Sunday 20 September 2009

Sekelumit Perasaan Di Pagi Syawal


Syawal pertama menjadikan penulis begitu bersemangat untuk menunaikan solat hari raya. Berkumpulnya umat Islam dengan jumlah yang besar dan ramai menjanjikan keutuhan silaturrahim yang kukuh dan padu. Betapa besarnya makna sebuah takbir yang mengagungkan kekuasaan Allah swt di ulang beberapa kali. Sebuah hadiah yang menghimpunkan seluruh jutaan umat Islam di seluruh pelusuk dunia demi menyambung ikatan persaudaraan dengan lebih erat.

Ketika sejenak berfikir, pada pagi syawal inilah semuanya berkumpul sambil memohon kemaafan dan ribuan kemaafan tika menjalinkan tali persaudaraan.Perasaan yang cukup muhibbah tergambar dari senyuman saudara seperjuangan yang menuntut di bumi anbiya ini. Siapa tahu hakikat persaudaraan itu dapat diuji ketika kita bertemu mereka di pagi syawal. Melayan sahabat-sahabat yang dekat atau yang kita sendiri tidak kenal menjadikan kita lebih faham erti sebuah silaturrahim.

Episod ziarah- menziarahi antara satu sama lain merupakan aktiviti biasa dihari raya. Bertemankan sahabat-sahabat inilah kita kongsi suka dan duka perasaan di pagi syawal. Tanpa ibubapa yang jauh di Malaysia membuat kita kekosongan hilai tawa mereka sebentar demi mendapatkan segudang ilmu. Mempelajari erti bersabar dan redha diatas ketentuan yang berlaku menjadikan kita lebih matang dalam menghadapi semua cabaran.

Bayangkan bahawa sekelumit perasaan itu dapat dihiasi dengan senyuman dan ketawa sahabat-sahabat untuk berkongsi kegembiraan bersama kita. Ia lebih bermakna di pagi syawal. Mereka juga seperti adik-beradik kita. Luahkanlah perasaan itu di pagi syawal supaya kita semua sentiasa bersama mengukuhkan ikatan persaudaraan yang sudah terbina.

No comments: