Sunday 8 November 2009

Masyarakat Kita Terkena 'ubat pelali'



Sejak beberapa hari yang lalu, penulis mengikuti perkembangan beberapa laporan akhbar arus perdana. Isu penangkapan Dr Asri masih menjadi perbualan umum masyarakat. Seakan sinonim bagi negara Malaysia jika ada sebuah isu yang hangat di perkatakan, maka ia akan meleret memakan tempoh masa yang panjang.

Penulis masih ingat isu penderaan pembantu rumah warganegara Indonesia, Nirmala Bonat. Daripada menjadi sebuah cerita yang hangat, akhbar terus menerus mendedahkan satu persatu penderaan pembantu rumah yang berlaku didalam masyarakat kita. Penulis berpandangan bahawa jika sesuatu laporan yang baru ditulis di dada-dada akhbar, masyarakat akan mula berani untuk menyuarakan pandangan yang berlaku di sekililing mereka. Ini kerana cerita dan laporan itu disensasikan oleh penulis akhbar itu sendiri.

Bagi penangkapan Dr Asri, adakah tauliah yang menjadi isu utama?. Penulis bukanlah seorang pemerhati yang benar-benar terperinci. Tetapi kita lihat sendiri berapa banyak pihak yang membantu membantah penangkapan tersebut. Apa maknanya?. Dr. Asri tidak perlu bimbang kerana bukan hanya orang-orang biasa yang mempertahankan beliau, bahkan pemimpin tertinggi negara juga turut meluahkan sokongan kepadanya. Mereka memandang rendah terhadap undang-undang yang berkaitan dengan tauliah. Bagi mereka Jabatan Agama Islam tidak berfikiran terbuka.

Penulis beranggapan Jabatan agama Islam melakukan tindakan yang profesional kerana tangkapan itu berdasarkan undang-undang syariah yang berkaitan dengan tauliah. Masyarakat sendiri boleh membaca akta dan enakmen yang melibatkan tentang tauliah. Kita punya cerdik pandai undang-undang yang boleh membantu menterjemahkan apakah yang terkandung didalam akta yang berkaitan dengan tauliah.

Penulis sedikit kecewa kerana kita boleh diibaratkan terkena 'ubat pelali' didalam kes beliau. Ia boleh menidurkan kita berjam-jam lamanya. Mengapa tidak kita beri peluang kepada Jabatan agama Islam untuk mereka menjelaskan isu tangkapan tersebut kepada umum. Sudahlah negara tidak mengguna pakai undang-undang Islam secara keseluruhan, kita pula menekan pihak Jabatan agama Islam dalam isu tersebut. Selagi tangkapan itu dibuat berdasarkan akta dan enakmen, kita harus cuba mendengar penjelasan dari mereka.

Penulis terfikir, dahulu nak tangkap ratu cantik, pesta seks, artis berpakaian tidak senonoh semuanya salah. Sekarang nak tangkap kerana masalah tauliah pun salah juga. Lalu, penguatkuasa Jabatan agama Islam boleh tangkap siapa ???.







No comments: