Thursday 24 September 2009

Habisi Juadah Di Rumah Terbuka



Begitu sinonim rumah terbuka apabila menjelang aidilfitri. Semua sahabat-sahabat sudah merancang dengan memilih tarikh yang sesuai bagi menjamu tetamu dengan juadah yang sedap dan enak. Tidak kurang juga undangan rasmi disusuli kad jemputan yang cantik ditulis khas untuk para tetamu. Malah didalam catatan diari juga habis dipenuhi berhari-hari dengan jemputan rumah terbuka. Mungkin minggu ini sahaja sudah penuh jadual yang ditulis bagi memenuhi undangan.

Kenikmatan bersama dan berkumpul rupa-rupanya begitu meriah di majlis rumah terbuka. Tambahan timbul pelbagai cerita dan isu semasa yang hangat diperkatakan. Masing-masing mahu berbual panjang dan bertanya khabar kerana sudah lama tidak bersua muka. Tuan rumah tidak jemu-jemu melayan karenah tetamu yang bermacam ragam. Begitulah agaknya keberkatan sebuah rumah yang dimasuki oleh para tetamu. Pasti akan membawa seribu rahmat dan berkat.

Menyambut hari raya diperantauan memberi sebuah kenangan kepada 'sebuah keluarga' yang mempunyai bilangan 'adik-beradik' yang ramai. Masing-masing mempunyai acuan peranan tersendiri dalam menghidupkan suasana ramah mesra di rumah terbuka. Tidak ada yang kecewa dan berasa sedih walaupun keluarga dan sanak saudara terlalu berjauhan. Pengalaman banyak melatih kita untuk terus hidup berdikari diatas kaki sendiri. Barangkali tahun ini adalah yang terakhir bersama dirumah terbuka setelah kita menamatkan pengajian dan akan pulang ke Malaysia. Laluilah pengalaman seperti ini. Ia datang setahun sekali. Sejarah ini akan tercatat dan akan dikenang sehingga ke akhir hayat.

No comments: