Monday 28 December 2009

:: Zaman Keemasan Alam Mahasiswa ::




Hari peperiksaan bakal menjelang 2 minggu lagi. Persediaan rapi harus diatur dengan sebaiknya untuk menghadapi situasi memerah otak ketika menjawab soalan nanti. Ketika ini ramai rakan-rakan penulis sibuk 'membekukan' setiap hafalan dari nota-nota kitab . Bila mana tiba didalam dewan peperiksaan, semuanya sudah siap untuk dicurahkan keatas kertas jawapan. Perasaan gemuruh boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, bahkan terkadang boleh mematikan segala hafalan kita ketika menjawab soalan.

Hadir didalam dunia mahasiswa memerlukan banyak sumbangan tenaga, buah fikiran dan tindakan yang mematangkan diri. Peristiwa pahit manis alam mahasiswa pastinya melekat didalam pengalaman peribadi yang begitu diingati sehingga menjelangnya hari tua di masa hadapan. Segala curahan sumbang bakti dialam mahasiswa menjadi kenangan yang paling besar dalam hidup. Amalan hidup secara berjamaah dan berpersatuan mendekatkan kita dengan pengalaman rakan-rakan dari setiap negeri yang berbeza-beza. Ini menjadikan pendapat dan sumbangan yang dicurahkan mempunyai kepentingan dan kebaikan bersama.

Menempuh ujian hidup dialam mahasiswa akan mematangkan segala tindakan. Kita berhak menentukan jalan yang harus kita pilih dalam membuat pertimbangan yang tepat tentang sesuatu perkara yang dihadapi. Kita bertanggungjawab atas apa yang kita putuskan. Itu mungkin sebahagian daripada apa yang dikatakan sebagai 'moral responsibility' ( tanggungjawab moral ) . Melaksanakan hak terhadap diri sendiri adalah hal peribadi yang tidak perlu dikongsi dengan semua orang. Masing-masing ada cara dan pendapat dalam menyelesaikan sesuatu masalah peribadi.

Alam mahasiswa juga memberikan kita pilihan untuk berfikir secara bijak dan matang. Hal yang tidak boleh kita nafikan ialah hidup berjamaah dan bekerjasama dalam menjaga hubungan sesama rakan. Pengajaran yang cukup bermakna apabila ada rakan-rakan yang sanggup membantu apabila kita berada didalam kesusahan dan ditimpa musibah. Oleh kerana itu, harus pula kita jadi orang yang suka memberi pertolongan dan bantuan. Konsep berpersatuan sudah lama diamalkan kerana ia boleh membentuk acuan penyatuan pandangan yang bernas dan jitu. Lalu segala keputusan itu dibuat melalui kaedah mesyuarat yang mengambil kira semua persetujuan ahlinya.

Jika kita sudah merasai manisya alam mahasiswa, pahitnya juga harus ditelan. Suara persatuan yang menjadi dominan dalam pandangan ahli, kadang-kadang dihalang dan disekat dengan menggunakan berbagai cara yang tidak matang. Wujud pula pandangan dan sindiran yang memperlekeh persatuan. Kita dilihat sebagai kanak-kanak yang hanya disuruh ikut tanpa memberikan peluang untuk berfikir secara bebas. Tindakan kita seringkali di salah anggap dan dikira tidak betul jika bertentangan dengan apa yang diputuskan. Hal ini memungkinkan kita kembali kedalam tempurung yang ditinggalkan oleh katak. Katak sudah kedepan, kita pula ganti tempatnya.

Perkara yang paling menggerunkan di alam mahasiswa ialah kecundang didalam menuntut ilmu. Setelah lama membina harapan yang tinggi, akhirnya perjalanan tersekat ditengah. Kita terpaksa ketepikan segala impian kerana kita punya masalah yang lebih berat untuk di selesaikan. Sukar untuk memahami dan memahamkan orang lain dalam situasi seperti ini. Melepaskan keluhan hanyalah satu jawapan sinis yang boleh memujuk perasaan dan mententeramkan jiwa. Kita tidak mampu berjaya seperti rakan-rakan lain. Kita akui lakaran kehidupan tidak selalunya berakhir dengan kegembiraan, akan tetapi kekecewaan datang sebagai ujian dari Allah swt.

Alam mahasiswa adalah zaman keemasan kita yang harus disimpan dalam diari ingatan masing-masing. Ia tidak akan berulang lagi kerana kita bakal menghadapi hari tua dan melakar sejarah yang baru di usia tersebut. Generasi akan datang pasti akan menghadapi perkara yang sama apabila masuk ke alam mahasiswa. Ketika itu, tunggu dan lihat bagaimana mereka mengaturkan segala tindakan yang selayaknya dengan cara pemikiran seorang mahasiswa.









No comments: