Thursday 8 May 2008

Gelanggang peperiksaan - pilihan ditangan sendiri


Sekali lagi gelanggang peperiksaan akan dibuka.Penentuan harus dilakukan dengan segera demi kejayaan mahasiswa dan mahasisiwi Al-Azhar. Kebijaksaan dalam menentukan hala tuju keupayaan berada ditangan mereka sendiri. Tidak mungkin gelanggang yang sebesar ini akan dipersiakan oleh bakal-bakal peneraju negara seperti mereka . Akal yang membaca, lidah yang menyebut, tangan yang menulis dan minda yang mengingat adalah suatu anugerah Allah yang amat besar nilainya. Keupayaan setiap anugerah tersebut telah menjadikan mereka sebagai bijak pandai malahan ada yang digelarkan sebagai ilmuan.

Ibarat menghunus senjata, masing-masing mahu menyelamatkan diri. Tiada peluang bagi mereka yang suka mengambil sikap sambil lewa diatas platform ini. Siapa yang berusaha, pasti akan mendapat. Malang bagi mereka yang hanya tidur bermimpikan kejayaan tanpa ada sedikit pun usaha. Jangan sudah terhantuk baru hendak terngadah.

Persediaan didalam peperiksaan adalah intipati yang harus disusun dengan baik supaya mereka mengkaji setiap kelemahan didalam hal pelajaran. Keterbatasan waktu pula bukanlah menjadi penghalang kerana mereka sebenarnya mampu menyusun masa dengan baik. Semua persediaan yang dirancang dengan rapi akan memudahkan pengurusan pembelajaran dan sedikit sebanyak membantu mereka dalam hal pengurusan masa.

Bagi mencerminkan paradigma yang baik terhadap siswa dan siswi Al-Azhar, tanggungjawab moral ( moral responsibility ) terhadap penguasaan segala ilmu harus ditekankan untuk menghadapi peperiksaan. Kesedaran ini harus dipupuk daripada permulaan tuntutan dalam pencarian ilmu. Tanpa berbuat demikian, tidak hairanlah sekiranya ada dikalangan mereka yang mengambil sikap mengaku kalah sebelum berjuang. Inilah kesan negatif yang akan diterima sekiranya persediaan yang dilakukan ibarat melepaskan batuk di tangga. Perjuangan menuntut ilmu hanyalah sekadar mahu lulus dan mendapat ijazah.

Kesungguhan usaha yang dilakukan membolehkan mereka memberikan keyakinan terhadap diri sendiri. Teknik penyediaan pembelajaran yang pelbagai, menampakkan pemikiran yang kreatif dan mempunyai seni yang harus dicontohi. Tidak rugi bagi siswa dan siswi Al-Azhar sama-sama berkongsi pandangan dan idea dalam hal ini. Keterlibatan dalam menghasilkan idea dan pandangan yang bernas amatlah dialu-alukan demi menaikkan tahap intregriti hasil pendidikan bertaraf ulung di Universiti Al-Azhar. Daya saing pendidikan yang berkembang ketika ini tidak lagi boleh dipandang remeh. Jika mahu berjaya, haruslah berusaha sebaik mungkin.

Dari prespektif yang lain, siswa dan siswi Al-Azhar sebenarnya mampu untuk menguasai gelanggang peperiksaan yang telah sekelian lama dilalui. Apa yang membezakan ialah jika suatu masa dahulu gelanggang itu kecil, semakin lama ia akan menjadi besar dan terus membesar. Cabaran didalam gelanggang juga amat berbeza jika dibandingkan peperiksaan yang dilalui pada suatu masa dahulu. Semua perubahan ini menjadi penyebab keterbukaan minda dan kematangan yang ideal.

Sewajarnya setiap langkah harus didahului dengan niat yang baik dan hati yang bersih. Penyucian jiwa yang acapkali dibuat samada melalui solat-solat sunat, bacaan ayat-ayat suci Al- Quran dan lain-lain mampu untuk mendoktrinkan jiwa yang sering berada didalam keadaan resah dan gelisah. Meletakkan harapan kepada Allah pula adalah sebaik-baik jalan untuk menghilangkan segala rasa riak dan sombong dalam perjuangan menuntut ilmu. Cabaran yang bakal dihadapi dalam peperiksaan nanti haruslah dialaskan dengan sifat tawakkal. Hati yang bersih akan memudahkan setiap langkah perjalanan dalam hidup menjadi harmoni.


Seruan terhadap siswa dan siswi Al-Azhar agar menjadikan platform dan gelanggang ini sebagai medan memantapkan ilmu harus diberi perhatian dengan baik. Sedang lautan yang tenang dan nyaman, pasti akan ada gelora yang melanda. Bukalah mata, minda dan hati untuk menyedari bahawa perjuangan menuntut ilmu tidak akan selesai sampai bila-bila. Gelaran ijazah sarjana muda, master dan phD adalah ganjaran kelebihan yang mampu dimiliki sesiapa sahaja yang berusaha dalam perjuangan menuntut ilmu. Tidak mustahil siswa dan siswi Al-Azhar juga mampu melakukannya. Berpeganglah dengan prinsip ' siapa yang menanam, dialah yang akan mendapat hasil ' .





No comments: