Sunday 3 July 2011

Semoga Allah Menyembuhkan Penyakit Tuan Guru



Beberapa minggu sudah, penulis menerima berita tentang 'perginya' seorang tokoh ulama hebat. Tuan Guru Ghazali Hasbullah seorang pendidik serta murabbi yang sangat tajam kata-katanya. Walaupun sudah berusia lebih 70 tahun, beliau masih gagah untuk memberikan kuliah dan tazkirah dimana-mana sahaja.

Nada tegas dan tinggi apabila menegur kemungkaran yang berlaku didalam masyarakat, khasnya kepada pemimpin tidak dapat dilupakan. Biarpun mendapat larangan berceramah disekitar masjid daerah mersing suatu masa dahulu, beliau tidak putus asa untuk menegakkan kebenaran. Untungnya mereka yang menadah ilmu dengan beliau.

Hari ini pula, penulis masih menunggu berita tentang kesihatan seorang lagi tokoh ulama yang disegani, Tuan Guru Dato Ust Ismail Kamus. Sudah beberapa kali beliau dimasukkan ke hospital kerana sakit. Jika tidak silap, sudah 2 bulan penuh beliau tidak memberikan sebarang ceramah dan kuliah dimasjid-masjid. Penulis benar-benar beruntung kerana pada tahun 2006, penulis dapat mengikuti pengajian berkaitan perubatan Islam bersama beliau dihotel Putra, Kuala Lumpur.

Beliau memberikan semua ilmu yang berkaitan dengan masalah merawat sihir,jin dan saka. Penulis teringat kata-kata beliau, "apa yang saya sampaikan ini, semuanya saya berikan kepada tuan-tuan dan puan-puan. Tidak tertinggal walau sedikit pun". Inilah nilai keikhlasan yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Bagi penulis, ulama seperti ini harus menjadi contoh kerana keilmuan beliau tidak mampu diwarisi oleh orang lain. Siapakah yang mampu menggantikan tempat beliau suatu masa nanti?.

Cintailah para ulama. Hormat dan beradablah dengan mereka. Merekalah yang sentiasa menunjukkan jalan kebenaran melalui lidah-lidah mereka. Penulis mendoakan agar Tuan Guru segera disembuhkan daripada penyakit yang dihadapi. Untuk melihat gambar-gambar terkini beliau, boleh mengambil link: www.jeng3x.blogspot.com



Saturday 2 July 2011

Keuntungan Menerima Islam Sebagai Cara Hidup


Lewat mutaakhir ini, kita diperlihatkan dengan perubahan watak-watak manusia akhir zaman. Tanda-tanda kecil kedatangan hari kiamat kian menjelma menanti persediaan umat terakhir ini. Penerimaan Islam sebagai cara hidup sudah mula bercambah didalam hati manusia yang ingin dipimpin pegangannya. Satu persatu watak baru muncul memberi kerelaan sepenuh hati menuntut kepada keinginan agama yang kukuh.

Penulis tertarik dengan sikap dan perubahan beberapa orang 'hiburan' yang kini kembali mencari pintu kebenaran. Biarpun usia melewati puluhan tahun, keberanian untuk mengaku kesalahan dan kesilapan adalah satu pujian yang harus diberikan. Meraikan perubahan biar dengan cara perlahan-lahan. Inilah hidayah dari Allah swt. Tidak ada manusia yang mampu mencampakkan hidayah ke dalam hati manusia yang lain kecuali Allah.

Islam tidak akan rugi sekiranya manusia tidak memilihnya sebagai cara hidup. Tetapi manusia akan menerima keuntungan daripada ketaatan dan penyerahan jiwa kepada Islam. Biar apa pun kedudukan dan taraf kita dibumi ini, perbezaan antara seorang manusia dengan manusia yang lain ialah ketakwaan kepada Allah swt.

Sejarah pernah menceritakan bahawa seorang manusia yang mulia seperti Bal'am bin Ba'urah meninggal dunia dalam keadaan kufur. Manakala seorang wanita pelacur dimasukkan kedalam syurga kerana memberi seekor anjing minum air telaga melalui kasutnya sendiri. Fikirkanlah dengan penuh hikmah dan tawaduk terhadap kisah-kisah seperti ini.

http://www.youtube.com/watch?v=K2FCrQgCHAc ..kisah seorang gitaris bernama Sham (ahli kumpulan Kamikaze)