Thursday 22 May 2008

Garis penamat kehidupan- ketentuan yang pasti datang.

sholatkan jenazah sophan (koes)



Seantero alam menyaksikan keindahan ciptaan Allah S.W.T yang maha hebat dan tiada bandingan yang seumpanya. Manusia, tumbuhan , gunung-ganang dan seluruh isi bumi saling memerlukan diantara satu sama lain. Corak kehidupan yang dihamparkan oleh Allah S.W.T seharusnya dinikmati bersama. Mudah-mudahan Allah S.W.T meredhai kehidupan yang hanya dipinjamkan sementara ini.

Kejadian penciptaan manusia merupakan suatu anugerah Allah S.W.T yang amat hebat. Kejadian yang sangat indah ini telah dirakam oleh Allah S.W.T dalam Surah At-Tin ayat 4 yang bermaksud:

" Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya "


Kehidupan manusia pasti menempuh pelbagai suka duka. Ia berlaku sebagai memenuhi fitrah duniawi yang sentiasa berputar dari masa ke semasa. Dunia yang dilihat semakin tua telah banyak menanggung bebanan dari perbuatan-perbuatan kotor manusia . Lantaran manusia masih hidup dengan hilai ketawa dan sorak gembira tanpa menyedari kehidupan didunia bakal berakhir suatu hari nanti.

Perjalanan kehidupan yang dicipta dengan pelbagai ujian dan dugaan bertujuan adalah untuk menganalisis segala amalan kebajikan dan kejahatan yang bakal dipersembahkan di hadapan Allah S.W.T . Firman Allah S.W.T yang bermaksud:


" Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidupmu untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah diantara kamu yang lebih baik amalannya dan ia maha kuasa membalas amalan kamu, lagi amat pengampun kepada orang- orang yang bertaubat "

Surah Al-Mulk:ayat 3

Sesiapa sahaja bakal dihisab dihadapan Allah kelak. Rebutlah peluang didunia ini untuk diisikan segala amalan dan bekalan yang bakal dibawa bersama. Tiada sesiapa yang mampu menolong dalam hal-hal berbuat kebaikan selain diri kita sendiri. Sesungguhnya kematian itu datang tanpa dilambat-lambatkan waktu ajalnya.

Firman Allah S.W.T didalam surah Al-Munafikun ayat 11 yang bermaksud:

" Dan ingatlah! Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang atau sesuatu yang bernyawa apabila sampai ajalnya, dan Allah amat mendalam ilmu pengetahuannya mengenai segala yang kamu kerjakan"

Halakan pertanyaan kepada diri kita sendiri, sudahkah kita sudah bersedia untuk berada digarisan penamat kehidupan?. Segala hilai tawa akan hilang. Datang perasaan gelisah yang bakal bermain difikiran. Ketika inilah hati sentiasa terpaut memikirkan kekuasaan Allah S.W.T ke atas hamba-hambanya yang lemah. Pergantungan hidup didunia dan akhirat akhirnya kembali kepada Allah. Langkahkanlah kaki menuju kepada kehidupan yang bahagia diakhirat kelak. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha mengasihani.





No comments: