menyempitkan pembacaan.

Sebenarnya kecenderungan bukan sahaja hanya tertumpu kepada keadaan yang berlaku pada waktu sekarang, ianya boleh diperluaskan lagi sekiranya minat membaca itu dapat dipupuk dari kecil. Justeru pembacaan akan menjadi lebih berkembang dan kefahaman ilmu dapat diperkaya. Masyarakat seharusnya memulakan langkah pertama untuk mendidik diri sendiri, keluarga dan anak-anak melalui galakkan dalam membaca. Jangankan kerana kita sudah bernama bangsa, kita tidak perlu untuk membaca.