Saturday 28 June 2008

Kejahilan Dalam Memahami Agama



komputer
Kemunculan berbagai-bagai laman siber yang berbentuk forum dan diskusi mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Laman forum seperti Tranungkite dan Utaraonline menjadi pilihan utama masyarakat di Malaysia sebagai batu loncatan meluahkan segala maklumat dan isi hati yang dapat dikongsi dengan orang lain. Suatu permulaan yang baik apabila ruang forum adalah pentas untuk bertukar pendapat dan idea yang matang.

Walaubagaimanapun, idea dan pendapat yang diutarakan kadang-kadang menjadi bahan provokasi sehingga mencetuskan perasaan marah dan caci maki. Laman forum dipenuhi dengan kata-kata yang tidak masuk akal. Hal-hal agama pula sewenang-wenangnya "dikomen" oleh orang yang jahil dalam beragama. Ini suatu sikap biadap yang harus dibendung supaya orang seperti ini tidak akan lahir untuk menghancurkan agama.

Munculnya golongan perosak agama ini dianggap sebagai racun yang mampu merebak dengan cepat. Tambahan pula disertai dengan pendokong-pendokong yang menolak dan meremehkan sebahagian usaha mempertingkatkan nilai akhlak dalam beragama. Isu pemakaian gincu bibir dan kasut bertumit tinggi adalah contoh "reminder" sebuah kerajaan negeri terhadap rakyatnya. Bagi mereka yang menjaga gaya dan ketrampilan, sudah pasti sebahagiannya akan menolak cadangan saman tersebut.




High Impact Lipstick


Lumrah hidup sebahagian masyarakat yang tidak ingin dikongkong oleh sesuatu peraturan khususnya terhadap hak individu adalah suatu kefahaman yang salah. Perkara yang berkaitan pakaian, aksesori peribadi dan tudung adalah dilihat sebagai hak individu. Suatu penjelasan yang harus difahami ialah Islam sangat-sangat menjaga keperibadian penganutnya. Peraturan yang datang bukan ditulis oleh manusia. Akan tetapi ia datang dari Allah melalui mukjizat Al-Quran yang sangat tinggi.

Seharusnya apa yang dilihat ialah hikmah terhadap sesuatu larangan atau perintah yang boleh memberi kesan positif kepada penganutnya. Islam bukanlah menyusahkan, walhal ia menjadi jalan penyelesaian kepada kekacauan pemikiran yang melampau. Bahkan sesuatu perkara yang sudah ada jawapannya tidak perlu lagi untuk diperbalahkan. Semuanya mengandungi nota yang bakal ditunjukkan di akhirat kelak.

Sikap orang yang jahil hanya akan merugikan agama, apatah lagi bangsa dan negara yang bersifat sementara. Tiada lagi nilaian terhadap bangsa dan negara bila agama mula diketepikan didalam cara hidup. Presepsi kejahilan yang menampakkan ketandusan ilmu pengetahuan agama amatlah menyedihkan. Hilangnya ulama dan tokoh ilmuan agama menandakan kejahilan akan tersebar meluas. Justeru itu, apakah nasib agama di masa hadapan?. Ia tidak ubah seperti menggengam bara api, kepayahannya akan dirasa.

Friday 20 June 2008

Melahirkan Ulama Yang Berwibawa

Arus kemodenan pada hari ini mengajar kita erti kehidupan yang mewah, senang dan terurus. Pembangunan material yang semakin maju dan canggih telah membawa nama negara ke mata dunia. Pengisian jasmani yang di reka oleh pakar-pakar pembangunan telah memberi pelaburan yang besar terhadap ekonomi negara. Kelayakan mereka telah diiktiraf kerana kemahiran didalam pengurusan pembangunan sudah sepatutnya diserahkan kepada mereka yang berpengetahuan didalam bidang tersebut.

Lahirnya pakar pembangunan seperti hijjaz kasturi yang melakar bangunan KLCC untuk dibangunkan adalah contoh terbaik bahawa pentingnya beliau dalam aspek memainkan peranan membantu aktiviti kepesatan pembangunan negara. Ini kerana pembangunan jasmani tidak dapat lari dari kehidupan dunia yang inginkan kemajuan. Ia juga tidak pernah di halang oleh agama kerana didalam Islam juga menuntut manusia melakukan pembangunan jasmani.






uaa

Tidak cukup dengan pembangunan jasmani, pembangunan rohani juga mempunyai nilaian yang harus diikuti sebagai ' makanan tambahan' didalam hati manusia yang sentiasa berubah-ubah. Ini adalah suatu aspek yang jarang diberi perhatian dan seterusnya menyebabkan kehidupan manusia menjadi tempang kerana mementingkan pembangunan jasmani sahaja. Golongan yang memegang tampuk pemerintahan seharusnya memberikan kepercayaan terhadap agamawan yang mahir dalam pembangunan rohani. Mereka ialah ulama- ulama yang mempunyai amanah yang besar dalam mendoktrin rohani manusia ke arah keberkatan hidup.

Peranan ulama merupakan diantara yang terbesar didalam sesebuah negara. Mereka dianggap sebagai golongan yang mampu menyelesaikan masalah agama dan menjadi sandaran masyarakat yang sebahagiannya sangat jahil terhadap pengetahuan agama. Kebanyakan masyarakat menerima kehadiran mereka sebagai penyelamat kehidupan dari terus terjerumus ke arah kejahatan.Kata-kata ulama adalah mutiara jawapan yang seringkali ingin diketahui oleh masyarakat. Ini kerana jika pembangunan jasmani di kuasai oleh mereka yang berkemampuan dalam bidang itu, maka pembangunan rohani juga haruslah diserahkan sepenuhnya kepada ulama.

Kewibawaan ulama terletak kepada keikhlasan dan keberanian dalam menyampaikan sesuatu yang menyentuh kebenaran. Sekalipun dibenci oleh mereka yang tidak mengakui ketokohan ulama tersebut, mereka tetap harus menerima segala nasihat dan pandangan dalam membentuk pembangunan rohani yang praktikal. Sifat membenci ulama adalah sangat dilarang didalam agama. Mereka hanya menjadi penyampai segala kebenaran yang diterjemahkan melalui Al-quran dan Hadis.

Ulama juga adalah pencetus kesedaran dalam pemikiran masyarakat yang dibelenggu perbuatan-perbuatan jahiliyah. Mereka menjadikan ad-din sebagai 'way of life' dan menyeru kepada masyarakat mempraktik segala ajaran Al-Quran dan Hadis demi mencapai keberkatan dalam hidup. Sangkaan buruk bagi sesetengah masyarakat terhadap mereka tidak perlu diambil kira, kerana umum mengetahui ketinggian ilmu ulama mampu mempengaruhi masyarakat untuk menerima segala nasihat dan bimbingan yang wajar.

Kesan yang harus diterima masyarakat ialah sekiranya golongan ulama mempunyai autoriti dan kebebasan dalam memberikan nasihat, sudah tentu ilmu yang dimiliki bukan sekadar untuk dibaca dan disebut, bahkan ia untuk diamalkan. Akan tetapi sekirannya ulama dikekang dan dihalang untuk menyampaikan kebenaran, masyarakat akan terus diikat dengan kejahilan dan kebuntuan dalam memahami agama.

Sunday 15 June 2008

Gangsterisme:: Samseng Ala 'Sarip Dol'

pelajar lelaki

Tanggungjawab pelajar pada hari ini bukan sahaja untuk menggalas ilmu yang diamanahkan, bahkan cabaran sebagai pelajar adalah untuk mempertingkatkan daya kesungguhan dalam mendepani segala rintangan ketika dialam persekolahan. Tika dialam persekolahan, zaman tersebut adalah pembuka jalan kepada mereka untuk mencari dan menterjemahkan kesungguhan dalam menuntut ilmu. Bagi ibu bapa pula, alam persekolahan adalah tempat bermulanya percambahan didikan untuk anak-anak mereka. Peluang dalam menuntut ilmu begitu terbuka kepada mereka untuk mengecapi kejayaan yang diimpikan.

Dalam proses mempertingkatkan kendiri, sudah pasti banyak pengaruh yang menerjah masuk ke dalam pemikiran sehingga mampu untuk merosakkan keperibadian mereka sendiri. Tiada timbang tara dalam membuat keputusan dan selalunya nafsu yang menjadi juara. Membuat sesuatu tanpa memikirkan kesan baik dan buruk adalah jalan yang seharusnya dielakkan supaya masa depan mereka tidak dicemari dengan perbuatan yang merugikan.

Sesetengah ibu bapa menyangka anak mereka hadir ke sekolah untuk mengikuti pembelajaran. Bahkan meletakkan harapan yang tinggi supaya anak mereka memperolehi kejayaan sebagai hadiah membalas jasa ibu bapa mereka. Namun disebalik itu, ada dikalangan mereka yang terjebak dengan aktiviti memeras dan mengugut. Perlakuan yang sekadar mahu bermegah diatas nama samseng dan gangster.

Hampir seringkali akhbar arus perdana menceritakan tentang perlakuan gangster pelajar sekolah. Mereka yang seakan suka menunjuk-nunjuk kekuatan supaya dapat menindas orang yang lemah. Siapa yang kuat pastilah dia yang akan menang. Itulah slogan 'anak jantan' yang pantang dicabar. Tiada apa yang perlu di banggakan bagi golongan seperti mereka. Ini kerana mereka sendiri bergantung perlindungan kepada kumpulan samseng yang lain. Kelakuan seperti itu sudah pastilah menampakkan ketidakmatangan dalam mendepani pentas kehidupan dunia.


Keseronokan melakukan jenayah bersifat penindasan hanyalah suatu keinginan yang sia-sia. Tindakan tersebut bukan sahaja mencemarkan nama baik keluarga, bahkan nama baik anak melayu yang disebut-sebut sebagai melayu alaf baru. Beberapa kejadian pergaduhan, membuli dan menindas dikalangan pelajar beberapa masa dahulu harus dijadikan pengajaran . Ia bukan sahaja membabitkan pihak sekolah bahkan keluarga juga menjadi bahan cemuhan masyarakat. Tidak pelik juga bila ada ungkapan seperti 'bapak borek anak rintik'. Perilaku anak diibarat seperti bapanya sendiri.

Masalah yang harus diatasi bermula dari didikan ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Keperihatinan terhadap gaya hidup dan pergaulan sosial anak-anak harus dijaga dan dikawal supaya mereka tidak mudah dipengaruhi dengan budaya gangsterisme. Ibu bapa adalah contoh terbaik yang pasti akan dituruti oleh anak-anak mereka sendiri. Justeru itu kepincangan anak-anak melayu di alam persekolahan sedikit sebanyak mengikis sikap samseng ala Sarip Dol, penjahat yang pernah berlakon didalam filem lama pada suatu masa dahulu.

Friday 13 June 2008

Akhlak Dan Wibawa Kepimpinan

Kepincangan yang berlaku didalam negara sejak akhir-akhir ini sangat membimbangkan seluruh rakyat jelata. Sumber utama ekonomi negara seperti minyak mula menjadi satu topik yang hangat diperkatakan oleh rakyat pada masa kini. Semuanya gara-gara kenaikan yang melambung tinggi iaitu sebanyak 78 sen menjadikan harga seliter minyak pada ketika ini RM 2.70 . Rakyat pastinya terkejut dan gusar dengan kenaikan yang mendadak ini. Ini kerana saban kali harga minyak naik, sudah pasti harga barang-barang lain turut menerima kenaikan yang sama.

Kecekapan dalam menguruskan hal-hal negara seharusnya diserahkan kepada pakar yang mahir dalam bidang masing-masing. Bagi rakyat yang sudah bosan dengan retorik laungan pimpinan yang ada pada hari ini, mereka mengambil langkah melakukan demonstrasi bagi mendesak pimpinan menurunkan harga minyak. Sudah pasti banyak 'mata' dari luar negara yang akan memerhatikan keadaan politik di Malaysia. Tindakan berdemonstrasi bukan sahaja berlaku dinegara Malaysia , bahkan negara luar juga turut melakukan tindakan yang sama dalam membantah keputusan yang menindas rakyat.



Pelbagai rancangan dan dasar dilakukan untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Malangnya pelaksanaan itu sedikit sebanyak telah dicemari dengan perbuatan yang menjatuhkan maruah pemimpin yang hanya mengalas isi perutnya sahaja. Kesedaran dalam memahami kehendak rakyat yang ingin hidup lebih selesa tidak dipandang dengan serius. Apa yang menarik hanyalah pelaburan yang memberi pulangan lumayan kepada pemimpin tersebut.

Sebenarnya pimpinan pada hari ini harus memperbaiki akhlak dalam mencerminkan keyakinan rakyat kepada pemerintahan negara. Kegagalan dalam setiap pelaksanaan yang dicanang adalah kerana akhlak pimpinan pada hari ini yang kian rosak dengan berbagai-bagai masalah. Suarakan sebanyak mana pun rancangan dan dasar yang hendak dibuat, jika didalam dasar itu terdapat tangan-tangan yang mengambil kesempatan, maka dasar itu harus dibuang kedalam tong sampah.


Sesetengah masyarakat pula adakalanya mengambil sikap berdiam diri dan mengikut sahaja peraturan yang ditetapkan kerajaan. Mereka memahami bahawa dasar parti politik dinegara ini semuanya sama . Bahkan mereka mengganggap semua parti politik mempunyai kepentingan sendiri. Maka pada zahirnya sesiapa sahaja yang memerintah, pasti akan mengambil kesempatan diatas kekuasaan yang ada. Mungkin didalam benak fikiran mereka, tidak ada pemimpin yang benar-benar amanah dalam menjalankan tanggungjawab kepada negara.

Jelasnya krisis kepimpinan pada hari ini bukan kerana kedangkalan ilmu pengetahuan, tetapi kerana masalah akhlak yang teruk. Pemimpin adalah contoh kepada rakyat dalam segala hal dan keadaan. Seharusnya sikap dan tauladan yang baik haruslah ditunjukkan supaya intergriti kepemimpin tidak akan dipertikaikan oleh rakyat.

Monday 9 June 2008

Isu Pakaian::Menutup Punca Fitnah

Program Mentor Mentee


Kesedaran beberapa pihak terhadap etika cara berpakaian telah mula diberi perhatian yang serius. Langkah ini sebagai permulaan yang dibuat bagi menangani masalah gejala sosial seperti merogol, meragut dan membunuh. Jenayah kekerasan yang acapkali berlaku terhadap wanita haruslah ditangani dari sudut cara berpakaian itu sendiri. Teguran yang dibuat terhadap pelajar-pelajar perempuan yang memakai pakaian dan tudung 'transparent' beberapa hari yang lalu adalah langkah awal dalam mendidik cara berpakaian yang betul.

Didikkan terhadap berpakaian bukan sahaja ditujukan kepada pelajar, bahkan seluruh golongan masyarakat harus menganggap bahawa cara berpakaian adalah sebahagian daripada tuntutan agama. Tuntutan sebegini terkadang dipandang sepi disebabkan kurangnya pengetahuan agama dan kesan daripada arus kemodenan yang melampaui batasan agama. Sebenarnya cara kehidupan sebegini sudah mampu menjadi fitnah yang merosakkan diri.


Keterbukaan masyarakat dalam menerima segala budaya haruslah diteliti dan dinilai dengan akal fikiran yang waras. Ia haruslah selaras dengan pegangan agama yang menetapkan suatu bentuk undang-undang dan cara hidup yang sesuai dengan kehendak agama sendiri. Sebilangan masyarakat pula menganggap keterbatasan terhadap cara berpakaian memperlihatkan pemikiran yang jumud terhadap arus kemodenan yang dilalui. Bahkan sudah mengklafikasikan pakaian moden sebagai "up to date " dan pakaian menutup aurat sebagai " old style".

Masalah yang sering kali berlaku seperti ini adalah kerana anggapan masyarakat terhadap cara pemakaian hanya diaplikasi sebagai fesyen yang harus mempunyai perubahan pada setiap zaman. Trend dan gaya pemakaian pula biasanya disepadankan dengan umur. Jika diikutkan kefahaman sedemikian, tidak hairanlah sekiranya gejala sosial semakin membiak dikalangan masyarakat.

Mentaliti sebegini harus diubah supaya cara berpakaian dapat dilihat dari sudut tuntutan agama yang menggariskan panduan menutup aurat adalah wajib. Diantara hikmah yang harus diperhatikan ialah cara berpakaian yang sempurna dapat mengelakkan diri daripada menjadi bahan fitnah oleh orang lain. Bukan sahaja tuntutan agama melarang memfitnah, malahan agama juga menyuruh menutup punca-punca yang mendatangkan fitnah.










Sesetangah masyarakat menganggap cara pemakaian adalah hak individu yang harus dihormati oleh orang lain. Mereka tidak mahu sesiapa campur dalam segala hal yang dilakukan sama ada baik atau pun buruk. Apa yang penting bagi mereka ialah menjauhkan diri dari segala kongkongan peraturan dan undang-undang yang boleh menyekat kebebasan mereka. Sikap sedemikan seolah-olah tidak bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T.

Oleh yang demikian, seharusnya kerajaan memulakan langkah yang pertama untuk memantapkan proses pentarbiahan masyarakat melalui didikan cara berpakaian yang dianjurkan oleh agama. Terbentuknya akhlak yang mulia akan menjamin kehidupan yang diredhai oleh Allah S.W.T . Usah dibiarkan keruntuhan moral berleluasa, kelak akan merosakkan kehidupan diri sendiri. Ibarat kata pepatah " Baliklah orang putih yang berkulit merah, tinggalah orang putih yang berkulit hitam manis"

Thursday 5 June 2008

Suara Parlimen Dan Peraturan Mesyuarat.




Perbahasan didewan rakyat menceritakan perangai-perangai YB yang amat melucukan. Kali pertama muncul dikaca televisyen, rakyat sudah tahu membuat perhitungan dan jangkaan suara-suara YB yang bakal mengegarkan dewan rakyat. Masing- masing berdiri untuk meminta peluang membahaskan ucapan titah Di Raja. Namun giliran berucap telah pun ditentukan oleh Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai Yang dipertua dewan.

Perbahasan hari pertama sahaja telah menampakkan semangat YB yang baru kali pertama merasai pengalaman berbahas didewan rakyat. Penggal pertama sebagai YB seharusnya tidak mahu melepaskan peluang untuk menjadi jaguh taruhan rakyat yang mengharapkan nasib mereka terbela dibawah pemerintahan kerajaan.

Pertikaman lidah di hari pertama diantara Yang Dipertua dengan DAP-Bukit Gelugor yang juga seorang peguam, memulakan episod baru tentang pentingnya menghormati peraturan mesyuarat. Beliau mempertikaikan kewajaran seorang YB dipihak kerajaan yang tidak mengangkat tangan ketika majlis mengangkat sumpah menjadi ahli parlimen dijalankan. Riuh rendah wakil kerajaan sambil bersorak kerana Yang Dipertua membuat andaian bahawa tangan YB tersebut sakit.

Peraturan mesyuarat menjadi senjata bagi mencari kesilapan dan mempertikaikan ucapan yang dianggap melampau dan berbaur permusuhan. Ucapan yang selalunya disertai emosi bercampur geram hanyalah bertujuan untuk mencipta provokasi dan tuduhan yang tidak berasas. Lebih memburukkan apabila perbahasan dewan ditontoni semua lapisan masyarakat.Rakyat kini sudah mampu untuk menilai niat sebenar ' ayam tambatan' mereka.


Ketelanjuran kata dan tuduhan melampau mampu mendatangkan kemarahan oleh pihak lain. Justeru penggunaan peraturan mesyuarat atau lebih dikenali sebagai "Point of order" sering ditimbulkan supaya ketelanjuran itu segera ditarik balik. Seperti yang berlaku kepada YB Rembau yang menyifatkan PKR sebagai "Projek Khinzir Raksasa".

Kenyataan ini menimbulkan rasa tidak puashati dikalangan wakil pakatan rakyat. YB dari Kulim Bandar Bharu bangun dan membacakan peraturan mesyuarat tentang larangan menggunakan perkataan kurang sopan didalam dewan rakyat. Akan tetapi, YB Rembau menyatakan kenyataan itu sebagai co-accident (secara kebetulan) . Kemarahan menjadi memuncak dan akhirnya YB dari Pokok Sena pula menggelarkan PBN sebagai " Projek Babi Negara ".



Wakil rakyat sewajarnya bersedia apabila ucapan perbahasan ditingkah untuk memberi laluan pertanyaan dan penjelasan. Ruang harus diberi untuk memberikan penjelasan sekiranya kenyataan itu dianggap bohong dan tidak benar. Seperti YB Pasir Salak yang menyatakan bahawa UMNO yang mendapatkan kemerdekaan untuk tanah melayu. Akan tetapi ruang diberi kepada YB Shah Alam yang tidak bersetuju dengan kenyataan itu. Beliau seterusnya menanyakan siapakah ahli UMNO yang dipenjarakan kerana mempertahankan tanah melayu. Akan tetapi soalan itu tidak dijawab.

Seharusnya setiap wakil rakyat harus menunjukkan kredibiliti yang baik ketika menyertai perbahasan titah diraja yang lepas. Perbahasan bukan bertujuan untuk menaikkan populariti seseorang YB. Bahkan perbahasan adalah himpunan suara-suara rakyat yang mahukan keadilan, kesejahteraan dan keamanan dari pihak pemerintah.

Tuesday 3 June 2008

Etika Kewartawanan:Kerjaya Yang Mencabar

Penyampaian maklumat didalam televisyen, radio, akhbar dan majalah adalah perantaraan yang paling utama dalam bidang penyiaran. Medium yang mempunyai kebebasan bersuara dalam menyampaikan segala maklumat, menjadi rujukan bacaan umum didalam masyarakat. Sikap keadilan dalam menyampaikan maklumat menjadi titik tolak bagi memenuhi kehendak masyarakat yang berbilang kaum. Penekanan kualiti dalam setiap maklumat pula adalah garis panduan yang bersandarkan kepada fakta.

Namun bagi seseorang yang ingin berkecimpung didunia kewartawanan, ia bukanlah suatu kerjaya yang mudah. Maklumat yang hendak disampaikan mestilah daripada bukti-bukti yang benar. Percanggahan fakta dan penyelewengan maklumat adalah menjadi satu kesalahan didalam etika kewartawanan. Tambahan pula, sekiranya maklumat tidak menepati fakta yang betul, ia akan menimbulkan rasa marah dan benci masyarakat terhadap mereka.


keratan sebuah akhbar arus perdana


Ironinya, tugas wartawan sebenarnya telah membuka pandangan kepada masyarakat tentang kepentingan medium penyiaran . Wartawan ingin melariskan maklumat,cerita dan gambar. Semua elemen tersebut sangat berkait rapat dengan kerjaya wartawan. Tanpa elemen tersebut, maklumat seolah-olah tidak akan lengkap diantara satu sama lain. Jelas kerjaya wartawan memerlukan kebijaksanaan dalam mencari bahan yang mampu menguatkan segala maklumat yang ingin disampaikan.

Walaubagaimanapun, etika kewartawanan haruslah dijaga agar tidak timbul salah faham masyarakat terhadap hasil maklumat yang diberikan. Ini kerana sesetengah wartawan hanya mengambil maklumat atau cerita yang boleh meningkatkan hasil jualan akhbar dan majalah mereka. Malahan sudah banyak akhbar dan majalah khas yang diterbitkan hanya untuk menaikkan populariti orang-orang tertentu.






Lambakan akhbar dan isi-isi majalah berunsur picisan juga tidak ketinggalan. Penggunaan gambar sekali lagi menjadi pilihan utama untuk menarik minat masyarakat memilih dan membaca majalah tersebut. Peranan wartawan didalam majalah ini sudah pasti mahu masyarakat terjebak dengan keseronokan hidup. Identiti wartawan seperti ini sedikit sebanyak telah merosakkan nama baik kerjaya wartawan yang lain. Ibarat pepatah melayu, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Seharusnya kerjaya sebagai wartawan dilihat sebagai suatu aset yang membanggakan negara. Bukan sahaja kesempatan ini digunakan untuk mempromosikan imej negara, bahkan penghargaan kepada wartawan juga harus dipertimbangkan. Namun wartawan haruslah menghormati hak-hak dan pendirian orang lain. Kepercayaan yang diberikan kepada wartawan bukan untuk di salahgunakan, tetapi untuk diberikan ruang dalam menyampaikan maklumat semasa.

Sunday 1 June 2008

Krisis Melayu:: Cukupkah Sekadar Bangsa?.

Kisah sebuah bangsa yang dikatakan maju, membangun, dinamik dan bermacam-macam lagi. Bersifat sopan santun, berhemah dah berbudi bahasa adalah simbolik bangsa yang diajar sejak kecil lagi. Mempunyai pemimpin yang berkaliber, bertanggungjawab dan ikhlas dalam melaksanakan amanah yang diberi. Bangsa yang sentiasa diberikan kelebihan kerana memperjuangkan kemerdekaan. Siapakah yang menjadi pimpinan didalam bangsa ini?. Tentunya pimpinan ini sangat-sangat dihormati kerana kebolehan dan kepimpinannya dalam mengatur gerak geri bangsanya sendiri.

Laungan "Malaysia boleh!" acapkali bergema ketika negara mencipta segala sejarah yang tidak pernah dilakukan oleh negara lain. Lebih- lebih lagi ketika bangsa yang mengharumkan nama negara. Bangsa dominan yang harus menunjukkan bahawa mereka lebih maju dan berjaya daripada bangsa lain. Segalanya ada ganjaran demi mengharumkan nama bangsa. Beruntunglah kerana menjadi bangsa.

Walaupun begitu, bangsa masih lagi dibuai mimpi yang lena. Siapa sangka bangsa juga menjadi pemusnah bangsa. Menjadi perosak, pembenci, penindas dan segala macam perangai yang menghancurkan bangsa. Bukankah bangsa harus bersatu dibawah nama bangsa itu sendiri?. Malangnya bangsa tidak menjadi penyelamat lagi. Malahan terus menjadi lemah kerana sifat pentingkan perkauman bangsa sendiri.





Tarikan ala skinhead:: apakah ianya imej bangsa?



Perpecahan dikalangan sesebuah bangsa bukan sesuatu yang asing. Kehidupan masing-masing hanyalah mahu mengikut selera dan tatacara hidup sendiri. Panduan kehidupan yang diguna oleh bangsa hanyalah ungkapan perkataan seperti " Jangan jaga tepi kain orang!", "Jangan kacau hidup aku!" dan " Sukahati akulah nak buat apa pun!". Inilah bangsa yang angkuh dan sombong.Hasil pertuturan dari lidah yang tidak bertulang.


Bangsa yang tidak peduli dengan apa yang dilakukannya, asal dapat memuaskan hatinya sendiri.Manakan tidak bangsa menjadi rosak. Hasil perkataan " biarkan, tak mengapa, tak kisah" terhadap kelakuan bangsa mengajar kita meremehkan akhlak bangsa sendiri. Inilah padah yang harus diterima oleh bangsa.




Pergaulan bebas :: Inikah identiti bangsa?.


Benarkah bangsa boleh menyelamatkan bangsa?. Atau siapakah yang mampu mengawal bangsa?. Panduan sudah pun berada dihadapan mata. Agama yang diturunkan menerangkan segala bentuk perlakuan manusia yang baik dan yang buruk. Sayangnya panduan seperti ini tidak dipandang oleh bangsa. Sekali lagi ungkapan " dah tua nanti aku bertaubatlah" keluar dari mulut bangsa. Sia-sia sahaja dilahirkan menjadi bangsa.

Agama bukanlah suatu penindasan terhadap bangsa. Bahkan agamalah yang mampu mengawal seluruh tatacara dan kehidupan bangsa. Sesuatu yang tidak munasabah apabila dikatakan agama menjadi penghalang segala kemodenan bangsa. Bangsa tidak mampu mengawal segala kerosakan dan kejahatan yang berlaku didunia ini. Itu realiti yang harus diterima oleh bangsa.

Bangsa tidak harus terus hidup dalam keadaan begini. Kesedihan bangsa yang lemah, longlai dan tidak bermaya menguntungkan bangsa yang lain. Sekiranya keadaan bangsa tidak berubah, hidup bangsa akan terus menderita. Identiti bangsa bakal hilang satu demi satu. Bukalah mata wahai bangsa! Agamalah cara hidup yang mampu mengawal segala-galanya.