Wednesday 16 September 2009

Tuntutan Usaha Dan Tawakal


Kehidupan didunia menuntut agar semua manusia berusaha untuk mencari rezeki yang akan menjamin kesejahteraan hidup. Pelbagai ujian dan cubaan bakal ditempuhi semata-mata untuk mencapai kebahagiaan dunia. Sekiranya kita menginginkan sesuatu perkara yang menjadi keperluan harian , sememangnya bukan hanya sekadar menunggu dan mengharap belas ihsan dari orang lain. Bahkan dengan kurniaan tubuh badan yang sihat, seharusnya lakukanlah sebanyak mana pekerjaan agar kita memperoleh imbuhan daripada tiap-tiap apa yang kita usahakan.

Sekiranya seorang lelaki ingin menyara kehidupan keluarganya yang serba kekurangan, tentu dia akan memikirkan sesuatu keperluan untuk mencapai kesenangan. Bagi tiap orang yang mempunyai akal dan tubuh badan yang sihat, sepatutnya mereka keluar untuk mencari pekerjaan yang dapat melepaskan kesusahan diri dan keluarganya. Bukan hanya mengharapkan orang lain yang menanggung dirinya tanpa langsung ada rasa bersalah. Sekiranya mahu pendapatan, haruslah ia mencari pekerjaan.

Seorang pelajar yang ingin menghadapi peperiksaan, seharusnya pula mengulangkaji pelajaran dengan baik. Bukan setakat bermudah-mudah dan hanya mengutamakan perkara yang lain dari situasi peperiksaan yang dihadapinya. Sekiranya kejayaan yang diharapkan, maka berusahalah untuk mencapai apa yang dihajatinya. Kemampuan itu kadang-kadang terhalang oleh sifat kurangnya usaha dari diri sendiri.

Seorang hamba yang sentiasa berdoa kepada Allah swt, haruslah sentiasa berusaha melakukan sebanyak mungkin amal kebaikan agar doanya diterima dan permintaannya dikabulkan. Lihat sahaja didalam tafsir surah al-Fatihah ayat ke-5 , Allah swt berfirman maksudnya: " Akan dikau kami sembah, dan akan dikau tempat kami memohon pertolongan". Perintah tersebut menunjukkan manusia harus mentaati Allah swt terlebih dahulu kemudian barulah diikuti dengan meminta pertolongan.

Setelah selesai segala tanggungjawab dan keperluan telah dipenuhi, disinilah harus kita letakkan sikap tawakal dalam segala usaha yang kita lakukan. Secara zahirnya tiap-tiap usaha pasti akan membuahkan hasil yang diinginkan. Hakikat yang sebenar, Allah swt lebih berhak menentukan sesuatu dari setiap usaha yang kita lakukan. Mungkin diantara 3 contoh yang disebutkan tadi, berjaya menjadi milik kita. Mungkin juga hanya 2 perkara tadi yang kita miliki. Tidak mustahil ada juga yang langsung tidak berjaya memiliki ketiga-tiga perkara yang disebutkan tadi. Sekarang fikirkanlah sendiri bagaimana untuk kita mencapai sesuatu dengan timbangan usaha yang kita lakukan.

1 comment:

Anonymous said...

Il semble que vous soyez un expert dans ce domaine, vos remarques sont tres interessantes, merci.

- Daniel