Sunday 27 September 2009

Popular Dan Kontroversi




Memikirkan dua patah perkataan ini sangat berkaitan dan berlaku dihadapan kita, suka bagi penulis mencerna minda pembaca dengan memahami sketsa kehidupan masyarakat dikeliling kita. Bukanlah ia bertujuan untuk mencari kesalahan mana-mana individu atau pihak, tetapi kedua-dua rangkai kata ini mampu melonjakkan ego sesiapa sahaja sekiranya merekalah yang berada didalam keadaan tersebut. Setiap orang mempunyai hak untuk memberikan pendapat. Ini adalah sebahagian pendapat peribadi penulis sendiri.

Popular dan kontroversi ibarat sepasang pakaian yang sukar untuk ditanggalkan dalam hidup masyarakat kita. Baik apa sahaja kerja dan perbuatan, sekiranya niat itu disematkan dengan dua rangkai kata tersebut, maka seseorang itu akan cepat memahat namanya dalam keadaaan seperti itu. Positif atau negatif, pastinya merekalah yang bakal mengendong dan menghadam segala kata bicara dan luahan perasaan orang lain. Jika di teliti dengan baik, tanggapan itu selalunya dibalas dengan negatif.

Sebutkan apa sahaja kerja, penyanyi, pelakon, ahli politik, usahawan, penulis blog dan bermacam-macam lagi, sedikit sekalipun pasti punya kontroversi. Penulis yakin pembaca juga memahami siapa lagi yang mahu jadi popular dan kontroversi. Penerimaan kepada masyarakat selalunya menampakkan negatif lebih dari positif. Walhal tidak semua kontroversi itu hanya berbentuk negatif. Akan tetapi kadang-kadang ia adalah suatu kebenaran yang harus diterima oleh akal.

Menjadi popular bukanlah sesuatu yang sukar. Seorang artis berkahwin dengan hantaran beratus ribu, berduyun-duyun wartawan akhbar mengambil gambar dan kenyataan darinya. Tujuannya untuk dimuatkan didalam dada akhbar seterusnya meningkatkan hasil jualan akhbar itu sendiri. Seorang ahli politik menaburkan pelbagai janji dan projek bahkan limpahan wang supaya dirinya terpilih menjadi wakil rakyat. Seorang penulis blog menulis pelbagai cerita-cerita yang mungkin menyebabkan orang lain suka mengulas setiap patah perkataanya dengan rasa marah dan benci.

Setiap apa yang kita lakukan, semuanya tertanggung diatas bahu kita sendiri. Sekiranya kontroversi itu diterima sebagai suatu kebenaran, pembaca mungkin ternanti-nanti hasil garapan kita seterusnya. Jika kontroversi dan popular itu atas dasar muak dan benci, maka terimalah nama kita dipahat oleh orang lain seperti itu. Lalu seluruh dunia akan mengenali kita dengan seburuk itu. Bagi penulis, nilailah sesuatu popular dan kontroversi itu seiring dengan tujuannya. Mahukah kita diterima dengan baik atau sentiasa dibenci oleh orang lain. Fikirkan bersama.....

Saturday 26 September 2009

Perjuangan Kembali Bermula

Setelah 'kenyang' melalui bulan syawal, menghabiskan segala macam rumah terbuka dan menerima kunjungan rakan-rakan, kini kita akan kembali berjuang dimedan pendidikan. Universiti dan meja kuliah telah pun bersiap sedia menunggu kehadiran cerdik pandai untuk dipenuhi. Memasuki semula era pembelajaran memerlukan semangat dan azam yang baru. Apa azam baru anda?

Tahun demi tahun silih berganti kita harus ada perubahan. Walaupun tidak sepenuhnya tetapi indahnya usaha itu sekiranya berwajah baru. Segala yang dirancang di dalam fikiran haruslah diaturkan dengan segera. Bagi mereka yang menempuh kegagalan, mulakanlah langkah dengan semangat yang baru. Lumrah hidup ingin sampai ke puncak, pasti akan menempuh jalan yang berliku. Justeru kegagalan akan menghantui perasaan didalam diri setiap waktu. Mudah untuk menerima tetapi susah untuk melalui pengalaman seperti itu.

Jangan ditanya lagi mahu berjaya atau tidak. Mungkin orang jahil sahaja akan bertanya sebegitu. Belajar sebegini jauh , menghabiskan tenaga dan wang ringgit hanya ditanya soalan seperti itu. Fikirkan sendiri!. Semuanya ingin menggenggam segulung ijazah. Menerima natijah peperiksaan yang baik. Bahkan awal-awal lagi berazam untuk melanjutkan pelajaran diperingkat yang lebih tinggi. Siapalah yang tidak mahu menjadi terbaik didunia ini. Teruskanlah berusaha dan berdoa untuk mencapai apa yang diimpikan!.

Thursday 24 September 2009

Habisi Juadah Di Rumah Terbuka



Begitu sinonim rumah terbuka apabila menjelang aidilfitri. Semua sahabat-sahabat sudah merancang dengan memilih tarikh yang sesuai bagi menjamu tetamu dengan juadah yang sedap dan enak. Tidak kurang juga undangan rasmi disusuli kad jemputan yang cantik ditulis khas untuk para tetamu. Malah didalam catatan diari juga habis dipenuhi berhari-hari dengan jemputan rumah terbuka. Mungkin minggu ini sahaja sudah penuh jadual yang ditulis bagi memenuhi undangan.

Kenikmatan bersama dan berkumpul rupa-rupanya begitu meriah di majlis rumah terbuka. Tambahan timbul pelbagai cerita dan isu semasa yang hangat diperkatakan. Masing-masing mahu berbual panjang dan bertanya khabar kerana sudah lama tidak bersua muka. Tuan rumah tidak jemu-jemu melayan karenah tetamu yang bermacam ragam. Begitulah agaknya keberkatan sebuah rumah yang dimasuki oleh para tetamu. Pasti akan membawa seribu rahmat dan berkat.

Menyambut hari raya diperantauan memberi sebuah kenangan kepada 'sebuah keluarga' yang mempunyai bilangan 'adik-beradik' yang ramai. Masing-masing mempunyai acuan peranan tersendiri dalam menghidupkan suasana ramah mesra di rumah terbuka. Tidak ada yang kecewa dan berasa sedih walaupun keluarga dan sanak saudara terlalu berjauhan. Pengalaman banyak melatih kita untuk terus hidup berdikari diatas kaki sendiri. Barangkali tahun ini adalah yang terakhir bersama dirumah terbuka setelah kita menamatkan pengajian dan akan pulang ke Malaysia. Laluilah pengalaman seperti ini. Ia datang setahun sekali. Sejarah ini akan tercatat dan akan dikenang sehingga ke akhir hayat.

Wednesday 23 September 2009

Perpisahan Bakal Bertandang

Malam tadi selepas selesai menghadiri majlis rumah terbuka hari raya di dewan rumah negeri, penulis merasa terpanggil untuk mengingati semula kenangan bersama sahabat-sahabat yang akan pulang ke Malaysia tidak lama lagi. Kepulangan mereka mungkin sahaja akan membawa berjuta makna setelah selesai berjaya menghabiskan pengajian di bumi Mesir ini. Keluarga dan sanak saudara adalah orang yang paling gembira menyambut kunjungan tiba anakanda yang jauh.

Proses mengharungi liku-liku kehidupan belum berakhir. Membawa gelaran azhari dan azhariah bukanlah perkara yang mudah. Merangkul suatu tanggungjawab yang besar dalam pada menghadapi masyarakat yang pelbagai karenah dan persoalan. Bersedialah kerana inilah ujian sebenar yang akan mereka lalui. Perjelaskan segala pertanyaan masyarakat tentang apa sahaja masalah dalam agama. Mereka pasti mengharapkan kita.



Tanggapan masyarakat kepada mahasiswa/i al-azhar sangatlah tinggi. Mempercayai bahawa kelimuan dan kemantapan berhujjah adalah perkara asas yang ada pada mereka. Ditambah pula keyakinan apa yang diperkatakan itu menjadi panduan dan ikutan masyarakat. Justeru mereka haruslah berani mendepani segala macam pemikiran dan pembawakan masyarakat khususnya orang melayu. Sebagai seseorang yang berprinsip pada perkara yang benar dan menolak perkara yang salah, jangan sesekali mempertaruhkan ilmu yang ada hanya kerana mahu menjaga 'periuk nasi' diri sendiri. Keberkatan yang kita miliki adalah kepunyaan Allah swt. Bahkan bila-bila masa nikmat kita akan ditarik balik sekiranya kita ingkar dengan Allah swt. Janganlah bimbang kerana rezeki itu sudah ditentukan , hanya kita perlu berusaha untuk mencarinya.

Kejayaan berhadapan dengan masyarakat adalah bagaimana cara kita mengajak mereka kepada suatu kebenaran yang jelas. Perlulah kita fikirkan dengan 2 perkara iaitu dakwah dengan kata-kata atau pun dakwah dengan akhlak peribadi yang baik. Semoga dengan kebenaran itu akan dapat memberi kesedaran yang betul kepada semua masyarakat yang benar-benar dahagakan ilmu pengetahuan agama.

Tuesday 22 September 2009

Banyak Dapat Duit Raya ?

Amalan memberi duit raya bukanlah sesuatu yang janggal atau aneh bagi masyarakat Malaysia. Tidak kira sama ada di kampung atau dibandar, kedatangan adik-adik kecil selepas solat hari raya pastinya untuk memenuhkan poket yang sedia ada. Ia seperti satu kemestian yang ada bagi penyeri dihari raya. Segerombolan kanak-kanak seramai beberapa orang memakai baju baru awal-awal pagi sudah datang di hadapan rumah. Tuan rumah pula asyik mengendap ditingkap rumah melihat adik-adik datang kerumahnya. "Tau dah, mesti budak-budak tu nak duit raya jek", kata tuan rumah.

Inilah keberkatan yang selalu tidak dapat kita lihat. Walaupun adik-adik kecil hanya tahu untuk menunggu tuan rumah buka pintu dan menjemput masuk, tetapi mereka juga seperti tetamu yang lain. Keberkatan dan rahmat akan masuk setiap rumah yang mana didatangi oleh tetamu. Layanlah seeloknya demi menceriakan suasana dipagi syawal. Bahkan dalam situasi tersebut, kita boleh sahaja untuk berkenal-kenalan dengan adik-adik yang mungkin anak kepada jiran tetangga kita. Persaudaraan Islam mengharuskan kita memberi salam dan memberi makan kepada orang yang kita kenal atau pun tidak.




Bersama dengan keluarga yang tercinta dan berkumpul adik-beradik dapat menjadikan suasana lebih meriah. Anak-anak saudara tidak lupa menuntut 'hak' mereka daripada kita sebagai pakcik atau makcik yang kaya raya. Bayangkan kita mempunyai anak saudara berbelas-belas orang sambil mereka menuntut duit raya. Hehe. Itulah keberkatannya. Memberi duit kepada anak saudara sendiri. Biarlah mereka yang menghabiskannya. Duit kita belum tentu kita mampu untuk menghabiskan.

Adik-adik yang besar dapat duit raya tak?.Kalau belum habis sekolah masih ada harapan lagi nak dapat. Tetapi kalau sudah tamat SPM sangat sukar untuk mendapat duit raya. Harapan mendung awan kelabu. Kalau mahu juga, kena tebalkan muka depan orang. Setahun sekali jea pun buat kerja macam tu.

Habis berhari raya mulalah sibuk mengira pendapatan hasil kutipan raya masing-masing. Dimulakan dengan not berwarna biru bernilai Rm1 , not hijau Rm5 dan terakhir not merah Rm10. Tetapi adik-adik tidak akan dapat sampai Rm10 punya. Biasa satu rumah Rm1 atau Rm2 jea. Bila kumpul dari banyak rumah barulah dapat Rm10. Apalah yang nak dibeli dari hasil kutipan ini. Ikut rasa hatilah mahu beli apa sahaja. Jangan pula beli barang yang tidak berfaedah sudah.

Sunday 20 September 2009

Sekelumit Perasaan Di Pagi Syawal


Syawal pertama menjadikan penulis begitu bersemangat untuk menunaikan solat hari raya. Berkumpulnya umat Islam dengan jumlah yang besar dan ramai menjanjikan keutuhan silaturrahim yang kukuh dan padu. Betapa besarnya makna sebuah takbir yang mengagungkan kekuasaan Allah swt di ulang beberapa kali. Sebuah hadiah yang menghimpunkan seluruh jutaan umat Islam di seluruh pelusuk dunia demi menyambung ikatan persaudaraan dengan lebih erat.

Ketika sejenak berfikir, pada pagi syawal inilah semuanya berkumpul sambil memohon kemaafan dan ribuan kemaafan tika menjalinkan tali persaudaraan.Perasaan yang cukup muhibbah tergambar dari senyuman saudara seperjuangan yang menuntut di bumi anbiya ini. Siapa tahu hakikat persaudaraan itu dapat diuji ketika kita bertemu mereka di pagi syawal. Melayan sahabat-sahabat yang dekat atau yang kita sendiri tidak kenal menjadikan kita lebih faham erti sebuah silaturrahim.

Episod ziarah- menziarahi antara satu sama lain merupakan aktiviti biasa dihari raya. Bertemankan sahabat-sahabat inilah kita kongsi suka dan duka perasaan di pagi syawal. Tanpa ibubapa yang jauh di Malaysia membuat kita kekosongan hilai tawa mereka sebentar demi mendapatkan segudang ilmu. Mempelajari erti bersabar dan redha diatas ketentuan yang berlaku menjadikan kita lebih matang dalam menghadapi semua cabaran.

Bayangkan bahawa sekelumit perasaan itu dapat dihiasi dengan senyuman dan ketawa sahabat-sahabat untuk berkongsi kegembiraan bersama kita. Ia lebih bermakna di pagi syawal. Mereka juga seperti adik-beradik kita. Luahkanlah perasaan itu di pagi syawal supaya kita semua sentiasa bersama mengukuhkan ikatan persaudaraan yang sudah terbina.

Friday 18 September 2009

Menghimpun Salam Merai Kemaafan


Ketika imbauan 12 tahun yang lalu menjangkau didalam fikiran, penulis bukanlah seorang pecinta sastera seperti hari ini. Seorang guru bernama Puan Fadzilah Hashim adalah permulaan segala semburan kata-kata pedas dan menyakitkan. Sambil menanda buku latihan bahasa melayu murid-muridnya beliau mengangkat sebuah daripadanya sambil menjerit bertanya " Siapa punya buku ni ?". Kelihatan buku tersebut tidak berkulit. Rupa-rupanya buku tersebut umpama roti canai yang hanya siap untuk dimakan. Dalam ketakutan penulis mengangkat tangan mengaku itu adalah kepunyaan diri ini.

" Kenapa cincai sebegini?". Sekali lagi penulis hanya berdiam diri sambil kawan-kawan lain tergelak. Hanya tulisan penulis sahaja yang selalu digelarkan sebagai tulisan 'doktor'. Mengherot entah kemana-mana. Tetapi tidak disangka rupa-rupanya ini hikmah yang berlaku pada diri penulis sekarang. Satu perjalanan yang jauh selama 12 tahun untuk bertemu dengan hikmah yang tidak terjangkau difikiran. Sekiranya penulis berkesempatan bertemu beliau, ingin diri ini mengucapkan terima kasih banyak-banyak diatas kata semburan itu. Mungkin lebih dari itu kemaafan yang terhitung sebanyak 12 kali ini harus dilangsaikan dihari lebaran.




Fikiran penulis terus menerawang mengingat kembali 8 tahun yang lalu. Matapelajaran sains yang memerlukan latihan yang kerap selalu sahaja membuatkan diri berasa malas. Tambahan guru wanita yang bersuara halus tidak langsung diberi perhatian. Mungkin pengetahuan sains peringkat menengah cukup sukar untuk difahami. Penulis langsung mengambil mudah. Puan Mas Ayu Ishak bukanlah seorang pemarah. Tetapi bagi beliau sesiapa yang mengambil perhatian yang serius ketika belajar, merekalah yang akan faham. Tanpa sedikit pun menzahirkan perasaan marah kepada pelajar yang tidak ambil perhatian, habis waktu mengajar terus keluar kelas.

Semua dendam perasaan ketika diwaktu sekolah dahulu telah mencampakkan diri ini kembali menjadi manusia yang ingin menghargai semula. Bertahun-tahun lebaran aidilfitri berlalu, sukar untuk melupakan segala kesan-kesan 'sejarah' imbauan hidup. Sekelip mata umur meningkat dan telah meninggalkan alam persekolahan selama 7 tahun yang lalu. Sekiranya ditakdirkan pertemuan kedua dalam hidup bertemu dengan orang-orang yang berjasa pada diri ini,tibalah giliran untuk membela titik peluh usaha mereka mendidik anak-anak bangsa.

Dikesempatan ini penulis ingin memohon jutaan kemaafan kepada semua guru-guru yang mendidik anak bangsa beragama Islam. Kepada semua pembaca blog yang banyak mengkritik idea dan penulisan diri ini. Kemafaan juga dipinta dari sahabat-sahabat yang mengenali diri penulis. Semoga tiap-tiap pertemuan kita memberikan seribu makna dan pengertian yang tersirat. Mudah-mudahan lebaran ini bakal menginsafkan diri kita semua. Selamat Hari Raya!.
















Thursday 17 September 2009

Menghampiri Kemenangan Di Bulan Ramadan


Setelah 28 hari menempuh ujian menahan lapar dan mendidik hawa nafsu, akhirnya kita akan bakal menghampiri kemenangan tidak lama lagi. Hadiah kurniaan dari Allah swt kepada hamba-hambanya yang mencari ketaatan dan memanfaatkan malam lailatulqadar dengan bersungguh-sungguh. Sebuah hadiah yang amat bermakna sehingga diharamkan berpuasa pada hari tersebut. Beruntunglah bagi mereka yang melalui ramadan dengan seribu pengisian ketakwaan dan pencarian cinta kepada Allah swt. Sebaliknya rugilah orang-orang yang melaluinya tanpa berasa insaf sedikit pun.

Peluang seperti ini tidak pernah akan muncul selepas ini sehingga bertemu di bulan Ramadan tahun hadapan. Sekiranya kita dikurniakan Allah umur yang panjang pastinya akan ketemu lagi. Akan tetapi, penyesalan akan tersingkap di wajah-wajah pemuka yang membiarkan ramadan lalu tanpa mengumpulkan sebanyak mungkin harta untuk bekalan akhirat. Belum tentu mereka dapat bertemu lagi dengan bulan Ramadan akan datang.

Sesungguhnya ujian yang datang dari Allah bukanlah bertujuan untuk menyusahkan umat Islam. Ini kerana kehidupan didalam dunia ini penuh dengan sesuatu perkara yang berada diluar dugaan dan kemampuan akal kita. Sebagai khalifah, kita tidak pernah bertanya mengapa Allah perintahkan begitu dan begini. Apa sahaja suruhan dan larangan tetap sahaja perlu diikuti kerana itu perintah dari tuhan kepada hambanya. Oleh itu setiap perkara yang diperintahkan sudah pasti ada sesuatu maksud dan hikmah yang cukup besar tidak kita ketahui.

Menjunjung kalimah " Kami dengar dan Kami taat" meyakinkan kita tidak perlu bersoal panjang dalam menerima segala perkara yang ditentukan. Kemenangan di bulan Ramadan menjadi bukti apabila seluruh umat Islam mampu menghidupkan rumah-rumah Allah. Mengisi hari demi hari dengan bacaaan Al-Quran sehingga habis 30 juzuk. Menjaga segala kelakuan yang boleh mencemarkan kesucian Ramadan. Semua ini hanya akan berlaku apabila tibanya Ramadan!!.

Justeru apakah nilaian yang boleh diletakkan ketika kita melalui bulan Ramadan pada kali ini? Jawablah dengan seikhlasnya kerana hanya kita yang mampu mengenal diri sendiri.

Wednesday 16 September 2009

Tuntutan Usaha Dan Tawakal


Kehidupan didunia menuntut agar semua manusia berusaha untuk mencari rezeki yang akan menjamin kesejahteraan hidup. Pelbagai ujian dan cubaan bakal ditempuhi semata-mata untuk mencapai kebahagiaan dunia. Sekiranya kita menginginkan sesuatu perkara yang menjadi keperluan harian , sememangnya bukan hanya sekadar menunggu dan mengharap belas ihsan dari orang lain. Bahkan dengan kurniaan tubuh badan yang sihat, seharusnya lakukanlah sebanyak mana pekerjaan agar kita memperoleh imbuhan daripada tiap-tiap apa yang kita usahakan.

Sekiranya seorang lelaki ingin menyara kehidupan keluarganya yang serba kekurangan, tentu dia akan memikirkan sesuatu keperluan untuk mencapai kesenangan. Bagi tiap orang yang mempunyai akal dan tubuh badan yang sihat, sepatutnya mereka keluar untuk mencari pekerjaan yang dapat melepaskan kesusahan diri dan keluarganya. Bukan hanya mengharapkan orang lain yang menanggung dirinya tanpa langsung ada rasa bersalah. Sekiranya mahu pendapatan, haruslah ia mencari pekerjaan.

Seorang pelajar yang ingin menghadapi peperiksaan, seharusnya pula mengulangkaji pelajaran dengan baik. Bukan setakat bermudah-mudah dan hanya mengutamakan perkara yang lain dari situasi peperiksaan yang dihadapinya. Sekiranya kejayaan yang diharapkan, maka berusahalah untuk mencapai apa yang dihajatinya. Kemampuan itu kadang-kadang terhalang oleh sifat kurangnya usaha dari diri sendiri.

Seorang hamba yang sentiasa berdoa kepada Allah swt, haruslah sentiasa berusaha melakukan sebanyak mungkin amal kebaikan agar doanya diterima dan permintaannya dikabulkan. Lihat sahaja didalam tafsir surah al-Fatihah ayat ke-5 , Allah swt berfirman maksudnya: " Akan dikau kami sembah, dan akan dikau tempat kami memohon pertolongan". Perintah tersebut menunjukkan manusia harus mentaati Allah swt terlebih dahulu kemudian barulah diikuti dengan meminta pertolongan.

Setelah selesai segala tanggungjawab dan keperluan telah dipenuhi, disinilah harus kita letakkan sikap tawakal dalam segala usaha yang kita lakukan. Secara zahirnya tiap-tiap usaha pasti akan membuahkan hasil yang diinginkan. Hakikat yang sebenar, Allah swt lebih berhak menentukan sesuatu dari setiap usaha yang kita lakukan. Mungkin diantara 3 contoh yang disebutkan tadi, berjaya menjadi milik kita. Mungkin juga hanya 2 perkara tadi yang kita miliki. Tidak mustahil ada juga yang langsung tidak berjaya memiliki ketiga-tiga perkara yang disebutkan tadi. Sekarang fikirkanlah sendiri bagaimana untuk kita mencapai sesuatu dengan timbangan usaha yang kita lakukan.

Monday 14 September 2009

Harta Dunia:: Mana Milik Kita Yang Sebenar


Mencari harta dunia adalah tuntutan fitrah manusia untuk menampung kehidupan yang sementara. Ia menjadi sebuah landasan dalam meneruskan hidup daripada dibelenggu kemiskinan. Segala-galanya hanya memerlukan usaha dan ikhtiar untuk mendapatkan apa sahaja yang diperlukan. Soal kekayaan bukanlah menjadi suatu kesalahan untuk dimiliki, akan tetapi hasilnya hendaklah dari yang halal. Usaha yang baik bukan sahaja akan memiliki harta yang halal bahkan akan membawa berkat.

Menjadi tanggungjawab kita untuk menyedari hakikat bahawa setiap harta kemewahan bukanlah semuanya akan kekal abadi milik kita. Bahkan kita tahu harta yang sudah dikumpul bak gunung akan diwarisi oleh anak cucu cicit kita suatu hari nanti. Lantaran terlalu mustahil untuk kita mengakui harta tersebut akan bersama kita selama-lamanya. Betapa naifnya jika ada orang yang berkata begitu. Mungkin sesuatu perlu diingat bersama, berapakah harta yang kekal menjadi milik kita?.

Jika seseorang mempunyai wang bernilai Rm100, berapa banyak yang diperuntukkan untuk keperluan dunia dan berapa pula yang menjadi miliknya sendiri. Mungkin sahaja duit tersebut akan menjadi milik orang lain. Belanja kedai, klinik , membaiki kereta dan sebagainya. Semuanya menjadi hak orang lain. Penulis ingin mengajak kita semua berfikir, manakah sebenarnya hak kekal kita selama-lamanya?.

Merujuk kepada satu hadis, Nabi saw bersabda : " Apabila mati seorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali dalam 3 perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh". Kalau kita menyedari hakikat ini, berapakah harta yang kita pernah sedekahkan untuk melepaskan kesusahan orang lain?. Sekiranya didalam Rm100 tadi ada bahagian Rm5 untuk sedekah, maka itulah sebenarnya milik kekal kita diakhirat. Perhatikan betul-betul bahawa Rm95 tadi adalah milik orang lain. Perbezaan nisbahnya cukup besar dari apa yang kita kumpulkan untuk kesenangan kita di dunia.


Sunday 13 September 2009

Ramadhan Berakhir Dengan Sia-Sia

Penulis sedikit terkejut apabila melayari pembacaan sebuah akhbar harian popular di Malaysia. Tajuk frontpage yang terpampang di dada akhbar tersebut ialah "Umpan Goyang Bikini" . Adakah ini sebuah iklan semata-mata?. Sebenarnya ini benar-benar berlaku di kota Kuala Lumpur disaat menyambut 10 akhir Ramadhan. Siapakah pula orang yang bertanggungjawab diatas penyebaran budaya hina bulan Ramadhan ini?. Siapa lagi kalau tidak orang yang menggondol anugerah perosak agama Islam adalah orang melayu sendiri.

Ketika 10 Ramadhan terakhir adalah untuk mencari kemuliaan malam Lailatulqadar, ada pula spesis manusia mencari kemuliaan 'malam berbikini'. Tawaran yang sangat terbuka luas, memberi minuman percuma kepada pengujung wanita yang hadir memakai bikini merupakan suatu penghinaan kepada agama. Sememangnya hati mereka yang sangat keras seperti batu tidak akan dapat merasa nikmat besarnya bulan Ramadhan. Jika perkara sebesar itu pun boleh berlaku di bulan Ramadhan, tidak mustahil ia berlaku di bulan yang lain.

Pemimpin dan masyarakat seharusnya membuka mata seluas-luasnya bahawa negara kita sudah mencapai tahap yang berganda-ganda maksimum dalam menjuarai kemungkaran. Sudah bertahun-tahun kita 'membutakan mata' serta 'memekakkan telinga' dek kerana menganggap ia kebebasan hak asasi manusia. Akan tetapi kerana syaitan bertindak menjadi 'penasihat', maka mereka tidak pernah peduli akan kepentingan orang lain.

Sesungguhnya Islam telah memberi garis panduan hukuman kepada pelaku seperti mereka. Sekiranya kita masih lagi ragu-ragu dan bimbang untuk melaksanakannya, sebenarnya ia tidak lebih dengan menjadikan kita tidak yakin akan ketetapan tuhan. Jika begitu bilakah kita mahu memulakan langkah untuk menutup segala pintu-pintu kejahatan atau kita terus membiarkan mereka ditengah-tengah kesesatan?.


Saturday 12 September 2009

Antara Permintaan Nafsu Dan Penolakan Hati


Siapa yang tidak mahu mengaku membuat kesalahan sekiranya jelas berpunca daripadanya?. Siapa pula yang sering teragak-agak dalam melakukan sesuatu kerja kerana dalam hati timbul rasa curiga, sangsi, takut dan bimbang?. Kalau inilah sedang bersarang dihati kita, jagalah baik-baik kerana kita sedang cuba melunaskan permintaan nafsu. Melakukan sesuatu dalam keadaan tersebut, menjelaskan kita sebenarnya membuat keputusan yang betul atau tidak.

Kita selalunya yakin dengan sesuatu yang kita akan lakukan. Apa sahaja gangguan yang cuba datang untuk mengoyahkan perasaan kita seharusnya ditepis supaya tidak timbul perasaan syak wasangka. Prinsip yang sukar diubah selalunya dapat menilai sesuatu perbuatan dan keputusan dengan betul. Akan tetapi prinsip itu bukanlah didasari perkara yang bercanggah dengan nilai ajaran agama Islam.

Manusia memerlukan makanan rohani bagi menjernihkan hati dari dicemari perasaan syak wasangka dan lebih buruk daripada itu ialah meletakkan perkara maksiat. Ia menunjukkan bahawa sebenarnya hati mampu dikawal sekiranya makanan rohani benar-benar kita 'hadam'. Sifat hati sebegini mampu menolak ajakan hawa nafsu jahat yang merosakkan segala anggota tubuh kita.

Kejadian nafsu menjadikan seseorang itu mempunyai perasaan dan menginginkan sesuatu. Keinginan itu sendiri sekiranya bukan untuk tujuan kebaikan, nyatalah ia datang dari sifat nafsu jahat yang tidak terkawal. Membayangkan bahawa dengan penciptaan nafsu itu terkadang-kadang membuat manusia menjadi lalai dan alpa, hati dengan segera menolak ajakan yang jahat kerana bercanggah dengan fitrah kehendak hati. Sekiranya hati mempunyai makanan rohani yang cukup, dengan mudah dapat menangkis kehendak nafsu.

Tafsiran akal pula berpunca dari perlawanan antara nafsu dan hati. Akal akan dapat mentafsirkan perkataan hati sekiranya kita berjaya mengekang kehendak nafsu. Begitulah juga sebaliknya, sekiranya nafsu yang berjaya mengawal hati dan perasaan, akal akan bertindak mentafsirkan nafsu menjadi perbuatan dan akhlak kita seharian. Betapa malang sekiranya kita tidak mempunyai makanan rohani, bahkan lebih banyak keinginan hawa nafsu yang akan kita penuhi.





Friday 11 September 2009

Mengabadi Pembelajaran Dari Medan Tafaqquh

Hari ini ialah hari terakhir kelas pengajian tafaqquh bersama Syeikh Nuruddin. Penulis berpeluang untuk mengikuti kelas dari hari kedua sampai terakhir. Sepanjang pengajian berlangsung banyak manfaat yang dapat disimpan dan dikamuskan dalam hidup penulis. Bagi hati-hati manusia yang sentiasa terikat dengan pengajian tafaqquh sebegini, cukup untuk mereka merasakan bahawa banyak lagi ilmu yang masih belum diteroka untuk simpanan didada. Seolah-olah permulaan pengajian menjadikan manusia yang tidak tahu apa-apa, akhirnya dapat menghabiskan sebuah kitab fekah sebanyak 370 muka surat dalam masa 2 minggu!.


Merasakan peri pentingnya pengajian seperti ini dikekalkan, ia mampu mengukuhkan kefahaman dalam hal-hal kehidupan yang kita sendiri tidak sedari akan sesuatu masalah yang berlaku. Alangkah indahnya pengajian seperti ini dimulakan dengan suara nyanyian nasyid qasidah burdah hasil rakaman terbaru. Jumlah rakan-rakan yang memenuhi segenap ruang surau hingga ke tingkat atas sanggup untuk menunggu sehingga pengajian selesai setiap hari pada jam 12 malam.

Tambahan pula soalan dan pertanyaan dari rakan-rakan yang begitu banyak dapat dikongsikan bersama sementara Tuan Guru Syeikh Nuruddin menjawab semuanya dengan nas dan hujah yang mudah difahami. Penulis tertarik dengan satu soalan yang penulis tidak tahu siapa yang bertanyakan seperti itu. Soalannya dapat difahami penulis secara begini " Adakah sah solat makmum mengikut imam yang tidak membaca Surah al-Fatihah? ".


Penulis termenung sebentar mendengar soalan ini. Bukan kerana tidak tahu untuk menjawabnya. Tetapi penulis memikirkan masih ada soalan seperti ditanyakan dikalangan kita. Mungkin benar masih ada yang tidak faham tentang masalah-masalah yang berlaku didalam solat. Penulis tidak berniat apa-apa tentang soalan ini. Cuma penulis fikir, mudahkah untuk menjawab pertanyaan ini?.

Pertanyaan tersebut dijawab oleh Tuan Guru Syeikh Nuruddin dengan permulaannya bertanya kembali, " Apakah memang ada orang sebegitu?" sambil disambut gelak ketawa oleh rakan-rakan. Lalu disambung dengan jawapan Tuan Guru ," Kalau imam tidak membaca Al-Fatihah, kepada siapa makmum hendak bergantung? ". Akhirnya secara berseloroh Tuan Guru menyebut, "Wahabi Sungguh!" sambil rakan-rakan menyambut dengan gelak ketawa.

Sekiranya kita sebagai warga pewaris ilmu-ilmu ulama zaman silam, adakah kita sudah bersedia dengan pertanyaan tersebut?. Bahkan meneliti masalah di Malaysia sahaja, sudah pasti pertanyaan seperti itu akan timbul lebih banyak lagi. Penulis menganggap pengajian seperti ini adalah medan dan platform terbaik bagi mengetahui dan mendengar sendiri kupasan pembelajaran ilmu-ilmu yang tidak kita pelajari dikuliah. Walhal banyak ilmu yang diajar didalam pengajian ini melibatkan masalah-masalah isu semasa. Sekiranya kita hadir sendiri untuk kali yang pertama, penulis yakin kita tidak sabar-sabar lagi untuk menunggu pengajian yang seterusnya.



Thursday 10 September 2009

Psikologi Jual Beli Hartanah




Entri pada kali ini bukannya untuk membahaskan secara serius tentang urusan jual beli hartanah yang berlaku diMalaysia. Akan tetapi penulis ingin mengolah perbincangan ini dari suatu sudut yang kita tidak sedari. Walhal mungkin pada pendapat pembaca seperti tidak masuk akal atau menganggap penulis seperti budak-budak. Walau bagaimanapun apa yang penulis lontarkan ini ialah pendapat dari sisi yang berlainan. Setiap perkara yang berlaku didunia pasti akan ada hikmah dan pengajaran yang tidak semuanya kita fahami.

Pernahkah pembaca mendengar tentang Syarikat Permainan Malaysia?. Ia ada adalah sebuah syarikat yang diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records yang mana telah mengeluarkan pelbagai jenis mainan 'indoor game'. Permainan seperti sahibba, catur dan saidina adalah contoh permainan berstrategi yang memerlukan masa dan kemahiran daya fikir yang panjang. Sebahagian daripada kita mungkin tidak mahu membuang masa dengan permainan sebegini susah dan membosankan. Mungkin sahaja kita tidak minat atau ditimpa kekalahan yang berpanjangan.

Penulis tertarik kepada satu permainan jual beli hartanah. Versi bahasa melayu disebut sebagai Saidina atau didalam versi bahasa inggeris disebut sebagai Monopoly. Permainan ini tidak menghadkan seberapa ramai pun pemain untuk menyertainya. Pada mulanya penulis merasakan bahawa permainan ini sangat tidak adil kerana nasib setiap pemain hanya bergantung kepada balingan 2 biji dadu.




Tetapi sekiranya kita meneliti benar-benar dari sudut psikologi, tentunya kita mahu kemenangan dengan mendapatkan wang yang banyak. Bukan hanya setakat itu, kita mampu merampas kekayaan pemain-pemain lain dengan strategi jual beli hartanah. Bayangkan bagaimana caranya untuk menguruskan berpuluh ribu ringgit didalam tangan dengan menjual beli tanah untuk didirikan rumah dan hotel. Perniagaan seperti ini memerlukan keberanian dan sanggup menanggung risiko.

Setiap pemain mempunyai cara dan strategi yang berbeza-beza. Cukup menguasai beberapa bidang tanah dengan membeli geran daripada bank boleh menjadikan pemain lain mula kehilangan wang sedikit demi sedikit. Akibat menceroboh tanah pemain lain, tidak dapat tidak kita harus membayar wang diatas kesalahan itu. Sekiranya pemain berjaya menguasai semua geran daripada bidang tanah tersebut, pasti akan dapat menguasai wang pemain lain. Perancangan kewangan pemain lain akan menjadi terjejas dan terpaksa pula membayar diatas pencerobohan tanah.

Sebenarnya permainan ini tidak akan memakan masa yang lama sekiranya beberapa perkara diatas papan permainan ini dibuang. Ini kerana pemain kadang-kadang harus membayar cukai, membayar jaminan waran tangkap dan membeli insurans diri. Secara realitinya, sekiranya kita mampu untuk membeli banyak geran tanah untuk didirikan rumah, kenapa pula kita tidak mampu untuk membayar semua hutang tersebut?. Mengapa pula kita dikenakan waran tangkap hanya kerana jual beli hartanah?. Di sini kita harus berfikir

Pencipta permainan ini tentu tidak akan membenarkan kita menang dengan begitu mudah. Meletakkan pembayaran cukai dan lain-lain sebenarnya adalah psikologi yang terbaik. Pemain akan sedikit terganggu dengan semua keadaan tersebut. Tidak mustahil sekiranya ada pemain yang menarik diri dan menjualkan kesemua bidang tanah kepada pemain lain. Nah, sekiranya realiti ini berlaku kepada ahli perniagaan di Malaysia, tahukah kita apa yang akan berlaku kepada nasib mereka?.

Merencana Budaya Membaca Di Malaysia

bahagian akhir

Setelah 2 artikel penulis sebelum ini membincangkan faktor-faktor pembacaan dari sudut jantina dan umur, bahagian terakhir ini penulis cuba menghuraikan aspek pembacaan dari sudut kecenderungan genre bacaan. Mungkin agak sukar sedikit untuk memahami apa yang penulis maksudkan. Akan tetapi keadaan semasa menunjukkan bahawa kecenderungan itu adalah sesuatu yang boleh berubah-ubah.

Pada pengamatan penulis, kecenderungan terhadap pemilihan genre bacaan ialah bergantung kepada apa yang dilakukan oleh seseorang itu pada masa sekarang. Ini kerana dari sudut kecenderungan, tidak mustahil ia boleh berubah pada bila-bila masa. Secara kebiasaan, seseorang akan membaca apa sahaja yang ada disekitarnya. Mungkin sahaja ia hanyalah untuk mengisi masa lapang daripada terbuang begitu sahaja. Tetapi ia tidak akan terbuang waktu apabila mencapai apa sahaja bahan yang boleh dibaca.




Sekiranya pada hari ini, seseorang itu ialah mahasiswa atau mahasiswi, ia akan memilih bahan bacaan berkaitan dengan apa sahaja kursus yang dipelajarinya sekarang. Kursus pengajian Islam, sains komputer, automotif dan lain-lain,semuanya mempunyai bahan bacaan yang tertentu untuk dikaji. Ini adalah kerana kecenderungan berlaku ketika mereka berada di alam pengajian sebagai warga kampus. Justeru penekanan dalam pembacaan hanya tertumpu didalam bidang yang dipelajari. Mungkin kita boleh katakan, sesekali mereka akan membaca majalah hiburan atau komik untuk menghilangkan tekanan.

Begitu pula sekiranya kita membayangkan seseorang itu ialah ahli perniagaan. Pemikiran seseorang ahli perniagaan biasanya tertumpu kepada bagaimana untuk meningkatkan prestasi syarikat dan memperbaiki hubungan dengan pekerja. Kalau kita melihat kecenderungan seperti ini, sudah tentu ahli perniagaan tersebut akan mengkaji buku-buku berkaitan dengan urusniaga syarikat. Tidak keterlaluan sekiranya penulis menganggap kecenderungan juga kadang-kadang boleh menyempitkan pembacaan.

Sebenarnya kecenderungan bukan sahaja hanya tertumpu kepada keadaan yang berlaku pada waktu sekarang, ianya boleh diperluaskan lagi sekiranya minat membaca itu dapat dipupuk dari kecil. Justeru pembacaan akan menjadi lebih berkembang dan kefahaman ilmu dapat diperkaya. Masyarakat seharusnya memulakan langkah pertama untuk mendidik diri sendiri, keluarga dan anak-anak melalui galakkan dalam membaca. Jangankan kerana kita sudah bernama bangsa, kita tidak perlu untuk membaca.

Wednesday 9 September 2009

Artis Dan Hiburan::Siapa Penghibur Mereka?

Apabila penulis cuba untuk mencari makna sebenar penghibur, kebanyakan masyarakat mudah mendefinasikan perkataan tersebut sebagai seseorang artis yang berusaha untuk menjadi penghibur kepada masyarakat. Dalam keadaan itu masyarakat akan menjadi gembira, kurang tekanan dan lupa kepada masalah. Wabak yang semakin membiak ketika ini ialah pencarian artis-artis baru yang mempunyai bakat seni suara yang mampu menghiburkan orang. Lazimnya penerimaan masyarakat terhadap artis-artis di Malaysia telah pun mencapai satu tahap yang disebut sebagai 'idola'.

Lahirnya puluhan artis di Malaysia adalah hasil penerbitan rancangan berunsur hiburan. Rancangan penerbitan tersebut telah ditetapkan dengan beberapa kaedah tertentu yang mana ia mampu menarik minat masyarakat supaya menjadi artis dan berjaya dalam industri hiburan. Membayangkan bahawa label artis adalah 'public figure' yang akan menjadi sebutan ramai, seharusnya kelakuan bukanlah seperti manusia yang dipandang jelek. Suara-suara yang mempertikaikan kemunculan artis-artis mee segera mengukuhkan lagi bahawa tidak ada untung memasuki industri hiburan.

Jika memandang presepsi masyarakat, sebanyak mana soalan yang ditujukan berkaitan hiburan, pasti jawapannya sangat lancar. Itu menunjukkan pengetahuan masyarakat terhadap hiburan sangat diberi perhatian. Gosip-gosip panas yang berkaitan semuanya habis dihafal dengan baik. Peminat fanatik pula sanggup berhabis duit demi bertemu artis kesayangan mereka. Bila ditanyakan mengapa artis itu yang diminati, jawabnya kerana suaranya sedap didengar. Apa yang yang penting asalkan dapat bergambar, itu sudah mencukupi.

Meneliti presepsi artis itu sendiri, mereka menganggap masyarakat adalah penyokong kepada kerjaya hiburan mereka. Apabila masyarakat mencemuh seseorang artis kerana keburukannya, hampir pasti kerjaya seninya akan terkubur. Bakat seni yang dianugerahkan digunakan untuk mencari rezeki dan memberi hiburan keseronokan kepada masyarakat. Akan tetapi kebanjiran artis itu sendiri menjadikan mereka disalah ertikan. Apatah lagi artis di Malaysia umpama bintang Hollywood yang tidak sudah ditimpa masalah sosial. Ketagihan dadah, salah laku seksual dan penceraian menjadi sebati dalam diri mereka. Inikah yang dikatakan hiburan?.


Kita tanyakan kembali kepada masyarakat terutamanya kepada peminat fanatik. Apakah artis yang selalu menghiburkan mereka juga terhibur dengan masalah yang membelenggu diri mereka?. Kini siapakah pula yang mampu menghiburkan mereka supaya mereka dapat keluar dari perangai buruk yang melekat dalam diri mereka?. Mungkin kita mampu untuk menipu orang, tetapi kita tidak mampu untuk menipu diri sendiri. Bagaimana seseorang artis mampu menghiburkan masyarakat sedangkan diri mereka sendiri tidak terhibur?. Hakikatnya orang yang tidak ada apa-apa, tidak boleh memberi apa-apa. Justeru fahamilah bahawa hati akan sentiasa terhibur apabila kita dekat dengan Tuhan.




Tuesday 8 September 2009

Merencana Budaya Membaca Di Malaysia

bahagian 2

Pada penulisan yang lalu penulis telah membuat kesimpulan bahawa pemilihan bahan bacaan adalah berdasarkan kepada 3 sebab. Samada dari sudut jantina, umur atau pun kecenderungan terhadap genre bahan bacaan. Penulis telah membezakan pemilihan bahan bacaan dari sudut jantina pada artikel yang lepas. Mungkin anggapan penulis tidak semuanya dipersetujui oleh orang lain. Penulis hanya memberi gambaran berdasarkan pemerhatian semasa penulis.

Faktor umur adalah sesuatu yang menyebabkan pemikiran, tindakan dan perasaan boleh berubah-ubah. Dari sudut pembacaan, penulis membuat kesimpulan ada 3 kelompok yang berlainan selera dalam hal-hal pembacaan. 3 kumpulan tersebut ialah, kanak-kanak, remaja dan org dewasa. Penulis yakin bahawa masyarakat sendiri nampak dan melihat akan perbezaan ketiga-tiga kelompok ini dari semua aspek.





Zaman kanak-kanak adalah waktu untuk berseronok dan bermain sepuasnya. Pemikiran yang kecil tidak mampu untuk mentafsir semua keadaan yang berlaku dihadapan mata. Realiti kanak-kanak ialah suka meminta-minta apa sahaja yang dikehendaki daripada kedua ibubapanya. Sekiranya kita melihat kanak-kanak berada di pasaraya besar, selalu sahaja mahu dibelikan bermacam-macam jenis permainan. Dari sudut pembacaan, mereka lebih suka kepada buku-buku penceritaan dongeng, binatang dan buku berwarna. Ini kerana tahap capaian akal kanak-kanak baru hendak mempelajari sesuatu. Justeru jangan pula ada ibubapa membelikan anak-anak kecil mereka buku yang langsung tidak sesuai dengan jiwa kanak-kanak.

Dunia remaja adalah proses menjadi matang. Diwaktu ini sikap remaja lebih kepada ingin mengetahui sesuatu. Oleh itu, bahan bacaan yang menjadi rujukan pengetahuan mereka adalah sesuatu yang sesuai dengan jiwa mereka. Pelbagai majalah hiburan, kartun, novel cinta dan sebagainya menjadi keserasian dalam menempuhi hidup dialam remaja. Lantas tidak mungkin sesekali hati remaja sebegitu mahu membaca buku-buku cerita dongeng yang selayaknya untuk kanak-kanak

Permintaan remaja kadang-kadang melampaui batas. Lebih-lebih lagi dalam menginginkan sesuatu yang mungkin sukar dicapai. Tetapi hati orang muda sememangnya keras dan terus mendesak. Sesuai dengan sikap untuk mengetahui sesuatu, terkadang-kadang pembacaan mereka boleh jadi memberi faedah dan terkadang ia hanya menjadi racun pemikiran yang sangat bahaya.


Alam dewasa adalah ruang kematangan fizikal dan mental yang mana ia boleh berdikari diatas kaki sendiri. Semua tuntutan dunia bila-bila masa sahaja boleh dipenuhi dengan mudah. Tambahan bidang kerjaya sebagai tempat cari makan dan mencari rezeki untuk seisi keluarga adalah perkara yang wajib dipenuhi. Hal-hal yang patut difikirkan pada waktu ini adalah bagaimana untuk membahagiakan keluarga, menguruskan kerjaya dengan baik atau membina hubungan dengan masyarakat setempat.

Mungkin ada sahaja yang beranggapan bahawa orang-orang dewasa mempunyai banyak masa untuk membaca buku. Ini kerana secara zahirnya orang-orang dewasa membaca buku selepas mereka 'pencen' dari kerjaya. Jangan kita lupa bahawa orang-orang dewasa juga membaca buku demi untuk mengekalkan prestasi kerjaya mereka. Apatah lagi mereka yang bekerja sendiri, menguruskan perniagaan perlukan banyak buku-buku rujukan berkaitan penjanaan wang ringgit modal dan belanja. Maka hakikatnya pembacaan orang-orang dewasa lebih tertumpu kepada hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan diri, keluarga dan negara.

( bersambung...)
satu bahagian jek lagi..hehe


Monday 7 September 2009

Menilai Sebuah Buku



Bukan mudah untuk menilai sebuah penulisan buku. Melihat penulisnya sahaja kita tahu dia adalah seorang pemegang mata pena yang hebat. Kalau salah menilai, alamatnya kita dikatakan tidak amanah dengan penilaian itu. Lebih baik kita minta penulis itu menilai bukunya sendiri. Tetapi kalau penulis itu yang menilai, sudah tentu dia akan mengatakan penulisannya itu adalah yang terbaik. Manakan tidak, sudahlah menulis sepanjang hari, tiba-tiba ada orang mahu mengkritik hasil penulisan tersebut.

Hebat sangatkah mahu mengkritik penulisan kita?. Atau kita harus menerima kritikan itu sebagai suatu pembinaan jati diri?. Mencipta daya penulisan sendiri memakan masa yang agak panjang. Itupun belum tentu ada orang hendak baca atau tidak. Kalau penulisan itu ibarat melepaskan batuk ditangga, memang patutlah kena kritik teruk-teruk. Tapi kalau sudah mengerah tenaga menulis berjam-jam, masukkan semua fakta-fakta yang diperlukan, menulis dengan bahasa yang indah, bagaimana nilaian harus diberi kepada penulisan seperti ini?.

Tidak salah kalau ada yang beranggapan menjadi penulis semestinya punya ego yang tersendiri. Semua karya dibaca, dibeli, disimpan dan menjadi koleksi peribadi yang sangat istimewa. Nama pena kita melonjak naik dan menjadi perbualan rakan-rakan penulisan yang lain. Mana tahu kita diminati kerana kontroversi atau pencetus sesuatu isu?.Meminati penulis kerana kontroversi bukan sesuatu yang janggal pada masa sekarang. Tulis sahaja buku mengenai kehidupan realiti artis. Apabila disebutkan sahaja tentang penceraian mereka , bermacam-macam andaian dan olahan yang kita tulis.

Lalu sebenarnya bagaimana hendak kita nilai hasil penulisan sesebuah buku, kalau sudah cara menulisnya sebegitu. Bukan boleh dipaksa-paksa menulis dengan cara yang kita inginkan. Menjadi seorang penulis bererti dia mencari cara penyampaian yang berkesan. Menjadi penulis haruslah hasil daripada kreativiti dan tradmark sendiri. Justeru siapa yang layak menilai hasil penulisan sesebuah buku?.

Merencana Budaya Membaca Di Malaysia

Bahagian 1

Kedapatan amalan pembacaan bahan-bahan cetak di Malaysia sangat menggalakan. Jika kita memahami bahawa amalan pembacaan masyarakat di Malaysia bukanlah sesuatu ditahap yang membimbangkan. Kita harus akui hakikat bahawa sebenarnya rakyat Malaysia minat membaca, akan tetapi mungkin bahan bacaan itu yang menjadi pemilihan setiap golongan-golongan yang tertentu. Boleh dibuat suatu kesimpulan bahawa pemilihan pembacaan itu hanya disesuaikan mengikut jantina, umur dan kecenderungan minat genre bacaan.

Lambakan bahan bacaan seperti akhbar, majalah, novel dan sebagainya memberi ruang ilmiah cukup besar kepada rakyat Malaysia yang minat membaca. Soalnya sekarang pemilihan bahan bacaan itu sendiri bergantung kepada 3 faktor diatas tadi. Mungkin sasaran yang penulis maksudkan ini tidak semuanya tepat. Akan tetapi kebarangkalian itu mungkin sedikit sebanyak ada seperti yang dianggap oleh penulis sendiri.





Secara jantina, bahan bacaan yang dipilih lelaki tertumpu kepada genre pendidikan,motivasi, lawak jenaka,aksi, fantasi dan agama. Pemilihan majalah terhadap genre-genre ini terlalu banyak dipasaran dan mampu dimiliki dengan harga yang berpatutan. Karya seperti "Pemimpin 360 darjah" adalah contoh karya motivasi pilihan yang wajar dimiliki. Penulis beranggapan karya-karya motivasi adalah hasil pengalaman, pembacaan dan kaji selidik yang dibuat oleh penulis itu sendiri.

Apo? dan ujang adalah contoh majalah lawak jenaka yang menjadi pilihan lelaki sebagai bahan bacaan ringan dan menghiburkan. Kedua-dua majalah gergasi pilihan ini diterbitkan oleh MOY publication sdn.bhd . Lakaran lukisan dan cara penyampaian lawak itu sebenarnya mendorong peminat terus meyimpan koleksi majalah ini dirumah. Hakikatnya untuk mencari idea menghasilkan lawak jenaka yang baik bukan semudah yang disangka. Mungkin dengan keluaran yang ada dipasaran sekarang ini sangat berkualiti, menyebabkan pembaca majalah ini tidak boleh berhenti ketawa. Haha! cam kambing!.

Pedang Setiawan, Juara Wira , Raja Rimba adalah contoh karya
aksi yang memaparkan seni pertahanan diri. Penulis dan Pelukis seperti Ma Wing Shing, Tony Leung adalah orang yang bertanggungjawab terhadap penghasilan majalah ini. Jangan terkejut jika di Malaysia orang lelaki juga sanggup menghabiskan wang dengan menyimpan komik aksi seperti ini. Manakan tidak, majalah ini hanya terbit seminggu sekali dengan harga yang cukup murah iaitu Rm3.50. Walaupun karya ini adalah hasil fantasi penulis dan pelukis, akan tetapi dengan jalan cerita yang menarik dan kuasa-kuasa yang mengarut, ia menjadi kegilaan ramai.

Lord Of The Ring dan Harry Potter adalah bahan bacaan fantasi yang juga menjadi salah satu pilihan pembaca lelaki. Imiginasi dan daya fikir yang tinggi menyebabkan lelaki selalu ingin berjaya kehadapan. Perasan atau tidak karya daripada barat ini sebenarnya banyak mengajak kita berfikir tentang sesuatu yang hendak disampaikan. Akan tetapi, hanya itu perkara positif yang kita boleh ambil dari karya mereka. Perkara yang lain semuanya merosakkan pemikiran dan agama kita sendiri.

Genre agama adalah salah satu pilihan utama lelaki di Malaysia. Karya "Hidup Selepas Mati" dan "La Tahzan" adalah contoh pilihan bahan bacaan yang menarik. Menyedari hakikat lelaki sebagai ketua keluarga dan rumahtangga, buku seperti "Suami Teladan Igauan Seorang Isteri" adalah pencarian buku yang terlaris. Akan tetapi keprihatinan pembaca lelaki terhadap genre ini masih kurang dan perlu digalakkan dari masa ke semasa.


Pembaca Wanita.


Penulis beranggapan bahawa pembaca wanita berani untuk memilih 4 jenis bahan bacaan. Samada ia bergenre masakan, hiburan, cinta dan agama. Begitulah hati wanita yang halus. Bahan bacaan juga bukan dari maklumat yang berat dan menyesakkan pemikiran. Dari segi jantina sahaja apakah kita sedar dan tahu ada perbezaan penerimaan bahan bacaan tersebut?. Kita jawab sendiri.

Majalah Hips,Urtv dan Mangga adalah contoh penulisan hiburan yang menggalakkan peminat wanita membeli. Hampir 100% bahan artikel yang dipaparkan hanyalah berbentuk hiburan. Sesetengah peminat yang membaca, menjadikan majalah tersebut sebagai hujah dan mula bercerita gossip ala ahli mesyuarat tingkap bersama rakan-rakannya. Maka keluarlah dalil-dalil yang dinaqal dari majalah tersebut untuk meniupkan perasaan suka atau benci kepada seseorang artis. Walhal, apa yang ditulis belum tentu semuanya benar kerana ia melibatkan maruah seseorang. Akhirnya pembaca cepat membuat kesimpulan dengan hasil penulisan tersebut.


Novel cinta adalah kisah hati dan perasaan yang harus diselami dan ketahui maksud yang tersirat. Pembaca wanita tertarik dengan genre ini kerana aplikasi cinta didalam novel terkadang berlaku dalam kehidupan realiti mereka. Tidak sempurna sekiranya penghasilan penulisan novel tidak ada watak wanita sebagai orang yang ingin dicintai. Tambahan pula jalan cerita yang sedih menambahkan rasa tersentuh hati wanita yang membacanya. Begitulah lumrah sifat wanita terhadap pautan novel-novel seperti ini.


Koleksi masakan adalah yang terpenting didalam sesebuah rumah. Bagi wanita sudah pasti mereka akan mengumpul seberapa banyak buku masakan yang terbaru demi menjaga hubungan kekeluargaan. Masakan selalunya berkaitan dengan selera yang berubah-ubah. Bagi yang belum berkahwin buku tersebut menjadi panduan dalam mempelajari selok belok masakan yang baik. Lain pula dengan wanita yang sudah bersuami, mereka memiliki buku masakan kerana ingin menjamu suami mereka dengan selera hidangan yang baru. Baru mereka akan dipuji suami. Menyimpan buku masakan umpama menyimpan harta karun. Ia boleh jadi penyelamat kepada hubungan kekeluargaan.

"Menjadi Isteri Solehah" adalah buku bergenre agama pilihan wanita yang mahu belajar melayari rumahtangga dengan bahagia. Kesempatan membaca genre agama adalah pilihan yang terbaik untuk wanita kerana mereka juga tidak mahu ketinggalan dalam memahami segenap hal berkaitan agama. Mereka mengetahui seorang wanita suatu masa akan memerlukan seorang lelaki untuk memandu mereka menjadi wanita yang baik.

Jadi apakah kita merasakan genre yang dipilih wanita begitu ringan berbanding lelaki atau lelaki memang suka kepada kesemua genre dan tidak ada sikap memilih dalam membaca?.

( bersambung.....)
saje bagi pikir dulu..










Sunday 6 September 2009

Aku ingin kembali

Sudah hampir setahun aku mendiamkan diri. Langsung tidak hirau untuk mengupdate seberapa banyak maklumat yang baru. Tidak seperti rakan-rakan yang lain. Ada sahaja bicara dan isu yang mereka paparkan. Barangkali begini kehidupan penulis. Ketika mula-mula menjadi penulis, ada sahaja perkara dan cerita yang hendak ditulis. Oleh kerana sudah lama menulis, mungkin sifat itu boleh berubah gara-gara malas untuk mencari dan membaca seberapa banyak bacaan untuk ditulis.


Walhal ketika ini, aku sedang sibuk dengan urusan yang berkaitan dengan penulisan. Semua perkara harus ditulis. Mungkin ini menjadikan aku semakin lama semakin bertimbun perkara yang perlu ditulis. Akhirnya blog aku sendiri yang membisu. Sebenarnya aku ingin kembali kepada blog ini. Mungkin selepas aku habis beruzlah dan mencari ketenangan fikiran, aku akan kembali. Sayang kalau ia ditinggalkan begitu kosong. Aku percaya bahawa seorang ulama bukan sahaja harus mahir membaca kitab dan bersyarah, bahkan seorang ulama harus mahir dalam penulisan.

Ketajaman penulisan adalah kualiti yang terbaik yang harus aku miliki. Kuasa penentu idea dan hasil pembacaan adalah input utama yang harusi disediliki. Mungkin ramai yang menyedari dengan penulisanlah agama Islam dihina, dengan penulisanlah umat Islam berpecah belah. Sejarah penulisan itu tidak akan pernah hilang kerana ia sudah ditulis umpama batu bersurat, sekalipun ia telah lama ditulis, tidak ada sesiapa yang boleh menafikan penulisan itu. Begitulah yang ku inginkan penulisan itu sesekali tidak dapat akan dihilangkan dari fakta sejarah!!.