Wednesday 17 March 2010

:: Musibah Berlaku Kerana Kelalaian Kita ::





Penulis menerima berita dari rakan-rakan disini sedang heboh memperkatakan mengenai negara Malaysia yang dilanda kemarau. Dikala kejadian tersebut berlaku, kerajaan negeri Kelantan berusaha menganjurkan majlis solat istisqa ( Solat minta hujan ) di sebuah stadium. Di negeri-negeri lain juga turut menerima ujian yang sama. Mudah-mudahan ujian yang diturunkan oleh Allah ini membuka pemikiran umat Islam khususnya di Malaysia supaya tidak mudah menghukum ketentuan dariNya.

Bila berbicara perkara yang berkaitan dengan musibah, kita biasa menganggap bahawa itu adalah berpunca daripada kecuaian kerja yang dilakukan oleh manusia. Dalam keadaan kemarau seperti yang berlaku pada waktu ini, kebanyakan menganggap bahawa ia berlaku disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu dan musim yang berubah-ubah. Pandangan ini mungkin timbul kerana ia bersandarkan dengan kajian akademik atau pun hasil maklumat dari Jabatan Meteorologi yang bertanggungjawab memantau keadaan cuaca di Malaysia. Ini harus kita terima kerana ia adalah selaras dengan ilmu manusia itu sendiri.

Tidak keterlaluan jika kita mengaitkan peristiwa ujian dan dugaan yang sedang menimpa ketika ini sebagai suatu muhasabah dan tarbiah yang hendak disampaikan oleh Allah swt kepada manusia secara halus. Ini kerana tiap-tiap yang berlaku sekiranya kita kembalikan kepada Allah swt, kita pasti mendapat pengajaran yang hendak disampaikan. Bahkan tidak mustahil kerana sememangnya tangan-tangan manusia adalah punca segala kerosakan di muka bumi Allah swt ini. Penulis begitu bimbang sekiranya apa yang berlaku dihadapan mata ketika ini hanya dianggap sebagai fenomena biasa, maka tidak akan terhasil pengajaran dan kesan yang sepatutnya timbul dalam hati kita.

Siapa pernah terfikir bahawa diantara hikmah sunat diazan dan diiqamahkan bayi yang baru lahir mempunyai kesan yang cukup besar. Ia adalah bertujuan supaya perkara pertama yang diketahuinya ialah Allah sebagai pencipta dan Nabi Muhammad sebagai rasul. Adakah kita pernah mempertikaikan kenapa perlu diazan dan diiqamah bayi tersebut?. Sudah tentu tidak kerana kita bertindak mengikut nasihat para ulama.

Justeru jangan kita menyalahkan ulama sekiranya mereka mengaitkan perkara yang berkaitan dengan musibah dan ujian ini dengan kelalaian atau fitnah daripada kita sendiri. Mereka juga memahami kejadian ini selaras ilmu agama yang mereka miliki. Mudah-mudahan kita segera bangkit dari tipu daya dunia ini!! .

Sunday 14 March 2010

Pewaris Ilmu Agama Perlu Ada Wibawa

Kelmarin penulis sempat membaca beberapa keratan akhbar tentang masalah gejala sosial yang melanda di negara Malaysia. Sedang meneliti satu persatu tajuk berita tersebut, penulis tertarik dengan satu tajuk berita, "Ustazah Ditangkap Berkhalwat". Tambah menarik kejadian tersebut berlaku di Johor Bahru dan hampir dengan kawasan perumahan penulis. Suspek yang ditangkap adalah seorang guru sekolah dan pasangannya yang dipercayai bersembunyi diatas siling ketika tangkapan dibuat.

Akhbar melaporkan bahawa suspek adalah seorang "Ustazah". Bila gelaran seperti ini meniti dibibir masyarakat, pastinya gambaran negatif akan muncul dalam pemikiran setiap diri masing-masing. Ada yang cepat mencemuh dan menganggap semua orang sama sahaja. Luar nampak baik tetapi hakikatnya perangai cukup menyerupai syaitan. Gelaran seperti itu hanya mencemarkan nama baik pewaris ilmu agama yang lain. Begitukah tugas seorang pendidik yang seharusnya menjadi contoh kepada anak-anak didiknya sendiri?.

Penulis menganggap bahawa kelemahan benteng iman adalah punca bermulanya keadaan ini. Nafsu bukan mengira jenis manusia. Akan tetapi nafsu yang ditambah dengan bisikan syaitan benar-benar mampu menjerumuskan manusia kedalam lembah dosa yang menjijikkan. Malangnya pewaris ilmu agama seperti ini sudah pun menampakkan kegagalan dalam membentuk peribadi akhlak terhadap diri sendiri. Ini menjadikan beliau sebagai guru dipandang rendah oleh masyarakat kerana kepada diri guru itu sendiri diletakkan harapan untuk mendidik anak-anak orang Islam.

Pewaris ilmu agama adalah orang yang mewarisi segala ilmu-ilmu yang ditanggalkan oleh nabi saw dan para ribuan ulama yang terdahulu. Tujuannya supaya dengan ilmu tersebut dapat mendidik jiwa agar menghargai perjuangan nabi saw dan memelihara khazanah sumber ilmu yang amat tinggi nilainya. Justeru sekiranya ada perbuatan yang boleh mencemarkan nama baik pecinta ilmu agama, hendaklah segera bertaubat kepada Allah swt. Ilmu agama adalah cahaya pancaran hanya untuk manusia yang berhati bersih. Ia sesekali tidak akan bercampur dengan akhlak peribadi yang buruk.

Apa yang harus dipegang dengan kukuh ialah prinsip terhadap mengatakan halal kepada perkara yang halal dan haram kepada perkara yang haram. Perkara yang sudah jelas didalam Al-Quran dan Hadis sesekali tidak boleh diubah sebagaimana prinsip tersebut. Lahirnya generasi ulama yang berwibawa akan menguatkan lagi benteng pertahanan agama Islam yang mampu menjamin kesejahteraan hidup didunia dan diakhirat.

Monday 1 March 2010

Jangan Berdukacita Dengan Dunia




Manusia dikurniakan akal yang mampu berfikir tentang kejadian dan keagungan Allah swt. Lantaran fitrah manusia yang berbagai ragam dan keinginan adalah perkara kebiasaan yang selayaknya dengan watak mereka sendiri. Sungguhpun begitu kadang-kadang manusia cukup terpalit dengan seribu satu masalah yang melanda diri masing-masing sehingga merasa dukacita dengan masalah tersebut.

Jiwa manusia semuanya terikat dengan penciptaNya. Sebesar masalah yang menimpa bukanlah menjadi bebanan yang harus ditanggung hingga ke akhir hayat. Bahkan masalah itu biasanya ujian dari Allah swt kepada hambaNya sebagai salah satu cara membuktikan keimanan yang unggul dan kepercayaan terhadap apa yang ditentukan. Jika tidak, sudah tentu manusia akan terus hidup bergelumang dengan nafsu dalam memandu kehidupan didunia.

Apakah masalah yang membelenggu sehingga kita perlu berdukacita dengan dunia?. Setiap orang Islam yang beriman harus percaya bahawa tidak ada kuasa lain menentukan ketetapan didunia kecuali Allah swt. Pernahkah pembaca mendengar perkataan sebegini, "....begini kah nasib ku?. Mengapa tuhan tidak mengambil nyawa ku? ". Perkataan yang cukup penuh dengan nada kesal sehingga tiada pergantungan kepada Allah swt. Bahkan tidak ada orang didunia ini yang mahu hidup ditimpa kesusahan. Akan tetapi siapa pula diri kita bila berhadapan dengan ketentuan Allah swt?. Pasti kita harus berdiri sebagai hamba yang taat dan patuh terhadapNya.

Mana mungkin kita terdaya melawan kuasa dan takdir yang mencipta segala-galanya. Justeru sebagai orang yang beriman, haruslah bermuhasabah terhadap diri sendiri. Siapa tahu dalam masa sehari kita bernafas didunia ini, ada dosa-dosa kecil yang telah kita lakukan tanpa kita sedari. Siapa pula tahu setiap permintaan melalui doa yang dibaca terkadang diterima dan terkadang ditolak kerana hikmah yang belum jelas dihadapan mata. Ilmu manusia sangat-sangat terbatas jika hendak dibandingkan dengan ilmu Allah swt.

Penghujung dunia adalah syurga dan neraka yang pastinya kekal abadi. Tidak ada sesiapa pun yang mampu menafikan bahawa pengakhiran kehidupan dunia adalah balasan dan perhitungan segala amalan yang telah dilakukan. Sekiranya kita benar-benar yakin dengan ketetapan Allah swt, sudah tentu kita akan terus menambah amalan yang bakal menuju kedalam syurga kelak. Setiap apa yang berlaku didunia, sudah tentu ada hikmah yang bakal ditunjukkan dikemudian hari. Oleh demikian, janganlah berdukacita dengan dunia!.