Sunday 28 February 2010

Lembut Gigi Daripada Lidah




Ketika ini penulis sibuk melayan karenah kawan-kawan serumah. Masing-masing riuh menonton perlawanan bola sepak antara Tottenham menentang Everton. Walaupun begitu pasukan pilihan mereka bukanlah termasuk 2 kelab ini. Hanya suka menyaksikan persembahan dan membuat ulasan seperti wartawan sukan sepenuh masa. Begitupun perlawanan ini benar-benar tidak menghampakan. Biasanya apabila ada pemain dapat menjaringkan gol, peminat pastinya benar-benar memuji kehebatan mereka.

Pujian biasanya ditujukan atas sesuatu kejayaan atau memberi penghargaan yang tidak terhingga. Kejayaan biasanya ada kaitan dengan usaha dan kerja keras dari seseorang individu. Jika seorang pekerja dapat menyelesaikan tugas yang diberikan, majikan pasti akan memujinya. Tidak ada majikan yang mahu mensia-siakan pekerja seperti itu, bahkan majikan yang bermulut manis pasti dapat memberikan apa sahaja kelebihan terhadap pekerja kesayangannya itu.

Begitu juga seorang isteri yang pandai mengambil hati suaminya. Masakan isteri harus dipuji setiap hari untuk menyatakan bahawa tidak ada yang lebih baik cara masakan kecuali isterinya itu. Pujian tersebut sememangnya mampu membuatkan hati si isteri begitu lega. Tidak sia-sia si isteri berkhidmat untuk suaminya. Janji suaminya itu pandai berkata-kata dan memuji setiap apa yang dilakukannya. Ini lebih penting selain menjaga perut si suami.

Pujian dan kata-kata yang manis kadang-kadang boleh membawa musibah. Ada orang yang tidak suka dipuji langsung. Mereka lebih suka melakukan sesuatu tanpa diketahui orang lain, atau lebih suka berstatus 'low profile' supaya tidak wujud perasaan membeza-bezakan antara satu sama lain. Walhal dalam diam-diam merekalah paling banyak membawa kejayaan dan keuntungan untuk orang lain. Sikap seperti inilah yang harus lebih diberi pujian. Akan tetapi mungkin bukan secara langsung seperti orang yang suka menerima pujian.

Setiap pujian bukanlah membawa maksud yang buruk, bahkan kadang-kadang dengan pujian seseorang akan lebih rasa dihargai. Akan tetapi jangan terlalu berlebihan, kelak ia sendiri akan mendatangkan sikap ego dan bongkak dalam diri masing-masing. Berilah pujian sekiranya ianya bertujuan kebaikan, tetapi jauhilah ia sekiranya ia membawa fitnah kepada diri sendiri dan orang lain.











Saturday 27 February 2010

Hukum Islam Bukan Dengan Logik Akal




Hampir sebulan penulis tidak menulis di blog ni. Kesibukan dalam tugas dan masa yang tidak dapat mengizinkan menyebabkan penulisan terbantut begitu lama. Mungkin sahaja blog ini bakal tidak akan dilawati oleh pembaca lagi. Penulisan yang baik adalah penulisan yang berterusan walaupun sedikit. Mudah-mudahan pembaca dapat mengambil manfaat dari apa yang penulis luahkan di dalam penulisan ini.

Penulis sempat membaca akhbar dalam masa seminggu ini. Heboh diperkatakan orang mengenai hukuman rotan yang dikatakan sebagai 'isu sensitif' kerana melibatkan hak dan maruah individu tersebut. Ketika perlaksanaan hukuman tersebut telah pun dijalankan ke atas 3 individu wanita atas kesalahan seks bebas, sebuah NGO mula memainkan peranannya membela hak asasi tersebut. SIS ( Sister In Islam ) sebagai sebuah badan NGO yang memperjuangkan kesamarataan gender, mula menyuarakan rasa tidak puashati tersebut.

Alasan 'hak asasi' dan 'maruah' selalu dilaung-laungkan demi menutup kesalahan yang dilakukan tersebut. Malangnya apa yang diluahkan itu adalah hasil pemikiran logik kerana mahu merasai nikmat kebebasan didalam hidup. Lebih menakutkan, Islam yang diletakkan sebagai agama persekutuan didalam perlembagaan adalah agama yang dianuti oleh mereka. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak yakin dengan apa yang telah ditentukan oleh undang-undang Islam.

Hukum Islam yang ditetapkan bukanlah berniat menyusahkan umatnya. Akan tetapi sebenarnya umat Islam itu sendiri yang menyusahkan agama. Kita seharusnya tidak membuang masa memikirkan masalah kepincangan gejala sosial yang berlaku dihadapan mata. Ini kerana setiap jenayah syariah yang dilakukan oleh umat Islam sudahpun dijawab dengan jelas oleh Al-quran. Mustahil undang-undang manusia mampu mengatasi ketetapan undang-undang Allah.

Apa yang harus dijelaskan ialah Islam bukan agama yang bercirikan keganasan. Bahkan Islam juga mempunyai sikap toleransi. Akan tetapi berhati-hati, Islam juga tegas apabila penganutnya melakukan kesalahan yang telah dilarang. Ini kerana mereka harus menerima hukuman yang setimpal. Penulis menganggap mungkin masih ada golongan yang tidak faham atau tidak mahu memahami hukum Islam itu sendiri. Justeru sekiranya mereka tidak memahami undang-undang Islam, lebih elok serahkan sahaja kepada orang yang lebih faqih dan benar-benar teliti dalam hal tersebut.

Saturday 6 February 2010

"Kalah Membeli Menang Memakai"




Tajuk diatas barangkali pernah mengingatkan pembaca semua kepada sebuah iklan sabun pencuci baju ditelevisyen suatu masa dahulu. Tagline yang sangat meyakinkan pengguna bahawa biarpun mahal berbelanja akan tetapi manfaat dan kepuasan dari membeli itu dapat dirasai. Apa yang penting adalah kualiti terhadap barang itu sendiri.

Pagi tadi ketika penulis berkunjung ke pameran buku antarabangsa Mesir kali ke-24, menyaksikan betapa ramai pengunjung sama ada dari penduduk tempatan mahupun warganegara asing yang sanggup berasak-asak untuk memenuhi keinginan masing-masing. Warganegara asing khususnya para mahasiswa yang menuntut ilmu dibumi Mesir juga tidak ketinggalan sambil mengendong troli khusus untuk mengangkut kitab-kitab mereka ( confirm yang bawak troli ni beli banyak ) . Seperti tahun lalu, kebanyakan syarikat-syarikat penerbitan masih tetap menyewa tempat yang sama. Ini memudahkan pengunjung yang sudah biasa membeli buku-buku dari syarikat mereka.

Pada tahun ini, harga kebanyakan kitab-kitab naik dan penulis sendiri terdengar rungutan dari beberapa mahasiswa yang mengakui sukar untuk membuat pilihan ketika membeli. Pada pendapat mereka, sekiranya dengan budget kewangan mereka yang ada tidak mampu untuk membeli semua kitab yang ingin dimiliki, mereka akan merasa rugi. Apatah lagi untuk menunggu tahun hadapan, sudah tentu harga akan terus naik. Bagi penulis sendiri, hakikat yang harus diterima ialah kenaikan segala jenis kos yang melibatkan syarikat penerbitan itu sendiri. Tidak dapat dinafikan sekiranya syarikat terus mengekalkan harga yang sama, maka dengan sendirinya syarikat itu akan mengalami kerugian.

Bagi mereka yang tahu erti kepuasan dalam membeli, sudah tentu mereka bijak untuk menilai kitab apakah yang paling penting untuk mereka miliki selari dengan perbelanjaan yang mereka peruntukkan. Sebenarnya kita tidak boleh mengikut cara orang lain membeli. Apa yang penting ialah tujuan kita membeli kitab itu dan kepentingan penggunaanya pada ketika itu. Sekiranya kita hanya ingin membeli kitab untuk menjadi bahan rujukan ketika berada di Malaysia, adalah lebih baik ia dibuat ketika kita berada di tahun akhir kuliah. Ia sedikit sebanyak membantu supaya perbelanjaan yang kita ada dapat menjamin kepuasan ketika membeli kitab-kitab tersebut.

Masalah yang berlaku apabila kita terlalu ghairah berbelanja besar sehingga tidak memikirkan kesan terhadap kewangan tersebut. Mungkin ada sedikit sindrom yang mana suka melihat orang lain membeli banyak kitab, lalu kita juga mahu seperti itu. Menjadi perkara yang mustahil sekiranya kita ingin berbelanja diluar kemampuan kita sendiri. Justeru rancanglah dengan sebaik mungkin perbelanjaan tersebut supaya setiap pembelian itu membawa manfaat yang besar kepada diri kita sendiri.

Thursday 4 February 2010

Pembahagian Harta Pusaka

Hari terakhir peperiksaan begitu melegakan hati. Ditambah cuaca yang begitu sejuk didalam dewan peperiksaan dek kerana muraqib yang membuka tingkap seluas-luasnya. Kertas soalan yang mempunyai banyak soalan-soalan ringkas tetapi mahukan jawapan yang cukup terperinci. Sebahagian rakan-rakan lain ada yang begitu pantas menjawab soalan dan cepat pula keluar meninggalkan dewan peperiksaan. Senyuman melebar kerana mudahnya soalan tersebut. Mungkin itu pandangan mereka. Tetapi sesetengahnya hanya fikir mahu pulang cepat kerumah untuk berehat-rehat.

Huh! Pembahagian harta pusaka memang sukar sekiranya ilmu tersebut tidak didalami dengan betul-betul. Ilmu yang dituntut untuk dipelajari kerana ia antara ilmu yang paling utama akan ditarik dari umat manusia. Kejahilan kerana tidak mendalami ilmu mempusakai harta atau dikenali ilmu faraid sebenarnya akan membawa bencana kepada keluarga kita sendiri. Bahkan dengan mempelajari ilmu tersebut, kita akan faham dan tahu bagaimana untuk menguruskan harta yang bakal diwarisi oleh anak-anak di masa hadapan.

Secara mudahnya, kepentingan yang harus diletakkan bukanlah impian mendapat harta itu sendiri. Bahkan apa yang harus diketahui, keadilan didalam pembahagian harta pusaka adalah hasil susunan dari ilmu faraid yang sudah pun ditetapkan oleh agama Islam untuk umatnya. Tidak mungkin akan timbul pertikaian antara manusia kerana setiap pembahagian harta pusaka itu telah pun disertai petikan hujah serta dalil dari Al-quran dan Hadis. Segala kadar pembahagian dan syaratnya sangat jelas ditentukan sendiri oleh Al-Quran. Jika begitu, seharusnya manfaat dari ilmu ini haruslah diketahui oleh tiap-tiap orang yang yakin dan beriman dengan Al-Quran.