Monday 28 December 2009

:: Zaman Keemasan Alam Mahasiswa ::




Hari peperiksaan bakal menjelang 2 minggu lagi. Persediaan rapi harus diatur dengan sebaiknya untuk menghadapi situasi memerah otak ketika menjawab soalan nanti. Ketika ini ramai rakan-rakan penulis sibuk 'membekukan' setiap hafalan dari nota-nota kitab . Bila mana tiba didalam dewan peperiksaan, semuanya sudah siap untuk dicurahkan keatas kertas jawapan. Perasaan gemuruh boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, bahkan terkadang boleh mematikan segala hafalan kita ketika menjawab soalan.

Hadir didalam dunia mahasiswa memerlukan banyak sumbangan tenaga, buah fikiran dan tindakan yang mematangkan diri. Peristiwa pahit manis alam mahasiswa pastinya melekat didalam pengalaman peribadi yang begitu diingati sehingga menjelangnya hari tua di masa hadapan. Segala curahan sumbang bakti dialam mahasiswa menjadi kenangan yang paling besar dalam hidup. Amalan hidup secara berjamaah dan berpersatuan mendekatkan kita dengan pengalaman rakan-rakan dari setiap negeri yang berbeza-beza. Ini menjadikan pendapat dan sumbangan yang dicurahkan mempunyai kepentingan dan kebaikan bersama.

Menempuh ujian hidup dialam mahasiswa akan mematangkan segala tindakan. Kita berhak menentukan jalan yang harus kita pilih dalam membuat pertimbangan yang tepat tentang sesuatu perkara yang dihadapi. Kita bertanggungjawab atas apa yang kita putuskan. Itu mungkin sebahagian daripada apa yang dikatakan sebagai 'moral responsibility' ( tanggungjawab moral ) . Melaksanakan hak terhadap diri sendiri adalah hal peribadi yang tidak perlu dikongsi dengan semua orang. Masing-masing ada cara dan pendapat dalam menyelesaikan sesuatu masalah peribadi.

Alam mahasiswa juga memberikan kita pilihan untuk berfikir secara bijak dan matang. Hal yang tidak boleh kita nafikan ialah hidup berjamaah dan bekerjasama dalam menjaga hubungan sesama rakan. Pengajaran yang cukup bermakna apabila ada rakan-rakan yang sanggup membantu apabila kita berada didalam kesusahan dan ditimpa musibah. Oleh kerana itu, harus pula kita jadi orang yang suka memberi pertolongan dan bantuan. Konsep berpersatuan sudah lama diamalkan kerana ia boleh membentuk acuan penyatuan pandangan yang bernas dan jitu. Lalu segala keputusan itu dibuat melalui kaedah mesyuarat yang mengambil kira semua persetujuan ahlinya.

Jika kita sudah merasai manisya alam mahasiswa, pahitnya juga harus ditelan. Suara persatuan yang menjadi dominan dalam pandangan ahli, kadang-kadang dihalang dan disekat dengan menggunakan berbagai cara yang tidak matang. Wujud pula pandangan dan sindiran yang memperlekeh persatuan. Kita dilihat sebagai kanak-kanak yang hanya disuruh ikut tanpa memberikan peluang untuk berfikir secara bebas. Tindakan kita seringkali di salah anggap dan dikira tidak betul jika bertentangan dengan apa yang diputuskan. Hal ini memungkinkan kita kembali kedalam tempurung yang ditinggalkan oleh katak. Katak sudah kedepan, kita pula ganti tempatnya.

Perkara yang paling menggerunkan di alam mahasiswa ialah kecundang didalam menuntut ilmu. Setelah lama membina harapan yang tinggi, akhirnya perjalanan tersekat ditengah. Kita terpaksa ketepikan segala impian kerana kita punya masalah yang lebih berat untuk di selesaikan. Sukar untuk memahami dan memahamkan orang lain dalam situasi seperti ini. Melepaskan keluhan hanyalah satu jawapan sinis yang boleh memujuk perasaan dan mententeramkan jiwa. Kita tidak mampu berjaya seperti rakan-rakan lain. Kita akui lakaran kehidupan tidak selalunya berakhir dengan kegembiraan, akan tetapi kekecewaan datang sebagai ujian dari Allah swt.

Alam mahasiswa adalah zaman keemasan kita yang harus disimpan dalam diari ingatan masing-masing. Ia tidak akan berulang lagi kerana kita bakal menghadapi hari tua dan melakar sejarah yang baru di usia tersebut. Generasi akan datang pasti akan menghadapi perkara yang sama apabila masuk ke alam mahasiswa. Ketika itu, tunggu dan lihat bagaimana mereka mengaturkan segala tindakan yang selayaknya dengan cara pemikiran seorang mahasiswa.









Sunday 20 December 2009

:: Hijrahkan Dakwah , Suburkan Sunnah ::



Kedatangan bulan muharram sebagai pembuka tirai tahun baru seharusnya disambut dengan penuh rasa syukur dan insaf. Intipati sejarah penghijrahan Rasulullah saw dari mekah ke madinah sewajibnya tersimpan kemas didalam dada ilmu setiap manusia yang mengaku mencintai baginda. Personaliti dan perwatakan baginda adalah contoh terbaik yang harus diikuti tanpa rasa syak wasangka. Proses penghijrahan atas jalan berdakwah sentiasa memerlukan pengorbanan yang tidak ternilai harganya. Apatah lagi jika nyawa yang menjadi pertaruhan, maka tidak ada langsung bandingan harga seumpamanya!!.

Setelah 1400 tahun berlalu, umat Islam pada hari ini tidak lagi perlu berhijrah untuk menyampaikan dakwah. Masing-masing mempunyai tokoh ilmuan harapan yang boleh disandarkan sebagai panduan dalam menyelami hal-hal agama. Maka logiknya ialah Islam pasti dinobatkan sebagai pegangan yang utuh tanpa sedikit keraguan. Masyarakat umum menerima apa sahaja yang dinasihati tanpa membantah kerana mereka tahu bahawa tokoh ilmuan adalah orang yang berkelayakan dalam menasihati hal-hal agama.

Setiap individu umat Islam harus bertangungjawab dalam mempelajari ilmu-ilmu agama. Tuntutan tersebut menjadi suatu keperluan penting yang perlu disedari, tatkala ambang jahiliyah abad 21 telah menjalar dalam dunia yang sementara ini. Seorang ketua keluarga haruslah memulakan posisinya sebagai ketua bagi memastikan bahawa seluruh ahli keluarganya mempunyai didikan agama yang cukup sempurna. Seorang pengurus syarikat pula haruslah bertanggungjawab menyediakan prasarana dan kemudahan untuk pekerjanya menjalankan aktiviti yang berbentuk agama.

Malangnya jika kita hanya tahu menuding jari menyalahkan golongan tertentu sebagai orang yang bertanggungjawab dalam berdakwah, tetapi kita sendiri tidak mahu memulakan proses dakwah dalam institusi kekeluargaan yang kita bina. Jalan menuju keakhirat bukannya dengan mengharapkan orang lain untuk mengumpulkan pahala, akan tetapi kita sendiri yang harus beramal dengan ajaran Islam. Tugas berdakwah tidak harus dibiarkan kepada orang-orang yang tertentu, bahkan dakwah secara individu ( fardiyah) adalah jalan yang berkesan dalam membantu kefahaman masyarakat terhadap Islam.

Dakwah bermula dengan ilmu. Setelah kita mentelaah dan mengkaji segala-galanya keperluan dan kepentingan dakwah, secara tidak langsung akan timbul keinginan untuk menyampaikan sesuatu yang bermanfaat demi kepentingan umat Islam. Jika kita malu dengan sikap sesetengah muda-mudi yang tidak menghiraukan batasan pergaulan berlainan jantina, mengapa tidak kita mulakan keterbatasan itu dengan memberi ingatan kepada ahli keluarga dan sahabat handai kita. Itu mungkin menjadi pengajaran yang bermakna dalam senarai sumbangan kita terhadap Islam. Biarlah sekecil manapun dakwah itu, akan tetapi ia tetap istiqamah.

Dakwah dengan mempamerkan akhlak yang terpuji kadang-kadang memberi kesan yang cukup mendalam. Mungkin ada hati-hati manusia yang keras untuk menerima dakwah secara pertuturan kata-kata kerana cara penerimaan terkadang tidak seperti yang diharapkan. Lebih buruk lagi jika ada yang menutup telinga kerana tidak mahu mendengar perkataan dakwah yang disampaikan. Perlu diingat bahawa kita hanya mampu berusaha akan tetapi hidayah adalah milik Allah swt. Sekira-kira kita mengamalkan sunnah dan mengajak masyarakat untuk mengamalkannya, itu juga contoh dakwah yang terbaik. Apa yang harus kita buang ialah sikap putus asa terhadap mengajak dan memandu masyarakat kearah kehidupan yang diredhai Allah swt.





Tuesday 15 December 2009

::TV, Drama dan Artis Melayu::




bahagian akhir.

Merungkai kisah kehidupan artis melayu yang heboh diperkatakan dalam rancangan-rancangan hiburan terkenal dalam televisyen. Letih dan penat mendengar bermacam kisah buruk kehidupan mereka yang dikelilingi oleh peminat fanatik. Tidak sekadar itu, artis seringkali menjadi perhatian umum apabila membuat apa sahaja aktiviti diluar. Lega apabila dapat bergambar dan ramah mesra dengan mereka. Bukan selalu dapat berjumpa. Golongan pakcik dan makcik juga tidak ketinggalan sama.

Gambaran masyarakat terhadap artis biasanya berlaku apabila mereka membawa sesuatu perwatakan didalam televisyen. Apabila seorang artis ditugas membawa watak yang baik, maka paradigma masyarakat sudah pun menerima bahawa beliau seorang yang baik. Sekiranya watak yang dibawa orang lain memperlihatkan kejahatan dan keburukan, maka paradigma sudah pun mengesahkan bahawa dirinya seorang yang jahat. Itulah keberkesanan sebuah lakonan yang baik. Dari sudut psikologi sahaja masyarakat mudah menerima apa yang mereka nampak secara zahir.

Akan tetapi televisyen jugalah yang membuka segala rahsia kehidupan realiti seseorang artis. Bermula dari kisah kerosakan akhlak dan meleret hingga kepada penceraian rumah tangga. Perkara seperti ini biasa berlaku dalam arena artis antarabangsa atau dikatakan sebagai hollywood. Rupa-rupanya 'angin' penyakit tersebut datang dan melanda artis tempatan yang kononnya berbudaya timur. Boleh juga dikatakan sebagai melayuwood. Kesannya akan terus merebak kepada golongan yang terlalu asyik dengan hiburan. Sehari 24 jam tidak pernah habis dengan cerita gossip artis kesayangan mereka.

Penulis merasa kasihan dengan ibubapa yang mana mereka cuba mendidik anak mereka sejak dari kecil kenal apa itu dunia hiburan dan artis. Penulis lagi bertambah hairan apabila ada ibubapa yang sanggup berhabis duit mendidik anak-anak mereka yang kecil masuk menyertai pertandingan nyanyian. Walhal anak yang kecil itulah harus diajar bersolat, membaca al-quran dan mendalami pengetahuan agama. Mereka cukup risau sekiranya anak-anak tidak tahu tentang hal ehwal dunia, tetapi mereka tidak bimbang sedikit pun sekiranya anak-anak tidak pandai membaca al-quran. Tidakkah terfikir bahawa cara didikan itu akan mengundang bahana yang lebih besar dalam kehidupan peribadi anak-anak kecil tersebut?. Jangan salahkan anak sekiranya mereka tidak menghormati kita sebagai ibu bapa suatu hari nanti!.

Adalah lebih baik sekiranya artis-artis yang ada di Malaysia ini kembali kepada mengenal diri sendiri. Sebagai penghibur, anda semua berjaya untuk mengisi ruang-ruang kosong hati masyarakat yang inginkan sedikit hiburan. Tanyakan soalan yang sama kepada diri anda pula, apakah anda terhibur dengan kehidupan peribadi diri sendiri?. Mungkin anda boleh berdalih dengan pertanyaan masyarakat, tetapi hakikatnya anda tidak mampu untuk menipu diri sendiri.




Friday 11 December 2009

::TV, Drama dan Artis Melayu::


bahagian 2

Lambakkan drama pada hari ini mencetuskan satu fenomena pengetahuan umum yang boleh dilihat didalam masyarakat. Rantaian cerita sedih, percintaan dan dunia korporat menjadi kebiasaan dalam sudut jalan cerita sesebuah drama. Garapan yang berkesan dari seorang pengarah yang hebat menjadikan drama tersebut berjaya mengganggu emosi dan psikologi penonton. Tidak mustahil, sebahagian penonton menganggap perwatakan pelakon yang dibawa didalam drama adalah sama dengan perwatakan realiti kehidupan mereka.

Seorang pengarah yang mahir dan cekap sudah pastinya ingin membawa sesuatu kelainan dalam setiap drama yang ingin diterbitkan. Ini kerana setiap masa penonton mahukan sesuatu yang lebih menarik dan mencabar. Justeru ada pengarah dan penerbit menghasilkan sebuah drama mengikut selera masyarakat pada hari ini. Permintaan terhadap sesuatu drama itu dapat dilihat melalui rating jumlah penonton selepas ia ditayangkan. Oleh itu, masih ada lagi drama yang melalui proses ulang tayang di televisyen. Ini kerana ia adalah permintaan masyarakat itu sendiri.

Penulis pernah mendengar dari kalangan rakan-rakan yang menonton drama melayu ini. Mereka sendiri sudah berani membuat andaian apakah pengakhiran sebuah drama yang mereka sedang tonton. Mereka mampu untuk menceritakan bahawa jalan cerita ini sama dengan drama begitu dan begini. Lalu apabila pengakhiran itu seperti mana yang dijangka, mereka sebut, "Inilah cerita melayu, dah tau dah endingnya". Bukankah itu sudah menjadi pengetahuan umum masyarakat?. Malahan lagu tema bagi sesebuah drama mampu dihafal dengan lancar.

Pengarah dan penerbit seharusnya tidak tertumpu dengan selera masyarakat sahaja. Mungkin ada elemen-elemen yang membawa unsur tidak baik harus dijauhkan daripada menjadi sebuah jalan cerita. Walaupun ada yang berpendapat bahawa jalan cerita adalah realiti dari apa yang berlaku dihadapan mata, akan tetapi masyarakat mempunyai berbagai lapisan usia dan peringkat. Ini memudahkan pengaruh jalan cerita masuk menjalar didalam pemikiran masyarakat khususnya para remaja yang mempunyai masa hadapan yang cerah. Mungkin pertimbangan kadang-kadang memberi respon yang positif. Akan tetapi ada juga yang menerima ia sebagai pertimbangan yang negatif.

bersambung...

Saturday 5 December 2009

::TV, Drama dan Artis Melayu::



bahagian 1....

Kesibukkan dengan kerja harian menyebabkan penulisan bertangguh sejak sekian lama. Walau bagaimanapun, penulis berusaha untuk terus mempersembahkan hasil pandangan yang boleh dicoretkan untuk tatapan pembaca semua. Mudah-mudahan ilham dan kelebihan berkarya yang dikurniakan oleh Allah SWT ini dapat digunakan untuk mempertahankan kesucian Islam. Sebenarnya sesiapa juga boleh dan mampu untuk memberikan pandangan dalam sesuatu hal yang berkaitan dengan umat Islam. Mungkin ada rakan-rakan pembaca lebih selesa dengan cara dan kaedah yang lain.

Media elektronik terutamanya televisyen merupakan aset yang paling berharga didalam sesebuah rumah. Melaluinya segala maklumat dan penyampaian berita semasa dapat dilihat dengan lebih pantas dan jelas. Berbagai syarikat penerbitan siaran pula berlumba-lumba menarik minat masyarakat bagi memenuhi rating setiap rancangan yang diterbitkan oleh mereka. Penggunaan tagline yang berkesan seperti "berita terkini hiburan sensasi", "Duniamu TV3", "Saluran Infotainmen Anda" dan lain-lain lagi mampu menarik minat mereka untuk terus setia duduk dihadapan televisyen.

Setiap rancangan yang hendak diterbitkan biasanya mengikut masa 24 jam sehari. Tidak kurang juga ada stesen yang menghadkan waktu penyiaran sehingga jam yang ditetapkan. Itu sesuatu perkara yang positif demi mengelakkan berlakunya sindrom tidak tidur malam. Lebih buruk lagi mungkin akan terkena penyakit "Insomnia". Penulis merasakan penyusunan rancangan ini seharusnya mengambil berat soal kepentingan umat Islam. Masyarakat mengetahui apa-apa sahaja rancangan yang bakal akan ditayangkan. Bahkan anak-anak kecil juga mengetahui bila waktu siaran untuk rancangan kartun mereka akan berlangsung.

Waktu solat biasanya ibubapa akan melarang anak mereka menonton televisyen. Lebih-lebih lagi waktu maghrib dimana selepas bersolat, mereka disuruh membaca Al-quran beberapa muka surat dan selepas itu barulah boleh menonton semula. Ada juga keluarga yang benar-benar mendisplinkan anak mereka dengan membawa ke masjid setiap hari 5 waktu solat. Ibu bapa sebegini sebenarnya sudah faham dan 'masak' dengan perkara yang bakal berlaku sekiranya anak mereka hanya berminat menonton televisyen.

Dalam proses menyampaikan maklumat, televisyen memberi pengaruh yang besar terhadap keberkesanan minda masyarakat. Setiap paparan rancangan sedikit sebanyak akan 'dilakonkan' atau 'dipertuturkan' semula oleh mereka. Hasilnya akan tergambarlah apa yang positif dan negatif kesan dari paparan tersebut. Justeru berhati-hatilah dengan rangsangan dan kecenderungan yang ditimbulkan, kelak ia hanya akan menjadi fitnah di mata agama Islam. Mungkin ini yang dikatakan sebahagian orang-orang tua sambil mengeluh, "Ni lah dia, tv melayu".

bersambung...



Friday 4 December 2009

Puisi:: Yang Tertinggal


Islam yang mulia,
Kami perjuang dengan air mata dan darah,
Manusia menghina keras,
Barisan hadapan tidak pernah goyah,
Pekat merah warna bersimbah,
Merindui syahid dipenghujung nafas,
Kerana yang tertinggal pastinya akan terlepas.

Umat bertuah,
Ibadah kami ibarat langit dengan bumi,
Jika sahabat nabi yang menjadi bandingan diri,
Sekalipun cuba menyaingi,
Kami tangisi keinsafan hati,
Takut berpisah daripada dunia,
Kerana yang tertinggal selalunya kecewa.

Manusia berakal,
Selalu menerima tidak pula memberi,
Dilembar sejarah ada dosa dan pahala,
Raut wajah ada garis-garis gelisah,
Takut nama ditempa pada pintu Jahanam,
Hukuman menunggu azab dinantikan,
Kerana yang tertinggal tidak diampunkan.