Monday 7 September 2009

Menilai Sebuah Buku



Bukan mudah untuk menilai sebuah penulisan buku. Melihat penulisnya sahaja kita tahu dia adalah seorang pemegang mata pena yang hebat. Kalau salah menilai, alamatnya kita dikatakan tidak amanah dengan penilaian itu. Lebih baik kita minta penulis itu menilai bukunya sendiri. Tetapi kalau penulis itu yang menilai, sudah tentu dia akan mengatakan penulisannya itu adalah yang terbaik. Manakan tidak, sudahlah menulis sepanjang hari, tiba-tiba ada orang mahu mengkritik hasil penulisan tersebut.

Hebat sangatkah mahu mengkritik penulisan kita?. Atau kita harus menerima kritikan itu sebagai suatu pembinaan jati diri?. Mencipta daya penulisan sendiri memakan masa yang agak panjang. Itupun belum tentu ada orang hendak baca atau tidak. Kalau penulisan itu ibarat melepaskan batuk ditangga, memang patutlah kena kritik teruk-teruk. Tapi kalau sudah mengerah tenaga menulis berjam-jam, masukkan semua fakta-fakta yang diperlukan, menulis dengan bahasa yang indah, bagaimana nilaian harus diberi kepada penulisan seperti ini?.

Tidak salah kalau ada yang beranggapan menjadi penulis semestinya punya ego yang tersendiri. Semua karya dibaca, dibeli, disimpan dan menjadi koleksi peribadi yang sangat istimewa. Nama pena kita melonjak naik dan menjadi perbualan rakan-rakan penulisan yang lain. Mana tahu kita diminati kerana kontroversi atau pencetus sesuatu isu?.Meminati penulis kerana kontroversi bukan sesuatu yang janggal pada masa sekarang. Tulis sahaja buku mengenai kehidupan realiti artis. Apabila disebutkan sahaja tentang penceraian mereka , bermacam-macam andaian dan olahan yang kita tulis.

Lalu sebenarnya bagaimana hendak kita nilai hasil penulisan sesebuah buku, kalau sudah cara menulisnya sebegitu. Bukan boleh dipaksa-paksa menulis dengan cara yang kita inginkan. Menjadi seorang penulis bererti dia mencari cara penyampaian yang berkesan. Menjadi penulis haruslah hasil daripada kreativiti dan tradmark sendiri. Justeru siapa yang layak menilai hasil penulisan sesebuah buku?.

No comments: