Sunday 25 May 2008

Muqaddimah Jendela - harapan dan iltizam














Salam ukhwah kepada teman-teman seperjuangan. Apa khabar kepada semua sahabat-sahabat blogger yang dikenali. Kali pertama penulis tampil dengan perkembangan diri penulis sendiri.Selepas 3 entri karya penulis telah dikeluarkan, rasanya penulis perlu menceritakan sedikit sebanyak tentang keterlibatan penulis didalam lapangan blog ini.


Penulis bukanlah orang 'lama' didalam arena blog ini. Bahkan penulis baru sahaja memulakan hasil penulisan blog pada bulan april yang lalu. Walaupun begitu, penulis merasakan peri pentingnya sebagai pendakwah bukan sahaja boleh berdakwah melalui lisan, bahkan melalui hasil karya penulisan yang baik.

Keterbukaan banyak ruang-ruang yang harus diisi oleh pendakwah masa kini, bukan hanya kerana dakwah secara lisan yang sentiasa dituturkan, bahkan hasil penulisan juga mampu mempengaruhi dakwah yang berkesan dan mantap. Penulis merasakan lapangan blog ini bukanlah sesuatu yang merugikan. Bahkan jika ruangan ini di isi dengan karya-karya yang menarik dan bermanfaat, sudah tentu ia akan menjadi rujukan yang bermakna.

Perkembangan di Malaysia khususnya, memerlukan keterlibatan pendakwah dalam arena penulisan. Medium-medium seperti akhbar, majalah dan buku-buku ilmiah adalah contoh hasil penulisan yang harus diberi perhatian. Segala curahan ilmu dan pengalaman yang ada pada diri seorang pendakwah mampu mendapat perhatian khususnya kepada golongan umum yang minat membaca.

Hingga setakat ini, penulis hanya terlibat dalam karya penulisan blog. Karya- karya penulis juga hanyalah berbentuk umum, agama dan pendidikan. Penulis belum terfikir untuk terlibat menulis hal-hal berkaitan dengan politik. Ibarat anak kecil yang baru bertatih, belum mampu berjalan tanpa di pimpin.

Harapan penulis agar kita sama-sama mencuba dalam lapangan blog ini. Gunakan platform ini sebagai tontonan umum kepada masyarakat agar usaha dakwah terus diterima oleh golongan masyarakat umum. Seperti seorang seniman, blog juga mampu menjadi "public figure" kepada mereka. Mudah-mudahan segala usaha kita akan diberkati oleh Allah S.W.T.



Thursday 22 May 2008

Garis penamat kehidupan- ketentuan yang pasti datang.

sholatkan jenazah sophan (koes)



Seantero alam menyaksikan keindahan ciptaan Allah S.W.T yang maha hebat dan tiada bandingan yang seumpanya. Manusia, tumbuhan , gunung-ganang dan seluruh isi bumi saling memerlukan diantara satu sama lain. Corak kehidupan yang dihamparkan oleh Allah S.W.T seharusnya dinikmati bersama. Mudah-mudahan Allah S.W.T meredhai kehidupan yang hanya dipinjamkan sementara ini.

Kejadian penciptaan manusia merupakan suatu anugerah Allah S.W.T yang amat hebat. Kejadian yang sangat indah ini telah dirakam oleh Allah S.W.T dalam Surah At-Tin ayat 4 yang bermaksud:

" Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya "


Kehidupan manusia pasti menempuh pelbagai suka duka. Ia berlaku sebagai memenuhi fitrah duniawi yang sentiasa berputar dari masa ke semasa. Dunia yang dilihat semakin tua telah banyak menanggung bebanan dari perbuatan-perbuatan kotor manusia . Lantaran manusia masih hidup dengan hilai ketawa dan sorak gembira tanpa menyedari kehidupan didunia bakal berakhir suatu hari nanti.

Perjalanan kehidupan yang dicipta dengan pelbagai ujian dan dugaan bertujuan adalah untuk menganalisis segala amalan kebajikan dan kejahatan yang bakal dipersembahkan di hadapan Allah S.W.T . Firman Allah S.W.T yang bermaksud:


" Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidupmu untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah diantara kamu yang lebih baik amalannya dan ia maha kuasa membalas amalan kamu, lagi amat pengampun kepada orang- orang yang bertaubat "

Surah Al-Mulk:ayat 3

Sesiapa sahaja bakal dihisab dihadapan Allah kelak. Rebutlah peluang didunia ini untuk diisikan segala amalan dan bekalan yang bakal dibawa bersama. Tiada sesiapa yang mampu menolong dalam hal-hal berbuat kebaikan selain diri kita sendiri. Sesungguhnya kematian itu datang tanpa dilambat-lambatkan waktu ajalnya.

Firman Allah S.W.T didalam surah Al-Munafikun ayat 11 yang bermaksud:

" Dan ingatlah! Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang atau sesuatu yang bernyawa apabila sampai ajalnya, dan Allah amat mendalam ilmu pengetahuannya mengenai segala yang kamu kerjakan"

Halakan pertanyaan kepada diri kita sendiri, sudahkah kita sudah bersedia untuk berada digarisan penamat kehidupan?. Segala hilai tawa akan hilang. Datang perasaan gelisah yang bakal bermain difikiran. Ketika inilah hati sentiasa terpaut memikirkan kekuasaan Allah S.W.T ke atas hamba-hambanya yang lemah. Pergantungan hidup didunia dan akhirat akhirnya kembali kepada Allah. Langkahkanlah kaki menuju kepada kehidupan yang bahagia diakhirat kelak. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha mengasihani.





Politik Catur Dan Tikam Belakang

Realiti politik hari ini bukan sahaja mampu menyedarkan masyarakat bandar . Malahan masyarakat kampung yang kadang-kadang dianggap buta politik dan kepimpinan juga telah sedar tentang kesan politik terhadap mereka. Tahap pemikiran yang dibantu oleh berbagai sumber maklumat mula mengubah pandangan mereka terhadap politik.

Maka berbagai-bagai tafsiran dan presepsi yang keluar dari akal fikiran mereka. Ungkapan "Penipu !, Pengkhianat!, Perasuah !" adalah senjata lidah yang sentiasa dilaung-laungkan. Kerisauan tentang politik tanah air menjadi tajuk utama bukan sahaja didada akhbar, bahkan sehingga menjadi perbualan di warung-warung kopi. Berhabis jam di warung kopi hanya kerana politik.


Perbezaan pandangan politik terkadang-kadang menimbulkan rasa tidak puas hati diantara satu sama lain. Padahal sebenarnya bukan mereka yang patut menjadi jaguhan gelanggang. Tuding menuding mencari kesalahan adalah kebiasaan yang harus dilakukan. Semuanya kerana politik. Walaubagaimanapun, pemimpin yang berpolitik adalah jaguh sebenar. Mereka diangkat dan dijulang kerana mempertahankan wadah perjuangan parti mereka.








Catur

Politik umpama medan permainan catur.Permainan yang menduga kekuatan akal dan berimaginasi tinggi. Tiap- tiap gerak dan langkah berfungsi sebagai 2 perkara. Serangan dan pertahanan yang harus dijaga serta dikawal dengan barhati-hati. Kesilapan dalam menggerakkan langkah pasukan akan membawa padah. Ini kerana setiap tentera mempunyai kelebihan tersendiri.

Raja pula hanya berdiam diri sehinggalah apabila nyawanya mula diancam, raja harus bertindak sama ada melarikan diri atau berlindung dibelakang pasukan tenteranya. Sangat kasihan memperlihatkan raja yang seperti cacing kepanasan. Mencari perlindungan dek kerana kesilapan dalam mengerakkan tenteranya sendiri.

Sehingga disaat genting, raja tidak mampu lagi dapat dilindungi dan akhirnya tumpas kepada pasukan lawan. Inilah politik catur yang boleh dikatakan politik sebenar. Sekali membuat kesilapan, pasti pihak lawan akan mengambil kesempatan diatas kesilapan itu. Belum lagi termasuk politik tikam belakang ( stabbed back ) .

Pada permulaan permainan, knight ingin melindungi raja kerana hampir kalah. Akan tetapi, knight mempunyai kelebihan yang besar dalam permainan itu. Maka bishop yang selalu menjadi mangsa. Walhal raja yang menentukan segala-galanya. Sekiranya raja tumbang, knight juga tidak berguna lagi. Semua ini adalah aturan politik catur yang dirancang teliti untuk memperolehi kemenangan yang mudah. Lalu ia menjadikan taktik seperti ini amat popular dikalangan ahli politik.

Sekiranya hari ini ada ahli politik yang ingin bermain cara politik yang sama,ia akan merugikan jaguh-jaguh bawahan tadi. Baru hendak menentang,pendokongnya pula yang lari. Maka tidak ada gunanya politik sekiranya ia tidak bersandarkan pada niat yang betul. Jaguh -jaguh bawahan pula jangan menjadi "lebih sudu dari kuah". Mengaku berjuang dalam politik, tetapi memasang niat untuk mengaut kepentingan sendiri.

Tuesday 20 May 2008

Sanubari hati seorang guru

sekolah
Institusi pendidikan di negara kita telah berkembang dengan meluas. Sejajar dengan matlamat pendidikan yang ingin melahirkan modal insan yang berkualiti dan berketrampilan telah memberikan peluang kepada rakyat supaya menyumbang sesuatu kepada negara. Pendidikan yang dijalankan adalah untuk kebaikan rakyat di negara kita. Maka lahirlah ribuan graduan yang bergelar guru. Mereka hadir untuk membantu mengukuhkan sistem pendidikan yang telah dilaksanakan oleh pemerintah.

Nama seorang guru bukanlah sesuatu yang asing dalam alam persekolahan.Mereka adalah tempat bertanya yang paling ideal dalam pembelajaran. Lantaran tersebut, peranan guru menjadi sumber utama dalam menentukan kejayaan pelajar. Amanah yang dipikul haruslah digalas demi melihat kejayaan anak didik mereka . Walaubagaimanapun masihkah ada yang mampu memahami hati sanubari seorang guru?.

Jika suatu masa dahulu, seorang guru mampu menegur seorang pelajar yang membuat kesalahan, pelajar tersebut akur dan tidak menjawab. Lantas pelajar tersebut kembali meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya semula.

Lalu kita semua menoleh dimasa hadapan, guru tetap memainkan peranan yang sama. Menentukan kejayaan pelajar adalah cita-cita yang tidak pernah padam. Akan tetapi, balasan yang diberikan terhadap guru pada ketika ini bukanlah sesuatu yang amat diharapkan. Ketika pelajar dipuji kerana mendapat A yang banyak, mereka muncul dikaca televisyen untuk meluahkan rasa gembira terhadap kejayaan yang diperolehi. Sungguh besar erti kejayaan terhadap seseorang pelajar.

Bagaimana pula luahan hati seorang guru? Sanubari yang sentiasa terpendam, tidak mahu melukakan hati pelajar walau diri sendiri yang menanggung sedih dan derita. Dikala guru dipersalahkan kerana tidak dapat memberikan kejayaan kepada pelajar, adakah sesiapa yang berani tampil untuk melindungi guru?. Malahan guru pula dipersalahkan apabila menegur pelajar yang berkelakuan tidak sopan terhadap mereka. Saat pelajar dilimpahi kemewahan dan kesenangan dalam menunut ilmu, inilah balasan mereka.

Dalam keadaan hati yang sedih dan bercampur duka, keinginan guru masih lagi mahu melihat anak didiknya terus berjaya. Segala usaha dan tindakan guru sekadar mengikut jadual waktu kerja seharian. Demi memenangi hati pelajar, guru sanggup membiarkan pelajar terus berkelakuan tidak sopan terhadap mereka. Mereka takut sekiranya tindakan dibuat terhadap pelajar tersebut, mereka pula yang akan dipersalahkan oleh pihak lain.

Masyarakat yang tidak faham tentang tugas guru akan melenting bila ada diantara anak-anak mereka dipersalahkan kerana masalah disiplin. Walhal tindakan guru hanyalah sekadar mahu memberi ingatan dan pesanan yang jelas bahawa pelajar hendaklah menghormati guru. Jangan seperti 'ketam yang berjalan bengkok, ingin mengajar anaknya berjalan lurus'. Bukan sahaja pelajar, malahan masyarakat juga menjadi warganegara minda kelas ketiga.

Berilah peluang kepada guru untuk mendidik pelajar dengan acuan yang betul. Elakkanlah rasa curiga dan dendam terhadap perbuatan guru dalam mendisiplinkan mereka. Sekiranya kita terus mengganggu tanggungjawab seorang guru, institusi pendidikan tidak akan dihormati lagi. Masyarakat pula tentu tidak akan percaya terhadap kemampuan guru dalam mendidik anak-anak mereka. Lalu siapakah yang mahu mengambil tanggungjawab tersebut? Fikirkan bersama demi menjaga sanubari hati seorang guru.




Thursday 8 May 2008

Gelanggang peperiksaan - pilihan ditangan sendiri


Sekali lagi gelanggang peperiksaan akan dibuka.Penentuan harus dilakukan dengan segera demi kejayaan mahasiswa dan mahasisiwi Al-Azhar. Kebijaksaan dalam menentukan hala tuju keupayaan berada ditangan mereka sendiri. Tidak mungkin gelanggang yang sebesar ini akan dipersiakan oleh bakal-bakal peneraju negara seperti mereka . Akal yang membaca, lidah yang menyebut, tangan yang menulis dan minda yang mengingat adalah suatu anugerah Allah yang amat besar nilainya. Keupayaan setiap anugerah tersebut telah menjadikan mereka sebagai bijak pandai malahan ada yang digelarkan sebagai ilmuan.

Ibarat menghunus senjata, masing-masing mahu menyelamatkan diri. Tiada peluang bagi mereka yang suka mengambil sikap sambil lewa diatas platform ini. Siapa yang berusaha, pasti akan mendapat. Malang bagi mereka yang hanya tidur bermimpikan kejayaan tanpa ada sedikit pun usaha. Jangan sudah terhantuk baru hendak terngadah.

Persediaan didalam peperiksaan adalah intipati yang harus disusun dengan baik supaya mereka mengkaji setiap kelemahan didalam hal pelajaran. Keterbatasan waktu pula bukanlah menjadi penghalang kerana mereka sebenarnya mampu menyusun masa dengan baik. Semua persediaan yang dirancang dengan rapi akan memudahkan pengurusan pembelajaran dan sedikit sebanyak membantu mereka dalam hal pengurusan masa.

Bagi mencerminkan paradigma yang baik terhadap siswa dan siswi Al-Azhar, tanggungjawab moral ( moral responsibility ) terhadap penguasaan segala ilmu harus ditekankan untuk menghadapi peperiksaan. Kesedaran ini harus dipupuk daripada permulaan tuntutan dalam pencarian ilmu. Tanpa berbuat demikian, tidak hairanlah sekiranya ada dikalangan mereka yang mengambil sikap mengaku kalah sebelum berjuang. Inilah kesan negatif yang akan diterima sekiranya persediaan yang dilakukan ibarat melepaskan batuk di tangga. Perjuangan menuntut ilmu hanyalah sekadar mahu lulus dan mendapat ijazah.

Kesungguhan usaha yang dilakukan membolehkan mereka memberikan keyakinan terhadap diri sendiri. Teknik penyediaan pembelajaran yang pelbagai, menampakkan pemikiran yang kreatif dan mempunyai seni yang harus dicontohi. Tidak rugi bagi siswa dan siswi Al-Azhar sama-sama berkongsi pandangan dan idea dalam hal ini. Keterlibatan dalam menghasilkan idea dan pandangan yang bernas amatlah dialu-alukan demi menaikkan tahap intregriti hasil pendidikan bertaraf ulung di Universiti Al-Azhar. Daya saing pendidikan yang berkembang ketika ini tidak lagi boleh dipandang remeh. Jika mahu berjaya, haruslah berusaha sebaik mungkin.

Dari prespektif yang lain, siswa dan siswi Al-Azhar sebenarnya mampu untuk menguasai gelanggang peperiksaan yang telah sekelian lama dilalui. Apa yang membezakan ialah jika suatu masa dahulu gelanggang itu kecil, semakin lama ia akan menjadi besar dan terus membesar. Cabaran didalam gelanggang juga amat berbeza jika dibandingkan peperiksaan yang dilalui pada suatu masa dahulu. Semua perubahan ini menjadi penyebab keterbukaan minda dan kematangan yang ideal.

Sewajarnya setiap langkah harus didahului dengan niat yang baik dan hati yang bersih. Penyucian jiwa yang acapkali dibuat samada melalui solat-solat sunat, bacaan ayat-ayat suci Al- Quran dan lain-lain mampu untuk mendoktrinkan jiwa yang sering berada didalam keadaan resah dan gelisah. Meletakkan harapan kepada Allah pula adalah sebaik-baik jalan untuk menghilangkan segala rasa riak dan sombong dalam perjuangan menuntut ilmu. Cabaran yang bakal dihadapi dalam peperiksaan nanti haruslah dialaskan dengan sifat tawakkal. Hati yang bersih akan memudahkan setiap langkah perjalanan dalam hidup menjadi harmoni.


Seruan terhadap siswa dan siswi Al-Azhar agar menjadikan platform dan gelanggang ini sebagai medan memantapkan ilmu harus diberi perhatian dengan baik. Sedang lautan yang tenang dan nyaman, pasti akan ada gelora yang melanda. Bukalah mata, minda dan hati untuk menyedari bahawa perjuangan menuntut ilmu tidak akan selesai sampai bila-bila. Gelaran ijazah sarjana muda, master dan phD adalah ganjaran kelebihan yang mampu dimiliki sesiapa sahaja yang berusaha dalam perjuangan menuntut ilmu. Tidak mustahil siswa dan siswi Al-Azhar juga mampu melakukannya. Berpeganglah dengan prinsip ' siapa yang menanam, dialah yang akan mendapat hasil ' .