Monday 3 October 2011

Semoga Allah Memberi Keberkatan Di Atas Usaha Ini




Sesungguhnya tidak ada yang dapat diungkapkan, hanya sekadar ucapan syukur kepada Allah swt diatas nikmat kesihatan dan iman yang kukuh. Tubuh yang sihat ini dapat menyampaikan segala ilmu yang dimiliki untuk dikongsi bersama dengan rakan-rakan sepengajian di Mesir. Teringat akan pesanan Tuan Guru Ustaz Dato Ismail Kamus, kata beliau "Diatas orang yang alim itu, ada orang yang lebih alim". Semoga Allah swt memberi kesihatan yang berpanjangan untuk terus berjuang diatas agamaNya.

Apa yang dapat disampaikan oleh penulis kepada rakan-rakan semua, hanyalah sekadar sedikit daripada ilmu yang dipelajari. Walaupun merasakan diri bukanlah orang yang layak untuk menyampaikan ilmu, akan tetapi inilah tanggungjawab yang harus digalas. Bukan hanya sekadar diri ini, bahkan rakan-rakan yang lain harus menyedari bahawa kita akan pulang ke tanah air dengan membawa harapan dari masyarakat. Kitalah yang akan mengisi ruang-ruang kosong yang ditinggalkan oleh para alim ulama.

Berazamlah untuk menggalas tanggungjawab ini. Buang sedikit sifat hanya suka menerima, bahkan tanamkan sifat suka memberi. Kita boleh menjadi mahasiswa dan mahasiswi yang lebih matang apabila kita berani untuk menerima tanggungjawab dan mengurus keadaan tersebut dengan yakin. Sesungguhnya setiap masalah yang datang kepada diri ini bukan bertujuan untuk melarikan diri. Bahkan masalah harus dihadapi dan ditangani dengan bijaksana.