Sunday 22 November 2009

Siapa Yang Mengelirukan Agama




Kita masih lagi keliru dengan cara penyampaian dakwah yang berbeza. Masyarakat sekarang mula bingung memikirkan mengapa ada sebahagian penceramah yang tersohor dikatakan tidak mempunyai tauliah. Mereka mungkin sahaja tidak memahami apakah sebenarnya peraturan yang perlu diikuti bagi memanggil seseorang penceramah untuk menyampaikan ilmu. Kebimbangan ini membawa maksud masyarakat benar-benar curiga dan keliru dengan hal yang berlaku.

Masyarakat harus memahami bahawa penyampaian ilmu bukan sahaja terletak pada pada kekuatan hujjah dan suara yang lantang, bahkan lebih dari itu ialah menjaga adab-adab ketika menyampaikan ilmu. Andai kita mengukur kelebihan yang ada itu adalah yang terbaik, maka tidak dapat dinafikan ia adalah perkara yang positif. Malahan ia adalah sebahagian ciri-ciri ulama yang berkualiti. Namun menjaga adab-adab dalam penyampaian adalah perkara yang juga harus diambil berat.

Apabila bercerita mengenai penyampaian ilmu, seharusnya penceramah memerhatikan dengan jelas siapakah pendengar yang bakal mengikuti setiap syarahan yang bakal dikupas oleh beliau. Ini kerana kefahaman setiap daripada pendengar adalah berbeza-beza. Jika kita merasakan pendengar adalah dari kalangan masyarakat umum, haruslah kita berhati-hati setiap patah kata yang keluar supaya kefahaman mereka jelas dan terang.

Dari satu sudut yang harus diambil kira, sebahagian masyarakat bukanlah kelompok yang mempelajari ilmu agama secara mendalam. Kefahaman yang sedikit serta pengamalan ibadah yang dilakukan seharian adalah hasil nasihat dan panduan yang juga diberikan oleh ulama-ulama yang lain. Sekiranya kita memfokuskan penceritaan itu kepada sudut yang terlalu dalam, sehingga sukar untuk mereka menilai mana yang betul dan mana yang salah, ia akan menyebabkan gangguan kepada ibadah yang mereka lakukan. Ia berlainan dengan masyarakat yang menuntut ilmu agama secara berperingkat dan mendalam. Mereka sudah memahami apa yang hendak disampaikan.

Perhatikanlah sekiranya itu yang terjadi dalam masyarakat kita, masing-masing akan meragui setiap ibadah yang sudah mereka lakukan dimasa lalu. Tugas yang paling besar dikalangan pendakwah masa kini ialah menjernihkan berbagai kefahaman yang bermain difikiran masyarakat tentang segala hal yang berkaitan dengan amalan ibadah. Siapa sangka hal sebegitu boleh dibincang di mana-mana warung kopi. Seterusnya tanpa sedar, ia akan menjadi racun yang tersebar dengan begitu cepat. Justeru berhati-hatilah dalam menyampaikan ilmu. Kita akan dipertanggungjawabkan atas segala perkara yang dilakukan diatas dunia.

Wednesday 18 November 2009

Menjadi Pemerhati Terbaik




Kesibukkan selama 2 minggu dengan pelbagai tugasan menjadi halangan bagi penulis untuk menulis tentang isu-isu terbaru kupasan terkini. Walaubagaimanapun penulis akan tetap terus menulis demi menjaga disiplin sekiranya ingin berkecimpung didalam dunia penulisan. Penulis teringat kata-kata seorang editorial akhbar terkenal iaitu subki latiff. Beliau menekankan peri pentingnya sebagai seorang penulis akan disiplin yang ketat. Jika mahu terus menulis, pastikan kita sentiasa menepati tugasan yang diberikan. Mungkin itu ramuan yang benar-benar mujarab.

Menjadi penulis blog seperti mata-mata pemerhati yang meneliti dan mengkaji setiap apa yang didengar, dilihat dan dialami sendiri. Bagi seorang penulis, setiap pemerhatian adalah sesuatu yang berharga perlu disimpan sebagai suatu lipatan sejarah yang boleh diingati. Penilaian yang terbaik selalunya datang dari penulisan yang serba matang. Kemudian ia terus menghabiskan setiap episod penulisan demi mencapai kepuasan dalam pemerhatian tersebut.

Jika kita meneliti bahawa setiap penulis blog yang mahir bukanlah semudahnya mencari idea penulisan dan terus membentangkan setiap pemerhatian yang dikaji. Fakta dan sumber hendaklah diambil dari bahan-bahan yang tepat dan betul. Akan tetapi mungkin terdapat sesetengah penulis blog yang terlalu ingin cepat 'naik' dan 'popular' menyebabkan segala fakta yang ditulis mengundang kontroversi yang hebat. Paling tidak akan ada respon pembaca yang akan mengkritik setiap hasil tulisan tersebut.

Displin dalam setiap hasil penulisan blog hendaklah diambil kira. Apabila terlalu bermudah-mudah dalam menulis sesuatu perkara, tidak mustahil akan mengundang pelbagai respon negatif yang tidak diinginkan. Menjadi penulis blog bukanlah bertujuan untuk menambahkan dosa, akan tetapi penulisan adalah sebuah pandangan dari sisi kacamata penulis itu sendiri. Soal amanah atau tidak, ia terletak didalam tangan penulis itu sendiri. Akan tetapi, menulis fakta berunsurkan fitnah bukanlah cara yang terbaik untuk menarik pembaca ke penulisan sesebuah blog. Ia seolah-olah mahu mencari permusuhan yang nyata.

Sunday 8 November 2009

Masyarakat Kita Terkena 'ubat pelali'



Sejak beberapa hari yang lalu, penulis mengikuti perkembangan beberapa laporan akhbar arus perdana. Isu penangkapan Dr Asri masih menjadi perbualan umum masyarakat. Seakan sinonim bagi negara Malaysia jika ada sebuah isu yang hangat di perkatakan, maka ia akan meleret memakan tempoh masa yang panjang.

Penulis masih ingat isu penderaan pembantu rumah warganegara Indonesia, Nirmala Bonat. Daripada menjadi sebuah cerita yang hangat, akhbar terus menerus mendedahkan satu persatu penderaan pembantu rumah yang berlaku didalam masyarakat kita. Penulis berpandangan bahawa jika sesuatu laporan yang baru ditulis di dada-dada akhbar, masyarakat akan mula berani untuk menyuarakan pandangan yang berlaku di sekililing mereka. Ini kerana cerita dan laporan itu disensasikan oleh penulis akhbar itu sendiri.

Bagi penangkapan Dr Asri, adakah tauliah yang menjadi isu utama?. Penulis bukanlah seorang pemerhati yang benar-benar terperinci. Tetapi kita lihat sendiri berapa banyak pihak yang membantu membantah penangkapan tersebut. Apa maknanya?. Dr. Asri tidak perlu bimbang kerana bukan hanya orang-orang biasa yang mempertahankan beliau, bahkan pemimpin tertinggi negara juga turut meluahkan sokongan kepadanya. Mereka memandang rendah terhadap undang-undang yang berkaitan dengan tauliah. Bagi mereka Jabatan Agama Islam tidak berfikiran terbuka.

Penulis beranggapan Jabatan agama Islam melakukan tindakan yang profesional kerana tangkapan itu berdasarkan undang-undang syariah yang berkaitan dengan tauliah. Masyarakat sendiri boleh membaca akta dan enakmen yang melibatkan tentang tauliah. Kita punya cerdik pandai undang-undang yang boleh membantu menterjemahkan apakah yang terkandung didalam akta yang berkaitan dengan tauliah.

Penulis sedikit kecewa kerana kita boleh diibaratkan terkena 'ubat pelali' didalam kes beliau. Ia boleh menidurkan kita berjam-jam lamanya. Mengapa tidak kita beri peluang kepada Jabatan agama Islam untuk mereka menjelaskan isu tangkapan tersebut kepada umum. Sudahlah negara tidak mengguna pakai undang-undang Islam secara keseluruhan, kita pula menekan pihak Jabatan agama Islam dalam isu tersebut. Selagi tangkapan itu dibuat berdasarkan akta dan enakmen, kita harus cuba mendengar penjelasan dari mereka.

Penulis terfikir, dahulu nak tangkap ratu cantik, pesta seks, artis berpakaian tidak senonoh semuanya salah. Sekarang nak tangkap kerana masalah tauliah pun salah juga. Lalu, penguatkuasa Jabatan agama Islam boleh tangkap siapa ???.







Thursday 5 November 2009

Bila Penyokong Sudah Bersuara



Agak lama tidak bersama dengan blog kesayangan. Minggu ini pula bermacam-macam tugasan yang harus digalas diatas kepercayaan dan amanah yang telah diberi. Sekalipun begitu, penulis tidak mahu lagi untuk ketinggalan terus didalam penulisan ini. Mungkin sedikit sebanyak akan menghilangkan rasa kepercayaan orang terhadap penulisan 'tenggelam timbul' seperti ini. Penulis harus belajar mencari idea bagi meneruskan perjuangan penulisan ini.

Minggu ini penulis berminat berkongsi pandangan bersama pembaca semua mengenai isu tangkapan bekas mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Penulis pada mulanya terkejut dengan penangkapan tersebut. Tetapi penangkapan itu menjadi munasabah kerana ia beralaskan undang-undang dan akta yang telah ditetapkan. Pentauliahan diwujudkan adalah kerana untuk memastikan mana-mana orang tidak mengajar perkara yang bertentangan dengan Islam. Lebih dari itu sudah sepatutnya mereka dikenakan hukuman kerana perbuatan tersebut sangat mengelirukan umat Islam.

Siapa beliau dan apakah lulusannya semua orang sudah mengerti. Kelantangan beliau bukanlah menjadi masalah besar sekiranya kebenaran perkataan itu diletakkan ditempat yang teratas. Malangnya ia bukan seperti yang disangkakan. Mulut yang mempunyai petah bicara yang menakjubkan menyebabkan masyarakat benar-benar mempercayai beliau. Apatah lagi beliau yang dikatakan sangat hebat dalam membaca isi-isi kitab dan menyebut nama-nama ulama yang masyhur. Sekiranya masyarakat mudah tertipu dengan pelaburan yang kononnya memberi keuntungan yang besar, ia sudah pasti bermodalkan kata-kata yang menarik minat.

Apatah lagi orang yang mahir membaca isi kitab, sekira-kira menyebut sesuatu dihadapan khalayak akan tetapi tidak beramanah dengan ilmu, berapa ramai masyarakat yang tertipu?. Ya, mungkin diluar sana ada segelintir yang sanggup untuk menunjukkan segala macam kitab yang dibaca. Walhal kita terlupa, penulisan dari orang yang tidak beramanah akan merosakkan segala ilmu yang dikumpulkan oleh ulama-ulama terdahulu. Jika penulisan yang 'rosak' dibaca oleh generasi pada hari ini, apakah pemikiran juga tidak akan menjadi rosak?.

Penulis masih belum memahami mengapa ada orang yang masih memandang rendah JAIS dalam isu tersebut. Bahkan memperlekehkan jabatan tersebut demi mempertahankan Dr. Asri. Bila penyokong sudah bersuara, tidak perlulah beliau bersusah payah mempertahankan diri. Bahkan beliau boleh sahaja tersenyum kerana nama beliau akan menjadi lebih terkenal selepas ini. Orang awam tentu berasa pelik, bagaimana seorang bekas mufti boleh dikatakan tidak mempunyai tauliah?. Jawapannya tentu ada pada JAIS sendiri. Mungkis selepas ini kita boleh mengenali siapa Dr. Asri yang sebenarnya.