Tuesday 20 May 2008

Sanubari hati seorang guru

sekolah
Institusi pendidikan di negara kita telah berkembang dengan meluas. Sejajar dengan matlamat pendidikan yang ingin melahirkan modal insan yang berkualiti dan berketrampilan telah memberikan peluang kepada rakyat supaya menyumbang sesuatu kepada negara. Pendidikan yang dijalankan adalah untuk kebaikan rakyat di negara kita. Maka lahirlah ribuan graduan yang bergelar guru. Mereka hadir untuk membantu mengukuhkan sistem pendidikan yang telah dilaksanakan oleh pemerintah.

Nama seorang guru bukanlah sesuatu yang asing dalam alam persekolahan.Mereka adalah tempat bertanya yang paling ideal dalam pembelajaran. Lantaran tersebut, peranan guru menjadi sumber utama dalam menentukan kejayaan pelajar. Amanah yang dipikul haruslah digalas demi melihat kejayaan anak didik mereka . Walaubagaimanapun masihkah ada yang mampu memahami hati sanubari seorang guru?.

Jika suatu masa dahulu, seorang guru mampu menegur seorang pelajar yang membuat kesalahan, pelajar tersebut akur dan tidak menjawab. Lantas pelajar tersebut kembali meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya semula.

Lalu kita semua menoleh dimasa hadapan, guru tetap memainkan peranan yang sama. Menentukan kejayaan pelajar adalah cita-cita yang tidak pernah padam. Akan tetapi, balasan yang diberikan terhadap guru pada ketika ini bukanlah sesuatu yang amat diharapkan. Ketika pelajar dipuji kerana mendapat A yang banyak, mereka muncul dikaca televisyen untuk meluahkan rasa gembira terhadap kejayaan yang diperolehi. Sungguh besar erti kejayaan terhadap seseorang pelajar.

Bagaimana pula luahan hati seorang guru? Sanubari yang sentiasa terpendam, tidak mahu melukakan hati pelajar walau diri sendiri yang menanggung sedih dan derita. Dikala guru dipersalahkan kerana tidak dapat memberikan kejayaan kepada pelajar, adakah sesiapa yang berani tampil untuk melindungi guru?. Malahan guru pula dipersalahkan apabila menegur pelajar yang berkelakuan tidak sopan terhadap mereka. Saat pelajar dilimpahi kemewahan dan kesenangan dalam menunut ilmu, inilah balasan mereka.

Dalam keadaan hati yang sedih dan bercampur duka, keinginan guru masih lagi mahu melihat anak didiknya terus berjaya. Segala usaha dan tindakan guru sekadar mengikut jadual waktu kerja seharian. Demi memenangi hati pelajar, guru sanggup membiarkan pelajar terus berkelakuan tidak sopan terhadap mereka. Mereka takut sekiranya tindakan dibuat terhadap pelajar tersebut, mereka pula yang akan dipersalahkan oleh pihak lain.

Masyarakat yang tidak faham tentang tugas guru akan melenting bila ada diantara anak-anak mereka dipersalahkan kerana masalah disiplin. Walhal tindakan guru hanyalah sekadar mahu memberi ingatan dan pesanan yang jelas bahawa pelajar hendaklah menghormati guru. Jangan seperti 'ketam yang berjalan bengkok, ingin mengajar anaknya berjalan lurus'. Bukan sahaja pelajar, malahan masyarakat juga menjadi warganegara minda kelas ketiga.

Berilah peluang kepada guru untuk mendidik pelajar dengan acuan yang betul. Elakkanlah rasa curiga dan dendam terhadap perbuatan guru dalam mendisiplinkan mereka. Sekiranya kita terus mengganggu tanggungjawab seorang guru, institusi pendidikan tidak akan dihormati lagi. Masyarakat pula tentu tidak akan percaya terhadap kemampuan guru dalam mendidik anak-anak mereka. Lalu siapakah yang mahu mengambil tanggungjawab tersebut? Fikirkan bersama demi menjaga sanubari hati seorang guru.




2 comments:

Mohd Rasul Bin Amat said...

salam...
apsal blog ko kosong je tepi tu?
letakla shoutbox..
leh komen2 sikit...
ni komen pedas 1 utk ko...
ms utk berubah... :P

Anonymous said...

apa nak jadi degan masyarakat yang tidak menghormati guru?