Sunday 15 June 2008

Gangsterisme:: Samseng Ala 'Sarip Dol'

pelajar lelaki

Tanggungjawab pelajar pada hari ini bukan sahaja untuk menggalas ilmu yang diamanahkan, bahkan cabaran sebagai pelajar adalah untuk mempertingkatkan daya kesungguhan dalam mendepani segala rintangan ketika dialam persekolahan. Tika dialam persekolahan, zaman tersebut adalah pembuka jalan kepada mereka untuk mencari dan menterjemahkan kesungguhan dalam menuntut ilmu. Bagi ibu bapa pula, alam persekolahan adalah tempat bermulanya percambahan didikan untuk anak-anak mereka. Peluang dalam menuntut ilmu begitu terbuka kepada mereka untuk mengecapi kejayaan yang diimpikan.

Dalam proses mempertingkatkan kendiri, sudah pasti banyak pengaruh yang menerjah masuk ke dalam pemikiran sehingga mampu untuk merosakkan keperibadian mereka sendiri. Tiada timbang tara dalam membuat keputusan dan selalunya nafsu yang menjadi juara. Membuat sesuatu tanpa memikirkan kesan baik dan buruk adalah jalan yang seharusnya dielakkan supaya masa depan mereka tidak dicemari dengan perbuatan yang merugikan.

Sesetengah ibu bapa menyangka anak mereka hadir ke sekolah untuk mengikuti pembelajaran. Bahkan meletakkan harapan yang tinggi supaya anak mereka memperolehi kejayaan sebagai hadiah membalas jasa ibu bapa mereka. Namun disebalik itu, ada dikalangan mereka yang terjebak dengan aktiviti memeras dan mengugut. Perlakuan yang sekadar mahu bermegah diatas nama samseng dan gangster.

Hampir seringkali akhbar arus perdana menceritakan tentang perlakuan gangster pelajar sekolah. Mereka yang seakan suka menunjuk-nunjuk kekuatan supaya dapat menindas orang yang lemah. Siapa yang kuat pastilah dia yang akan menang. Itulah slogan 'anak jantan' yang pantang dicabar. Tiada apa yang perlu di banggakan bagi golongan seperti mereka. Ini kerana mereka sendiri bergantung perlindungan kepada kumpulan samseng yang lain. Kelakuan seperti itu sudah pastilah menampakkan ketidakmatangan dalam mendepani pentas kehidupan dunia.


Keseronokan melakukan jenayah bersifat penindasan hanyalah suatu keinginan yang sia-sia. Tindakan tersebut bukan sahaja mencemarkan nama baik keluarga, bahkan nama baik anak melayu yang disebut-sebut sebagai melayu alaf baru. Beberapa kejadian pergaduhan, membuli dan menindas dikalangan pelajar beberapa masa dahulu harus dijadikan pengajaran . Ia bukan sahaja membabitkan pihak sekolah bahkan keluarga juga menjadi bahan cemuhan masyarakat. Tidak pelik juga bila ada ungkapan seperti 'bapak borek anak rintik'. Perilaku anak diibarat seperti bapanya sendiri.

Masalah yang harus diatasi bermula dari didikan ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Keperihatinan terhadap gaya hidup dan pergaulan sosial anak-anak harus dijaga dan dikawal supaya mereka tidak mudah dipengaruhi dengan budaya gangsterisme. Ibu bapa adalah contoh terbaik yang pasti akan dituruti oleh anak-anak mereka sendiri. Justeru itu kepincangan anak-anak melayu di alam persekolahan sedikit sebanyak mengikis sikap samseng ala Sarip Dol, penjahat yang pernah berlakon didalam filem lama pada suatu masa dahulu.

No comments: