Sunday 17 November 2013

:: Karya Novel Di Dalam Pasaran::





Remaja lelaki dan perempuan pada hari ini terdedah dengan bahan bacaan yang cukup banyak. Paling laris dipasaran karya berunsur novel yang memuatkan cerita-cerita cinta yang melantai. Lambakan novel cinta ini bagi sesetengah remaja bahkan golongan dewasa adalah bahan bacaan semasa yang menarik untuk dibaca. Walaupun jalan cerita semata-mata cinta tanpa ada batasan tetapi pengaruh pembacaan sangat besar kepada mereka. 

Kebanyakan daripada hasil pembacaan ini akan terbentuklah sifat yang sama didalam diri pembaca tersebut. Mengunakan kaedah dan cara-cara yang diajar dalam novel cinta bagi memikat pasangan atau sebagainya adalah hal yang biasa bagi pembaca tegar novel cinta ini. Mereka suka hero dengan nama yang ala-ala macho dan heroin dengan nama yang indah. Bagi penulis kebanyakan karya cinta ini sebenarnya banyak menghumban kita kepada jurang kebinasaan nafsu. Mereka akan dikawal oleh emosi yang sedih apabila putus cinta. Bahkan sehingga membunuh diri. Obses dengan pembacaan seperti ini hanya akan memusnahkan diri.

Genre jenayah pula adalah satu genre yang baru meningkat naik yang memuatkan sejumlah cerita-cerita pembunuhan misteri yang perlu dirungkai dan diselesaikan. Bagi penulis genre jenayah seperti ini sedikit baik daripada genre cinta. Jenayah apabila dibaca bukan bertujuan mengajar kita menjadi penjenayah. Tetapi bagaimana kita memahami sesuatu jenayah yang berlaku didalam masyarakat. Walaubagaimana pun penulis berasakan sekiranya genre ini ditandakan dengan 18SG, maka ia adalah lebih baik dan wajar.

Genre cinta hanya semata-mata khayalan yang tidak akan berkesudahan sementara jenayah ialah apa yang berlaku didepan mata. Penulis sekadar menulis tentang dua genre ini kerana dua genre ini lah yang paling banyak dipasaran bahkan menjadi pilihan remaja-remaja hari ini. Hati-hati dengan pembacaan, sedikit sebanyak ia akan mempengaruhi tingkah laku anda!. 

Saturday 16 November 2013

::Imam Yang Di Benci Makmum::




                         Penulis seringkali mendapat respon yang pelbagai dari masyarakat tentang fungsi sesebuah masjid. Ada sebahagian dari kalangan jemaah yang cukup memuji pengurusan yang menguruskan masjid dengan teratur dan sempurna. Tidak kurang juga yang kuat mengadu tentang masalah pengurusan dan ahli jawatankuasa yang tidak menjalankan tugas dengan lebih bertanggungjawab. Hal ini menjadikan pengurusan masjid terabai dan hak-hak bagi masjid juga tidak terjaga.

                    Sebahagian dari jemaah pernah mengadu tentang perihal imam yang bermasalah. Bukan masalah dari segi akhlak atau sosialnya, tetapi masalah dari segi kelayakan menjadi imam. Ini kerana ada jemaah yang dapat menghidu beberapa kesalahan imam didalam bacaan sembahyang. Bagi para jemaah yang bersolat sudah tentu mereka melihat hal ini sangat besar. Bahkan mereka pula ragu-ragu hendak solat di belakang imam. 

Sekiranya imam itu orang yang mempunyai ilmu, nescaya dia akan memahami keadaan itu dan dengan sukarela berundur menjadi imam dan memberi laluan kepada orang lain. Perlu diingat, dosa solat makmum akan ditanggung imam. Justeru wahai para imam! Berlapanglah dada apabila menerima teguran.

             Masalah juga berlaku apabila makmum mengadu imam selalu membaca surah yang sama. Di ulang setiap hari surah yang sama, seperti tidak ada surah yang lain. Lalu ada yang membawa diri pergi ke masjid yang lain untuk solat jemaah di sana. Inilah kesilapan dalam memahami solat.

         Perlu dingat bahawa imam adalah kuasa terbesar didalam solat. Sesiapa pun yang datang hadir solat, sama ada yang berjawatan besar atau berpangkat tinggi tetap wajib mengikuti arahan imam. Didalam bacaan surah pula, tidak terhad para imam untuk membaca surah-surah tertentu. Bahkan di bolehkan setiap rakaat membaca surah Al-Ikhlas. Hal ini kerana kehebatan surah Al-Ikhlas itu sendiri.

          Apatah dengan imam-imam yng lain yang mungkin pembacaan surahnya agak perlahan tetapi bacaanya tepat dengan hukum tajwid. Apabila jemaah hendak mengkritik imam, berhati-hatilah agar kita tidak menghukum secara salah. Jika peristiwa pertama makmum benci dengan imam kerana kebenarannya terletak pada jemaah silakan. Tetapi jika kebenaranya ada pada imam, maka berhati-hatilah dengan fitnah yang disampaikan oleh mulut kita sendiri. Semoga kita dihormati oleh semua orang. Amin..

Friday 15 November 2013

:: Hijrah Daripada Kepalsuan Kepada Kebenaran::




         Tahun 1434 telah meninggalkan kita dengan penuh cabaran dan dugaan. Ujian sebagai hamba yang taat kepada Allah swt tidak terhenti setakat itu. Peningkatan ibadah seharian seharusnya menjadi lebih dari tahun yang terdahulu. Semua daripada kalangan kita benar-benar memahami erti hijrah yang sebenar. Hijrah yang berlaku kepada Rasulullah saw bersama para sahabat adalah simbolik utama kepada penghijrahan sebenar. Simboliknya ialah bagaimana kita sepatutnya taat kepada perintah Allah dalam setiap suruhan dan larangan. Inilah hijrah sebenar.

       Penulis gembira kerana masyarakat kita hadir mendengar majlis ilmu-ilmu di masjid sempena kedatangan maal hijrah. Apatah lagi ianya adalah majlis rasmi sempena kedatangan hari-hari sejarah didalam Islam. Akan tetapi, pertanyaan yang harus kita sama-sama fikirkan jawapannya, adakah cukup hadir pada majlis-majlis tertentu sedangkan galakkkan kita untuk sama-sama solat berjemaah adalah setiap hari. Bahkan majlis ilmu biasa diadakan selepas solat maghrib.

      Bagaimana cara kita faham cara pengamalan didalam ibadat seharian bukan semata-mata kerana sempena itu dan ini. Tetapi lebih utama ialah mengekali setiap ibadah yang dilaksanakan setiap hari. Jangan pula ada yang berhujah, "kurang-kurang saya dah buat sikit dah, orang lain tak buat langsung", kerana ini hanya alasan orang yang melepaskan batuk ditangga. Bahkan dianggap tertipu dengan ibadah yang sedikit.

     Melihatkan apa yang telah berlaku, jika penghijrahan cara berfikir ini tidak berlaku, maka selama-lamanya masyarakat kita tidak akan faham apa-apa tentang agama. Beribadah dalam keadaan jahil amat merbahaya bagi individu muslim yang tidak berilmu. Semoga Allah memberi kefahaman agama yang baik kepada kita semua.

:: Penceramah Pilihan::






               Buat kali pertama penulis bersama-sama bermesyuarat didalam sebuah masjid. Seorang pengerusi dan beberapa orang ahli jawatankuasa masjid termasuk hal ehwal wanita sedang fokus membincangkan hal-hal dan program akan datang. Penulis secara tidak langsung dijemput untuk meramaikan didalam mesyuarat ini. Tumpuan mesyuarat ini antara yang paling besar ialah memilih penceramah jemputan sempena sambutan Maulidurasul pada pertengahan bulan 1 tahun hadapan. Pemilihan harus dibuat lebih awal kerana pada tahun ini dijangkakan pihak masjid akan memanggil penceramah luar khususnya dari Kuala Lumpur.

Apabila cadangan nama penceramah dibuka. Masing- masing mencadangkan nama pilihan penceramah. Setiap cadangan itu biasanya mempunyai alasan yang dilihat dari kaca mata sendiri.

Pencadang Pertama

"Er..Saya cadang kita panggil Ust Bollywood nak?. Dia best sikit buleh menyanyi".

Pencadang Kedua

"Asyik menyanyi jea, kita nak pengisian tentang Nabi. Kita panggil Ust Abu Hassan Din baik juga. Tokoh agama hebat. Masuk televisyen lagi".

Pencadang Ketiga

" Ustaz Abu Hassan Din tak boleh la. Cara dia tue tak sesuai untuk ceramah umum seperti ini. Gaya dia memang sedikit perlahan.Takut orang mengantuk. Kita panggil  ustaz dekat-dekat dah la.Kita bukan nak buat apa pun. Ceramah aja".

        Melihat situasi seperti ini, agaknya siapakah penceramah pilihan yang paling layak berceramah sekiranya kita hanya pandai komen tentang penceramah begitu dan begini sedang kita sendiri tak berani nak berceramah di depan kawan-kawan sendiri. Sepatutnya hargai ilmu yang mereka beri. Bukan cari kelemahan mereka. Inilah dia adab-adab yang mungkin secara tak sengaja kita abaikan. Semoga kita redha dengan ceramah yang disampaikan. 

Thursday 14 November 2013

:: Sindiran Dalam Teguran::





Ada ketika seseorang cukup sensitif dengan teguran secara terus. Tidak kurang pula mereka yang tidak suka ditegur secara sindiran. Bagaimanakah cara teguran yang baik?. Penulis ketika menulis entry ini seringkali melihat penceramah-penceramah di surau, masjid dan ditempat-tempat umum bercakap. Mereka mempunyai kebolehan dalam menyampaikan teguran mengikut cara masing-masing. Jika dilihat dengan lebih tajam, sebenarnya teguran ini harus diterima dalam bentuk yang pelbagai. 

Ini kerana penulis melihat sikap individu muslim pada hari ini cukup berbeza dalam memberi respon dan pandangan pada isu-isu tertentu. Sebagai contoh jika isu itu melibatkan diri individu itu sendiri, apabila ditegur kerana tidak menunaikan solat, maka dia tidak akan ambil kisah. Bahkan lebih buruk jika dibalas dengan perkataan maki hamun. Menafikan hak orang lain menegur. Ini jika terkena batang hidung sendiri.

Akan tetapi apabila masjid umat Islam digunakan untuk agama lain beribadah secara salah, lantas mereka ini lantang bersuara mengatakan masjid hak orang Islam sahaja. Bukanlah penulis katakan bahawa mempertahankan hak umat Islam itu salah,bahkan ianya wajib kerana hak orang Islam. Tetapi bukankah hal itu terjadi (agama lain menggunakan masjid) untuk beribadah adalah disebabkan kecuaian umat Islam sendiri tidak pergi solat berjamaah?. 

Nah! Kita yang membiarkan masjid kosong, mengapa pula dimarahi agama lain jika mereka gunakan. Ini satu contoh yang penulis ingin sampaikan. Beriya-iya menjadi penyelamat masjid, tetapi langsung tidak pernah jejakkan kaki ke masjid. Inilah asas yang patut dikira mengapa teguran itu harus di pelbagaikan. Mereka yang faham akan terima, mereka yang tidak akan terus menolak dengan keras.

Benar kata nabi  saw yang bermaksud : " Sesiapa yang pergi berburu akan jadi lalai, sesiapa yang rajin mengunjungi pemerintah akan terkena fitnah, sesiapa yang tinggal dalam ceruk-ceruk kampung dan tidak pernah keluar, maka otaknya akan menjadi beku". Semoga Allah mengampunkan kita semua.

Sunday 27 October 2013

:: MANUSIA DAN KALIMAH ALLAH::





Penulis memahami bagaimana secara tiba-tiba ada diantara kita begitu peka tentang kalimah Allah yang digunakan sewenang-wenangnya oleh orang bukan Islam. Kita begitu sensitif dan terusik dengan perbuatan melampau orang bukan Islam yang merendah-rendahkan nama Allah yang khusus. Memohon untuk diletakkan nama Allah didalam bible merupakan perubatan yang tidak boleh diterima secara akal kerana perbezaan agama dan cara ibadah itu sendiri.

Mengertikah kita semua disebalik peristiwa ini, seolah-olah kita benar-benar berpe
gang dengan ajaran Islam. Akan tetapi kita yang bangkit membantah ini adakah kita telah menunaikan hak-hak Islam itu sendiri?. Mempertahankan kalimah Allah dari disalah gunakan itu wajib. Tetapi Bagaimana pula orang Islam yang mempersendakan agama Islam sendiri?. Bukankah ini juga fitnah besar yang membuka ruang kepada bukan Islam untuk menghina kita?. Ibarat pepatah, kata dulang paku serpih , mengata orang dia yang lebih. 

Penulis ingin sama-sama mengingatkan kita semua, agar lihat sama kesalahan yang kita lakukan kepada Allah. Di mana kita letak agama kita?. Mengapa rumah ibadat dikuasai oleh agama lain sedang kita yang membinanya?. Mengapa kita gagal mengimarahkannya?. Inilah fitnah akhir zaman. Mereka yang memekik marah, mereka jugalah orang yang meninggalkan sembahyang. Mereka yang terjerit serak, merekalah juga yang bertelanjang aurat. Mengapa melakukan tindakan sedang mereka juga sama seperti orang yang meremeh-remahkan kalimah Allah?.

Lihat bagaimana Allah menyedarkan manusia. Ini baru sedikit, belum lagi diuji dengan hal-hal yang lebih besar. Moga-moga kita mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku kepada masyarakat kita hari ini.

Friday 25 October 2013

::KESEMPATAN MEMBERI NASIHAT::


Sekiranya anda sebagai pembaca blog ini, diberi peluang untuk menyampaikan nasihat kepada orang yang lebih educated dan berpengalaman daripada anda, nasihat apakah yang terbaik mahu anda sampaikan?. Mungkin ada yang keliru dan tidak kurang juga yang tidak berani memberi nasihat bila kita berhadapan dengan orang yang berpelajaran tinggi. Inilah diantara ujian pendakwah. Berhadapan dengan orang yang sama tinggi ilmunya.

Penulis diberikan peluang pada tengahari tadi untuk menyampaikan kuliah Jumaat di salah sebuah masjid di Johor Bahru. Masjid yang dianggap cukup hebat dari pengisian kuliah agamanya. Kapasiti masjid yang sangat besar, apatah lagi pada waktu solat Jumaat benar-benar membuatkan penulis rasa kerdil. Mereka semua jemaah yang hebat. Mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi. Bercakap dengan memberi pandangan yang hebat. 

Penulis memilih tajuk Tanggungjawab Manusia Terhadap Al-Quran yang barangkali biasa didengar oleh semua orang. Hanya mengubah cara perbahasan supaya masyarakat lebih terkesan dengan apa yang disampaikan. Manusia memahami bahawa pegangan Al-Quran sekadar kita membaca atau mendengar orang membaca. Akan tetapi lebih dari itu kita tidak akan dapat mencapai maksud "BERPEGANG DENGAN AL-QURAN" selagi mana kita tidak faham apa yang kita baca.

Ayat pertama IQRA seperti mana penulis bahaskan pada artikel yang lalu sudah cukup membuktikan manusia mesti faham apa yang dibaca. Lihat imam di Masjidilharam yang seringkali membaca ayat Al-Quran lantaran menangis dengan sebab memahami bacaan tersebut. Barangkali jemaah yang solat dibelakangnya hanya suka kepada lagu bacaan tetapi sangat rugi kerana tidak memahami maksud bacaan.

Bayangkan, kita membaca ayat Al-Quran, dalam masa yang sama kita langgar hukum yang telah ditentukan oleh Allah. Kita membaca tentang ayat larangan lalai dalam solat, tetapi kita tetap lalai. Kita membaca ayat larangan mencuri, kita tetap mencuri. Semuanya kerana kita tidak faham apa yang dibaca. Jika begini cara kita, beranikah kita mengakui kita adalah orang yang berpegang kepada ajaran Al-Quran?.

Ingatlah Firman Allah swt yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu bercakap sesuatu yang tidak kamu perbuat?. Besar kemurkaan Allah bagi mereka yang bercakap tetapi tidak melaksanakannya" (Surah As-Soff ayat 2 & 3).

Thursday 24 October 2013

:: JAHILNYA KITA TENTANG AGAMA::








Apabila sebut tentang agama, ramai diantara masyarakat Islam khusus di Malaysia ini faham agama itu ialah ibadat dan tempat agama ini hanya didalam Masjid. Lalu dengan cara faham yang sempit ini menyebabkan ramai menganggap agama itu terasing daripada hal dunia. Dengan kata mudah, bila nak jadi alim duduk masjid, bila tidak, keluar dari masjid. Pemikiran semacam ini benar-benar menyesatkan, Apatah lagi kita sudah masuk tahun 2013 yang dikatakan menuju pembangunan moden.

Apakah untungnya manusia diberikan akal sedang tidak mampu mengecapi hikmah yang Allah berikan kepada mereka?. Bahkan mereka tidak pandai menggunakan akal untuk mendapat keredhaan Allah. Sangkanya bahawa umur itu semakin menurun, sedang umur semakin meningkat, masa untuk hidup juga semakin singkat. 

Sesiapa pun mengakui bahawa solat berjamaah itu perkara yang baik, akan tetapi mengapa kita tidak mampu melaksanakannya?. Kita juga mengakui sedekah itu baik, tetapi mengapa kita berat untuk menghulurkannya. Kita akui belajar agama itu baik, tetapi meninggalkannya.  Semua orang sepakat dalam perkara kebaikan tersebut tetapi mengapa gagal dalam  melakukannya?. Jawapannya kerana melaksanakan perkara-perkara yang melibatkan agama tidak nampak faedahnya di hadapan mata. Lalu dengan itu, kita berani meremehkan amalan tersebut. 

Cuba lihat satu contoh yang suka penulis berikan. Nilai RM 1, dimana tempat paling mudah kita melihat nilai ini? Jawapannya di tabung-tabung masjid. Sekarang Nilai rm50, dimana tempat paling mudah kita lihat nilainya?. Jawapannya di tempat-tempat yang memberi faedah yang nampak didepan mata seperti kedai makan, hotel, pusat membeli belah dan sebagainya. Apa pandangan kita apabila sesebuah masjid menetapkan derma hanya diterima RM50 dan keatas?. Tentu kita rasa pelik dan marah. Mengapa semua keadaan ini biasa berlaku?. 

Jawapannya kerana cara fikir yang penulis sebutkan diatas. Bila faedah nampak didepan mata rasa tidak rugi nak belanja besar. Bila faedah tidak nampak didepan mata, sayang nak belanja lebih. Itulah perangai sebahagian dari kita pada hari ini. Semoga kita faham apa itu agama. 

:: PUSAKA AYAH ::





Anak,
Aku Ayahmu,
Yang engkau minta aku beri  makan dan minum,
Sekolah engkau yang aku tanggung,
Buku engkau yang aku susun,
Mungkin kerna juga aku seorang ibu,
Dengarlah nasihat aku yang bakal berselubung.

Bila engkau ditanya,
Apa cita-cita mu wahai anak?,
Engkau masih lagi mengagak,
Sedang cacing pandai bergerak,
Tak bimbang selagi tanah tidak di jarah,
Bangunlah kau dalam sedar,
Kerana cita-cita ialah harapan,
Jangan dibuang kiranya engkau tersungkur,
Jika ingin sesuap nasi sekali pun,
Bangkit dan kais lah apa yang terhulur.

Aku ayahmu,
Aku tidak akan mampu memberi lebih dari yang ini,
Hanya nasihat lemah dan longlai,
Kerana aku bukan lagi ayah yang mampu memegang tanganmu,
Kita di hisab satu demi satu,
Sebelum aku menjadi asing di padang masyar tanpa mengenalimu,
Kau sambutlah nasihat ini,
Demi hidup mu,
Demi keluarga mu,
Demi aku yang sering engkau lupakan.


Wednesday 23 October 2013

:: KEBERKATAN SEBUAH REZEKI::







Rezeki adalah patah perkataan yang sinonim dengan makna mata pencarian. Bagi orang yang bekerja, kemudian mendapat gaji dan ianya dianggap sebagai sebuah rezeki. Ini fitrah kefahaman manusia biasa apabila mendengar istilah rezeki. Rezeki adalah sebahagian daripada kebahagiaan manusia. Tanpa rezeki manusia akan mengeluh dan resah kerana keperluan mereka tidak sempurna. Inilah diantara kunci utama kebahagiaan didalam sebuah keluarga.

Ramai yang tidak menyangka bahawa rezeki boleh datang dan pergi dengan bila-bila masa. Ini kerana wajib kita fahami dan yakin bahawa rezeki adalah milik mutlak Allah swt. Ada yang dikurniakan dalam keadaan dirinya tidak menyedari rezeki datang secara tiba-tiba. Semuanya adalah dari Allah swt. Tidak perlu merungut dan mengeluh kerana orang yang beriman, InsyaAllah akan tetap ada jaminan rezekinya.

Sebenarnya rezeki manusia telah ditetapkan sama ada sedikit atau banyak. Hanya kita di minta untuk terus berusaha mencari rezeki kerana sesuatu ketetapan dari Allah akan berubah sekiranya usaha dan ikhtiar kita bertambah. Bahkan apabila seseorang berdoa supaya ditambah serta di beri keberkatan rezekinya, nescaya Allah swt akan memberikan bersesuaian dengan permintaan hamba-Nya.

Hakikatnya walau kita tidak mahu meminta kepada orang lain, Allah swt tetap mengasihani hamba-Nya dengan memberi limpahan rezeki melalui sesiapa sahaja yang dikehendaki. Oleh kerana itu kadang-kadang seseorang apabila niat didalam hatinya inginkan sesuatu, secara tiba-tiba keinginan itu di tunaikan oleh orang lain, nescaya fahamilah Allah swt telah mendengar hasrat dan keluhan didalam hati kita.

Monday 21 October 2013

:: MENGHAYATI "IQRA' " DALAM AGAMA::


Ramai yang mengetahui dan memahami bahawa ayat yang pertama diturunkan oleh Allah swt didalam Al-Quran bermula dengan "IQRA' ". Walaupun terdapat pertanyaan yang seolah ajaib dan pelik mengapa ia dipilih sebagai yang pertama diturunkan?. Ini kerana biasanya sesuatu yang menjadi no 1 itu tentunya adalah yang terbaik atau juara atau ada kaitan dengan kemuliaan. Maksud dalam bahasa melayu bagi kalimah ini ialah "BACALAH".

Apa yang nak disampaikan dengan "BACALAH" ?. Bukankah semua orang boleh membaca?. Bukankah hanya dengan menyebut Bacalah semua orang akan faham tentang apa yang perlu di baca?. 

Rupa-rupanya ia tidak seperti yang kita faham. Ini kerana baca disini membawa 2 maksud. Maksud pertama ialah "membaca sesuatu yang bertulis". Sementara baca yang kedua ialah "membaca sesuatu yang tidak bertulis". Kalau begitu apakah beza di antara keduanya?.

Membaca sesuatu yang bertulis ialah membaca sesuatu yang kita nampak. Terutama sekali ialah membaca Al-quran dan faham akan maknanya. Sementara membaca yang tidak bertulis ialah membaca tentang kejadian ciptaan Allah swt dan segala keindahannya.

Orang yang tidak mampu membaca yang bertulis dia tidak akan mampu membaca yang tidak bertulis. Dengan erti kata yang mudah:

1. Orang yang tidak membaca Al-Quran (nampak & bertulis), dia tidak akan mampu memikirkan isi al-quran (tidak nampak & tidak bertulis).

2. Orang yang tidak menunaikan solat (nampak & bertulis), dia tidak akan mampu menghayati kesan daripada menunaikan solat ( tidak nampak &tidak bertulis ).

3. Orang yang tidak sabar dengan musibah (nampak & bertulis), dia tidak akan mampu memikirkan hikmah daripada musibah tersebut (tidak nampak & tidak bertulis).

Selamat Membaca!

Sunday 20 October 2013

::ABADI SYURGA FIRDAUS::



Sebuah pembaringan,
Menunggu Malaikat datang,
Melembut Izrael pencabut nyawa,
Atas insan soleh penghuni dunia,
Bakal menemui Pencipta-Nya.

Di usung papan,
Di selubung bacaan kemuliaan,
Tangis manusia kerana kehilangan,
Gembira manusia kerana kerahmatan,
Insan soleh di adili atas padang seluas hamparan.

Beratnya timbangan kantung kebajikan,
Tanda kemuliaan menzahir kedudukan,
Allah menunaikan janji kepastian,
Syurga Firdaus idaman pilihan,
Secukup harapan insan soleh beriman.

Abadi syurga Firdaus,
Takkan terlihat oleh mata zahir yang menipu,
Kerna isinya hamba yang menunduk teguh,
Atas taatnya ibadah bersungguh,
Nikmat yang kekal tak merapuh.


:: MEMBERI MANFAAT KEPADA MANUSIA ::


Apabila kita diberi percayaan oleh seseorang, maka hargailah kepercayaan itu dan jangan sesekali mengkhianatinya. Kepercayaan adalah nilai yang sangat tinggi di mata manusia. Sifat percaya bukan diletak pada orang yang suka berbohong dan khianat, bahkan kehilangan kepercayaan memungkinkan kehilangan sahabat. Bagaimana harus mempercayai seseorang?.

Nilai percaya ialah apabila seseorang itu pandai menyimpan rahsia dan menutup aib seseorang. Sesorang yang sentiasa menyebarkan rahsia dan membuka aib, mereka bukanlah orang yang boleh di percayai. Manusia hidup sedikit sebanyak akan bertongkat dengan manusia yang lain. Apabila hilang segala kepercayaan, maka hilanglah juga seorang kawan. Lihatlah bagaimana kepercayaan boleh mempengaruhi orang lain.

Pengamalan yang sekadar menjurus hal yang sia-sia patut dijauhi. Bukan sahaja kepercayaan hilang, bahkan tiada satu manfaat pun yang akan dapat. Lihatlah mereka yang selalu mendapat rezeki dari Allah swt. Mereka ialah orang yang sentiasa memberi manfaat kepada orang lain. Akhirnya Allah membalas perbuatan kebaikan kerana KEPERCAYAAN mereka kepada Allah swt. Jika janji manusia kita mampu percaya, mengapa tidak janji Allah kita wajib percaya setinggi- tingginya.  

::SKRIP PERTAMA ::


8 bulan menghilang. Bukan kerana putus asa dalam berkarya. Tetapi komitmen diluar kawalan. Hanya yang namanya manusia tetap ia punya kelemahan. Kali ini mahu bangun dan meneruskan misi penulisan ini walaupun jarak yang terlalu jauh meninggalkan nota yang terakhir pada februari dahulu. Walaupun penat dan hampir terlupa kepada ruang blog ini, akhirnya saya kembali juga buka dan mahu terus menulis di muka blog ini.

Kejayaan pertama menghasilkan karya sebuah skrip perjalanan yang di inspirasi melalui kisah yang berlaku di Syria. Ada juga rakyat kita yang mahu mengambil inisiatif bagi melakonkan watak-watak ini untuk dipersembahkan. Penderitaan rakyat syria sudah berlalu bertahun-tahun. Sehingga hari ini ia terus berlaku. Walau kita ada mata dan telinga, akhirnya kita pura-pura menjadi buta dan pekak kerana senang dengan kehidupan sendiri.

Inspirasi dari kisah ini akan cuba dipersembahkan didalam satu malam kesenian Islam oleh pelakon-pelakon dari Angkatan Tentera Port Dickson. Ia di jangka akan dipentaskan pada 9 Nov hadapan. Rasa tidak percaya kerana hasil pertama karya saya akan dipentaskan. Malu jika apa yang dihasilkan tidak memberi kesan kepada penonton. Peristiwa berdarah Syria bukan bahan gelak ketawa. Tetapi ia gambaran manusia yang harus di renung nasib mereka dengan hati dan perasaan yang menebal.

Harapan saya di dalam skrip yang hanya sekitar 15 muka surat ini dan dianggarkan dipentaskan selama 30 minit, dapat menitiskan air mata yang menonton. Tontonlah dengan mati hati dan fikirlah dengan mendalam. Kita bukan golongan yang hanya pentingkan diri sendiri. Tetapi ia adalah kepentingan saudara se Islam yang lain. Semoga Allah membuka cara fikir kita dengan cara Islam.

Thursday 14 February 2013

:: Hal Kahwin ; Pilihan Jodoh Di Tangan Siapa? ::







  Penulis tertarik dengan satu cerita yang boleh dikatakan isu penting juga yang berlaku dalam masyarakat. Walaupun ia nampak remeh tetapi masalah seperti ini tidak punya jalan penyelesaian yang cukup mudah. Semua orang tahu bahawa perkahwinan ialah SEBUAH MASA DEPAN. Satu keputusan dalam pemilihan jodoh membuktikan bahawa kita telah bersedia untuk berada didalam suatu keadaan. Kita berani untuk menanggung akibat daripada keputusan yang telah kita buat dan laksanakan. Oleh itu perkahwinan ini bukan hanya dilihat pada siapa yang membuat keputusan, tetapi kesan daripada keputusan dibuat juga patut diambil kira.

  Bolehkah ayah menentukan jodoh seorang anak perempuannya?. Bolehkah pula seorang anak perempuan memaksa ayahnya mengahwinkan dirinya dengan seorang lelaki pilihannya?. Siapa pula yang perlu mengalah dalam hal ini, ayah atau anak?. Penulis menimbulkan persoalan ini kerana sebenarnya diantara kita masing-masing tidak pernah menghargai antara satu sama lain. Masing-masing hendak pertahankan pilihan masing-masing. 

  Seorang anak perempuan harus tahu dan mengerti bahawa seorang ayah yang menjadi wali keatas dirinya berhak untuk mengahwinkan dengan mana-mana lelaki yang dianggap sebagai lelaki soleh. Jelas ?.  Seorang ayah juga harus tahu dan mengerti bahawa seorang anak perempuan yang berkahwin dengan lelaki pilihannya akan menanggung kesan dan akibat seumur hidupnya. Jika kedua-kedua keadaaan ini boleh difahami dengan baik, maka seorang ayah dan anak perempuannya  TIDAK akan mengambil jalan untuk bertengkar dan meninggi suara hanya kerana untuk pertahankan pendapat masing-masing.

  Jika seperti itu yang berlaku, mengapa tidak diadakan perbincangan dalam bentuk mesyuarat atau lain-lain?. Jangan hanya kerana masalah kahwin, akan berlaku terputusnya hubungan silaturahim antara seorang anak dan ayah. Ia menjadi fitnah yang lebih besar didalam hubungan kekeluargaan. 

  

Friday 1 February 2013

::Polemik Drama Sahara::



       
     
     
       Baru-baru ini kita telah diriuhkan dengan sebuah drama bersiri yang berjudul SAHARA terbitan Astro Prima. Karya bersiri yang mungkin dianggap sebagai Islamic Culture ini telah menerima kritikan yang hebat. Hujah yang cukup mudah bila seorang wanita berhijab dieksploitasi sebagai subjek untuk menghalalkan tangannya disentuh oleh seorang lelaki yang mahram. Mungkin dari penelitian penerbit drama ini, bahawasanya setiap orang bebas untuk memilih cara hidup tersendiri. Mungkin juga ia mengingatkan kepada kita bahawa wanita berhijab juga ingin merasai dicintai. Mungkin juga penghasilan drama ini adalah berdasarkan kepada permintaan masyarakat yang terkesan dengan cerita-cerita Islamik dari Indonesia. 

    Terlupa pula kita jika kita pernah mendengar alasan mengapa sesuatu drama atau filem itu diterbitkan. Sebagai contoh jika sebuah filem mempunyai unsur yang memaparkan percintaan melampau, pelacuran, kegiatan dadah, hiburan kelab malam maka tuan pengarah akan berkata: "Cerita ini adalah untuk memaparkan apa yang berlaku pada hari ini ". Babak-babak negatif seperti ini biasanya wujud berdasarkan pembawakan jalan cerita itu sendiri. 

      Apabila kita mendengar sesuatu tajuk cerita atau filem yang bersifat negatif seperti : BOHSIA, BOHJAN, REMPIT, GANGSTER, dan sebagainya, ia sendiri telah menanam didalam pemikiran masyarakat bahawa cerita ini punya unsur negatif. Walaupun belum menonton, tetapi akal manusia membaca perkataan negatif dengan raut wajah yang membenci. Mereka telah menganggap ini cerita bermasalah.

     Sesuatu cerita yang terhasil dengan tajuk yang baik, biasanya ia akan menggambarkan babak yang baik. Penonton bijak dalam memilih dan menilai sendiri cerita yang sesuai dengan akhlak  Islam. Apabila sesuatu cerita yang baik disulami dengan perkara yang dilarang, maka ia dianggap merosakkan jalan cerita tersebut. Inilah yang diajar kepada kita. Kebaikan sesekali tidak boleh bercampur dengan kejahatan. Jika drama SAHARA yang memaparkan seorang wanita berhijab sudah dianggap baik, mengapa perlu di rosakkan dengan babak yang boleh dianggap sebagai shubhat (ada keraguan) atau yang dilarang?.

      Sebaiknya mana-mana penerbitan yang ingin menyiarkan drama atau filem berunsur Islamik, perlulah merujuk kepada mana-mana pakar didalam bidang agama. Islam mengajar kita supaya jangan memfitnah dan melarang kita menjadi punca fitnah. Jika menghasilkan drama seperti ini boleh mendatangkan fitnah, adalah lebih baik ia dihentikan segera. Mudah-mudahan kita beroleh pahala dengan mendengar nasihat dan pandangan dari ahli agama. InsyaAllah.



   

Monday 28 January 2013

Maulidur Rasul : Penghayatan Dalam Mengamalkan Sunnah







     Maulidur Rasul hadir dengan meriah pada tahun ini. Kita sudah terbiasa dengan perbahasan kelahiran Rasulullah saw sejak dari kecil hingga nabi menjadi Rasul. Sejarah yang dibaca setiap tahun dengan pelbagai cerita dan kisah dalam hidup baginda. Para ulama di seluruh dunia sentiasa mengajak masyarakat dengan mencontohi sifat dan akhlak baginda yang sangat hebat. Bukan sahaja mencontohi, akan tetapi mengamalkan dengan akhlak yang sama dengan baginda.

       Setiap apa yang dilaksanakan oleh baginda maka ia menjadi sunnah ke atas masyarakat umumnya untuk kita beramal. Pernahkah kita menghitung setiap sunnah yang kita laksanakan sepertimana yang diamalkan oleh baginda? . Kita hitung secara mudah. Bermula dari adab didalam rumah, berapa banyak sunnah kita amalkan dalam kaedah menyambut tetamu? . Berapa banyak seorang anak atau ibu bapa faham mengenai batasan pergaulan mereka didalam rumah?. 

           Dalam hal yang berkaitan ibadah, berapa banyak sunnah yang kita telah tinggalkan dalam ibadah?. Hanya dalam ibadah solat, sedarkah kita betapa banyak sunnah yang dapat dilaksanakan dalam ibadah solat?. Memakai jubah, kopiah, minyak wangi dan serban. 4 sunnah pertama dapat dilaksanakan. Kemudian hadir ke masjid masuk dengan kaki kanan, baca doa masuk masjid, beri salam kepada jemaah, solat sunat tahiyatul masjid. 4 sunnah kedua telah pun dapat dilaksanakan. Jumlahnya 8 . Ini baru perkiraan secara umum. Belum lagi dihitung dengan secara halus. Mudahkan untuk beramal dengan sunnah?. Malangnya kita belum mahu meraih apa yang telah di tunjukkan oleh baginda sendiri.

            Secara mudahnya, kita tidak akan mampu menghayati tentang peribadi baginda selagi mana kita tidak beramal dengan sunnah yang telah ditinggalkan oleh baginda. Diantara kehebatan baginda adalah kerana akhlaknya. Lalu tanya kepada diri kita sendiri , sudahkah kita selesai beramal dengan akhlak baginda ?.

Saturday 26 January 2013

Karya Pertama : Warqah Kasih Rasulullah




                                          

   Begitu banyak impian yang dicita-citakan. Semangat dalam mengecapi apa yang kita suka buat adalah perkara yang biasa didalam hidup. Kehidupan manusia yang berbeza menyebabkan ada antara perkara yang kita suka tetapi tidak disukai oleh orang lain. Sesuatu yang kita minat tidak mesti orang lain juga berminat. Akan tetapi inilah usaha dakwah yang mampu penulis berikan. Kita yang biasanya berasa selesa kerana menyerahkan usaha dakwah kepada mereka yang tertentu. Mungkin ada sebahagian merasakan kita tidak perlu untuk berlebih-lebih didalam membuat kebaikan. Inilah kebenaran yang salah. 

      Ini sebuah buku yang dapat penulis terjemahkan bersama seorang sahabat yang juga orang yang berusaha menyebarkan dakwah diatas pena penulisan. Hakikatnya ia ada sebuah hasilan yang cukup kerdil jika ia dibandingkan dengan mereka-mereka yang cukup banyak curahan karyanya. Karya yang sesungguh hati untuk ditulis supaya dapat memberi sedikit ilmu kepada masyarakat. Syukur kerana ia adalah permulaan dakwah. Syukur kerana ia mendapat sokongan dan galakkan dari sahabat-sahabat. 

       Pena ini tidak akan pernah berhenti untuk menulis. Bukan penghargaan yang kita cari. Bukan nama yang ingin diagungkan. Hanya doa supaya ia akan terus mampu memberi pengajaran dan curahan ilmu yang tidak ternilai. 

 

Friday 25 January 2013

Tahun 2013: Zahirkan Azam Baru


Beberapa minggu lagi genap setahun blog ini sunyi sepi tanpa apa-apa yang terisi. Semakin sukar dan mencabar dalam bidang penulisan ini. Kadang-kadang ada cerita sempat tulis. Kadang-kadang sepi kerana tiada perkara yang hendak dikisahkan. Kadang-kadang ada , tetapi tidak berkesempatan. Mungkin inilah yang sukar untuk dilalui penulis-penulis diluar sana. 

Tahun 2013 punya kisah dan cerita yang boleh menambah semangat dan azam yang baik. Umpama menghijrahkan diri ke arah yang lebih baik dari sebelum ini. Tetapi ada diantara perkara itu yang belum dapat dipastikan. Minat penulisan ini akan terus menjadi minat utama dalam hidup berdakwah. Biarpun komitmen ini tidak terjangka masa dan ketikanya, InsyaAllah usaha dakwah secara menulis ini tidak akan pernah terhenti. 

Cerita dunia hari ini yang pelbagai, isu kefahaman Islam yang kian bercambah. Muncul pula kebangkitan yang tidak disangka-sangka. Banyak perkara yang menakjubkan berlaku di hadapan mata. Semoga permulaan  tahun 2013 ini mempunyai cerita yang menarik dan hebat untuk dikongsi bersama.