Friday 18 September 2009

Menghimpun Salam Merai Kemaafan


Ketika imbauan 12 tahun yang lalu menjangkau didalam fikiran, penulis bukanlah seorang pecinta sastera seperti hari ini. Seorang guru bernama Puan Fadzilah Hashim adalah permulaan segala semburan kata-kata pedas dan menyakitkan. Sambil menanda buku latihan bahasa melayu murid-muridnya beliau mengangkat sebuah daripadanya sambil menjerit bertanya " Siapa punya buku ni ?". Kelihatan buku tersebut tidak berkulit. Rupa-rupanya buku tersebut umpama roti canai yang hanya siap untuk dimakan. Dalam ketakutan penulis mengangkat tangan mengaku itu adalah kepunyaan diri ini.

" Kenapa cincai sebegini?". Sekali lagi penulis hanya berdiam diri sambil kawan-kawan lain tergelak. Hanya tulisan penulis sahaja yang selalu digelarkan sebagai tulisan 'doktor'. Mengherot entah kemana-mana. Tetapi tidak disangka rupa-rupanya ini hikmah yang berlaku pada diri penulis sekarang. Satu perjalanan yang jauh selama 12 tahun untuk bertemu dengan hikmah yang tidak terjangkau difikiran. Sekiranya penulis berkesempatan bertemu beliau, ingin diri ini mengucapkan terima kasih banyak-banyak diatas kata semburan itu. Mungkin lebih dari itu kemaafan yang terhitung sebanyak 12 kali ini harus dilangsaikan dihari lebaran.




Fikiran penulis terus menerawang mengingat kembali 8 tahun yang lalu. Matapelajaran sains yang memerlukan latihan yang kerap selalu sahaja membuatkan diri berasa malas. Tambahan guru wanita yang bersuara halus tidak langsung diberi perhatian. Mungkin pengetahuan sains peringkat menengah cukup sukar untuk difahami. Penulis langsung mengambil mudah. Puan Mas Ayu Ishak bukanlah seorang pemarah. Tetapi bagi beliau sesiapa yang mengambil perhatian yang serius ketika belajar, merekalah yang akan faham. Tanpa sedikit pun menzahirkan perasaan marah kepada pelajar yang tidak ambil perhatian, habis waktu mengajar terus keluar kelas.

Semua dendam perasaan ketika diwaktu sekolah dahulu telah mencampakkan diri ini kembali menjadi manusia yang ingin menghargai semula. Bertahun-tahun lebaran aidilfitri berlalu, sukar untuk melupakan segala kesan-kesan 'sejarah' imbauan hidup. Sekelip mata umur meningkat dan telah meninggalkan alam persekolahan selama 7 tahun yang lalu. Sekiranya ditakdirkan pertemuan kedua dalam hidup bertemu dengan orang-orang yang berjasa pada diri ini,tibalah giliran untuk membela titik peluh usaha mereka mendidik anak-anak bangsa.

Dikesempatan ini penulis ingin memohon jutaan kemaafan kepada semua guru-guru yang mendidik anak bangsa beragama Islam. Kepada semua pembaca blog yang banyak mengkritik idea dan penulisan diri ini. Kemafaan juga dipinta dari sahabat-sahabat yang mengenali diri penulis. Semoga tiap-tiap pertemuan kita memberikan seribu makna dan pengertian yang tersirat. Mudah-mudahan lebaran ini bakal menginsafkan diri kita semua. Selamat Hari Raya!.
















No comments: