Monday 14 September 2009

Harta Dunia:: Mana Milik Kita Yang Sebenar


Mencari harta dunia adalah tuntutan fitrah manusia untuk menampung kehidupan yang sementara. Ia menjadi sebuah landasan dalam meneruskan hidup daripada dibelenggu kemiskinan. Segala-galanya hanya memerlukan usaha dan ikhtiar untuk mendapatkan apa sahaja yang diperlukan. Soal kekayaan bukanlah menjadi suatu kesalahan untuk dimiliki, akan tetapi hasilnya hendaklah dari yang halal. Usaha yang baik bukan sahaja akan memiliki harta yang halal bahkan akan membawa berkat.

Menjadi tanggungjawab kita untuk menyedari hakikat bahawa setiap harta kemewahan bukanlah semuanya akan kekal abadi milik kita. Bahkan kita tahu harta yang sudah dikumpul bak gunung akan diwarisi oleh anak cucu cicit kita suatu hari nanti. Lantaran terlalu mustahil untuk kita mengakui harta tersebut akan bersama kita selama-lamanya. Betapa naifnya jika ada orang yang berkata begitu. Mungkin sesuatu perlu diingat bersama, berapakah harta yang kekal menjadi milik kita?.

Jika seseorang mempunyai wang bernilai Rm100, berapa banyak yang diperuntukkan untuk keperluan dunia dan berapa pula yang menjadi miliknya sendiri. Mungkin sahaja duit tersebut akan menjadi milik orang lain. Belanja kedai, klinik , membaiki kereta dan sebagainya. Semuanya menjadi hak orang lain. Penulis ingin mengajak kita semua berfikir, manakah sebenarnya hak kekal kita selama-lamanya?.

Merujuk kepada satu hadis, Nabi saw bersabda : " Apabila mati seorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali dalam 3 perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh". Kalau kita menyedari hakikat ini, berapakah harta yang kita pernah sedekahkan untuk melepaskan kesusahan orang lain?. Sekiranya didalam Rm100 tadi ada bahagian Rm5 untuk sedekah, maka itulah sebenarnya milik kekal kita diakhirat. Perhatikan betul-betul bahawa Rm95 tadi adalah milik orang lain. Perbezaan nisbahnya cukup besar dari apa yang kita kumpulkan untuk kesenangan kita di dunia.


No comments: